Liverpool, Arsenal pesta gol 5-1

Bharianonline
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah meraikan gol ketiga pasukannya ketika menentang West Ham pada pusingan ketiga Piala Liga di Anfield, Liverpool awal pagi tadi. – Foto AFP
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah meraikan gol ketiga pasukannya ketika menentang West Ham pada pusingan ketiga Piala Liga di Anfield, Liverpool awal pagi tadi. – Foto AFP
LIVERPOOL, England: Diogo Jota dan Cody Gakpo masing-masing meledak dua gol ketika juara bertahan Liverpool membelasah West Ham 5-1 di Anfield awal pagi tadi untuk mara ke pusingan keempat Piala Liga dalam satu lagi persembahan mantap daripada anak buah Arne Slot.

Mohamed Salah turut menyumbang gol buat Liverpool yang ketinggalan dan berdepan beberapa detik cemas sebelum bangkit melakar kemenangan selesa.

"Saya berasakan dalam hampir keseluruhan perlawanan kami menguasai," kata Slot. "Kami banyak menguasai pegangan bola, terutama pada babak pertama."

Arsenal pula membenam kelab divisyen tiga Bolton Wanderers 5-1.

West Ham – yang beraksi 10 pemain apabila Edson Alvarez dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-76 – membuka tirai jaringan di Anfield apabila percubaan Wataru Endo untuk mengeluarkan bola susulan sepakan sudut terkena Jarell Quansah dan melepasi penjaga gol Caoimhin Kelleher bagi gol sendiri.

Kegembiraan The Hammers tidak lama apabila Jota menyamakan kedudukan empat minit kemudian, melonjak tinggi untuk menanduk masuk voli akrobatik Federico Chiesa.

Jota meledak gol keduanya pada minit ke-49 apabila Curtis Jones melakukan hantaran ke belakang kepada pemain Portugal itu yang merembat ke penjuru gol.

"Adalah penting apabila anda ketinggalan untuk mendapatkannya (gol penyamaan) secepat mungkin dan untuk menjaringkan gol di Anfield, ia sering kali istimewa jadi gembira membantu kemenangan pasukan," kata Jota kepada Sky Sports.

Bintang utama Salah menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-74 apabila dia menampan masuk bola muntah susulan percubaan Alexis Mac Allister, kemudian Alvarez dibuang padang dua minit kemudian kerana terjahan keras.

Gakpo menambah dua gol pagi pada minit ke-90 dan 93, gol pertamanya menakjubkan dari jarak 20 meter selepas hantaran satu dua dengan Darwin Nunez.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan