Dividen KWSP 6.5 peratus?

KWSP dijangka umum dividen awal bulan depan, kadar diramal 5.5 hingga 6.5 peratus

Hazwan Faisal Mohamad
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan dividen bagi 2023 pada awal bulan depan dengan penganalisis meramalkan kadarnya pada 5.5 hingga 6.5 peratus.

"Kemungkinan besar dividen akan diumum awal Mac," menurut sumber kepada BH.

Sementara itu, penganalisis menjangkakan KWSP akan mengumumkan dividen pada kadar 5.5 peratus hingga 6.5 peratus, lebih baik berbanding 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah bagi 2022.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, jangkaan positif dalam pengagihan kadar dividen lebih baik untuk 2023 berdasarkan prestasi suku tahun semasa KWSP.

Katanya, KWSP memiliki skala ekonomi yang lebih mampan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM1.1 trilion.

"Justeru, dana persaraan ini ada kelebihan dari segi pilihan pelaburan mahupun proses rundingan dengan pengurus dana luar. Namun disebabkan saiz dana pelaburan yang besar, KWSP perlu bekerja lebih keras untuk mendapat pulangan tinggi dari sudut ringgit, walaupun peratusan yang kecil.

"Misalnya, untuk setiap satu peratus dividen, KWSP dengan aset RM1.1 trilion perlu membayar RM11 bilion dan ini cukup mencabar dalam situasi ekonomi semasa. Namun, KWSP dijangka memberi pulangan dividen lebih baik dengan unjuran antara 5.5 hingga 6.5 peratus," katanya.

KWSP meraih pendapatan pelaburan sebanyak RM47.86 bilion dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9B23), meningkat 33 peratus berbanding RM36.04 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh berkenaan.

Daripada jumlah pendapatan pelaburan itu, RM4.62 bilion mewakili keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan dengan keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran mata wang asing.

Pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 pula, jumlah pendapatan pelaburan KWSP adalah sebanyak RM14.67 bilion selepas mengambil kira turun nilai kos, meningkat sebanyak RM2.38 bilion daripada RM12.29 bilion yang dicatatkan pada suku sama 2022.

Bulan lalu, pengurus dana persaraan itu mengumumkan pelantikan Ahmad Zulqarnain Onn sebagai ketua pegawai eksekutif baharu berkuat kuasa 19 Februari 2024.

Ahmad Zulqarnain, yang sebelum ini menerajui Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai presiden dan ketua eksekutif kumpulan menggantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang dilantik sebagai Menteri Kewangan II selepas mengetuai KWSP sejak 1 Mac 2021.

JSPT siasat tindakan juruiring tahan kenderaan berat secara tiba-tiba

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
Kuala Lumpur: Tindakan seorang juruiring menahan aliran trafik membabitkan sebuah kenderaan berat secara tiba-tiba menimbulkan pelbagai reaksi negatif daripada netizen.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung kejadian itu.

"Pihak JSPT akan siasat kejadian yang berlaku dan daripada segi pematuhan kepada prosedur operasi standard," katanya ringkas.

Kejadian itu tular selepas satu klip berdurasi 35 saat dipercayai rakaman kamera papan pemuka kenderaan berat berkenaan dimuat naik di media sosial.

Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan tindakan juruiring terbabit sebagai berbahaya memandangkan kenderaan berat secara amnya memerlukan jarak sesuai untuk memberhentikan kenderaan.

Tindakan memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba dikhuatiri boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya atau lebih parah berlaku kematian.

Berdasarkan tarikh pada rakaman, kejadian dipercayai berlaku pada Selasa lalu di susur keluar sebuah lebuh raya memaparkan juruiring berkenaan menahan dua motosikal dan kenderaan berat dipercayai lori.

Video berkenaan yang dikesan tular sejak semalam kini sudah mencecah jutaan jumlah tontonan di media sosial.

Pengantin perempuan kumpul sendiri mas kahwin RM19.9 juta

KOSMO!
Beberapa pengiring pengantin perempuan memegang papan tanda yang menyenaraikan mas kahwin pasangan itu. - SCMP
BEIJING – Seorang pengantin perempuan di China mempamerkan mas kahwin yang diusahakan sendiri pada majlis perkahwinannya, lapor portal berita South China Morning Post hari ini.

Majlis perkahwinan itu diadakan di daerah Luyi, wilayah Henan pada 5 Februari lalu.

Pengantin perempuan dilihat memakai pakaian tradisional Cina dan sebuah mahkota emas. Empat pengiring dilihat memegang papan tanda yang menunjukkan senarai mas kahwin pasangan itu.

Antara mas kahwin pasangan itu termasuk sebuah rumah di Shenzhen, sebuah vila percutian, sebuah kereta Ferrari dan wang berjumlah 9.99 juta yuan (RM6.6 juta).

Nilai keseluruhan mas kahwin itu berjumlah lebih 30 juta yuan (RM19.9 juta).

“Saya fikir ia adalah perkahwinan paling mewah di daerah kami,” kata seorang tetamu wanita yang merakam acara itu.

Tambah wanita itu, semua aset pengantin perempuan diperoleh sendiri melalui perniagaan yang diusahakannya di Shenzhen, wilayah Guangdong.

Pengantin perempuan yang dikenali sebagai Lizi itu dilahirkan di kawasan luar bandar. Pekerjaan pertamanya adalah di sebuah kilang ketika dia berumur 14 tahun.

Dia kemudian membuka salon kecantikan dan kini memiliki beberapa cawangan di China. – AGENSI

Kes bunuh wanita di Sibu Jaya, 2 termasuk bekas suami mangsa ditahan

FMT Reporters 

PETALING JAYA: Dua lelaki ditahan polis susulan kes bunuh seorang pembantu kedai wanita berusia 24 tahun dalam kejadian di Sibu Jaya, Sarawak, semalam.

Ketua Polis Sibu, Zulkipli Suhaili, berkata berkata tangkapan suspek pertama dilakukan pada 9.30 malam, membabitkan bekas suami mangsa berumur 27 tahun di sebuah rumah panjang tidak jauh dari bandar Sibu.

Katanya, suspek kedua iaitu seorang penjual burger yang mengenali mangsa ditahan 9.30 pagi tadi di sebuah lokasi di Sibu Jaya.

“Hasil siasatan awal polis, motif kejadian ialah suspek kedua ingin meminjam duit daripada mangsa tetapi dia enggan menyebabkan suspek bertindak agresif,” katanya pada sidang akhbar hari ini, menurut Bernama.

Terdahulu, polis menerima maklumat awam kira-kira 3.10 petang semalam berhubung seorang wanita ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai di Sibu Jaya.

Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan, namun dilaporkan meninggal dunia pada 11.34 malam tadi.

Wanita terbabit juga didapati mempunyai enam kesan kecederaan akibat tikaman dan polis telah merampas sebilah pisau serta pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

Selain itu, Zulkifli berkata suspek pertama yang tidak memiliki rekod jenayah telah direman tujuh hari bermula hari ini manakala permohonan reman terhadap suspek kedua akan dibuat esok bagi membantu siasatan.

“Suspek kedua mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan didapati positif saringan air kencing dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Belon udara misteri sekali lagi dikesan di AS

Agensi
FOTO fail menunjukkan belon udara China yang dikesan di AS, pada 2 Februari 2023. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan belon udara China yang dikesan di AS, pada 2 Februari 2023. FOTO AFP
Washington: Pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) memintas belon udara altitud tinggi yang terbang di bahagian barat negara itu dan menentukan ia tidak mengancam keselamatan, lapor BBC.

Pegawai AS berkata, objek kecil itu tidak boleh dikendalikan dan tidak membahayakan keselamatan penerbangan, walaupun asal dan tujuannya tidak diketahui.

Belon udara itu dikesan pada Jumaat di Colorado dan Utah, terbang ke arah timur.

Tahun lalu, AS menembak jatuh belon udara China selepas ia melintasi negara itu dari Alaska ke pantai timur negara ni.

Dalam insiden terbaharu ini, objek itu dikesan pada ketinggian 13,400 meter dan mendorong pegawai AS menghantar jet pejuang untuk menyiasat.

Komando Pertahanan Angkasa Amerika Utara (Norad) yang bertanggungjawab untuk pertahanan udara AS dan Kanada berkata, jet pejuangnya memintas objek itu di atas Utah.

Kenyataan Norad berkata, pihaknya akan terus menjejak dan memantau objek berkenaan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan sudah menentukan belon udara itu tidak mendatangkan bahaya kepada keselamatan penerbangan, menurut Norad.

Belon udara itu dijangka berada di atas Georgia pada malam Jumaat, seorang pegawai yang tidak dinamakan memberitahu kepada media.

Sumber itu berkata, belon udara itu diperbuat daripada sejenis bahan poliester yang dipanggil Mylar, dengan kotak kecil berbentuk kiub digantung di bawahnya.

Episod penampakan belon udara di AS, sebelum ini, mencetuskan krisis diplomatik antara Washington dan Beijing.

Pihak berkuasa China menafikan ia adalah pesawat pengintip, sebaliknya menyifatkan ia sebagai kapal cuaca yang sesat.

Susulan insiden belon udara China itu, Setiausaha Negara Antony Blinken membatalkan perjalanan ke China, menyebut kehadiran kapal udara itu sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Sebuah jet pejuang F-22 kemudian memusnahkan pesawat itu di luar pantai Carolina Selatan.

Lelaki warga Nepal ditahan ceroboh rumah tumpangan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Polis menahan lelaki warga Nepal yang mengalami masalah mental selepas menceroboh sebuah rumah tumpangan di Kampung Perwira Jaya, Ampang Hilir, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pada 1 tengah hari itu, wanita berusia 26 tahun dimaklumkan bapa saudaranya, seorang lelaki menceroboh rumah tumpangan miliknya.

Menurutnya, mangsa kemudian pergi ke rumah tumpangan terbabit sebelum mendapati suspek berada di ruang tamu rumah itu.

"Dia kemudian menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan. Sebaik polis tiba, lelaki terbabit ditahan tindakan lanjut.

"Suspek gagal mengemukakan sebarang pengenalan diri sebelum dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan dapati negatif dadah.

"Suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 27 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya

Rafizi sindir Annuar Musa: ‘Kami tak umum jihad lawan inflasi, tapi inflasi kami terendah’

SITI NUR ZAWANI

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli membidas kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa situasi ekonomi ketika ini terburuk berbanding pentadbiran terdahulu.

Sambil menyindir ahli Pas itu, Rafizi berkata beliau yakin usaha kerajaan untuk menstabilkan harga barang dengan menurunkan inflasi akan lebih membuahkan hasil, berbanding Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang pernah disertai oleh Annuar.

Pasukan itu ditubuhkan pada 29 Jun 2022 dan dipengerusikan Annuar Musa sendiri sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia pada waktu itu.

Pasukan itu dikatakan bertujuan membantu rakyat menghadapi cabaran ekoran peningkatan kos sara hidup.

Namun pasukan itu dibubar pada 2023 oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan ia gagal menurunkan inflasi dan mengawal harga barangan.

“Kami tak ada lah umum sampai jihad lawan inflasi, tapi inflasi turun ke kadar yang terendah.

“Sementara harga barang adalah fungsi penawaran dan permintaan, fokus kerajaan tingkat pendapatan rakyat. Bukan semata-mata melihat kepada kos barang.

“Insya Allah akan lebih membuahkan hasil dari Jawatankuasa Jihad Lawan Inflasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. 

Sementara itu Rafizi berkata, sepanjang tahun 2023 kerajaan berusaha memastikan harga barangan stabil sambil menumpu kepada perkara-perkara yang menjadi punca bebas kos sara hidup.

“Antaranya termasuklah gaji yang naik perlahan tidak seiring dengan kos sara hidup. Maka (solusinya ialah) pelarasan gaji kakitangan awam dan dasar gaji progresif.

“Menambah kapasiti pengeluaran makanan. Maka diperuntukkan dana besar untuk memodenkan pertanian, pertanian moden kecil melalui IPR.

“Membaiki rantaian bekalan. Kita secara berterusan melihat kepada rantaian bekalan padi, telur dan makanan asas lain, menggalakkan penjualan harga yang berpatutan melalui Jualan Rahmah dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata, kerajaan juga sedang menumpukan kepada Penyasaran subsidi untuk keluarga yang lebih memerlukan supaya dapat mengurangkan beban mereka.

Maka dengan itu katanya, sumbangan tunai yang lebih tinggi dan reformasi subsidi pukal sedang dijalankan.

Campur beras dedak haiwan demi nak untung

Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my
PENGUAT kuasa KPB menunjukkan beras hancur dalam kampit beras ketika pemeriksaan di sebuah kilang beras di Shah Alam.
PENGUAT kuasa KPB menunjukkan beras hancur dalam kampit beras ketika pemeriksaan di sebuah kilang beras di Shah Alam.
Kuala Lumpur: Membeli beras hancur untuk makanan haiwan dari luar negara, diseludup ke negara ini dan kemudian dibungkus semula sebagai campuran dalam beras putih tempatan.

Itu taktik licik sebuah syarikat perdagangan beras yang dipercayai menggunakan modus operandi berkenaan untuk mengaut keuntungan mudah dengan cara salah.

Namun kelicikan syarikat berkenaan akhirnya terbongkar susulan pemeriksaan di sebuah kilang beras di Seksyen U5, Shah Alam, dekat sini, kelmarin yang dilaksanakan penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB).

Ketua Pengarah KPB, Datuk Azman Mahmood berkata dalam serbuan jam 1.10 petang kelmarin pihaknya menyita 410 kampit beras dengan setiap kampit seberat 50 kilogram (kg) dan keseluruhannya seberat 22,500kg.

"Pemeriksaan dibuat berdasarkan maklumat dan aduan dari orang awam berkaitan beras tidak sah. Modus operandi ialah belian dari pemborong mengelirukan iaitu beras untuk makanan haiwan. Pemeriksaan mendapati setiap kampit 50kg itu tiada sebarang label di kampit.

"Belum dapat dipastikan beras hancur seludup itu dibeli dari negara mana namun ada kemungkinan ia dari Vietnam atau Thailand. Siasatan masih dijalankan.

"Siasatan awal mengesyaki beras itu akan dijual semula kepada pemborong melalui sebut harga tertentu. Kemudian bergantung kepada pemborong sama ada dikampit untuk campuran dalam beras putih tempatan atau dijual kepada industri pembuat bihun dan kuew teow," katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, siasatan pihaknya mendapati pihak terbabit mengambil kesempatan daripada kenaikan harga beras import di pasaran dengan mencampurkannya dengan beras hancur.

Katanya hasil campuran itu, beras berkenaan dijual sebagai beras mahal, Basmathi serta beras import pada harga semasa.

"Mereka didapati mencampurkan beras ini lebih daripada yang dibenarkan iaitu lima peratus. Kita akan teruskan pemeriksaan rambang ini untuk memastikan pengguna tidak mendapat beras yang tidak bermutu," katanya.

Beliau berkata, turut dirampas dalam pemeriksaan itu adalah dokumen berkaitan iaitu Lesen Asal Beras Borong No C2519, sehelai invois belian beras, sehelai profarma invois beras dan salinan borang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Azman berkata, beras rampasan disimpan di Gudang Bernas (Jasa) Pelabuhan Klang manakala dokumen rampasan dibawa ke Ibu Pejabat KPB Putrajaya untuk siasatan lanjut.

"Akan ada lagi serbuan susulan berkaitan kes berdasarkan sumber maklumat yang diperoleh.

"Syarikat yang berkenaan kini disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9 (4) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996. P.U (A) 624

"Jika sabit kesalahan di bawah seksyen 22(2) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] boleh denda tidak melebihi RM25,000 bagi kesalahan pertama," katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa seseorang pemegang lesen borong yang terbabit dengan pembungkusan beras hendaklah mempamerkan label atau tag yang menunjukkan gred, berat, harga, nama, nombor lesen dan peratus kandungan beras hancur pada bungkusan atau bekas beras itu.

'Kita tidak tahu berapa lama mereka tipu pengguna'

Kawalan di pintu masuk utama (PMU) negara perlu diperkemas bagi memastikan tiada beras hancur yang dibawa masuk sindiket untuk dicampur dengan beras tempatan lolos dengan mudah.

Kegagalan itu hanya akan mengakibatkan berlaku penipuan harga komoditi itu sedangkan kualiti dinikmati pengguna tidak seperti sepatutnya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, isu mencampurkan beras berkualiti rendah dengan beras putih tempatan bukan perkara baru dan ia pernah dilaporkan media.

Katanya, sudah sampai masanya isu produk yang 'lolos' di PMU ini ditangani sebaiknya menerusi kaedah integrasi antara agensi kerana ia jelas menguntungkan sindiket semata-mata.

"Kita tidak tahu berapa lama kegiatan ini sudah dijalankan dan berapa banyak pula untung yang mereka buat dengan menipu pengguna.

"Seingat saya Harian Metro juga pernah buat isu beras campur sekitar 10 tahun lalu, nampaknya masih juga berlaku perkara seperti ini. Kita berharap, pihak berkuasa buka mata dan banteras kegiatan ini betul-betul. Buat sampai terbongkar sepenuhnya kegiatan tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Nadzim berkata, pihaknya juga akan membawa isu ini kepada pihak berwajib dalam masa terdekat kerana menjangkakan lebih banyak manipulasi dilakukan terutama menjelang musim perayaan.

"Tak lama lagi kita akan menyambut Aidilfitri. Selain harga barang, kegiatan seperti ini juga dijangka akan bertambah. Jadi perlu tindakan segera," katanya.

Mayat wanita ditemukan terapung di lombong

BERNAMA

Ipoh: Mayat seorang wanita yang dipercayai baru meninggal dunia ditemukan terapung di permukaan tepi lombong di Lombong Bandar Lahat Mines di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan bagi membantu pihak polis mengambil mayat seorang wanita pada kira-kira pukul 10.20 pagi.

"Kami segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh ke lokasi kejadian dan mayat ditemukan dalam keadaan berpakaian lengkap, dan kad pengenalan juga ditemukan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata operasi tamat pada pukul 11.24 pagi dan mayat telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Lelaki mabuk bikin kecoh

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my
 Tangkap layar video di laman sosial X memaparkan video pergaduhan sekumpulan lelaki di sebuah restoran di daerah ini, semalam. FOTO TULAR
Tangkap layar video di laman sosial X memaparkan video pergaduhan sekumpulan lelaki di sebuah restoran di daerah ini, semalam. FOTO TULAR
Hulu Selangor: Berang dihalau kerana mengganggu pelanggan sedang menjamu selera, seorang lelaki dalam keadaan mabuk bergaduh dengan sekumpulan pekerja sebuah restoran di Bukit Beruntung, di sini, semalam.

Kejadian jam 4 petang itu menyaksikan suspek berusia 42 tahun mengambil pisau dan merosakkan beberapa peralatan di premis terbabit.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian selama kira-kira 30 minit membabitkan lelaki warga tempatan dan enam pekerja restoran itu.

"Salah seorang pekerja yang juga juruwang menyedari suspek masuk ke restoran dalam keadaan mabuk dan mula mengganggu pelanggan.

"Apabila polis tiba, suspek berjaya ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, pergaduhan itu mengakibatkan lelaki berkenaan cedera di jari telunjuk, siku dan kening.

"Suspek yang mempunyai enam rekod lampau kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial X sejak semalam memaparkan dua video pergaduhan sekumpulan lelaki di sebuah restoran di daerah ini.

Lelaki ‘ajar’ remaja pandu kereta disaman

FMT Reporters
Gambar tular menunjukkan seorang lelaki dewasa duduk di tempat duduk penumpang, manakala kanak-kanak berkenaan memegang stereng dan memandu kereta. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Polis menyaman lelaki yang membenarkan seorang remaja memandu kereta seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata suspek berusia 25 tahun itu adalah anak kepada pengasuh remaja lelaki 13 tahun berkenaan.

“Siasatan dijalankan mengesahkan kejadian itu berlaku pada 18 Feb lalu kira-kira 5.30 petang di kawasan taman permainan Taman Daya, Johor Bahru.

“Ketika kejadian, suspek membenarkan remaja berkenaan memandu kereta itu dengan tujuan untuk mengajarnya memandu,” katanya dalam kenyataan menurut Harian Metro.

Beliau berkata, lelaki itu dikenakan tindakan saman atas kesalahan Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan kanak-kanak bawah umur memandu kenderaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana terdapat unsur pengabaian dan mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal.

Sebelum ini tular gambar memaparkan seorang kanak-kanak bawah umur memandu kereta di jalan raya dan polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 12 tengah hari semalam.

Gambar itu menunjukkan seorang lelaki dewasa duduk di tempat duduk penumpang, manakala kanak-kanak berkenaan memegang stereng dan memandu kereta.

Remaja warga asing maut digilis kereta api

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

Klang: Seorang remaja lelaki warga asing ditemukan maut dipercayai digilis kereta api di Pelabuhan Utara dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat remaja lelaki itu sekitar 11.35 pagi.

"Kejadian berlaku di tepi landasan berhadapan kilang di jalan Pelabuhan Utara. Mangsa adalah remaja lelaki warga asing berusia 19 tahun.

"Mangsa cedera di bawah paras lutut kedua-dua kaki dipercayai digilis kereta api," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan," katanya.

Penyamun panjat lori seperti adegan filem

KOSMO!
Dua perompak menaiki motosikal mengekori lori dari belakang. - NDTV
NEW DELHI – Sebuah klip video tular di media sosial India memaparkan situasi dua penyamun memanjat sebuah lori kecil yang sedang dipandu di jalan.

Stesen penyiaran NDTV melaporkan, dua suspek lain menunggang motosikal sambil mengekori rapat lori tersebut dari belakang. 

Dua rakan subahat mereka dengan penuh berhati-hati mengisi beg dengan barangan curi yang dipercayai bawang dan kentang sambil berpaut pada lori tersebut.

Salah seorang daripada mereka kemudian turun ke jalan apabila kenderaan itu dipandu perlahan sebelum menghampiri sebuah jambatan.

Seorang lagi pencuri kekal di atas lori, manakala rakannya yang menaiki motosikal terus mengekorinya.

Aksi kumpulan tersebut disifatkan seperti adegan daripada filem aksi, manakala tiada penjelasan lanjut mengenai sebarang tindakan yang mungkin diambil terhadap mereka. – AGENSI

Muhyiddin (Kes Spanco): Jangan samakan saya dengan PM ke-10

Malaysiakini 

Muhyiddin Yassin berkata, Putrajaya sepatutnya mendedahkan mengapa surat hasrat (LOI) yang diberikan PH kepada sebuah syarikat untuk kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan dibatalkan oleh PN kemudiannya.

Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu itu menambah dia yakin maklumat mengenai perkara tersebut ada tersimpan di Kementerian Kewangan.

Menteri Dalam Negeri semasa PH menjadi kerajaan itu menambah, kerajaan juga perlu mendedahkan tarikh kontrak membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan diberikan kepada syarikat Spanco Sdn Bhd (Spanco).

"Janganlah membuat tuduhan melulu terhadap saya.

"Sebagai perdana menteri antara Mac 2020 hingga Ogos 2021, saya tidak terlibat dalam sebarang pemberian kontrak kerajaan yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

"Jangan samakan kedudukan saya dengan perdana menteri ke-10 yang juga merupakan Menteri Kewangan.

"Saya tahu kedudukan saya," tambah Muhyiddin lagi.

Pihak berkuasa kini sedang menyiasat syarikat berkenaan yang diberikan kontrak untuk membekal serta menyelenggara kenderaan kerajaan sejak awal 1990-an.

Ia ditubuhkan pada 1988.

Syarikat itu diberikan konsesi selama 25 tahun - mulai 1 Jan 1994 - untuk mengatur, membekal dan memajakkan kenderaan kerajaan dengan peruntukan penyelenggaraan yang khas.

Memiliki kemudahan pusat penyelenggaraan Batu Caves dan Bangi dengan keluasan masing-masing lima dan dua ekar, Spanco turut menyediakan bantuan kecemasan 24 jam dan lebih 300 pusat perkhidmatan di seluruh Malaysia, selain memiliki 200 tenaga operasi dan kepakaran.

Konsesi yang diberikan itu - mulai 1 Jan 1994 - tamat pada 31 Dis 2018. PH yang menjadi kerajaan ketika kontrak tersebut berakhir membuat tender terbuka untuk membolehkan mana-mana syarikat membuat permohonan.

Konsesi yang ditawarkan ialah selama 15 tahun dan dilaporkan ada sekurang-kurangnya tujuh syarikat berminat.

Ketika itu Berjaya Group (Berjaya) membentuk konsortium dengan syarikat Naza Corp Holdings Sdn Bhd untuk bersama-sama membida kontrak yang ditawarkan.

Tak dapat dibuktikan

Bagaimanapun pada Julai tahun lalu syarikat terbabit menyaman kerajaan kerana mendakwa LOI yang dikeluarkan Putrajaya ditamatkan. Pengasas Berjaya, Vincent Tan, mendakwa LOI terbabit dibatalkan tiga bulan selepas Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri menggantikan Dr Mahathir.

Tan juga mendakwa kerajaan memberikan kembali kontrak tersebut kepada Spanco walaupun mengemukakan bidaan RM700 juta lebih tinggi berbanding konsortiumnya.

Pada 5 Feb lalu pula Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menganggap kontrak yang dianugerahkan kepada Spando sebagi merugikan negara dan berjanji untuk mengambil tindakan jika wujud sebarang salah laku.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan ke atas syarikat berkenaan dan memanggil beberapa tokoh berprofil tinggi untuk membantu mereka.

Menurut Muhyiddin dia menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit dalam sebarang salah laku terkait pemberian kontrak kerajaan kepada Spanco.

Kata ahli parlimen Pagoh itu, sehingga kini "tohmahan jahat" itu tersebar melalui media massa dan media sosial namun tanpa butiran yang lengkap untuk menunjukkan bagaimana dia terbabit, serta apakah salah laku yang didakwa.

"Samalah seperti tuduhan sebelum ini kononnya saya menyeleweng wang negara bernilai ratusan billion ringgit yang sehingga kini tidak dapat dibuktikan oleh mereka yang menuduh saya," katanya.

Muhyiddin berkata dia dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan berkenaan dan berharap Mahkamah Rayuan akan memihak kepadanya apabila rayuan tersebut didengar pada 28 dan 29 Feb ini.

"Ini adalah sebahagian daripada siri pembunuhan karakter yang dibuat oleh musuh politik saya yang bertujuan untuk menjejaskan reputasi saya," katanya.

Apartmen 14 tingkat musnah dijilat api, 4 terkorban

KOSMO!
Api memusnahkan blok kediaman 14 tingkat di Valencia semalam. - AFP
VALENCIA, SEPANYOL – Sekurang-kurangnya empat orang maut, manakala 14 lagi cedera dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah blok apartmen di bandar Valencia, Sepanyol.

Angka kematian dijangka meningkat dengan 19 orang masih hilang, demikian menurut satu sumber majlis bandar raya.

Kebakaran bermula sekitar pukul 5:30 petang (waktu tempatan) semalam di tingkat empat sebelum merebak dengan pantas, kata saksi dan perkhidmatan kecemasan.

Rakaman gambar kejadian menunjukkan api dan kepulan asap hitam yang besar menyelubungi bangunan di kejiranan Campanar di barat Valencia.

“Kami mengesahkan bahawa empat orang meninggal dunia,” kata Timbalan Pengarah Perkhidmatan Kecemasan untuk wilayah Valencia, Jorge Suarez Torres.

Empat belas mangsa yang cedera dirawat kerana pelbagai jenis kecederaan termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun.

“Seramai 12 daripada mereka telah dipindahkan ke hospital,” kata perkhidmatan kecemasan.

Stesen televisyen awam, TVE Sepanyol melaporkan, terdapat lebih 130 unit pangsapuri di bangunan 14 tingkat itu, yang musnah dalam sekelip mata. – AFP 

Pelanggan curi pembesar suara hotel

KOSMO!
SEORANG pelanggan mencuri pembesar suara di sebuah hotel di Pattaya, baru-baru ini. - Foto The Pattaya News
PATTAYA – Seorang pengurus sebuah hotel di Pattaya menyiarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan beberapa pelanggan mencuri pembesar suara dan melarikan diri dari premis itu, lapor laman berita The Pattaya News semalam.

Insiden yang berlaku pada 15 Februari lalu itu telah mendorong pengurus berkenaan untuk menggesa hotel lain supaya lebih berwaspada dan melaksanakan langkah keselamatan lebih ketat.

Pelanggan itu yang namanya dirahsiakan, mendaftar masuk untuk penginapan dua malam di hotel di tengah Pattaya tersebut pada 14 Februari lepas.

Namun, pada petang 15 Februari, dia menjemput dua rakan memasuki biliknya.

Menurut pengurus berkenaan, ketiga-tiga individu terbabit mencuri pembesar suara yang diletakkan berhampiran kaunter hotel.

Pengurus hotel itu segera melaporkan kejadian itu kepada polis dan cuba menghubungi pelanggan itu menerusi nombor telefon yang diberikannya kepada pihak hotel.

“Pembesar suara itu akhirnya dipulangkan tetapi berada dalam keadaan rosak dan tidak boleh digunakan,” kata pengurus itu. – AGENSI

 

Gambaran penuh reptilia seperti naga berusia 240 juta tahun seperti yang didedahkan saintis

Bernama-Dpa
Ilustrasi Dinocephalosaurus. - FOTO Agensi
Ilustrasi Dinocephalosaurus. - FOTO Agensi
London: Fosil reptilia marin Dinocephalosaurus orientalis yang dikatakan berusia 240 juta tahun buat pertama kali dapat digambarkan sepenuhnya hasil penyelidikan saintis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut penyelidik, reptilia itu memiliki leher yang panjang serta badannya bersisik dan ikan yang masih ada di dalam perutnya menunjukkan reptilia itu sesuai dengan kehidupan di laut.

Fosil itu ditemukan di wilayah Guizhou, selatan China dan mula dikenal pasti pada tahun 2003 dan berdasarkan penemuan spesimen tambahan yang lebih lengkap sejak itu, membolehkan pasukan saintis membuat gambaran penuh haiwan itu.

Nick Fraser dari Muzium Negara Scotland dan antara yang terlibat dalam kajian itu berkata penemuan tersebut membolehkan haiwan berleher panjang luar biasa itu "digambarkan".

"Kami pasti ia akan membangkitkan imaginasi berdasarkan penampilan yang menarik, mengingatkan mitos naga Cina yang panjang seperti ular," katanya.

Leher Dinocephalosaurus orientalis telah dibandingkan dengan leher Tanystropheus hydroides, satu lagi reptilia marin aneh dari zaman Trias Pertengahan di Eropah dan China.

Kedua-dua reptilia itu mempunyai saiz dan ciri tengkorak yang sama. Namun Dinocephalosaurus mempunyai lebih banyak vertebra di leher dan di bahagian badan, merupai ular.

Penyelidik dari Scotland, Jerman, Ameria Syarikat dan China mengakaji Dinocephalosaurus orientalis selama 10 tahun di Institute of Vertebrate Palaeontology and Palaeoanthropology, di Beijing.

Mufti Pulau Pinang: Jangan terlalu taksub nasab Rasulullah tanpa diselidik terlebih dulu

BERNAMA

Georgetown: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor meminta umat Islam terutamanya di negeri ini supaya tidak terlalu taksub dengan dakwaan seseorang itu kononnya daripada nasab Rasulullah SAW.

Beliau juga menasihatkan mereka supaya menyelidik terlebih dulu latar belakang seseorang ulama atau kumpulan bawaannya supaya tidak mudah menjadi mangsa tipu individu atau kumpulan yang berkepentingan, sambil mengingatkan keturunan mulia tidak memberi sebarang manfaat kepada seseorang jika dia adalah seorang yang tidak taat kepada hukum dan ajaran agama seperti yang disampaikan oleh Rasulullah.

"Saya menyokong nasihat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar) supaya masyarakat mengelak daripada sikap taksub secara buta tuli kepada seseorang yang mendakwa sebagai keturunan Nabi Muhammad.

"Sikap taksub sedemikian menyebabkan fikiran seseorang tertutup daripada melihat kebenaran," katanya di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau kegiatan seorang lelaki mendakwa warga negara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai "Mawla Amin" yang mengaku bahawa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, kira-kira dua tahun lalu lelaki yang digelar Mawla al-Amin itu pernah dibawa oleh pengikutnya ke Pulau Pinang dan beliau turut dijemput untuk hadir bersama dalam satu majlis selawat nabi.

Pada mulanya beliau menyatakan persetujuan untuk hadir ke majlis itu, namun kemudian membatalkannya selepas meragui kesahihan bahawa dia adalah daripada keturunan Rasulullah berdasarkan maklumat diperoleh dari pelajar Malaysia di Maghribi yang tahu latar belakang individu berkenaan.

"Seseorang yang mengaku dirinya mempunyai nasab tersebut perlu diminta supaya mengemukakan dokumen yang sah daripada pihak berkuasa di negaranya seperti mahkamah, majlis agama Islam, atau persatuan ulama yang dikenali umum," katanya.

'Saya nampak dua mayat dalam keadaan hancur'

Bernama

“Saya nampak dua mayat dalam keadaan hancur,” demikian kata seorang saksi kejadian letupan gas di sebuah kilang kejuruteraan dan elektrik, di Jalan Utama 2/26, Taman Perindustrian Puchong Utama.

Pengimpal di sebuah kilang besi yang hanya mahu dikenali dengan Chen berkata ketika kejadian, beliau sedang melakukan kerja kimpalan sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat.

Menyangkakan ia bunyi letupan mercun, lelaki yang berumur lingkungan 40-an itu kemudian keluar untuk melihatnya dan mendapati terdapat serpihan atap terpelanting ke atas pokok, selain kelihatan api sedang marak di kilang tersebut.

“Selepas itu, kami semua bergegas pergi tolong dan (saya nampak) dua orang yang mati di dalam itu (dengan keadaan) memang hancur... jadi saya takut nak masuk, cuma bantu di luar saja,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Pada kejadian kira-kira 10 pagi itu, dua dilaporkan maut manakala dua lagi cedera.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Subang Jaya Supt Mohd Fairus Jaafar mengesahkan dua lelaki warga asing yang terkorban dalam kejadian itu, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna.

Beliau berkata siasatan bagi mengenal pasti punca letupan kilang berkenaan sedang dilakukan, selain turut menjalankan siasatan ke atas pemilik sekiranya terdapat sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) keselamatan.

“Hasil siasatan awal mendapati kilang kejuruteraan dan elektrik itu telah beroperasi selama 10 tahun dan mempunyai lesen perniagaan di bawah Majlis Bandaraya Subang Jaya.

“Keadaan selamat dari segi premis dan kawasan sekitar, namun kita tetap akan buat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mohd Fairus berkata dua mangsa yang cedera kini sedang dirawat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

- Bernama

Letupan gas: Mangsa letupan menjerit berlumuran darah – Saksi

AZMI NORDIN
Anggota polis membawa keluar mayat mangsa yang terkorban dalam kejadian letupan gas di Puchong Utama, Subang Jaya, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!
SUBANG JAYA – Seorang saksi kejadian letupan gas di Taman Perindustrian Puchong, di sini, mendakwa sempat melihat mangsa menjerit meminta pertolongan dalam keadaan berlumuran darah.

Mencerita tentang kejadian itu, Chen, 40-an, berkata kejadian tersebut bermula dengan dentuman bunyi yang kuat seakan bom diiringi jeritan meminta tolong dari mangsa.

“Apabila saya lihat di luar, terdapat api manakala ada beberapa pekerja keluar dari kilang terbabit sambil meminta tolong.

“Saya lihat ada orang yang selamat tetapi keadaannya teruk, kaki dia seakan terkena sesuatu dan hancur,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Chen turut memaklumkan pemilik kilang kimpalan itu turut berada di lokasi kejadian, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Situ semua pekerja warga asing, saya difahamkan ada maut. Agak terkejut kejadian ini berlaku, seperti tidak disangka,” katanya.

Sementara seorang lagi saksi dikenali sebagai Liew, tidak menyangka bunyi kuat itu mengorbankan dua mangsa ketika dia berada kira-kira 100 meter dari premis tersebut.

Katanya, dia kemudian terlihat kepulan asap tebal keluar dari premis kilang kejuteraan elektrik tersebut.

“Bunyi dentuman itu sangat kuat dan mengakibatkan beberapa keping atap di kilang itu pecah.

“Ada serpihan atap daripada kilang itu terpelanting sehingga ke hadapan stor yang saya jaga.

“Kereta kawan saya juga retak mungkin terkena serpihan keras akibat letupan di kilang ini,” katanya.

Terdahulu, dua individu meninggal dunia manakala dua lagi dipercaya cedera dalam letupan gas acetylene di sebuah premis di Taman Perindustrian Puchong Utama di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.14 pagi berkaitan kejadian itu.

Katanya, seramai 24 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong, BBP Subang dan BBP Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

Wanita, budak 11 tahun dipaksa melacur diselamatkan, ‘ibu ayam’ ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan tiga individu, termasuk seorang ibu ayam dan menyelamatkan seorang wanita serta kanak-kanak perempuan 11 tahun disyaki dieksploitasi sebagai pekerja seks.

Ketua Polis Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, tiga wanita yang ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Banting kira-kira 3 petang semalam itu terdiri daripada seorang warga tempatan berperanan sebagai “ibu ayam” dan dua warga Indonesia disyaki pelacur.

“Polis kemudian berjaya menyelamatkan seorang wanita tempatan berusia 25 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan 11 tahun disyaki dipaksa melacur.

“Polis turut menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun serta bayi lelaki 11 bulan,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai anak kepada wanita 25 tahun terbabit, manakala dua lagi kanak-kanak masih dalam siasatan status mereka.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati lot kedai itu diubah suai kepada empat bilik menggunakan langsir bagi aktiviti pelacuran dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Chegubard atas isu MEIO dan ‘jambu air’

Hidir Reduan Abdul Rashid

Farhash Wafa Salvador, bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim, menyaman Chegubard atau Badrul Hisham Shaharin serta pemimpin Bersatu Afif Bahardin atas alasan memfitnahnya.

Peguamnya Weera Premananda berkata Farhash memfailkan writ saman terhadap mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Januari lalu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Farhash mendakwa kenyataan fitnah itu dibuat oleh Chegubard pada sidang media pada 24 November tahun lalu serta Afif pula melalui kenyataan terbuka pada 15 November tahun sama.

Plaintif berkata Chegubard memfitnahnya dengan berkata dia dilantik mengetuai Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) dan mengundang risiko kepada rakyat dan negara ini.

Farhash yang juga pengarah bukan eksekutif 7 Eleven berkata Chegubard menggelarnya sebagai “jambu air” yang bermaksud homoseksual.

Afif juga didakwa menyifatkan Farhash sebagai ancaman kepada kestabilan dan keselamatan negara.

Polis: Mangsa maut dipukul positif dadah

MOHAMAD HISYAMUDDIN AYUB

PETALING JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan mangsa yang dipukul sehingga maut semasa kemalangan di Taman Pelangi Dua, Kajang pada Selasa adalah positif dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu lelaki berusia 42 tahun itu juga mempunyai 10 kes lampau melibatkan kes narkotik dan merupakan orang dikehendaki pihak polis.

Beliau berkata, semasa ujian bedah siasat dilakukan, lelaki tersebut disahkan positif dadah jenis methamphemin dan ganja.

"Hasil awal bedah siasat juga mendapati tiada kesan kecederaan yang ketara pada badan mangsa yang boleh membawa kepada kematian.

"Kita masih menunggu ujian patalogi atau analisa makmal bagi menentukan sebab kematian mangsa," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya antara Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid dan Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar @ Ismail.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, ekoran kejadian tersebut, pihaknya menahan dua lagi individu di Kajang jam 5 petang.

Kata beliau, kedua-dua yang ditahan tersebut berusia 23 dan 40 tahun, manakala tindakan reman akan diperoleh pada Jumaat.

Menurutnya, jumlah keseluruhan yang ditahan sebanyak tujuh orang bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Katanya, dua laporan polis diterima daripada dua pemilik kereta yang terlibat dalam kemalangan.

Namun begitu menurutnya, pihak polis masih belum menerima laporan daripada penghantar makanan yang berada dalam video tular kemalangan.

Ditanya adakah ada tangkapan lain selepas ini, jelas beliau, pihaknya yakin akan ada lagi tangkapan berdasarkan video tular.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai kes Zayn Rayyan Abdul Matiin, Hussein berkata, tiada maklumat baharu diperoleh pihaknya walaupun tawaran RM20,000 telah dilakukan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

"Sehingga hari ini tiada individu tampil untuk memberikan maklumat baharu mengenai kes berkenaan, bagaimana kami tidak berputus asa dan akan terus menjalankan siasatan," ujarnya.

Dua maut, gas acetylene meletup

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
ANGGOTA bomba melakukan kerja ventilasi selepas letupan gas ‘acetylene’ di sebuah premis di Taman Perindustrian Puchong Utama, Puchong, hari ini. FOTO Ihsan JBPM.
ANGGOTA bomba melakukan kerja ventilasi selepas letupan gas ‘acetylene’ di sebuah premis di Taman Perindustrian Puchong Utama, Puchong, hari ini. FOTO Ihsan JBPM.
Puchong: Dua individu meninggal dunia, manakala dua lagi cedera dalam letupan gas 'acetylene' di sebuah premis di Taman Perindustrian Puchong Utama, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.14 pagi.

"Seramai 24 anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong, BBP Subang dan BBP Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati letupan membabitkan gas 'acetylene' di sebuah premis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat dua individu meninggal dunia, manakala dua lagi cedera, dengan kerja ventilasi sedang dilakukan untuk mengeluarkan gas yang masih bersisa.

"Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berada di lokasi. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Peguam: Dr M berisiko ditahan jika tak sertai RCI Batu Puteh bila dipanggil

V Anbalagan

PETALING JAYA: Seorang peguam berkata Dr Mahathir Mohamad berisiko diberi waran tangkap sekiranya beliau tidak endah apabila dipanggil untuk menghadap suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi meneliti isu berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

SN Nair berkata, Seksyen 8 Akta Suruhanjaya Siasatan menetapkan pesuruhjaya mempunyai kuasa untuk memanggil sesiapapun bagi memberi keterangan atau menyerahkan dokumen dalam milikan mereka.

“Mereka boleh mengeluarkan waran tangkap untuk memaksa kehadiran mana-mana individu,” katanya kepada FMT.

Peguam itu, yang pernah mewakili saksi dalam dua RCI sebelum ini, percaya bekas perdana menteri itu akan menjadi saksi penting dalam sebarang siasatan berkenaan isu itu.

Beliau mengulas kenyataan oleh peguam Mahathir, Rafique Rashid Ali, minggu lepas bahawa Mahathir mungkin tidak akan menyertai prosiding RCI itu, selagi ia dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Raus Sharif.

Rafique mendakwa pelantikan Raus sebagai pengerusi RCI itu bertentangan dengan prinsip keadilan asasi memandangkan beliau pihak yang berkepentingan.

Menurutnya, Mahathir pada 2017 memfailkan permohonan semakan bagi mencabar keabsahan pelantikan Raus sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan melepasi usia persaraan ditetapkan dalam Perlembagaan.

Mahathir menjadi perdana menteri untuk kali kedua pada 10 Mei 2018, selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum, dan kemudian meletak jawatan pada Februari 2020.

Rafique berkata, Raus menemui Mahathir pada 15 Mei 2018 untuk menyuarakan hasrat meletak jawatan sebagai ketua hakim. Raus kemudian mengutus surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun 2018, yang diperkenan empat hari kemudian.

Rafique berkata umum mengetahui RCI dibentuk bagi menyiasat keputusan pentadbiran Mahathir pada 31 Mei 2018 untuk menarik balik dua permohonan memohon Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyemak keputusannya 10 tahun lalu.

Sementara itu, peguam A Srimurugan berkata beliau percaya Mahathir akan dipanggil memberi keterangan walaupun kerajaan belum mendedahkan terma rujukan khusus RCI berkenaan.

“Mahathir dan Jemaah Menterinya memutuskan pada 2018 untuk menarik balik permohonan untuk menterbalikkan keputusan ICJ menganugerahkan kuasa undang-undang ke atas Batu Puteh kepada Singapura,” katanya.

Dalam pembelaannya terhadap saman sivil difailkan Hatta Sanuri berhubung penarikan balik itu, Putrajaya berkata ia membuat keputusan berbuat demikian selepas mengambil kira pandangan perunding undang-undang asing berhubung perkara berkenaan.

Beras hibrid berwarna merah jambu dari daging lembu

Agensi
Beras hibrid yang mengandungi daging lembu. - Agensi
Beras hibrid yang mengandungi daging lembu. - Agensi
SEOUL - Sekumpulan saintis di Universiti Korea Selatan berjaya mencipta sejenis beras hibrid baharu yang bukan saja berwarna merah jambu, tetapi padat dengan protein daging lembu dan lemak.

Difahamkan beras yang dimakan seperti nasi itu mempunyai lapan peratus protein dan tujuh peratus lebih lemak berbanding beras biasa.

Malah, saintis itu berkata, beras tersebut mungkin berpotensi menawarkan sumber protein yang mampan bagi menggantikan daging selain dipelbagaikan penggunaannya daripada membasmi kebuluran, bekalan makanan untuk tentera dan angkasawan.

"Bayangkan bagaimana anda memperoleh semua nutrien yang diperlukan daripada bijiran beras protein merah jambu ini nanti," kata pengarang bersama kajian yang diterbitkan dalam jurnal saintifik, Matter, Park So-hyeon.

Saintis meramalkan beras hibrid yang bakal dikomersialkan boleh mencecah harga sehingga AS$2.23 ( RM11) sekilogram, berbanding AS$14.88 (RM71) iaitu harga semasa untuk daging lembu.

Bagaimanapun saintis menjelaskan, penyelidikan dilakukan mereka masih berada di peringkat awal.

Katanya, kajian tambahan masih diperlukan untuk menilai rasa dan penerimaan pengguna sebelum nasi yang dimasak dengan daging lembu menjadi kenyataan di pinggan orang ramai. - Agensi

2 kali jumpa, masalah Hadi-Muhyiddin masih tak selesai

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pertemuan Presiden PAS Hadi Awang dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, minggu lalu didakwa gagal menyelesaikan masalah berbangkit menyebabkan hubungan mereka “dingin”, kata sumber.

Sumber rapat dengan perkara itu mendakwa pertemuan empat mata di kediaman Muhyiddin pada 14 Feb disusuli mesyuarat Perikatan Nasional (PN) pada keesokannya hanya sekadar optik.

Mereka bertemu dua minggu selepas FMT memetik sumber melaporkan hubungan Hadi dan Muhyiddin didakwa dingin sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kelangsungan PN digagaskan dua parti itu.

“Tetapi hakikat masalah belum selesai,” katanya kepada FMT sambil mendedahkan ada pemimpin Bersatu yang ‘beria-ia’ dengan pertemuan dua tokoh PN berkenaan.

Sumber turut menambah kejanggalan hubungan Hadi dan Muhyiddin itu tidak terlalu “menyerlah” di mata masyarakat sehingga boleh menjejaskan sokongan terhadap komponen berkenaan, setakat ini.

“Bagi pengundi pergeseran dalaman antara Bersatu dan PAS bukan satu perkara menyebabkan sokongan terhadap PN terjejas setakat ini.

“Ini kerana ada faktor penolakan lebih kuat iaitu masalah Umno dan DAP mendorong pengundi Melayu masih menolak kerajaan perpaduan,” dakwanya.

Memetik sumber, FMT melaporkan hubungan dingin Hadi dan Muhyiddin antara lain berkait kegagalan PAS menampilkan Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon perdana menteri, selepas Muhyiddin tidak meneruskan hasrat berundur pada pemilihan parti tahun ini.

Menurutnya, pusingan U Muhyiddin dilihat sebagai tekad Ahli Parlimen Pagoh itu untuk kekal menerajui PN dan seterusnya dilantik perdana menteri kali kedua jika gabungan itu memenangi PRU16.

Katanya lagi, Muhyiddin dan Hadi lama tidak kelihatan bersama di mana-mana majlis selepas perasmian muktamar PAS pada Oktober lalu, manakala sumber lain memaklumkan Hadi “sudah lama” tidak lagi hadir ke mesyuarat pimpinan PN.

Marzuki Mohamad, bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin menepis dakwaan itu, sambil menegaskan pengerusi PN itu yang menguar-uarkan potensi Samsuri sebagai perdana menteri pada masa depan, semasa kempen PRK Parlimen Kemaman tahun lepas.

Menurutnya, Hadi tidak hadir ke mesyuarat PN selepas muktamar PAS kerana sedang menjalani rawatan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula mendakwa hubungan Hadi dan Yassin “sangat akrab” dan menjelaskan tidak timbul soal sama ada mahu mengekalkan Muhyiddin, iaitu pengerusi PN, atau mengangkat Samsuri sebagai calon perdana menteri.

Pati buat laluan tikus antara kilang ke kilang, mudah lari jika diserbu

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Pelabuhan Klang: Buat laluan tikus dari kilang ke kilang bagi memudahkan mereka melarikan diri jika terdapat serbuan.

Itu dilakukan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang bekerja di sebuah kilang di Telok Gong di sini, bagi mengelakkan ditangkap.

Laluan tikus bersambung antara kilang dengan kilang lain itu dibuat di bahagian tepi bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan mereka cuba meloloskan diri menerusi laluan terbabit gagal selepas dicekup polis dalam serbuan bermula pada jam 2.30 petang yang dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang melaksanakan Op Bersepadu Pintas bersama beberapa agensi berkaitan.

Ketika serbuan dilakukan, terdapat puluhan warga asing sedang bekerja di kilang memproses barangan logam dan plastik.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada daripada mereka termasuk wanita melarikan diri lebih 200 meter di laluan khas itu sebelum dikesan bersembunyi dalam semak berdekatan premis berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai Pati tersebut.

Beliau berkata, pemeriksaan membawa kepada penahanan seramai 62 individu berusia 20 hingga 40-an bagi tindakan lanjut.

"Antara yang ditahan termasuk tujuh wanita warga China, Myanmar, Indonesia, Kemboja, Bangladesh, Nepal dan Vietnam.

"Selain, tiga lelaki warga asing diselamatkan selepas disyaki menjadi mangsa pemerdagangan," katanya .

Tinjauan mendapati lorong tikus berdekatan kawasan longkang itu dilengkapi laluan khas yang menghubungkan dua premis kilang.

Premis yang mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) itu turut menyediakan beberapa bilik yang dijadikan sebagai asrama pekerja.

Selain itu, seorang lelaki Indonesia berusia 21 tahun yang diselamatkan polis mendakwa terpaksa bekerja selama 12 jam dengan bayaran RM75 sehari.

Soffian berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 55B, Seksyen 39B, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

"Siasatan lanjut turut dijalankan polis mengikut Seksyen 12 Atipsom 2007.

"Kesemua tangkapan itu dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan bagi tindakan lanjut," katanya.

Minta suapan daripada OKU, penjawat awam ditahan

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang penjawat awam disyaki meminta suapan RM450 bagi meluluskan bantuan kebajikan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) ditahan di Balik Pulau, Pulau Pinang, semalam.

Menurut sumber, lelaki berusia 30-an itu disyaki meminta suapan daripada seorang individu bagi meluluskan bantuan bulanan dari sebuah jabatan kerajaan bulan lalu.

"Pada 19 Februari lalu, suspek menghubungi individu terbabit dan meminta wang rasuah diberikan kepadanya selepas wang bantuan bulanan diperoleh individu berkenaan.

"Suspek ditahan jam 8.30 malam di Balik Pulau ketika menerima wang rasuah yang diminta," katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

"Suspek direman enam hari bermula hari ini sehingga 27 Februari selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang, pagi tadi," katanya.

Terengganu: Doktor didakwa hasil pornografi, laku amang seksual terhadap pesakit kanak-kanak

Bernama
Tertuduh, Dr Anas Ramli, 32, mengaku tidak bersalah selepas kesemua tuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Wan Suhaila Mohd hari ini. (Gambar Bernama)
CHUKAI: Seorang doktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas enam tuduhan menghasilkan pornografi dan melakukan amang seksual sewaktu merawat enam pesakit kanak-kanaknya pada Disember 2022 hingga 26 Jan 2023.

Tertuduh, Dr Anas Ramli, 32, memohon dibicarakan selepas kesemua tuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Tertuduh yang kini bertugas di sebuah hospital kerajaan di Kuantan, Pahang didakwa menghasilkan pornografi dalam bentuk gambar membabitkan lima pesakit perempuannya yang berusia antara 7 hingga 11 tahun ketika merawat mereka di Hospital Kemaman.

Anas melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 30 tahun dan tidak kurang enam sebatan.

Tertuduh juga didakwa atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun bagi maksud seksual pada 8 Feb tahun lepas di hospital sama antara 5.45 petang hingga 6.40 petang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, dibaca bersama Seksyen 16 (1) yang membolehkan tertuduh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan tidak kurang dua sebatan jika disabitkan bersalah.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Faizal Rahman yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan jaminan yang rendah kerana keseluruhan RM120,000 merupakan jumlah yang besar untuk tertuduh yang baru sahaja empat tahun berkhidmat sebagai penjawat awam.

Hakim Wan Suhaila kemudiannya membenarkan jaminan RM5,000 bagi setiap tuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau turut meluluskan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan selain mengarahkan tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dibicarakan.

Sementara itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan memiliki gambar lucah di dalam telefon bimbitnya yang dilakukan di dalam dewan bedah di hospital sama antara 7.30 pagi hingga 10 pagi pada 1 Nov 2022.

Dia dituduh mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Sharifah Armida Shasha Amir membenarkan tertuduh dijamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan mengarahkannya untuk tidak mendekati mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 21 Mac depan untuk serahan dokumen oleh pasukan pendakwaan dan kakak tertuduh yang hadir di prosiding berkenaan kemudiannya membayar jaminan.

Trak tentera terlibat kemalangan lagi, seorang maut, lima cedera

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
ANGGOTA tentera yang cedera diberi rawatan awal sejurus kemalangan berlaku di Jalan Kampung Bukit Kechik Changlun. FOTO Ihsan PDRM.
ANGGOTA tentera yang cedera diberi rawatan awal sejurus kemalangan berlaku di Jalan Kampung Bukit Kechik Changlun. FOTO Ihsan PDRM.
Jitra: Anggota tentera maut, manakala lima lagi cedera selepas trak berisi muatan makanan yang dinaiki, terbabas dan terbalik di Jalan Kampung Bukit Kechik Changlun, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada 1.30 tengah hari dan siasatan awal mendapati trak terbabas sendiri.

Katanya, trak dipandu anggota berusia 29 tahun yang bertugas di Kem 5 Rejimen Sempadan Bukit Kayu Hitam, dari arah Kem Askar Wataniah (513 AW) Kepala Batas menghala ke Markas 30 Briged di Kem Bukit Cowder di Perlis.

Menurutnya, ketika itu trak dipercayai mengelak kereta dari arah bertentangan yang menyebabkan ia menghimpit ke kiri jalan.

"Namun disebabkan jalan raya yang sempit dan bahu jalan tidak berturap, kenderaan itu hilang kawalan serta terbabas, jatuh ke kawasan cerun ladang kelapa sawit dan terbalik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Chien berkata, akibat daripada kemalangan itu, seorang daripada lima penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian dan mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat.

Katanya, seorang mangsa cedera turut dihantar ke hospital sama, manakala empat lagi mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Peniaga Indonesia, Bangladesh ditahan lindungi Pati

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
PATI ditahan menerusi operasi di sekitar Johor mulai 19 hingga 20 Februari lalu. FOTO ihsan JIM
PATI ditahan menerusi operasi di sekitar Johor mulai 19 hingga 20 Februari lalu. FOTO ihsan JIM
Johor Bahru: Perbuatan dua peniaga warga asing memberi perlindungan kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) mengundang padah apabila ditahan dalam pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Pengarah Imigresen Johor Baharuddin Tahir berkata, kedua-dua lelaki berkenaan antara 38 individu yang ditahan menerusi operasi di negeri ini dari 19 Februari hingga 20 Februari lalu.

Menurutnya, lelaki warga Indonesia terbabit ditahan kerana didapati mengambil Pati sebagai pekerja, manakala lelaki warga Bangladesh pula ditahan kerana membenarkan Pati masuk atau tinggal di kedai runcitnya.

"Siasatan terhadap kedua-dua warga asing itu dibuat mengikut Seksyen 55B (1) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya, seramai 126 warga asing dan warga tempatan serta 27 premis diperiksa dengan 38 individu berusia 21 hingga 58 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.

Katanya, mereka terdiri lima lelaki warga Bangladesh, sembilan lelaki dan lapan perempuan warga Indonesia, lima lelaki warga Pakistan, enam lelaki dan tiga perempuan warga Myanmar serta dua lelaki warga India.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.

3 didakwa lakukan pemerasan, minta wanita RM3 juta

Bernama

PETALING JAYA: Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang wanita dengan meminta wang RM3 juta, Sabtu lalu.

S Divyan, 27; A Sanjeev Kumar, 32; dan S Kaviethran, 31; didakwa melakukan pemerasan terhadap S Jaylakshmi, 30; yang juga kakak kepada Divyan dengan meminta mangsa membayar wang RM3 juta di sebuah pangsapuri di Puchong pada 10.21 malam, 17 Feb lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Gurmukh Singh Sandhu yang mewakili Divyan dan Sanjeev memohon jaminan rendah kerana anak guamnya menanggung keluarga manakala peguam S Revin Kumar mewakili Kaviethran juga memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan.

Majistret Farah Azura Mohd Saad membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mei ini untuk sebutan bagi serahan dokumen.

Penjual haiwan peliharaan disamun, ditetak ketika urusan jual beli kucing RM10,000

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
PENJUAL haiwan peliharaan, Ryan Cheah, 26, yang cedera akibat ditetak dalam kejadian samun di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 18 Februari lalu.
PENJUAL haiwan peliharaan, Ryan Cheah, 26, yang cedera akibat ditetak dalam kejadian samun di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 18 Februari lalu.
Petaling Jaya: Seorang penjual haiwan peliharaan bukan sahaja kehilangan dua kucing bernilai RM10,000, malah menerima 36 jahitan akibat ditetak dengan parang dalam kejadian samun di Bandar Utama, di sini, 18 Februari lalu.

Menceritakan insiden itu, mangsa, Ryan Cheah, 26, berkata, dia pertama kali bertemu dengan penjenayah yang menyamar sebagai pelanggan itu pada 10 Februari.

"Lelaki itu datang ke rumah saya di daerah ini pada hari pertama sambutan Tahun Baru Cina (10 Februari lalu) dan membeli seekor kucing.

"Beberapa hari kemudian, lelaki itu menghubungi saya semula dan memaklumkan berminat membeli dua lagi kucing dan ingin berjumpa saya di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah pada 18 Februari lalu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak sedap hati dengan lokasi pertemuan dipilih oleh lelaki berkenaan dan memutuskan untuk bertemu di perhentian bas berhampiran.

"Saya pergi ke sana bersama teman wanita jam 7.30 malam hari kejadian dan kami perasan kereta pelanggan itu remuk seperti baru terbabit kemalangan.

"Saya kemudian bercakap dengan individu itu dan masuk ke dalam keretanya. Ketika itu, dia mengeluarkan pisau dan meminta saya memindahkan semua wang ke dalam bank miliknya," katanya.

Ryan berkata, teman wanitanya tidak menyedari dia disamun kerana tidak mengetahui apa yang berlaku di dalam kenderaan itu.

"Seorang lagi penjenayah pula diarahkan untuk mengambil dua kucing masing-masing daripada baka 'British Short Hair' dan 'Muchkin' daripada teman wanita.

"Ketika itu, saya ambil peluang untuk melarikan diri dengan membuka pintu kereta dan cuba keluar, namun lelaki berkenaan mengacukan parang dan menetak saya.

"Namun, saya berjaya keluar dari kenderaan menyebabkan mereka terus beredar dari lokasi," katanya yang cedera pada tangan serta kaki akibat ditetak.

Dia yang turut kehilangan telefon bimbit dalam insiden itu memaklumkan, dia masih trauma akibat kejadian itu.

"Selain trauma, saya juga bimbang dengan keselamatan diri kerana penjenayah itu tahu lokasi rumah saya memandangkan dia pernah datang ke sana sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan tangkapan sudah dibuat.

29 tahun guna kad pengenalan jadi guru, mudahnya kita kena tipu atau ada pengkhianat?

Bernama
Ridal Abdul Kadir diiringi pegawai JPN meninggalkan Mahkamah Majistret Keningau selepas dijatuhkan hukuman. (Gambar Bernama)
KENINGAU: Seorang lelaki dipenjara 10 bulan dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja sebagai guru di sebuah sekolah di Tenom, dekat sini, sejak 29 tahun lepas.

Majistret Nur Asyraf Zolhani menjatuhkan hukuman itu terhadap Ridal Abdul Kadir, 53, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Ridal diarah menjalani hukuman dari tarikh tangkapan pada 29 Jan lepas dan akan dikenakan penjara tambahan enam bulan, jika gagal membayar denda. Tertuduh kemudian membayar denda itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 (1) (e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada 11.30 pagi 29 Jan lepas, pemeriksaan dokumen dijalankan di kawasan letak kenderaan kuarters guru sekolah sebelum tertuduh ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu bernombor 700711-12-5369 atas nama Ridal bin Abdul Kadir.

Semakan lanjut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati kad pengenalan dengan nombor dan nama sama pernah dikeluarkan jabatan itu, tetapi dengan taraf pemastautin sementara dan tertuduh disyaki menggunakan kad pengenalan palsu itu untuk bekerja sebagai guru.

Semakan juga mendapati tertuduh memiliki dokumen pengenalan sementara dengan nombor serta nama sama dan daftar kelahiran bertaraf bukan warganegara sebagai dokumen pengenalan dirinya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Naser Mohd Naser Mohd Nadzeri memohon hukuman dalam bentuk pencegahan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam dan keadilan sosial, selain memiliki dokumen pengenalan diri palsu adalah tindakan salah serta tidak bertanggungjawab.

Peguam mewakili Ridal, Korventt Wheezar meminta hukuman diringankan kerana sepanjang 29 tahun mengajar di sekolah itu, tertuduh tidak pernah melakukan sebarang kesalahan jenayah dan sentiasa berkelakuan baik, selain mengaku salah dalam kes berkenaan.

Miliki Proton X70 hasil mengemis?

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
PENGUAT kuasa JKM Maran menyoal siasat lelaki yang dikesan mengemis dan mampu membeli SUV Proton X70. FOTO Ihsan JKM Maran.
PENGUAT kuasa JKM Maran menyoal siasat lelaki yang dikesan mengemis dan mampu membeli SUV Proton X70. FOTO Ihsan JKM Maran.
Kuala Lumpur: Hanya berbekal 'muka simpati', seorang lelaki menyara hidup dengan hasil mengemis hingga mampu membeli sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70.

Kegiatannya terbongkar selepas operasi membanteras aktiviti pengemis yang dijalankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Maran di pasar malam Sri Jaya, Maran, Pahang, semalam.

Menurut agensi itu, pihaknya mengesan lelaki tempatan berpakaian jubah dan kopiah di pasar malam itu menjalankan aktiviti mengemis.

"Dari jauh kelihatan seorang lelaki berdiri di celah payung peniaga pasar malam sambil memegang beg kertas, meminta simpati orang ramai yang lalu lalang.

"Kedua-dua tangan lelaki terbabit kelihatan kecil tidak seperti tangan manusia normal. Pegawai penguat kuasa JKM Maran menghampiri lelaki itu dan bertanyakan tujuannya meminta sedekah, namun pertanyaan tidak dijawab," katanya.

Menurutnya, lelaki itu juga kelihatan seperti individu pekak dan bisu dengan pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat kepingan wang kertas di dalam begnya, dipercayai hasil sedekah pengunjung pasar malam itu.

"Berkali-kali pihak JKM meminta kad pengenalan bagi tujuan rekod operasi tetapi tidak mendapat respons daripada lelaki itu," katanya.

Selepas didesak akhirnya lelaki itu bersuara dan memaklumkan dia bukanlah pekak atau bisu, sebaliknya orang kurang upaya (OKU) fizikal iaitu kedua tangan tidak normal, manakala kad pengenalannya diletakkan dalam kenderaan.

"Penguat kuasa JKM mengekori lelaki itu ke keretanya dan mendapati individu yang hanya berdiri meraih simpati orang ramai atas kekurangan diri, memandu sebuah Proton X70 Premium.

"Siasatan lanjut mendapati lelaki itu tinggal di Balok, Kuantan dan akan ke pasar-pasar malam untuk mengemis. Semakan turut mendapati lelaki itu menerima Elaun Pekerja OKU daripada JKM sebanyak RM450 sebulan sejak 2001," katanya.

Menurut JKM Maran, ketika disoal lanjut penguat kuasa, lelaki itu mengaku bahawa kenderaan terbabit adalah miliknya dan mampu mengutip RM500 hasil mengemis bagi tempoh empat hingga enam jam di pasar malam.

"Lelaki terbabit kemudian dilepaskan dengan amaran oleh penguat kuasa JKM," katanya.

Menteri Agama siasat pendedahan Mawla tunggang nasab Nabi Muhammad

SITI NUR ZAWANI
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menyiasat pendedahan dibuat sebuah akhbar tempatan mengenai lelaki dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai ‘Mawla Muhammad Amin’ yang menunggang nasab suci Nabi Muhammad.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama Islam khususnya Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat pendedahan tersebut.

Mohd Na’im berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun kumpulan yang tertentu.

“Semua pihak adalah dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada JAIN berkaitan apa-apa urusan berkaitan pentauliahan mana-mana pendakwah agar setiap perkara yang disampaikan selari dengan ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Dalam pada itu beliau menyeru semua pihak untuk sentiasa berpegang kepada neraca ilmu, fakta dan menjauhkan diri daripada taksub.

Ujarnya, ketaksuban yang melampau dalam sesuatu perkara adalah berbahaya kepada diri dan masyarakat.

“Sikap taksub akan menyebabkan seseorang mudah terpengaruh dengan sesuatu dakwaan oleh individu mahupun kumpulan tertentu,” tambahnya lagi.

Terdahulu, akhbar Harian Metro membuat pendedahan mengejutkan apabila seorang Mawla yang dikatakan berketurunan Nabi Muhammad, rupa-rupanya tiada langsung nasab suci baginda Nabi.

Lelaki yang nama sebenarnya Mohamed Amin Ouradj mengeksploitasi nasab suci Rasulullah SAW untuk menarik perhatian pengikut serta pendokongnya.

Dia juga yang kononnya mendakwa warga Maghribi, disahkan bukan rakyat negara itu, sebaliknya adalah warga Perancis-Algeria.

Lelaki yang pernah tular pada 2022 lalu itu, sempat mencetus perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ada sebahagian yang menyanjung lelaki itu dan tidak ketinggalan meragui latar belakangnya.

Akhbar itu melaporkan, PDRM sedang memantau kegiatan Mawla Amin dan pengikutnya susulan laporan bahawa seorang mudir di madrasah Selangor, aktif mempromosi Mawla Amin dengan mengutip dana awam secara tidak sah, selain cuba mewujudkan satu perkampungan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Selain itu pada semalam, dilaporkan kira-kira 100 jemaah tertipu selepas dijanjikan untuk membuat umrah bersama Mawla tersebut.

Liverpool bangkit dengan garang setelah ketinggalan di separuh masa pertama

AFP
CODY Gakpo (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
CODY Gakpo (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
Liverpool: Jurgen Klopp berkata Liverpool yang dilanda kecederaan menghasilkan "bunga api" ketika menewaskan Luton 4-1 awal pagi tadi sekali gus mempunyai kelebihan empat mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Chiedozie Ogbene meletakkan The Hatters di depan pada separuh masa pertama menentang Liverpool yang kehilangan khidmat antaranya Mohamed Salah, Darwin Nunez dan Diogo Jota antara.

Duo antarabangsa Belanda, Virgil van Dijk dan Cody Gakpo memulakan kebangkitan Liverpool selepas masing-masing meledak gol minit ke-56 dan 58, sebelum Luis Diaz dan Harvey Elliott memastikan kemenangan.

Kemenangan itu menyaksikan anak buah Klopp empat mata di hadapan Manchester City dan lima mata di depan Arsenal di tangga ketiga, tetapi sudah beraksi lebih satu perlawanan berbanding kedua-dua pesaing utama mereka itu.

"Bagaimana penyokong di stadium dan pasukan bersama-sama mengubah permainan itu adalah luar biasa.

"Kami hanya perlu lebih tenang pada saat-saat penting dan sebaik sahaja kami lebih tenang, berlaku 'bunga api'. Mereka menjaringkan gol yang hebat," kata Klopp.

Liverpool sudah berdepan masalah kecederaan selepas kehilangan khidmat Curtis Jones, Jota dan Nunez pada separuh masa pertama ketika meraih kemenangan 4-1 di Brentford.

Salah menjaringkan gol sekembalinya daripada kecederaan hamstring hujung minggu lalu tetapi terpaksa dikeluarkan lebih awal.

Klopp sudah pun tanpa Alisson Becker, Trent Alexander-Arnold, Joel Matip dan Thiago Alcantara kerana kecederaan dan The Reds terpaksa bekerja lebih keras untuk mendapatkan tiga mata ketika hanya beberapa hari sebelum perlawanan akhir Piala Liga menentang Chelsea, Ahad ini.

Bagaimanapun, Salah dan Nunez mungkin cergas untuk beraksi di Wembley.

"Kami perlu lihat situasi semasa, tetapi saya menyatakannya sebelum perlawanan bahawa selagi kami mempunyai 11 pemain, kami akan teruskan," kata Klopp.

Pelajar curi kasut bayar yuran universiti

KOSMO!
JAKARTA – Seorang pelajar universiti ditangkap polis kerana disyaki mencuri berpuluh-puluh pasang kasut di Gowa, Sulawesi Selatan, lapor portal berita Tribun Trends.

Dia kemudian menjual semua kasut yang dicuri  bagi mendapatkan wang untuk membayar yuran pengajiannya.

Perbuatan suspek akhirnya dapat dikesan yang menyaksikan orang awam  menangkapnya sebelum diserahkan kepada polis di sebuah kawasan perumahan semalam.

Seorang mangsa dikenali sebagai sebagai Ari pada mulanya curiga apabila mendapati kasutnya yang hilang dijual di laman sosial

“Saya pun berpura-pura mahu membelinya,” kata Ari.

Setelah memastikan kasut yang dijual itu miliknya, puluhan orang lain kemudian muncul dan menangkap pelajar tersebut.

Pelajar itu mengaku bahawa dia berpura-pura meronda di kawasan perumahan sebelum mencuri kasut yang disimpan di luar rumah. – AGENSI