Polis berkas 16 lelaki samun kilang guna lori

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Sekumpulan 16 penjenayah bertindak menyamun sebuah kilang dengan membawa sebuah lori untuk mengangkut barang yang dicuri, di Telok Panglima Garang, Kuala Langat dekat sini, 9 November lalu.

Bagaimanapun, kurang 24 jam selepas kejadian, kepantasan polis berjaya menahan semua suspek berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin berkata, tangkapan itu susulan laporan polis yang daripada pengadu yang juga pengurus kilang warga tempatan, pada 2.30 petang hari kejadian.

"Menurut pengadu, dia menerima panggilan daripada pekerja yang memberitahu kilang mereka didatangi sekumpulan lelaki yang bertindak merampas kepingan logam dan barang lusuh milik kilang berkenaan.

"Siasatan mendapati, suspek memuatkan kepingan logam barang lusuh itu ke atas sebuah lori yang dibawa bersama mereka tanpa kebenaran pihak kilang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Sufian berkata, pada 3.30 petang hari sama, polis menahan 14 lelaki tempatan dan dua lelaki warga China.

"Dalam operasi tangkapan itu, polis merampas sepucuk pistol, 20 peluru hidup, sebilah parang, sebuah kereta dan sebuah lori yang membawa muatan kepingan logam dan barangan lusuh.

"Hasil siasatan mendapati, senjata api terbabit dimiliki secara sah dan mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia daerah Selangor.

"Kesemua suspek lelaki ini berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun direman selama tiga hari sehingga 12 November di lokap Balai Polis Banting bagi siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan