Disangka panda, rupanya anjing dicat hitam putih

Agensi
TANGKAP layar menunjukkan dua anjing baka Chow Chow yang dicat supaya kelihatan seperti panda di sebuah zoo di China. FOTO Douyin
TANGKAP layar menunjukkan dua anjing baka Chow Chow yang dicat supaya kelihatan seperti panda di sebuah zoo di China. FOTO Douyin
Beijing: Sebuah zoo di wilayah selatan Guangdong di China, baru-baru ini, tular selepas dikesan mengecat anjing hingga menyerupai panda.

CNN Travel melaporkan pihak zoo itu mengakui 'panda' yang menjadi bintang tarikannya itu sebenarnya dua anjing baka Chow Chow yang dicat hingga menjadi seperti haiwan kebanggaan China itu.

Tangkap layar video menunjukkan dua anjing baka Chow Chow itu kelihatan seperti panda.

Video yang disiarkan pada Isnin lalu di Douyin iaitu aplikasi TikTok versi China, tular dan dikongsi lebih 1.4 juta kali dan disukai oleh lebih 725,000 pengguna.

Dalam foto dikongsi oleh pengguna lain di media sosial, anjing berwarna hitam dan putih itu boleh dilihat di dalam kandang, bersebelahan papan tanda yang tertera "anjing yang dicat."

"Kami dipanggil Anjing Panda, anjing peliharaan yang kelihatan seperti panda. Chow Chow yang diwarnai dan didandan. Kami lembut, pintar, mesra, comel dan comel!" menurut penerangan papan tanda itu.

Pengurus zoo dikenali sebagai Huang berkata, anjing itu adalah satu daripada tarikan utama zoo berkenaan.

Ini bukan kali pertama anjing dicat supaya kelihatan seperti panda atau haiwan liar lain di China.

Mei lalu, sebuah zoo di timur wilayah Jiangsu mencetuskan kemarahan selepas pengunjung sebuah zoo mendapati dua anjing dicat untuk menyerupai panda. Berikutan kritikan yang meluas, pihak zoo mengakui muslihat itu.

Sebuah kafe di bandar barat daya Chengdu turut mendapat kecaman pada 2019 kerana menawarkan perkhidmatan pencelupan untuk orang ramai menjadikan haiwan peliharaan mereka kelihatan seperti panda.
-hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan