Disyaki khayal selepas hisap vape, pelajar cedera jatuh bangunan sekolah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pelajar cedera terjatuh dari bumbung tingkat satu bangunan sebuah sekolah menengah di Kangar kerana dipercayai khayal selepas menghisap vape.

Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Ariffin, berkata kejadian berlaku kira-kira 11 pagi tadi dan berdasarkan keterangan pelajar tingkatan dua itu, dia mendakwa berasa khayal selepas menghisap vape dalam kelas pada waktu rehat.

“Dia kemudian turun dari tingkat satu bangunan sekolah menggunakan laluan bumbung, namun akibat khayal, dia terjatuh dan luka ringan di kakinya,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, pelajar itu menjadi tidak terkawal dan meracau selepas terjatuh, memaksa pentadbiran sekolah menghubungi polis.

“Polis membawa pelajar berkenaan ke Klinik Kesihatan Kangar untuk pemeriksaan dan keputusan ujian air kencingnya negatif dadah. Kami bekerjasama dengan polis menyiasat perkara ini.”

Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan kes itu masih dalam siasatan.

Sementara itu, sumber dipetik Harian Metro berkata, vape digunakan pelajar terbabit jenis “flavour mushroom” yang menjadi trend dalam kalangan pelajar sekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan