Wanita Turkiye-Amerika mati ditembak di Tebing Barat

AFP
AYSENUR Ezgi Eygi. FOTO Pergerakan Solidariti Antarabangsa
AYSENUR Ezgi Eygi. FOTO Pergerakan Solidariti Antarabangsa
Baitulmaqdis: Seorang wanita Turkiye-Amerika mati ditembak pada Jumaat ketika menyertai demonstrasi menentang penempatan Israel di bandar Beita, Tebing Barat yang diduduki rejim, di mana tentera Israel mengakui melepaskan tembakan.

Turkiye mengenal pasti wanita itu sebagai Aysenur Ezgi Eygi dan negara berkenaan mengecam kematian itu, manakala Amerika Syarikat (AS) menggelarnya sebagai peristiwa tragis seterusnya mendesak sekutunya Israel untuk menyiasat.

Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, tentera Israel membunuh Aysenur dengan "tembakan di kepala", manakala seorang jurugambar AFP melihat pegawai perubatan membawanya ke hospital Nablus dengan kepalanya dibalut.

PBB berkata, Aysenur , 26, menyertai protes antipendudukan secara aman di Beita, tempat demonstrasi mingguan.

Penempatan Israel di Tebing Barat yang menjadi tempat tinggal kira-kira 490,000 orang adalah penempatan haram di bawah undang-undang antarabangsa.

Aysenur tiba di hospital Rafidia di Nablus, dengan kesan tembakan di kepala dan kemudian disahkan meninggal dunia, kata pengarah hospital, Fouad Nafaa.

Turkiye berkata, Aysenur dibunuh oleh askar Israel, dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan mengutuk tindakan Israel sebagai biadab.

Sekutu utama Israel, Washington berkata, ia sudah menghubungi kerajaan itu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Kami amat terganggu dengan kematian tragis seorang warga Amerika," kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karine Jean-Pierre.

Qatar, negara pengantara utama dalam rundingan gencatan senjata untuk menamatkan perang Gaza juga mengutuk pembunuhan oleh tentera pendudukan Israel terhadap Aysenur dengan menyifatkannya sebagai jenayah keji.

"Sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa dalam menghadapi pelanggaran yang mengerikan ini adalah insentif baharu untuk (pihak) pendudukan untuk melakukan lebih banyak kekejaman," kata satu kenyataan kementerian luarnya.

Aysenur adalah ahli Pergerakan Solidariti Antarabangsa (ISM), sebuah organisasi pro-Palestin, dan berada di Beita untuk demonstrasi mingguan menentang penempatan Israel, kata Neta Golan, pengasas bersama kumpulan itu.

Datuk Bandar Beita Mahmud Barham berkata, beliau diberitahu seorang askar Israel melepaskan dua das tembakan ke arah penunjuk perasaan yang membantah sebuah pos penempatan Israel, dengan satu peluru mengenai Aysenur di kepala.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan