Ramai sangat pengkhianat lahanat dikalangan penjawat awam yang jaga pintu masuk negara

Pegawai Imigresen makan ‘upah’ RM55,150 urus orang Indonesia masuk Malaysia

KHAIRUL MOHD. ALI
MOHD. EDISAHRIL mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas 10 pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM55,150 antara November tahun lalu hingga Februari tahun ini.
JOHOR BAHRU – Seorang pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM55,150 antara November tahun lalu hingga Februari tahun ini.

Tertuduh, Mohd. Edisahril Mohd. Noor, 41, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan semua pertuduhan, dia didakwa telah menerima suapan antara RM3,000 hingga RM10,000 daripada seorang lelaki yang dimasukkan ke akaun syarikat milik isterinya berjumlah RM55,150.

Wang itu sebagai upah kepada tertuduh kerana telah memudahkan kemasukan warga Indonesia ke Malaysia tanpa perlu mematuhi syarat ditetapkan Akta Imigresen 1959.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Bandar Baru Uda di sini antara 4 November 2023 hingga 23 Februari lalu.

Atas kesalahan itu, bapa kepada tiga orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, tertuduh yang merupakan Pegawai Imigresen Gred KP22 dan bertugas di Pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar (BSI) turut mengaku tidak bersalah atas sepuluh pertuduhan pilihan iaitu menerima semua wang suapan itu di lokasi dan tarikh yang sama.

Perbuatan itu didakwa dibuat dengan tiada balasan daripada lelaki terlibat yang tertuduh tahu ada hubungan dengan tugas rasminya sebagai pegawai Imigresen.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan hingga RM20,000 bagi semua pertuduhan itu dengan dua syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Johor.

Peguam tertuduh, Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan anak guamnya telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang proses siasatan berjalan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan tarikh 10 November depan untuk sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan