Liverpool: Hatrik Diaz sambut kepulangan Alonso ke Anfield

BuletinTV3 
Penyerang Liverpool, Luis Diaz melambungkan bola melepasi penjaga gol Bayer Leverkusen, Lukas Hradecky bagi gol pertama pada aksi Liga Juara-Juara di Anfield, Liverpool, awal pagi tadi. – FOTO: Reuters
LIVERPOOL: Penyerang Liverpool, Luis Diaz meledak hatrik ketika mereka mengekalkan permulaan sempurna dalam kempen Liga Juara-Juara dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Bayer Leverkusen kendalian Xabi Alonso di Anfield, awal pagi tadi.

Anak buah Arne Slot, yang mengungguli carta Liga Perdana Inggeris, buat sementara turut mendahului carta pertandingan kelab elit Eropah itu dengan empat kemenangan dalam empat perlawanan, ketika Aston Villa, satu lagi pasukan dengan rekod 100 peratus, bertemu Club Brugge pada aksi keempat mereka awal pagi esok.

Kekalahan Leverkusen menjejaskan kepulangan pengurus dan bekas wira Liverpool, Alonso, yang menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama The Reds pada tahun 2005.

“Keputusan ini lebih menyakitkan berbanding persembahan, mungkin,” kata Alonso kepada Amazon Prime.

“Tetapi ini adalah Liga Juara-Juara, ini peringkat tertinggi dan hari ini ia tidak cukup buat kami.

“Saya cuba memisahkan perlawanan dan rasa kecewa susulan keputusan ini dengan perasaan gembira untuk kembali. Saya benar-benar gembira dan berterima kasih kerana disambut baik,” katanya mengenai sambutan baik diterimanya daripada penyokong Anfield.

Alonso digembar-gemburkan sebagai pengganti bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sebelum menyatakan beliau menarik diri daripada dicalonkan.

Slot bagaimanapun ternyata pengganti berbaloi buat Klopp dan taklimatnya ketika rehat jelas berhasil apabila mereka merakam kemenangan ke-14 daripada 16 perlawanan musim ini.

“Kami mengambil lebih banyak risiko (pada babak kedua),” kata Slot kepada Amazon Prime.

“Mereka membanjiri kawasan tengah dan kami menyesuaikan diri ketika rehat dan mengambil risiko dengan bermain satu lawan satu di segenap penjuru padang.”

Warga Belanda itu meletakkan Diaz sebagai penyerang tengah dan ia ternyata satu tindakan hebat, apabila pemain Colombia itu memecah kebuntuan dengan bergaya pada minit ke-61, meluru melepasi benteng pertahanan Leverkusen selepas menerima hantaran Curtis Jones sebelum melambungkan bola melepasi penjaga gol Lukas Hradecky.

Cody Gakpo menggandakan kelebihan The Reds dua minit kemudian apabila dia melayangkan badan untuk menanduk masuk hantaran silang Mohamed Salah.

Gol itu pada awalnya dikatakan ofsaid tetapi keputusan itu ditarik balik oleh VAR.

Diaz meledak gol keduanya pada minit ke-83 apabila dia menyambut hantaran silang Salah, mengatasi pemain lawan sebelum merembat masuk melepasi Hradecky.

Dia melengkapkan hatriknya dengan tampanan mudah dari jarak dekat pada masa kecederaan selepas rembatan Darwin Nunez dihalang dalam kemenangan menakjubkan buat pemenang Piala Eropah enam kali itu berdepan juara Bundesliga yang hanya kalah sekali dalam semua pertandingan musim lalu. – REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan