Sweden, Finland gesa rakyat sedia untuk berperang

AFP
Seorang lelaki memegang risalah ‘Jika krisis atau perang tercetus", yang diedarkan kepada semua isi rumah pada 18 November 2024. - Foto AFP
Seorang lelaki memegang risalah ‘Jika krisis atau perang tercetus", yang diedarkan kepada semua isi rumah pada 18 November 2024. - Foto AFP
STOCKHOLM: Mulai semalam, Sweden mula menghantar jutaan risalah menasihatkan penduduk supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan perang.

Sementara Finland pula melancarkan laman sesawang baharu, ketika Ukraine menentang pencerobohan Russia yang sudah berlanjutan selama tiga tahun.

Negara-negara Nordic yang sebelum ini memilih untuk tidak menyertai mana-mana pakatan tentera selama beberapa dekad, kini memutuskan untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) susulan pencerobohan Russia pada 2022 ke atas Ukraine.

"Situasi keselamatan adalah serius dan kita semua perlu mengukuhkan daya tahan menghadapi pelbagai krisis dan akhirnya peperangan," kata Pengarah Agensi Kontingensi Awam Sweden (MSB), Mikael Frisell yang menghantar risalah itu.

Sejak permulaan perang di Ukraine, Stockholm berulang kali menggesa rakyat Sweden supaya bersedia dari segi mental dan logistik menghadapi kemungkinan konflik bersenjata.

Bagaimanapun selepas berakhirnya Perang Dingin, negara itu secara drastik mengurangkan perbelanjaan pertahanannya berikutan lebih menumpukan usaha ketenteraannya pada misi pengaman antarabangsa.

Tetapi ia berbalik tujuan berikutan pengilhakan Crimea oleh Russia pada 2014.

Sejak itu, Stockholm memperkenalkan semula kerahan tenaga terhad, meningkatkan perbelanjaan pertahanan secara besar-besaran dan membuka semula garrison di pulau Gotland di Laut Baltik.

Ia kemudiannya mengukuhkan tempat perlindungan bom, menyimpan bekalan air minuman dan infrastruktur pengangkutan, melantik Menteri Pertahanan Awam serta menubuhkan Agensi Pertahanan Psikologi yang bertujuan memerangi maklumat tidak sahih.

Buku setebal 32 muka surat 'Jika Krisis atau Perang Tercetus' mula diedarkan sejak semalam, mengandungi maklumat mengenai cara bersiap sedia menghadapi peperangan, bencana alam dan serangan siber atau keganasan.

Risalah itu dihantar kepada 5.2 juta isi rumah dalam tempoh dua minggu akan datang, ia adalah versi terkini risalah yang dikeluarkan oleh Sweden lima kali sejak Perang Dunia II.

Versi baharu tidak menyebut nama Russia, Ukraine atau negara lain.

Menteri Pertahanan Awam, Carl-Oskar Bohlin pada Januari lalu memberi amaran mengenai 'kemungkinan perang di Sweden'.

Sementara itu, Ketua Tentera Sweden ketika itu, Micael Byden juga menggusarkan orang ramai apabila beberapa hari kemudian berkata 'Sweden perlu bersedia secara mental untuk berperang'.

Lebih dua dekad lalu, Sweden tidak pernah terbabit dalam mana-mana peperangan.

Risalah baharu itu berkata, tahap ancaman ketenteraan semakin meningkat.

"Justeru, kita mesti bersedia untuk senario terburuk termasuk serangan bersenjata ke atas Sweden," menurut kandungan risalah itu.

Ia turut memuatkan panduan atau tips termasuk menyimpan stok makanan dan air yang tidak mudah rosak, menyimpan wang tunai di tangan dan menanam buah-buahan dan sayur-sayuran di taman.

Versi sebelumnya dari 2018 adalah kali pertama risalah itu dihantar sejak 1961 pada kemuncak Perang Dingin.

MSB berkata versi yang dikemas kini mempunyai tumpuan yang lebih kuat untuk mempersiapkan perang berbanding pada 2018.

Risalah ini tersedia dalam bentuk cetakan dalam kedua-dua bahasa Sweden dan Inggeris dan versi digital tersedia dalam beberapa bahasa lain termasuk bahasa Arab, Farsi, Ukraine, Poland, Somalia dan Finland.

Sementara itu, dalam langkah berasingan, kerajaan di Finland melancarkan laman web mengumpul maklumat mengenai kesiapsiagaan menghadapi krisis yang berbeza.

Finland berkongsi sempadan 1,340 kilometer dengan Russia dan Helsinki telah mengekalkan tahap kesediaan yang lebih tinggi.

Namun selepas pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, Helsinki mengumumkan rancangan untuk membina pagar sempadan sepanjang 200 kilometer dengan Russia.

Pagar berketinggian tiga meter akan dilengkapi dawai berduri yang dijangka siap menjelang 2026. - AFP
-bharianonline 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan