Tumbuk ibu saudara hingga mati kerana tak tahan dikongkong

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my

Ipoh: Lelaki yang ditahan polis susulan penemuan mayat ibu saudaranya di Taman Puteri Lindungan Bintang, di sini, semalam, dikatakan menyerang mangsa kerana hilang sabar akibat sering dikongkong.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, suspek berusia 21 tahun dipercayai menumbuk mangsa berkali-kali sehingga jatuh tangga dan pengsan.

Zulkafli berkata, mangsa berumur 54 tahun itu terjatuh tangga dan dikatakan pengsan sebelum suspek mengurung wanita itu dalam sebuah bilik.

Katanya, perkara itu hanya terbongkar empat hari kemudian apabila adik mangsa yang datang ke rumah terhidu bau busuk.

"Suspek dipercayai melepas geram dengan menumbuk mangsa berkali-kali hingga jatuh tangga. Disebabkan itu mungkin mangsa pengsan dan dikurung di bilik selama empat hari.

"Adik mangsa mencari kakaknya namun suspek mengatakan wanita itu berkurung di bilik saja. Tetapi selepas terhidu bau busuk barulah adik mangsa membuat laporan polis," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dan suspek tinggal berdua di rumah itu.

Menurutnya, proses permohonan reman serta bedah siasat ke atas mayat dijalankan pada hari ini.

Semalam, media melaporkan mayat seorang wanita yang sudah dalam keadaan membusuk, dijumpai di dalam bilik sebuah rumah di Taman Puteri Lindungan Bintang, dipercayai dibunuh.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kerana membunuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan