Israel bersiap siaga untuk operasi darat di Lubnan

AFP
ASAP tebal di Khiam, di selatan Lubnan susulan serangan rentas sempadan antara pejuang Hizbullah dan Israel. FOTO Reuters
ASAP tebal di Khiam, di selatan Lubnan susulan serangan rentas sempadan antara pejuang Hizbullah dan Israel. FOTO Reuters
Beirut: Ketua tentera Israel pada Rabu memberitahu tenteranya supaya bersedia untuk kemungkinan serangan darat terhadap Hizbullah di Lubnan, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden memberi amaran terhadap "perang habis-habisan" di Timur Tengah.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berikrar bahawa operasi ketenteraan Israel terhadap Hizbullah tidak akan berhenti sehingga penduduk utara negaranya yang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran rentas sempadan, selamat pulang ke rumah mereka.

"Kami menyerang sepanjang hari, kedua-duanya untuk menyediakan medan bagi kemungkinan kemasukan anda (tentera Israel), tetapi juga untuk terus menyerang Hizbullah," ketua tentera Israel, Leftenan Jeneral Herzi Halevi, memberitahu briged kereta kebal, menurut satu kenyataan.

AS berkata, ia tidak menjangka Israel akan melancarkan operasi darat di Lubnan dalam masa terdekat.

"Ia tidak kelihatan seperti apa-apa yang akan berlaku," kata Timbalan Setiausaha Akhbar Pentagon Sabrina Singh kepada wartawan, merujuk kepada kemungkinan pencerobohan Israel.

Amaran Israel datang selepas Hizbullah berkata, ia menyasarkan ibu pejabat agensi perisik Mossad di pinggir Tel Aviv - kali pertama ia melepaskan peluru berpandu balistik dalam hampir setahun pertempuran rentas sempadan yang dicetuskan oleh perang Gaza.

Lubnan berkata, serangan Israel membunuh 51 orang dan mencederakan 223 yang lain.

Tentera Israel berkata, ia menyerang lebih 2,000 sasaran Hizbullah sejak tiga hari lalu, termasuk 60 tapak perisikan Hizbullah.

Pertempuran rentas sempadan semakin sengit selepas serangan Israel pada Isnin lalu membunuh sekurang-kurangnya 558 orang dalam hari keganasan paling dahsyat di Lubnan, sejak perang saudara 1975-1990.

Nour Hamad, seorang pelajar berusia 22 tahun di bandar Baalbek di timur Lubnan, menggambarkan hidup "dalam keadaan ketakutan" sepanjang minggu.

"Kami menghabiskan empat atau lima hari tanpa tidur, tidak tahu sama ada kami akan bangun pada waktu pagi," katanya.

Di Tel Aviv, siren berbunyi berikutan pelancaran peluru berpandu Hizbullah yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada waktu subuh.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, ia akan mengadakan mesyuarat tergempar mengenai krisis di New York pada hari Rabu, ketika ketua PBB, Antonio Guterres memberi amaran keadaan itu kritikal.

"Kita semua harus cemas dengan peningkatan itu. Lubnan berada di ambang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan