BERNAMA
ALOR SETAR: Sepasang kekasih ditahan ketika dipercayai cuba menyeludup lapan warga Myanmar dengan menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM 5.2 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bukit Kayu Hitam hari ini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Redzuan Salleh berkata sepasukan polis dari Balai Bukit Kayu Hitam yang sedang membuat tugas pencegahan penyeludupan terserempak dengan sebuah kenderaan MPV jenis Perodua Alza yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Pihak polis telah mengekori MPV itu sebelum menahan kenderaan berkenaan. Pemeriksaan lanjut telah menemui seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 20 tahun yang merupakan pasangan kekasih bersama empat lelaki dan empat wanita warga Myanmar.
“Kesemua warga asing yang berusia antara 20 hingga 42 tahun itu didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan terhadap pasangan kekasih yang dipercayai bertindak sebagai ‘tekong’ itu mendapati mereka ditawarkan upah dari seorang lelaki Myanmar yang lain dengan bayaran sebanyak RM200 bagi setiap warga asing yang dibawa untuk dihantar dari sempadan Bukit Kayu Hitam ke Sungai Petani.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
“Polis sentiasa peka dalam usaha membanteras jenayah melibatkan aktiviti pemerdagangan manusia terutamanya di sempadan Malaysia-Thailand. Masyarakat boleh memberi maklumat dengan menyalurkan ke talian MERS 999 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,“ katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan