Lelaki separuh bogel curi pakaian dalam wanita ditahan

Juwan Riduan
bhnews@bh.com.my

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan bersama beberapa pakaian dalam wanita dipercayai di curi dari asrama sebuah kolej di Likas, di sini, Selasa lalu.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam selepas ditemui dalam keadaan mencurigakan dan hanya berseluar dalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata kejadian disedari mangsa seorang wanita yang juga penuntut kolej berusia 21 tahun.

Katanya, mangsa mendapati pintu utama asramanya dalam keadaan terbuka sebelum menyedari kehadiran seorang lelaki tidak dikenali berada di dalam asrama berkenaan.

"Ketika ditemui, suspek dalam keadaan separuh bogel dengan hanya berseluar dalam.

"Bimbang dengan keselamatan dirinya, mangsa terus membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kasim berkata, bertindak atas laporan, suspek yang membawa beg sandang ditahan di lokasi sama sejurus selepas itu.

Katanya, hasil pemeriksaan pada beg sandang berkenaan, polis menemui beberapa pakaian dalam wanita dipercayai dicuri suspek.

"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379/448 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan