FMT Reporters
Beras seludup yang ditemui dalam kereta Proton Persona yang dipandu seorang remaja lelaki 15 tahun di Pasir Mas, Kelantan. (Gambar PGA)
PETALING JAYA: Seorang remaja berusia 15 tahun ditahan di Pasir Mas, Kelantan kerana disyaki menjadi penghantar beras seludup dari Thailand.
Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, remaja itu ditahan ketika memandu kereta Proton Persona di Simpangan Tiga Kampung Dangar pada 8 pagi semalam, lapor Sinar Harian.
Katanya, hasil pemeriksaan pada kereta yang dipandu remaja itu menemui beberapa bungkusan beras tanpa dokumen yang sah seberat kira-kira 475kg.
“Nilai rampasan kira-kira RM1,900 dan kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994,” katanya.
Dalam kes berasingan, pihak berkuasa juga merampas 48 peket gula bernilai kira-kira RM141.60 dipercayai untuk diseludup masuk ke negara jiran yang ditemui di pangkalan haram Gergaji, Rantau Panjang, pada jam 7.30 malam.
“Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Semua barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan