Larian antarabangsa: Polis tahan 3 lelaki disyaki berkelakuan tak senonoh, lucah

Mary Victoria Dass
bhnews@bh.com.my
Keratan laporan BH Online
Keratan laporan BH Online
JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga lelaki disyaki berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata dua lelaki warga asing dan seorang lagi warga tempatan berusia 39 hingga 70 tahun itu diberkas di sebuah hotel di Kota Tinggi kira-kira jam 10 malam bagi membantu siasatan.

Katanya, tangkapan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Beliau berkata, polis turut merampas pakaian dan aksesori dipercayai dipakai atau digunakan mereka ketika larian itu, termasuk sehelai sari merah, sehelai skirt merah, tiga keping kadbod berwarna perak serta sebatang tombak tiruan berwarna perak.

"Hasil ujian air kencing bagaimanapun mendapati kesemua suspek negatif sebarang jenis dadah, dan mereka juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Hasil siasatan awal mendapati tindakan ketiga-tiga suspek itu adalah atas kapasiti individu dan bukan mewakili pihak penganjur atau program larian yang dianjurkan.

"Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan yang menghina dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan, dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis serta menggugat ketenteraman awam.

"Orang ramai juga dialu-alu menyalurkan maklumat mengenai kejadian jenayah ke talian hotline IPD Kota Tinggi (07-8831222) atau bilik gerakan (07-8831221)," katanya.

Semalam, media melaporkan polis sedang mengenal pasti individu disyaki berpakaian tidak senonoh dan berunsur lucah pada program larian itu.

Kumar dipetik berkata, polis juga akan memanggil penganjur program itu untuk membantu siasatan.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat tular jam 5 petang semalam dalam Facebook laman khas penduduk Kota Tinggi mengenai acara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan