Kisah GISBH: ‘Teringin nak rasa orang Penang’, wanita ini dedah kisah ‘Sheikhton’

Harapandaily

Seorang wanita muda bekas ahli GISB Holdings (GISBH) menceritakan pengalamannya tentang individu yang digelarnya ‘Sheikhton’.

Beliau yang berasal dari Pulau Pinang itu memberitahu ‘ustaz’ berkenaan merupakan ‘orang kuat GISBH’ yang mengendalikan restoran milik syarikat itu di Bintulu, Sarawak.

Menerusi perkongsian di TikTok pendakwah, Ustaz Syihabudin Ahmad secara langsung malam tadi, beliau berkata, hampir semua tukang masak warganegara Indonesia di restoran itu pernah berkahwin dengan ‘Sheikh’ tersebut.

“Dia (‘Sheikh’) juga suka kacau saya. Dia kerap ketuk pintu bilik, kacau saya ajak masuk bilik dia ketika suami keluar kerja.

“Kata dia, “teringin nak rasa orang Penang“,” dedah bekas ahli GISBH berusia 27 tahun itu.

Ujarnya, ‘Sheikh’ berkenaan yang berkopiah tinggi gaya GISBH, bercelak serta hitam di dahi itu turut melanggan wanita-wanita warga Vietnam dan Thailand yang bekerja di pub berdekatan restoran GISBH.
 
“Saya sampai sekarang trauma tengok orang berkopiah,” luahnya yang bersyukur hanya dua tahun bermula usia 13 tahun berada di asrama GISBH di Bukit Beruntung, Selangor.

Dalam masa sama, wanita yang kakaknya juga pernah berpayung di bawah GISBH ketika zaman remaja belasan tahun berkata, ramai rakannya yang ketika itu berkahwin dengan warga emas yang gigi pun sudah tiada.

“Dah tahu sangat perangai mereka (‘orang’ GISBH). Mereka tak tahu malu, kacau perempuan, otak mereka banyak kotor sebenarnya.

“Kawan-kawan saya waktu mereka umur 15, 16 tahun dah kena kahwin dengan ‘ustaz-ustaz’ yang berumur 60, 65 tahun.

“Saya tengok anak mereka terbiar berhingus, seluar longgar, pampers sampai ke kaki.

“Mereka nikah syarie (tanpa berurusan dengan jabatan agama),” ceritanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan