Tak mahu naik van bawa jenazah ibu ayah sebab ‘takut’

KOSMO!

PETALING JAYA – Kebiasaannya apabila seorang anak yang kematian ibu atau ayah, akan menaiki dan mengiringi kenderaan yang membawa jenazah orang tua mereka itu ke destinasi pengebumian.

Namun, ada juga yang enggan berbuat demikian dan memberikan alasan tidak masuk akal iaitu ‘takut’ terutamanya apabila melibatkan perjalanan jauh di waktu malam.

Situasi yang menyedihkan itu turut dikongsi oleh Pengerusi dan Pengasas Unit Kenderaan Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Wan Cai, di media sosial.

“Berdasarkan pengalaman saya, ada segelintir anak-anak yang tidak mahu naik van mengiringi jenazah ibu ayah mereka.

“Lagi-lagi apabila melibatkan perjalanan jauh di waktu malam dengan alasan takut. Sedih bila difikirkan,” katanya.

Perkongsiannya itu mendapat reaksi pelbagai orang ramai di ruangan komen .

“Sedihnya. Jenazah mak ayah sendiri pun takut, Allahuakbar. Lain la jenazah kawan ke apa, takut hidup balik. Macam-macam akhir zaman ni,” komen seorang pengguna.

“Didikan dan pendedahan tak ada tu. Mak ayah semasa hidup pun sibuk duk (main) gajet,” ujar @Achik Shah Putra.

“Begitu juga kalau diajak untuk memandikan jenazah ibu ayah mereka. Katanya tak boleh tahan sedih sangat tapi bagi saya, sangat sangat rugi kalau kita tak uruskan sendiri,” tambah @Akak Nora. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan