Bukan ikan tetapi kepala manusia terdampar di pantai

KOSMO
Kepala manusia ditutup dengan kanvas terpal berwarna biru dan ditandakan dengan kon trafik PVC.  - WPLG Local 10
MIAMI, FLORIDA – Seorang pekerja pembersihan terkejut apabila menemui kepala manusia terdampar di sebuah pantai di Florida, Amerika Syarikat, lapor akhbar Daily Star semalam. 

Penemuan mengerikan itu berlaku sekitar pukul 8.30 pagi (waktu tempatan) di Pantai Miami. 

Seorang Detektif Polis Miami-Dade, Argemis Colome berkata, lelaki tersebut segera menghubungi polis selepas kejadian.

“Jabatan Polis Miami-Dade mengesahkan kepala itu adalah kepala manusia tetapi belum mengetahui sama ada ia milik lelaki atau perempuan,” kata Colome. 

Rakaman dari udara menunjukkan kepala itu ditutup dengan kanvas terpal berwarna biru dan ditandakan dengan kon trafik PVC. 

Menurut seorang pegawai polis, pemeriksa perubatan akan bekerjasama dengan detektif untuk mengenal pasti identiti pemilik kepala tersebut.

Seorang penduduk tempatan, Bahman Amini berkata: “Anda melihat semua jenis perkara aneh di sini tetapi tidak seperti ini, iaitu kepala manusia.

“Ia membuatkan kami takut untuk pergi ke pantai yang kami suka,” tambahnya. – AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan