Ketua Pemuda PAS Selangor bodoh sombong, kata setiausaha MB

Malaysiakini

Kenyataan Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar yang mengaitkan banjir di negeri itu dengan pelaburan negeri mencerminkan sikapnya yang bodoh sombong, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.

"Kenyataan belau tentang banjir di Selangor dan mengaitkan dengan pelaburan negeri ternyata tidak cerdik dan hanya menampakkan sikap bodoh sombong beliau.

"Selangor mencatatkan pelaburan sebanyak RM12.4 bilion pada suku pertama tahun 2024 iaitu peningkatan sebanyak 66.8 peratus berbanding suku pertama tahun 2023 dengan pelaburan RM7.44 bilion.

"Berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan malaysia (MIDA) nilai pelaburan terbabit menawarkan 8,377 peluang kerja meliputi 363 projek yang sebahagiannya diisi oleh mereka yang berhijrah dari negeri tadbiran PAS," katanya dalam kenyataan.

Saifuddin bagaimanapun tidak mengulas secara langsung dakwaan Mohamed Sukri bahawa Selangor gagal menyelesaikan masalah banjir.

Terdahulu, Mohamed Sukri mendakwa penduduk Selangor sudah jemu melihat kegagalan kerajaan negeri menguruskan banjir meskipun menerima peruntukan tebatan banjir tertinggi.

Menurutnya, Selangor menerima RM6.3 bilion pada 2022 oleh perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob manakala Perdana Menteri sekarang, Anwar Ibrahim mengumumkan RM1.1 bilion bagi projek tebatan banjir pada tahun lalu.

Mohamed Sukri berkata sangat memalukan apabila Selangor terus berdepan dengan masalah banjir sedangkan negeri itu dianggap paling maju di negara ini.

"Tidak mustahil Selangor sudah tidak digemari oleh pelabur kerana isu banjir yang sering melanda.

"Ini dapat dilihat pada 2022 Selangor berada di tangga kedua dalam menerima pelaburan asing bagi sektor pembuatan, tetapi kemudian jatuh ke tangga ketiga pada 2023.

"Bagi suku pertama 2024, Selangor gagal menempatkan diri dalam lima tempat tertinggi," katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata Jabatan perangkaan Malaysia menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor meningkat kepada 25.9 peratus pada tahun 2023, bertambah lebih baik daripada 25.5 peratus tahun sebelumnya.

"Jadi dakwaan bahawa pelabur kurang berminat terhadap Selangor juga adalah tidak tepat dan bersifat naif.

"Ternyata Selangor yang dipimpin Datuk Menteri Besar Selangor dibantu para Exco dan pimpinan pelabagai jabatan serta agensi sentiasa memberikan komitmen penuh dengan memastikan kesiapsiagaan jentera bantuan kerajaan berfungsi dalam prestasi terbaik setiap kali menjelang musim peralihan Monsun Timur Laut," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan