Tak jadi projek RM40 bilion, bermacam alasan Sanusi lambak

Harapandaily

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengemukakan bermacam alasan susulan keputusan Bin Zayed International Group of Companies (BZI) menarik diri daripada projek Widad@Langkasuka di Langkawi, bernilai RM40 bilion.

Menteri Besar Kedah itu berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan keputusan itu memandangkan projek dirancang dibangunkan secara kerjasama antara syarikat swasta iaitu Widad Business Group Sdn Bhd.

Menurutnya, keputusan BZI menarik diri itu juga bukan sesuatu yang baharu kerana perkara tersebut telah diumumkan kepada Bursa Malaysia sebelum ini.

Bercakap pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan 2025 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman hari ini, Sanusi berkata, projek kerjasama antara BZI dan Widad untuk projek itu juga diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Mahiaddin Yassin di Kuala Lumpur, bukan di Kedah.

“Pengumuman (pelaburan) sebelum ini pun dibuat oleh Menteri Kewangan terdahulu yang kini menjadi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz), bukan saya pergi cari dia,” katanya.

Dalam masa sama, Sanusi berkata, kerajaan negeri juga tidak menanggung sebarang kerugian daripada keputusan BZI terbabit.

Jelasnya, fungsi kerajaan negeri hanya meluluskan pelupusan tanah mengikut undang-undang.

“Apabila kita lupuskan tanah, mereka bayar premium serta cukai dan selepas itu, syarikat berkenaan yang akan memainkan peranan membangunkan tanah tersebut.

“Bayaran premium tanah itu sudah diselesaikan oleh Widad dan fasa satu projek itu saya difahamkan sedang berjalan dengan diusahakan Widad sendiri, tetapi perlahan,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan