Dua anggota polis kena serang, dipukul ketika mahu solat

MOHAMAD FAIZAL HASHIM

ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki tempatan yang disyaki mempunyai masalah kesihatan mental bertindak menyerang dan memukul dua anggota polis berhampiran Surau Kangkar Pulai, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, salah seorang daripada anggota polis itu mengalami kecederaan.

Katanya, kejadian berlaku ketika dua anggota polis berusia 33 dan 59 tahun dari Balai Polis Kangkar Pulai ingin menunaikan solat zohor di sebuah surau dekat Kangkar Pulai.

“Dua anggota polis yang berpakaian seragam ketika kejadian itu diserang dan dipukul oleh suspek yang berusia 28 tahun itu.

“Akibat kejadian itu, seorang daripada anggota polis itu yang berusia 59 tahun cedera dengan luka di bahagian muka, kaki serta tangan kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumarasan berkata, situasi itu berjaya ditangani setelah suspek berjaya ditangkap oleh kedua-dua anggota polis berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai rekod sebagai pesakit psikiatri di sebuah hospital di Johor Bahru.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat ini untuk disiasat dibawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.-KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan