Beribu-ribu rumah ditenggelami air sedalam 4 meter

KOSMO!
PENDUDUK meninggalkan kediaman mereka semasa banjir melanda bandar Tuguegarao di wilayah Cagayan, Flipina semalam. – AFP
MANILA – Banjir sedalam lebih 4 meter menenggelamkan beribu-ribu kediaman di utara Filipina yang dilanda ribut hari ini selepas sungai-sungai melimpah disebabkan hujan lebat dan pelepasan air empangan.

Taufan Man-yi menggenangi kawasan yang luas di Filipina pada hujung minggu lalu, menyebabkan Sungai Cagayan ‘membengkak’ dan memaksa air dari Empangan Magat dilepaskan.

Air Sungai Cagayan kemudian melimpah dan menenggelamkan tanah ladang serta komuniti yang sudah pun digenangi air, menyebabkan berpuluh-puluh ribu penduduk terjejas.

Bangunan, tiang lampu dan pokok hanya kelihatan separa di lautan air bah berwarna keruh yang mengenangi kawasan luas di bandar Tuguegarao, wilayah Cagayan. 

Pegawai tempatan, Ian Valdepenas berkata, air banjir mencecah kedalaman  lebih 4 meter (14 kaki) di beberapa tempat.

“Kami mengalami hujan yang sangat lebat dua hari lalu, tetapi banjir mula meningkat apabila Empangan Magat melepaskan sejumlah besar air.

“Lebih teruk, tanah di sini sudah tepu(air)  akibat dilanda ribut taufan secara berturut-turut,” kata Valdepenas kepada AFP.

Man-yi adalah ribut serius keenam yang melanda Filipina dalam masa sebulan.

Bencana alam berturut-turut itu menyebabkan sekurang-kurangnya 171 orang terkorban dan beribu-ribu penduduk hilang  tempat tinggal, manakala  tanaman dan ternakan turut musnah.

Kira-kira 20 ribut dan taufan besar melanda negara Asia Tenggara itu atau perairan sekitarnya pada setiap tahun, namun, enam taufan melanda secara berturut-turut merupakan fenomena yang jarang berlaku. – AFP 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan