Seorang penjaja di sebuah pasar ditahan miliki pistol, revolver

SAFINA RAMLI

GEORGE TOWN – Seorang penjaja di sebuah pasar ditahan polis di Jalan Sultan Azlan Shah di sini semalam selepas disyaki memiliki sepucuk pistol dan sepucuk revolver.

Difahamkan, suspek mendakwa tujuan memiliki senjata api adalah untuk pelindungan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, lelaki warga tempatan berumur 48 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9 pagi semalam.

”Hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku telah menyimpan senjata api di dalam but keretanya yang diletakkan di kawasan Paya Terubong, Ayer Itam.

“Pemeriksaan di dalam but kereta tersebut telah menjumpai sepucuk pistol, sepucuk revolver dan lapan butir peluru.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti tujuan sebenarnya suspek memiliki senjata api tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek telah dibenarkan tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 17 November depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. -KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan