Belum sempat joli RM10,000 4 penyamun sudah tertangkap

FMT Reporters

PETALING JAYA: Empat lelaki yang disyaki menyamun sebuah kedai menjual peralatan memancing di Jalan Lencongan Barat, Sungai Petani, dicekup polis tidak sampai empat jam selepas kejadian semalam.

Semua suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan polis kira-kira 2.30 petang di kawasan Sungai Layar, selepas menyamun sekitar 10.30 pagi Ahad.

Ketua Polis Kuala Muda, Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata kejadian berlaku ketika pemilik kedai itu yang juga warga emas berusia 65 tahun bersama isterinya 61 tahun berada dalam premis.

Beliau berkata, pasangan itu dipercayai baru membuka kedai untuk memulakan perniagaan, sebelum didatangi seorang lelaki berpura-pura bertanyakan peralatan memancing.

Menurutnya, lelaki itu keluar dari premis atas alasan ingin bertanyakan abangnya yang menunggu dalam kereta di luar kedai itu sama ada mahu membeli.

“Kira-kira 10 minit kemudian, lelaki itu masuk semula ke kedai itu bersama seorang rakannya yang bersenjatakan parang, sebelum mengetuk monitor sebuah komputer dan mengacukan senjata sambil meminta mereka diam.

“Pada masa sama, seorang suspek naik mengambil pelbagai peralatan memancing dan wang tunai berjumlah RM10,000 dalam laci serta sebuah telefon bimbit yang semuanya berjumlah lebih kurang RM26,000,” katanya menurut Harian metro.

Wan Azharuddin berkata, suspek dipercayai melarikan diri dengan Perodua Bezza, tetapi polis berjaya mengesan kereta dinaiki mereka di kawasan Sungai Layar.

“Kita menahan suspek dan menemui semula peralatan memancing dan wang tunai yang disamun daripada pemilik premis berkenaan,” katanya sambil menambah empat suspek dibawa ke IPD Kuala Muda untuk siasatan mengikut Seksyen 396/395 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan