Pegawai rendah polis kantoi ponteng tugas, menyamar Inspektor

Melvin Joni
am@hmetro.com.my

Kota Samarahan: Polis menahan pegawai rendah polis yang bukan sahaja ponteng tugas malah menyamar sebagai pegawai kanan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintenden Jaimi Husin berkata, unit peronda yang membuat rondaan cegah jenayah terserempak dengan kereta dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di hadapan bangunan di sini, semalam.

Katanya, semasa pemeriksaan dibuat, suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dengan memakai vest polis berpangkat Inspektor dan sarung pistol di pinggang.

"Selepas disoal lanjut, lelaki terbabit mengatakan bekerja di Unit Cawangan Khas Bukit Aman dan sedang membuat tugas risikan di lokasi berkenaan.

"Apabila diminta kad kuasa polis untuk sahkan identitinya maka lelaki itu memberitahu tertinggal di rumah dan hanya memberi kad pengenalan awam. Setelah disemak kad pengenalan awam berkenaan tertera nombor polis RF," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut, lelaki terbabit mengaku bertugas sebagai pegawai rendah polis sedang bercuti selama dua minggu.

Jaimi menambah, pasukan CPJ kemudian menghubungi balai polis tempat lelaki terbabit bertugas dan dimaklumkan dia tidak hadir tugas dari Mac lalu sehingga sekarang.

Katanya pegawai rendah polis itu bersama rakannya termasuk kereta, vest polis serta pangkat Inspektor dan sarung pistol telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan untuk tindakan lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan