SPRM periksa kediaman pengasas FashionValet

FMT Reporters

PETALING JAYA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melakukan pemeriksaan terhadap beberapa premis termasuk kediaman pasangan usahawan terkenal, Vivy Yusof dan Fadzaruddin Shah Anuar di sekitar Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata tindakan itu termasuk bagi mendapatkan dokumen berkaitan serta maklumat aset dimiliki suami isteri tersebut untuk membantu siasatan.

“Pegawai saya mengikuti mereka ke rumah mereka dan mana-mana premis berkaitan untuk dibuat siasatan lanjut.

“Pegawai saya dalam proses buat siasatan terhadap premis-premis dimiliki pasangan berkenaan untuk tujuan membuat siasatan lanjut, ambil dokumen dan sebagainya, jadi siasatan terhadap kedua-duanya masih berjalan, masih belum habis,” katanya ketika dihubungi menurut Berita Harian.

Terdahulu, mereka hadir ke ibu pejabat SPRM pada 12.54 tengah hari tadi untuk diambil keterangan berhubung siasatan berkaitan kerugian pelaburan dalam platform e-dagang, FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), membabitkan dana awam.

Kenderaan membawa pasangan itu kemudian dilihat meninggalkan pejabat itu pada 4.23 petang.

Vivy dan Fadzaruddin antara enam individu dirakam percakapan susulan pegawai penyiasat menyerbu empat lokasi termasuk sebuah kementerian, kelmarin.

Selain itu, Azam berkata siasatan pihaknya masih di peringkat awal dan tumpuan adalah kepada suami isteri berkenaan untuk mendapatkan dokumen serta barang kes yang diperlukan.

“Dalam dua hari ini, kita ambil kenyataan (individu berkaitan) dan kemudian buat pemeriksaan dokumen dan aset-aset mereka,” katanya.

Beliau juga tidak menolak pasangan itu akan diambil keterangan lagi sama ada malam ini atau disambung esok.

“Apabila kita pergi mendapatkan dokumen atau apa-apa barang kes yang perlu, sudah tentu ia akan menyebabkan pegawai saya membuat persoalan mengenai pemilikan aset dan sebagainya untuk direkod dalam keterangan mereka,” katanya.

Sementara itu, Azam turut mengesahkan tiga lagi individu sudah diambil keterangan, namun tidak mendedahkan identiti mereka.

“Setakat ini ada tambahan keterangan daripada tiga individu menjadikan jumlah keterangan yang dirakamkan seramai sembilan orang.

“Seperti mana saya tegaskan tadi, siasatan masih diteruskan, sekarang di peringkat pegawai periksa dokumen dan aset milik pasangan berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan