Kedah: Sabari disamun lebih RM10k

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Hanya kerana RM11,000, pesara pegawai kewangan Felcra Sabari Baharom, 62, dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang, Kubang Pasu dalam keadaan tangan diikat, manakala mulutnya ditutup dengan pita pelekat.

Ini berikutan suspek dipercayai mahu menghapuskan bukti selepas mangsa mengenali wajah individu yang menyamunnya.

Itu motif kejadian menimpa Sabari yang hilang sejak 4 September lalu selepas soal siasat dilakukan ke atas dua lelaki yang ditahan pada Jumaat lalu.

Kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun berkenaan mendedahkan niat mereka ingin menyamun Sabari, namun wajah suspek dicam oleh mangsa ketika kejadian itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, hasil soal siasat awal yang dijalankan ke atas dua suspek mendapati motif kejadian kerana samun membabitkan nilai kerugian RM11,000.

Menurutnya, mangsa mengenali suspek menyebabkan mereka mengikat tangan dan menutup mulutnya dengan pita pelekat sebelum mencampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa.

"Perbuatan itu dilakukan selepas mangsa mengecam wajah suspek menyebabkan mereka mengambil tindakan itu (membunuh)," katanya kepada Harian Metro.

Fisol berkata, hasil soal siasat dijalankan, pengakuan dibuat oleh kedua-dua suspek bahawa mangsa dicampak ke dalam Sungai Padang Terap.

"Bagaimanapun, sehingga kini mangsa masih gagal dijumpai," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kehilangan Sabari terjawab apabila polis mengesahkan mangsa dicampak ke dalam Sungai Padang Terap.

Persoalan itu terjawab selepas polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit melakukan perbuatan itu.

Susulan itu, siasatan yang dilakukan berkaitan kes orang hilang kini dilanjutkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu bunuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan