Bagaimana skandal Perwaja Steel menyebabkan hubungan Anwar-Dr Mahathir retak

FMT Reporters

Menurut buku yang bakal diterbitkan, hubungan Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad mula retak selepas laporan media mengenai Perwaja Steel.

Anwar Ibrahim dilihat bertentangan dengan politik yang dibawa Dr Mahathir Mohamad, menurut sebuah buku yang bakal diterbitkan.
PETALING JAYA: Skandal Perwaja Steel tiga dekad lalu yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit menyebabkan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, melihat timbalannya, Anwar Ibrahim, sebagai ancaman yang nyata, menurut sebuah buku yang bakal diterbitkan.

Hubungan mereka menjadi tegang selepas akhbar harian kewangan Asian Wall Street Journal (AWSJ) menyiarkan laporan tentang kerugian besar kilang besi Perwaja dengan tajuk ‘Steel Fiasco May Rattle Malaysian Government’, tulis wartawan Leslie Lopez.

Anwar masuk ke pejabat Mahathir dalam keadaan marah pada 9 Feb 1996 dengan salinan AWSJ di tangannya, mengingatkan Mahathir bahawa beliau pernah menyatakan kerajaan tidak boleh menutup skandal tersebut, menurut Lopez dalam bukunya ‘The Siege Within’, yang akan diterbitkan pada 26 Feb.

Dengan wajah marah, Mahathir memberi respons singkat: Awak yang bocorkannya kepada mereka, tulis Lopez. Anwar kemudian menafikan membocorkan cerita itu kepada media apabila menceritakan kembali insiden tersebut dua bulan selepas konfrontasinya dengan Mahathir, menurut Lopez.

Dalam bulan-bulan selepas pendedahan AWSJ, Mahathir diyakinkan oleh kroni perniagaan dan politik terdekatnya bahawa Anwar, yang sebelum ini dilihat sebagai pewaris yang bakal menggantikan beliau, telah menjadi ancaman, tulis Lopez.

Kilang besi Perwaja ditubuhkan pada 1982 sebagai projek utama dasar perindustrian Mahathir. Ia menanggung kerugian sebanyak USD$1 bilion (RM2.5 bilion pada masa itu), yang menyebabkan Mahathir melantik ahli perniagaan Eric Chia sebagai pengarah urusan, namun kerugian meningkat kepada USD2.5 bilion (RM6.25 bilion) pada 1995.

Pada 2002, Mahathir mengakui bahawa kejatuhan Perwaja adalah akibat salah tadbir urus dan penipuan. Chia kemudiannya didakwa atas pertuduhan pecah amanah jenayah pada 2004 sebelum dibebaskan tiga tahun kemudian.

Lopez menulis bahawa Anwar menaiki tangga politik yang dilihat sebagai bertentangan dengan jenama politik dan perniagaan Mahathir, yang sering dirujuk sebagai Malaysia Inc.

Perdana menteri menjadi semakin tidak dapat bertolak ansur dengan Anwar, yang dilihat sebagai ancaman kepada jaringan rumit naungan dan pemerasan yang mendefinisikan politik negara.

Kemarahan Mahathir memuncak semasa krisis kewangan Asia pada 1997 apabila Anwar menentang penggunaan dana awam untuk menyelamatkan atau ‘bail out’ ahli perniagaan yang mempunyai kaitan dengan Mahathir.

Untuk mengekalkan sistem ekonomi dan politik yang dibina oleh Mahathir, Anwar mesti dijatuhkan dengan apa cara sekalipun, tulis Lopez. Anwar kemudiannya dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan disingkirkan daripada Umno pada 2 Sept 1998.

Beliau kemudiannya ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini dimansuhkan, sebelum didakwa di mahkamah dan disabitkan dengan kesalahan rasuah.

The Siege Within, diterbitkan oleh Penguin Books, kini boleh didapatkan secara pra-tempah di Kinokuniya, Lit Books dan Amazon Singapura.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan