Kelantan: Buruh dipenjara 72 tahun, 60 sebatan selepas didapati bersalah merogol anak hingga bersalin

Bernama

KOTA BHARU: Seorang buruh dihukum penjara 72 tahun dan 60 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah merogol anak kandungnya sehingga melahirkan anak tahun lepas.

Lelaki 46 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas enam pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Zulkifli Abllah.

Dia didakwa merogol anak kandungnya berusia 15 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Manek Urai, Kuala Krai, kira-kira 1 hingga 10 pagi antara Januari hingga Oktober 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kamarul Hasyime memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh kerana mangsa ialah anak kandungnya.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana anaknya masih kecil dan memerlukan kasih sayang bapa.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan, dengan hukuman berjalan berasingan serta dia diperintahkan menjalani rehabilitasi dan kaunseling di penjara, selain pengawasan polis selama setahun selepas tamat hukuman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan