Guru ditahan disyaki simpan senjata, bahan letupan

REUTERS

ATHENS: Polis Greece menahan seorang guru selepas menemui senjata api dan bahan letupan di pangsapuri yang dijadikan premis simpanan barangan itu di pusat bandar Athens, minggu ini.

Lelaki berusia 49 tahun dan tidak memiliki rekod jenayah lampau itu ditahan polis anti-keganasan Greece selepas diburu berdasarkan hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Polis kelmarin, menemui empat bom tangan, senjata dan lebih 12 kilogram bahan letupan, termasuk trinitrotoluene (TNT) dan dinamit ammonium di unit flat yang disewa lelaki itu.

Penemuan itu adalah rentetan daripada aduan pemilik rumah berkenaan yang menyewakan unit terbabit kepada suspek sejak 2008.

Suspek didakwa mengguna identiti palsu bagi urusan sewaan flat terbabit dan asalnya dia dikatakan mahu menggunakan kawasan itu untuk menyimpan buku, kata pegawai polis yang enggan dikenali.

Dia dijangka disoal siasat pihak pendakwaan, hari ini.

Senjata itu ditemui beberapa minggu selepas letupan ketika penghasilan bom di sebuah pangsapuri pada 31 Oktober lalu.

Unit anti-keganasan mengaitkan kejadian itu dengan kebangkitan semula aktiviti kumpulan gerila anti-golongan berkuasa.

Sementara itu, pegawai kerajaan berkata, kedua-dua kes terbabit mungkin tidak saling berkait.

Greece sebelum ini, pernah berdepan keganasan politik membabitkan kumpulan penganut faham anarki dan gerila anarkis berhaluan kiri, menyasarkan ahli politik, polis, hakim dan diplomat, sejak 1970-an.

Lonjakan serangan berlaku selepas pembunuhan seorang remaja oleh polis pada Disember 2008, menjelang krisis hutang negara, tetapi sudah mereda sejak beberapa tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan