Lelaki Sri Lanka ditahan guna pasport warga tempatan untuk keluar negara

Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bh.com.my
Lelaki warga Sri Lanka (kanan) yang ditahan ketika cuba keluar ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam menggunakan pasport milik warga tempatan. - Foto ihsan Imigresen
Lelaki warga Sri Lanka (kanan) yang ditahan ketika cuba keluar ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam menggunakan pasport milik warga tempatan. - Foto ihsan Imigresen
ALOR SETAR: Seorang lelaki warga Sri Lanka ditahan selepas menggunakan pasport antarabangsa Malaysia milik individu lain untuk keluar dari negara ini.

Suspek, 21, ditahan di sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ketika cuba melepasi sempadan Thailand semalam menggunakan pasport milik individu lain yang tertera nama Raja Danny Denis.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata pemeriksaan mendapati pasport digunakan tidak sah.

Justeru suspek melanggar kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana memasuki dan menetap di Malaysia tanpa dokumen yang sah.

Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan ditempatkan sementara di Lokap Unit Penguatkuasa Imigresen Kedah untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau mengakui kes terbabit mencetus kebimbangan mengenai aktiviti sindiket pemalsuan dokumen antarabangsa yang semakin aktif, dengan pelbagai cubaan menyamar bagi tujuan penipuan dan penyeludupan manusia.

Kes itu juga, katanya memberi amaran jelas bahawa kawalan sempadan akan terus diperketatkan bagi mengekang kegiatan penyamaran dan pemalsuan dokumen.

"Aktiviti sindiket bukan saja mengundang ancaman keselamatan di negara ini, tetapi menunjukkan betapa liciknya rangkaian jenayah antarabangsa dalam memanipulasi sistem imigresen untuk tujuan eksploitasi, penyeludupan manusia dan jenayah rentas sempadan.

"Penahanan ini hasil kerjasama strategik antara Imigresen Kedah dan pihak Imigresen Thailand.

"Kami akan menyiasat kes ini dengan lebih mendalam bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terbabit," katanya hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan