Lelaki maut, adik melecur dalam kebakaran rumah

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
PASUKAN bomba memadam kebakaran rumah yang mengorbankan seorang lelaki di Kampung Batu Sapi Karamunting, Sandakan. FOTO ihsan bomba
PASUKAN bomba memadam kebakaran rumah yang mengorbankan seorang lelaki di Kampung Batu Sapi Karamunting, Sandakan. FOTO ihsan bomba
Sandakan: Seorang lelaki maut manakala adiknya melecur selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Batu Sapi Karamunting, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Jailan Jaimin, 35, yang mengalami strok ditemukan rentung oleh pasukan bomba di ruang tamu rumah.

Adik lelaki mangsa berusia lingkungan 20-an melecur di bahagian belakang badan manakala beberapa ahli keluarga yang lain sempat menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.41 pagi.

Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 12 kilometer.

"Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

"Turut terbakar tiga kenderaan jenis lori 10 tan, Proton Saga dan Nissan sedan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terdapat seorang mangsa rentung yang ditemukan di ruang tamu rumah.


"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal jam 9.27 pagi dan api dipadamkan sepenuhnya jam 11.35 pagi.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan