Kelantan: Lelaki maut selepas jatuh perigi

Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my
ANGGOTA bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang membantu mengeluarkan mangsa yang jatuh ke dalam perigi di Kampung Tasek Bakong. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang membantu mengeluarkan mangsa yang jatuh ke dalam perigi di Kampung Tasek Bakong. FOTO Ihsan JBPM
Rantau Panjang: Lelaki meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam perigi di Kampung Tasek Bakong, di sini, 6.30 pagi tadi.

Jiran mangsa, Mohd Shamsudin Pa'Sar, 50, berkata, dia membantu menelefon talian kecemasan 999, selepas diberitahu anak mangsa mengenai kejadian berkenaan.

Terdahulu katanya, dia dalam perjalanan ke kedai untuk menjual ayam segar, sebelum berhenti di hadapan rumah mangsa, Bahrom Ismail, 64.

Menurutnya, anak-anak kepada lelaki itu kelihatan resah.

"Salah seorang anak mangsa memberitahu ada mendengar suara bapanya meminta tolong dan sempat menghulurkan tali, namun bapanya sudah lemah dan akhirnya tenggelam (di dalam perigi).

"Kami tidak tahu bagaimana mahu mengeluarkan mangsa dari perigi sedalam lebih lima meter dan meminta bantuan kecemasan sebelum bomba tiba di lokasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Shamsudin berkata, menurut anak Bahrom, bapa mereka keluar untuk menoreh getah dan biasanya akan mengambil wuduk di telaga berkenaan untuk menunaikan solat Subuh.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.52 pagi.

"Sebaik sampai di lokasi, didapati seorang mangsa di dalam perigi sebelum enam anggota membantu mengeluarkan mangsa dari perigi terbabit.

"Mangsa disahkan meninggal dunia. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan