‘Tak kisah orang nak kata aku ini anak pungut tepi tong sampah’

KOSMO!
Tangkap layar video @ezzuchang di laman TikTok yang tular baru-baru ini.
PETALING JAYA – “Tak kisah kalau orang nak cakap saya anak pungut, anak angkat, tertukar di hospital atau kutip dalam tong sampah. Apa yang penting, saya dibesarkan oleh ibu kandung dan ibu susuan dengan penuh kasih sayang”.

Begitulah luahan hati seorang pengguna di laman TikTok, @ezzuchang yang memuat naik video Aidilfitri berdurasi satu minit 11 saat yang menyentuh hati netizen.

“Selamat hari raya mak, maaf zahir batin. Saya minta maaf kalau ada buat salah dari kecil, halalkan makan minum. Terima kasih mak, mak jaga saya dari kecil dengan baik, tak pernah pukul saya walaupun saya nakal.

“Terima kasih juga mak selalu percaya apa yang saya buat. Mak tak pernah cakap saya ni anak yang tak baik. Saya sayang mak,” katanya.

Menurut @ezzuchang, dia tidak kisah jika orang mengata dia hidup bagaikan orang Melayu walaupun berbangsa Cina kerana dia dibesarkan dengan adat dan budaya kaum Melayu.

“Tidak kisahlah kalau atuk atau moyang saya berbangsa Cina. Apa yang saya tahu, saya tidak pernah jumpa mereka. Tetapi, saya pernah jumpa atuk dan nenek saya di Terengganu.

“Alhamdulillah, saya bangga dibesarkan dalam keluarga Melayu, dan saya bangga jadi anak Melayu,” katanya.

Meninjau ke ruangan komen, orang ramai rata-ratanya tersentuh hati setelah menonton video kongsian @ezzuchang sehinggakan ada yang mengalirkan air mata.

Malah, ramai menitipkan nasihat agar jejaka tersebut tidak melupakan jasa dan bakti ibu susuannya itu pada masa hadapan.

“Jangan malu. Saya bangga awak berjaya dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh ibu awak. Awak juga hormat pada ibu yang sudah membela awak dari kecil hingga besar. Teruskan berbakti, jaga mak baik-baik,” kata Fakhrul.

“Kalau anak susuan, maksudnya sama taraf dengan anak sendiri, alhamdulillah,” kata Aleesha.

“Mesti ramai orang cemburu. Syukurlah layanan keluarga ibu susuan sama macam keluarga kandung. Tak ada beza,” kata Hafidzudin.

Kini, hantaran tersebut telah menerima 96,400 tanda suka dan 3,476 komen. – KOSMO! ONLINE

Sanusi sempoi mohong bab ayaq

Harapandaily

Sebuah keluarga terpaksa membawa bekas – bekas air besar dalam kereta ekoran krisis air yang tak berkesudahan di negeri Kedah.

Menceritakan kisahnya di TikTok, pengguna Rie Rie mendakwa Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membohongi rakyat Kedah.

Klip video tersebut disertakan dengan label Buka Mulot Mohong, MB Kami Sempoi.

Turut disertakan ialah tajuk akhbar Berita Harian ‘Sabar! 5 LRA siap berperingkat mulai akhir tahun ini’ – Sanusi.

Berita tersebut bertarikh 27 April 2023.

Walau bagaimanapun, hakikatnya loji rawatan air belum siap.

15 kucing, 10 burung mati dalam kebakaran sebuah rumah

Amir Hamzah Nordin
am@hmetro.com.my
Jerantut: Sebanyak 15 ekor kucing dan 10 ekor burung peliharaan mati selepas sebuah rumah di Kampung Cengkuak, Damak dekat sini, hari ini.

Kebakaran jam 6.26 pagi yang dipercayai akibat litar pintas turut memusnahkan keseluruhan rumah berkenaan.

Mangsa, Faridah Majid berkata, dia terdengar kucing peliharaan yang diletakkan di sebuah bilik khas berbunyi pelik ketika sedang bersiap untuk solat Subuh.

Katanya, ketika kejadian dia bersendirian di rumah manakala ibunya, Mekalthom Awang, 80, berada di rumah adiknya kerana tidak sihat.

"Sebaik mendengar bunyi kucing yang pelik, saya terus ke bilik itu dan mendapati asap tebal keluar daripada saluran paip wayar, dan pada masa sama keluar percikan dari plug di tepi dinding dan terbakar.

"Semua berlaku begitu pantas kerana dinding rumah diperbuat daripada kayu dan asap mula tebal," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, dia terus keluar dari rumah dan menjerit meminta tolong.

Namun, dia masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil kunci kereta dan telefon bimbit.

"Saya sempat mengalihkan kereta, manakala dua motosikal dialihkan oleh jiran yang sedar berlaku kebakaran," katanya.

Faridah berkata, selepas api dipadamkan sepenuhnya, 15 kucing dan 10 burung peliharaannya mati.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut, RofiziAbd Rahman berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati sebuah rumah jenis separuh kekal musnah sepenuhnya.

Katanya, tiada mangsa terbabit.

"Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Indonesia nafi mahu jalin hubungan diplomatik dengan Israel

Sinar Harian 

JAKARTA - Indonesia menafikan laporan bahawa mereka akan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel untuk mendapatkan keahlian dalam Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD). Akhbar Israel, Yedioth Ahronoth melaporkan pada 11 April lalu bahawa Indonesia telah bersetuju untuk memulihkan hubungannya dengan Israel.

Malah, saluran media itu berkata, Jakarta memerlukan Israel untuk meluluskan permintaannya untuk menyertai OECD.

Yedioth Ahronoth memaklumkan, persetujuan itu dicapai selepas tiga bulan rundingan sulit antara Israel, Indonesia dan 38 buah negara OECD.

Di bawah perjanjian itu, Indonesia, negara paling ramai penduduk Islam di dunia akan berusaha untuk menormalkan hubungannya dengan Baitulmaqdis.

Saluran media itu memetik surat baru-baru ini daripada Setiausaha Agung OECD, Mathias Cormann kepada Menteri Luar Israel, Israel Katz, mengatakan sebarang keputusan masa depan untuk menerima Indonesia sebagai ahli organisasi itu memerlukan persetujuan sebulat suara dalam kalangan semua ahli termasuk Israel.

Katz dalam surat kepada Cormann, dipetik oleh Yedioth Ahronoth sebagai berkata, beliau menjangkakan perubahan positif dalam dasar Indonesia terhadap Israel.

Satu lagi saluran media, The Times of Israel mengesahkan laporan itu, memetik seorang pegawai Israel yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan mengenai kemungkinan normalisasi hubungan Indonesia dengan Israel.

Buat masa ini, tiada kenyataan rasmi daripada OECD mengenai laporan media tersebut.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Lalu Muhamad Iqbal berkata, pendirian Indonesia terhadap Palestin kekal tidak berubah dan ia mengekalkan 'sokongan tidak berbelah bahagi kepada kemerdekaan Palestin' melalui penyelesaian dua negara.

Ia merujuk kepada Palestin dan Israel yang wujud sebagai dua negara merdeka.

"Sehingga hari ini, tidak ada rancangan untuk membuka hubungan diplomatik dengan Israel khususnya di tengah-tengah kekejaman Israel di Gaza.

“Indonesia akan sentiasa konsisten untuk berada di barisan hadapan dalam mempertahankan hak rakyat Palestin,” kata Lalu pada 11 April. - Agensi

Remaja maut, 10 cedera nahas dua kenderaan

Erika George
am@hmetro.com.my
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kereta Perodua Axia. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kereta Perodua Axia. FOTO Ihsan JBPM
Tatau: Remaja maut manakala 10 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan berhampiran Sungai Alit di Jalan Sibu-Bintulu, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa, Chiang Jie Yie berusia 19 tahun yang menaiki kereta Perodua Axia disahkan maut di lokasi kejadian.

"Seramai tujuh mangsa dikeluarkan oleh orang awam manakala tiga yang terperangkap di dalam kereta dikeluarkan oleh pasukan bomba.

"Kesemua mangsa diserahkan kepada paramedik untuk rawatan selanjutnya," katanya, hari ini.

Mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu untuk bedah siasat.

2 lelaki mencurigakan mundar-mandir sebelum lelaki Israel didakwa

NOOR AZLIDA ALIMIN
Lelaki Israel Avitan Shalom yang ditahan memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di sini bulan lepas, akan didakwa atas pertuduhan senjata api di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi Jumaat. Foto Bernama
Lelaki Israel Avitan Shalom yang ditahan memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di sini bulan lepas, akan didakwa atas pertuduhan senjata api di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi Jumaat. Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Sebelum pendakwaan kes berkaitan senjata api membabitkan seorang lelaki Israel di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat berlangsung, dua lelaki yang kelihatan mencurigakan telah diarah untuk menjalani pemeriksaan badan, oleh pihak polis.

Ia bermula apabila seorang daripadanya yang memakai kemeja berlengan panjang, bertanya kepada seorang anggota daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), mengenai prosiding membabitkan Avitan Shalom.

Sementara itu, lelaki kedua yang memakai kot, mendakwa seorang peguam bagi mewakili mangsa bagi kes lain.

Lelaki pertama kelihatan mundar-mandir di laluan mahkamah sebelum ditegur oleh kakitangan bahagian keselamatan mahkamah dan memintanya beredar.

Bagaimanapun, lelaki tersebut enggan berganjak dan mengambil gambar pengamal media bersama pasukan keselamatan yang menunggu, sebelum Mahkamah Sesyen dibuka.

Sementara peguam itu mendakwa telah menghubungi pihak pendakwaan bagi mendapatkan permohonan untuk mengikuti prosiding terbabit namun tetap tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai pas kebenaran.

Pihak pendakwaan ketika ditemui, mengesahkan menerima panggilan berkenaan namun tidak dapat mengesahkan kebenaran dakwaan lelaki itu.

Pada Khamis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seorang lelaki warga Israel yang ditahan di ibu negara kerana memiliki enam pistol dan 200 peluru pada 27 Mac lalu akan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Susulan itu, puluhan media termasuk jurugambar memenuhi lobi mahkamah bagi mengikuti prosiding terbabit.

Kedua-dua lelaki tidak memasuki galeri awam mahkamah sesyen, ketika pendakwaan dilakukan terhadap Avitan.

Pada pagi Jumaat, Avitan, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan memiliki 158 peluru dan memperdagangkan enam pistol, dua minggu lalu.

Sebelum ini, pihak polis mendedahkan suspek ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang dan menemui enam pistol antaranya SIG Sauer, Smith, Wesson serta Glock selain 200 peluru, pasport dari Perancis yang digunakannya untuk memasuki Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu termasuk pasport Israel.

Isnin lalu, seorang suri rumah warga tempatan, yang dikaitkan dengan kes penjualan senjata api kepada seorang warga Israel, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang atas satu pertuduhan memiliki pistol jenama LUGER, hujung bulan lalu.

Suaminya pula membuat pengakuan sama, tidak bersalah atas satu pertuduhan menyedari pemilikan senjata haram itu oleh isterinya kerana berada bersamanya.

Seorang lelaki cedera parah akibat dipijak gajah

Malaysiakini 

Seorang lelaki cedera parah akibat dipijak gajah di Tugu Peringatan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik, malam tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak Yusoff Shariff berkata mangsa berusia 55 tahun dari Bersia, di Ipoh mengalami patah kaki dan tulang rusuk dalam kejadian kira-kira 7 malam itu.

Beliau berkata mangsa diserang gajah ketika berhenti di lokasi berkenaan untuk membuang air.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Gerik dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menerima rawatan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Yusoff berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak berhenti di tepi laluan JRTB kerana kawasan sekitar yang berhutan dan gelap pada waktu malam.

"Orang ramai perlu mengambil perhatian papan tanda yang telah diletakkan memaklumkan kawasan di sekitar berkenaan merupakan tempat berkeliaran dan lintasan gajah," katanya.

- Bernama

Gudang simpanan sisa bahan kimia berjadual di Bukit Pelanduk terbakar

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
KEPULAN asap hitam kelihatan susulan tempat simpanan logistik sisa bahan kimia berjadual di Bukit Pelanduk, Port Dickson, terbakar. FOTO Ihsan pembaca.
KEPULAN asap hitam kelihatan susulan tempat simpanan logistik sisa bahan kimia berjadual di Bukit Pelanduk, Port Dickson, terbakar. FOTO Ihsan pembaca.
Seremban: Gudang simpanan logistik sisa bahan kimia berjadual dekat syarikat pengurusan sisa di Bukit Pelanduk, Port Dickson, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Sebanyak empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terpaksa digegaskan ke lokasi bagi menangani kebakaran yang berlaku kira-kira 5.50 petang.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan jam 5.58 petang sebelum jentera pertama tiba jam 6.16 petang.

"Seramai 66 pegawai bomba dari BBP Port Dickson, Seremban 2, Seremban dan Rantau ke lokasi bagi operasi memadam kebakaran.

"Maklumat diterima mendapati kebakaran membabitkan tempat logistik (Side A) simpanan sisa bahan kimia berjadual berkeluasan kira-kira 900 meter persegi musnah sepenuhnya," katanya ketika dihubungi.

Katanya, tiada mangsa dilaporkan cedera atau maut dalam kejadian itu.

"Api berjaya dikawal jam 8.18 malam. Sehingga jam 9 malam proses pemadaman masih dijalankan," katanya.

Orang ramai tidak dibenarkan mendekati kawasan berkenaan dengan pengawal keselamatan mengawal laluan masuk ke kawasan tempat pelupusan berkenaan.

Asap tebal kehitaman dapat dilihat dari beberapa kilometer di sekitar Sendayan.

Badan wanita terperangkap pada travelator

Agensi
WANITA itu diselamatkan selepas terperangkap di travelator berkenaan. FOTO Bomba Shanghai
WANITA itu diselamatkan selepas terperangkap di travelator berkenaan. FOTO Bomba Shanghai
Shanghai: Seorang wanita diselamatkan selepas terperangkap pada travelator di sebuah pasar raya di sini, baru-baru ini.

BBC melaporkan, badan bahagian bawah wanita itu terperangkap pada travelator yang rosak dan mempunyai plat lantai yang hilang, Khamis lalu.

Selepas terperangkap selama setengah jam, wanita itu berjaya diselamatkan oleh bomba.

Suaminya dikenali sebagai Lu berkata, isterinya kini dalam rawatan rapi, menjalani dua pembedahan, memerlukan graf kulit (skin graft), berisiko mendapat jangkitan dan amputasi.

Timbalan Pengarah Pentadbiran Perbandaran Shanghai untuk Pengawasan Pasaran (SMAMS), Su Dongjun, memberitahu rangkaian televisyen tempatan, semua pasukan yang terbabit dalam pengendalian travelator itu termasuk unit penyelenggaraan dan pemasangan sedang disiasat.

Su berkata, penemuan awal menunjukkan kejadian itu berpunca daripada cincin penetapan pedal travelator yang terkeluar dari tempatnya menyebabkan pedal itu terjatuh dan membawa kepada kegagalan mekanisme berhenti automatik.

Insiden orang terjatuh melalui travelator atau eskalator adalah berbahaya dan boleh menyebabkan kecederaan serius dan juga kematian.

Insiden di Shanghai bukanlah peristiwa terpencil Pada 2019, seorang jurutera yang bekerja di Stesen Waterloo di London, meninggal dunia selepas terperangkap pada travelator.

Di China - pada 2015 - seorang wanita kehilangan nyawanya selepas terjatuh ketika menggunakan eskalator di sebuah pusat beli-belah.
-hmetro 

Lagi kes dihanyutkan kepala air, seorang lemas, seorang hilang

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
ANGGOTA bomba dan APM mengangkat seorang lelaki yang lemas selepas dihanyutkan kepala air di air terjun di Kampung Sebat, Sematan, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba dan APM mengangkat seorang lelaki yang lemas selepas dihanyutkan kepala air di air terjun di Kampung Sebat, Sematan, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Kuching: Keseronokan empat sahabat mandi manda di air terjun Kampung Sebat, Sematan dalam daerah Lundu bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas manakala seorang lagi hilang selepas dihanyutkan kepala air, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, semua mangsa adalah lelaki berusia 20 tahun dengan dua daripada mereka berjaya diselamatkan penduduk kampung dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu.

Beliau berkata, mangsa yang lemas, Vincent Tiong Kung Cheng, pada mulanya berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung, namun anggota paramedik yang tiba di lokasi mengesahkannya sudah meninggal dunia.

"Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan bagi mencari seorang lagi yang masih hilang iaitu Steven Chai Pok Yee," katanya.

Menurutnya, bomba menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 4.55 petang.

"Sepasukan 11 anggota termasuk kenderaan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu diarah ke lokasi yang terletak 31 kilometer dari balai.

"Operasi SAR ditangguhkan pada jam 7 petang selepas berbincang dengan pihak polis dan anggota Jabatan Relawan Malaysia (Rela) kini mengawal kawasan itu," katanya.

Dituduh curi barang RM29, lelaki dapat ganti rugi RM13,040

Predeep Nambiar

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan sebuah pasar raya di Bukit Mertajam membayar ganti rugi dan kos RM13,040 kepada penyelia kilang yang dituduh mencuri dan ditahan penjaga stor empat tahun lalu.

Ram Kumar Raman, 61, telah menyaman Wonderful Super Mart Shop Sdn Bhd pada 2020 kerana penahanan salah. Saman itu ditolak oleh mahkamah rendah, tetapi dia membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.

Hakim Rozana Ali Yusoff yang membenarkan rayuan itu memerintahkan Wonderful membayar pampasan RM10,000 sebagai ganti rugi am, RM3,000 untuk kecederaan tisu lembut (soft tissue injury), dan RM40 sebagai ganti rugi khas.

Syarikat itu juga diperintahkan membayar faedah tahunan 5% daripada jumlah keseluruhan mulai 9 Nov 2020, iaitu tarikh saman itu difailkan. Rozana turut menganugerahkan kos RM3,000.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ram berkata dia pergi membeli-belah runcit di pasar raya itu kira-kira petang pada 4 April 2020, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separa pada kemuncak pandemik Covid-19.

Dia membawa beg plastik terpakai dengan pelekat “berbayar” yang koyak daripada pembeliannya sebelumnya di pasar raya sama dan mahu menggunakannya untuk pembeliannya pada hari itu. Dia memberitahu mahkamah bahawa dia telah memutuskan untuk menggunakan semula beg itu kerana takut dijangkiti Covid-19.

Semasa mengambil barang dari lorong dan meletakkannya di dalam beg, penyelia kedai Tan Lean Choo, 61, datang kepada Ram dan menuduhnya mencuri. Walaupun Ram menafikan dakwaan itu dan mengatakan dia masih belum selesai membeli, Tan berkeras agar dia mengikutnya ke bahagian belakang kedai, kata Ram.

Lapan barang yang diletakkan Ram dalam beg itu bernilai RM29, menurut laporan polis yang dikemukakan di mahkamah. Ia termasuk sebungkus daun teh, kacang tanah, satu tin sardin, satu paket serbuk perasa dan tiga paket gula perang.

Di bahagian belakang kedai, Ram dibawa bertemu dua lelaki, yang kemudian dikenali sebagai anak dan abang Tan, yang juga pekerja pasar raya itu. Ram mendakwa salah seorang lelaki itu menumbuk mukanya.

Insiden itu berakhir selepas dua anggota polis tiba yang kemudian menasihatinya membuat laporan polis. Mereka juga menasihatkannya mendapatkan rawatan perubatan. Hospital Bukit Mertajam kemudian mendapati dia mengalami kecederaan tisu lembut di pipi kanannya akibat serangan itu.

Dalam pembelaannya, Wonderful berkata meletakkan barang tidak dibayar ke dalam beg peribadi adalah bertentangan dengan polisi kedai kerana pembeli dikehendaki meletakkan barang dalam bakul.

Menurut pasar raya itu, pekerja menahan Ram kerana cuba meninggalkan kedai dengan barangan yang tidak dibayar. Mereka juga menafikan peristiwa yang berlaku selepas itu termasuk dakwaan serangan.

Peguam K Simon Murali mewakili plaintif, manakala Calvin Ho mewakili Wonderful.

FMT telah menghubungi peguam Wonderful untuk mengesahkan sama ada mereka akan merayu keputusan itu.

Remaja parah langgar pokok sawit tumbang

ADNAN IBRAHIM
KEADAAN dua buah motosikal yang mengalami kerosakan selepas melanggar sebatang pokok kelapa sawit yang tumbang melintangi jalan dalam kejadian di Kampung Parit Bingan, Batu Pahat pagi tadi.
BATU PAHAT – Kegembiraan tiga sahabat berhari raya di Kampung Parit Bingan di sini terbantut selepas motosikal yang mereka tunggang melanggar sebatang pokok kelapa sawit tumbang pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu melibatkan dua penunggang motosikal berusia 19 dan 18 tahun serta seorang pembonceng berusia 16 tahun.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika dua buah motosikal itu dalam perjalanan dari Kampung Parit Semarang menuju ke Pekan Parit Raja.

“Kedua-dua penunggang motosikal dipercayai melanggar pokok sawit yang tumbang atas jalan. Susulan kejadian itu, seorang penunggang cedera parah,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Ismail berkata, seorang lagi penunggang motosikal dan pembonceng mengalami kecederaan luka di tangan dan kaki. Mereka dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini untuk mendapatkan rawatan. – KOSMO! ONLINE

Kelantan: 2 suspek cuba rompak kedai emas diburu

Bernama

MACHANG: Polis sedang memburu dua lelaki disyaki terbabit dalam cubaan rompakan menggunakan senjata api di sebuah kedai emas di sini semalam.

Ketua Polis Machang, Ahmad Shafiki Hussin, berkata pihaknya menerima laporan daripada pemilik kedai mengenai kejadian itu kira-kira 2.20 petang selepas kedua-dua suspek melarikan diri menggunakan sebuah motosikal dipercayai jenis Yamaha Y15 berwarna biru dan tiada nombor pendaftaran.

“Cubaan rompak bersenjata api itu melibatkan dua lelaki yang berpakaian serba hitam, berseluar jean, memakai topi dan pelitup muka serta bersarung tangan.

“Semasa kejadian terdapat saksi yang cuba menangkap kedua-dua suspek tetapi gagal apabila mereka melarikan diri menggunakan sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian terdapat empat orang berada dalam premis tersebut iaitu pemilik kedai dan dua ahli keluarganya serta dua pekerja dan semua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan selain tiada kerugian dialami.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan,” katanya.

Zunar: Bahagian mana kartun saya hina Allah

Malaysiakini 

Kartunis Zunar menegaskan dia memadam sebuah karyanya di media sosial kerana menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam isu kalimah Allah dan bukan disebabkan Pemuda PAS Kelantan membuat laporan polis.

"Ya, saya delete kartun tersebut dalam sosial media, tetapi bukan kerana saya takut berdepan dengan laporan polis yang mereka lakukan.

"Saya tahu pasti apa yang yang lukiskan. Cuma saya rasa selepas titah YDPA terbaru, sudah sampai masanya menghentikan karya-karya mengenai isu tersebut," katanya melalui satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Pemuda PAS Kelantan pada 9 April lalu membuat laporan polis di Kota Bharu terhadap laman Facebook Zunar Cartoonist Fan Club dan menuduhnya menghina kalimah Allah.

Pun begitu Zunar berkata dia "tidak akan melayan tindakan oleh Pemuda PAS Kelantan, kerana mereka tidak ada keupayaan untuk berfikir secara intelektual."

"Kerana itu mereka tidak memahami karya-karya kartun satira," katanya.

"Tapi kepada publik ingin saya jelaskan, dalam visual kartun tersebut, bahagian manakah yang dikatakan sebagai menghina Allah atau agama Islam?

"Kepada mereka yang mahu berfikir dengan akal sihat, kartun itu hanya menggambarkan ketakutan atau fobia sesetengah golongan terhadap sesuatu lambang sehinggakan menimbulkan tafsiran berlebihan," jelas pengkarya itu lagi.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 9 April lalu berkenan menerima mengadap pimpinan kanan parti Umno dan DAP di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Dalam satu hantaran di Facebook Sultan Ibrahim, ia menyebut sesi mengadap itu bertumpu kepada perkembangan semasa berkaitan isu-isu sensitiviti agama dan kaum.

Mereka yang hadir adalah Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan; Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh; Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong.

Pada pertemuan itu Seri Paduka juga mengingatkan pemimpin politik supaya tidak melampau dalam memberikan pandangan mereka tentang isu-isu agama dan perkauman.

“Bukan hanya Umno dan DAP, tetapi juga semua parti. “Pemimpin mesti menjadi jambatan atau penghubung antara rakyat majmuk negara kita dengan contoh perilaku yang matang," titah baginda.

Adalah dipercayai sesi mengadap itu untuk menyelesaikan kekusutan berhubung kedai serbaneka KK Mart yang mengundang kontroversi selepas stoking yang tertera kalimah Allah ditemui di tiga cawangannya, bulan lalu.

Mengulas lanjut, Sultan Ibrahim betitah kejadian baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa semua lapisan rakyat mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan negara.

Titah baginda, perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sejagat Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong juga bertitah supaya bermaaf-maafan antara satu sama lain sempena Aidilfitri dan membuka lembaran baru.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap pengasas dan pengerusi eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Chai Kee Kan, pada 3 April.

Sesi mengadap di Istana Negara, Kuala Lumpur, itu berlangsung selama 15 minit.

Pada sesi mengadap itu, Chai memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka tersebut.

Sultan Ibrahim kemudian bertitah menekankan semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.

Kedai serbaneka KK Mart mengundang kontroversi selepas stoking yang tertera kalimah Allah ditemui di tiga cawangannya.

KK Mart dan bekas pembekalnya kemudiannya memohon maaf atas perkara itu dan mendakwa mereka terlepas pandang.

Pada Mac lalu, Chai, dan isterinya Loh Siew Mui, selaku pengarah telah diheret ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan didakwa dengan pertuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam.

Mereka mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Selain menjadi sasaran kempen boikot, khususnya daripada Pemuda Umno, tiga kedai serbaneka diserang cubaan bom api.

Peguam enggan jawab persoalan bagaimana boleh mewakili warga Israel didakwa

Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili Avitan Shalom, lelaki Israel yang didakwa berkaitan pemerdagangan senjata api dan pemilikan peluru, enggan menjawab persoalan bagaimana beliau boleh mewakili tertuduh.

Peguam Navinjit Singh ditanya pemberita sama ada terdapat pihak yang menghubunginya atau firma guamannya bagi mewakili Avitan yang didakwa mengikut Seksyen gagal 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan 8(1) Akta Senjata 1960.

Bagaimanapun, peguam itu yang ditemui selepas prosiding pendakwaan, berkata beliau tidak boleh mendedahkan perkara berkenaan.

Selain Navinjit, Shalom turut diwakili peguam Jeffrey Ooi.

Sementara itu, laluan ke Mahkamah Sesyen dikawal ketat anggota polis di mana pihak berkepentingan sahaja dibenarkan memasuki prosiding hari ini.

Cubaan dua lelaki yang difahamkan tiada kena mengena dengan kes untuk turut serta mengikuti prosiding, berakhir dengan kegagalan, malah seorang daripadanya diperiksa polis kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

Lelaki yang ditahan polis itu kelihatan mundar-mandir di kaki lima ketika pemberita agensi tempatan dan antarabangsa sedang menunggu kebenaran untuk dibenarkan masuk dalam kamar mahkamah.

Dia kemudian ditegur oleh kakitangan bahagian keselamatan mahkamah sebelum diminta beredar daripada lokasi terbabit.

Bagaimanapun, beliau masih mundar-mandir di kawasan itu sebelum beberapa anggota polis berpakaian preman dilihat melakukan pemeriksaan badan terhadapnya.

Lelaki kedua pula mendakwa dirinya seorang peguam yang mewakili keluarga kepada individu yang hendak dibunuh oleh tertuduh.

Perkara itu disahkan pendakwaan kemudian, bagaimanapun tidak boleh mengesahkan kebenaran dakwaan peguam terbabit.

Beliau bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki mahkamah kerana hanya pemberita yang memiliki pas media sahaja yang dibenarkan mengikuti prosiding, selain polis, timbalan pendakwa raya dan peguam.

Media sebelum ini melaporkan Shalom yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport Perancis, untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan perbalahan terhadap seteru.

‘Bukan kempen boikot ekonomi jadi teruk, tapi sebab ada menteri bodoh’

Malaysiakini 

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh menafikan kempen boikot yang dicadangkannya  sebagai punca ekonomi negara semakin teruk.

Sebaliknya, dia berkata, ia adalah kerana menteri "bodoh" seperti Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, kata Akmal dalam satu hantaran di Facebook.

“Dulu zaman Najib Razak kita buat je kempen boikot,tetapi ekonomi tetap naik dengan baik,” katanya.

Semalam, Nga membuat hantaran di X mengatakan bahawa pekerja tempatan sedang menanggung sengsara  akibat boikot yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Jangan sekali masuk dalam perangkap penghasut, negara kita memerlukan usaha semua pihak untuk membangunkan ekonomi negara, kata Nga.

Dia turut memuat naik tangkapan skrin daripada laporan media Cina dalam ciapan tersebut.

Akmal sebelum ini telah membuat gesaan supaya orang ramai memboikot kedai serbaneka KK Mart susulan dikesan beberapa cawangan kedai itu menjual stoking yang tertera kalimah Allah. 

Dia juga mengajak orang ramai untuk memboikot produk keluaran syarikat selebriti dan usahawan kosmetik Aliff Syukri yang mengeluarkan video pendek lagu raya yang dilihat keterlaluan terutama di tengah bulan Ramadan.

Berikutan itu, KK Mart mengeluarkan permohonan maaf kepada semua pelanggannya, khususnya masyarakat Islam, dan mengesahkan bahawa tindakan segera telah diambil untuk menghentikan penjualan stoking berkenaan.

Namun keadaan terus hangat sehingga mengakibatkan percubaan mengebom KK Mart cawangan di Bidor, Perak, dakwaan ugutan membakar kilang pembekal KK Mart Xin Jian Chang Sdn Bhd di Muar, Johor dan Akmal sendiri berdepan ugutan bunuh dibuat terhadapnya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kemudiannya campur tangan dan menyeru semua pihak supaya berhenti mengambil kesempatan terhadap isu itu, sambil bertitah perkara tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa.

Tetapi, Akmal sebaliknya mempersoalkan sama ada Seri Paduka secara khusus meminta agar kempen boikot dihentikan.

Sebelum ini Akmal pernah bertikam lidah dengan Nga berhubung perkara itu.

Nga menggesa Akmal supaya berhenti menghasut sentimen perkauman dan agama kerana ia mungkin menjadi masalah kepada Umno.

"Kalau kamu kata mempertahankan kalimah Allah dengan memboikot KK Mart itu hasutan, teruskan bro!" kata Nga.

"(Saya) tidak takut langsung. Prinsip Umno adalah untuk mempertahankan Islam, bumiputera dan kerabat diraja Melayu, dan ini tidak akan berubah. Itu yang Pemuda Umno akan pegang sehingga mati," balas Akmal.

Pada 9 April lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima mengadap pimpinan kanan parti Umno dan DAP di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Mereka yang hadir adalah Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan; Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh; Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong dan Akmal sendiri.

Seri Paduka juga mengingatkan pemimpin politik supaya tidak melampau dalam memberikan pandangan mereka tentang isu-isu agama dan perkauman. 

Sekeping Gambar Buatkan Tentera Laut Amerika Syarikat Jadi “Bahan Lawak” Seluruh Dunia

DSA
Amerika Syarikat
Gara-gara sekeping gambar seorang komandernya memegang senjata dengan skop raifal yang terbalik, Tentera Laut Amerika Syarikat telah menjadi bahan lawak bukan sahaja dikalangan rakan seperjuangan dalam Angkatan Tentera Amerika Syarikat tetapi juga seluruh dunia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) –Disebabkan sekeping gambar yang disiarkannya (sebelum ditarik balik), Tentera Laut Amerika menjadi bahan lawak bukan sahaja dikalangan rakan-rakan seperjuangannya dalam Angkatan Tentera Amerika Syarikat tetapi juga anggota tentera seluruh dunia.

Semuanya gara-gara sekeping gambar yang disiarkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat menerusi akaun Istagram miliknya beberapa hari lalu yang menunjukkan pegawai memerintah kapal destroyer USS John S.McCain Komander Cameron Yaste sedang memegang raifal M4 sambil melihat menerusi skop raifal (rifle scope).

Apa yang menarik perhatian ramai terhadap gambar yang dikeluarkan oleh akaun Instagram Tentera Laut Amerika Syarikat itu adalah kedudukan skop raifal digunakan oleh komander kapal perang Amerika Syarikat yang telah dipasang secara terbalik.

Malah kedudukan alat pemegang (foregrip) senjata api itu juga dipasang agak pelik.

Posting gambar Komander Cameron memegang senjata api dengan skop raifal jelas terbalik itu diiringi dengan kapsyen,”Daripada terlibat dengan latihan menembak, melaksanakan penyelenggaraan, menguji ketulenan bahan api dan terlibat dalam perkara-perkara di perairan dan lain-lain. Tentera Laut Amerika Syarikat sentiasa bersedia untuk berkhidmat dan menjadi pelindung.”
Amerika Syarikat
Kor Marin Amerika Syarikat mengeluarkan gambar menunjukkan anggotanya mengoperasikan senjata api dengan kedudukan skop raifal telah dipasang dengan betul. (USMC)
Gambar itu diambil ketika USS John S. McCain sedang bertugas di kawasan operasi Armada ke-7.

Kedudukan skop raifal yang secara jelas telah dipasang terbalik telah mengundang pelbagai reaksi daripada komuniti ketenteraan bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi juga di seluruh dunia, yang menganggap negara kuasa besar dunia itu sebagai kuasa ketenteraan nombor satu dunia.

Ada dikalangan netizan menyatakan bahawa Hollywood juga tidak mungkin melakukan kesilapan sebagaimana dilakukan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat yang memasang skop raifal secara terbalik.

Tidak lama selepas menyiarkan gambar itu yang telah mengundang pelbagai reaksi dan komen-komen nakal, Tentera Laut Amerika Syarikat telah menarik balik gambar itu.

Antara yang paling awal membuat lawak hasil daripada penyiaran gambar “komedi” oleh Tentera Laut Amerika Syarikat adalah Kor Marin Amerika Syarikat (USMC – United States Marine Corps).

Kor Marin Amerika Syarikat telah mengeluarkan sekeping gambar menunjukkan anggotanya sedang melepaskan tembakan menggunakan senjata api mereka sambil melihat menerusi skop raifal mereka yang dipasang dengan betul.

Anggota Kor Marin Amerika Syarikat itu melepaskan tembakan dalam latihan di atas kapal Amphibious Assault Ship USS Boxer.

Kapsyen gambar oleh USMC itu diiringi dengan kapsyen,”Clear Sight Picture (Penglihatan Yang Jelas)”, yang merupakan satu sindiran bahawa anggota Kor Marin itu dapat melihat dengan jelas sasarannya kerana skop raifalnya telah dipasang dengan betul.

Wakil rakyat negara itu, Perwakilan Mike Collins (Republikan) turut tidak terlepas dalam memberikan sindirannya dengan menyatakan bahawa Tentera Laut Amerika Syarikat kini mempunyai senjata baru.

“Ini adalah senjata baru yang digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat,” katanya menerusi akaun X (dahulu dikenalisebagai X). — DSA

Kelindan lori tak mengaku tikam adik tiri

Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
L Thiyagaraj dituduh menikam adik perempuan tirinya menggunakan pisau di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
L Thiyagaraj dituduh menikam adik perempuan tirinya menggunakan pisau di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Teluk Intan: Kelindan lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menikam adik tirinya menggunakan pisau, Isnin lalu.

Bagaimanapun L Thiyagaraj, 52, tidak mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret T Ashvinii.

Berdasarkan pertuduhan, bapa anak satu itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas L Dewi, 31, dengan menggunakan pisau pemotong sayur di sebuah rumah di Taman Muhibbah di sini, jam 8 malam, Isnin lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua hukuman berkenaan.

Tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan, iaitu penjara hingga dua kali ganda daripada hukuman penjara yang dikenakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Noor Aisyah Mat Isa manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh berjumpa dengan mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 9 Mei depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tangkapan terhadap lelaki itu dibuat susulan laporan polis dibuat oleh mangsa yang mendakwa cedera di bahagian belakang badan akibat ditikam abang tirinya.

Kejadian itu dikatakan berpunca daripada pertengkaran mulut antara mangsa dan tertuduh sebelum lelaki itu bertindak di luar kawalan dengan mengambil pisau pemotong sayur dan menikam mangsa sebanyak sekali.

Lelaki memandu tanpa lesen, cukai jalan dicekup bawa mercun

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Sebuah kereta jenis BMW 328i(a) yang ditahan di Kampung Kusial Baru, Tanah Merah semalam. FOTO IHSAN POLIS
TANAH MERAH – Polis menjumpai satu kotak berisi pelbagai jenis mercun selepas menahan pemandu sebuah kereta yang cuba meloloskan diri akibat memandu tanpa lesen dan cukai jalan kereta tamat tempoh di Kampung Kusial Baru, di sini semalam.

Lelaki yang memandu kereta jenis BMW 328i(a) itu ditahan semasa cuba melarikan diri sejauh dua kilometer selepas membuat pusingan U di simpang tiga Taman Kota Harmoni, di sini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, anggota polis bertindak untuk menahan kereta tersebut selepas melihat pemandunya membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan.

Menurutnya, kereta itu kemudiannya memecut laju dan dipandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Suspek berjaya ditahan selepas dikejar anggota polis sejauh dua kilometer. Pemeriksaan di dalam but kereta itu menjumpai satu kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun.

“Lelaki itu mengaku kesemua mercun itu untuk kegunaannya sendiri. Dia juga bertindak melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan kereta tersebut tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Haki memberitahu, siasatan lanjut mendapati, cukai jalan kereta tersebut tamat pada 8 Oktober 2021, namun tiada sebarang rekod kenderaan hilang.

Menurutnya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Remaja maut kemalangan: Koperal polis ditahan

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

Melaka: Anggota polis berpangkat koperal ditahan bagi membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal dengan kenderaan polis, kelmarin.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, anggota terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah pada 9 pagi tadi.

Menurutnya, ketika ini rakaman percakapan masih dijalankan terhadap anggota berusia 37 tahun itu.

"Saringan ujian air kencing turut dijalankan dan anggota berkenaan bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainol berkata, sehingga kini pihaknya menerima enam laporan berkaitan insiden berkenaan dan tiga rakaman percakapan termasuk ahli keluarga mangsa sudah dilengkapkan.

Menurutnya, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas mangsa meninggal dunia di Hospital Melaka pada 12.37 tengah malam semalam.

Beliau turut mengulangi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan profesional.

"Orang ramai yang melihat kejadian diminta menghubungi IPD Alor Gajah di talian 06-5563222 bagi membantu siasatan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan remaja meninggal dunia selepas 'bertarung nyawa' di Hospital Melaka (HM) akibat parah selepas terbabit kemalangan dengan kenderaan polis di Jalan Gangsa Kesang, Durian Tunggal, di sini, awal pagi Rabu lalu.

Mangsa Mohammad Khairul Basahri, 18, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman.

Siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada 2.56 pagi semasa pacuan empat roda polis terbabit melakukan tugas rondaan cegah lumba haram sebelum dilanggar oleh motosikal ditunggang mangsa.

Rumah Rafizi ‘dipecah masuk’, suspek menyorok di celah-celah pokok

KOSMO!
Gambar 'suspek' yang dikongsikan oleh Rafizi di laman Facebook beliau, hari ini.
PETALING JAYA – Kediaman rasmi Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini ‘dipecah masuk’ oleh 10 ‘suspek’ yang  bertindak menggeledah rumah beliau dan membuatkan kawasan dapur rumahnya bersepah.

Menurut Rafizi, kesemua 10 suspek tersebut juga telah memusnahkan pokok bunga plastik yang terletak di atas kabinet dapur.

“Saya dapati, beberapa suspek cuba melarikan diri ke tingkat atas rumah dan melarikan kelengkapan senaman tuan rumah, tetapi tidak berjaya.

“Suspek terakhir ditangkap semasa sedang bersembunyi di celah-celah pokok,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Beliau berkata, motif pecah masuk tersebut dipercayai akibat rasa tidak puas hati 10 suspek yang ditinggalkan sendirian di rumah sepanjang Hari Raya Aidilfitri.

Meninjau ke ruangan komen, orang ramai mengakui berasa panik dan terkejut setelah membaca hantaran tersebut.

Namun, netizen kemudiannya menyuarakan rasa geli hati dan terhibur dengan keletah ‘suspek’ yang juga merupakan kucing peliharaan Rafizi yang membuat onar ketika beliau pulang ke kampung.

“Saya rasa terhibur dengan hantaran ini. Sekejap lagi saya akan uar-uarkan berita ini kepada semua orang kampung,” kata Alin.

“Cuba tanya suspek sama ada mereka daftar Padu ke tidak,” Abdel.

“Suspek mesti tidak puas hati kerana harga makanan mereka tidak turun-turun,” kata Shaiful.

Kini, hantaran tersebut telah menerima 4,700 tanda suka dan 1,300 komen. – KOSMO! ONLINE

Terjun: Wanita tersangkut dalam selut bawah Jambatan P.Pinang

Malinda Abdul Malik
8bccde6e-f714-4102-92f1-34c7a8826fe9-681x511
Mangsa diselamatkan bomba selepas tersangkut pada selut susulan air surut.
GEORGE TOWN – Seorang wanita yang bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang diselamatkan pihak polis selepas dia tersangkut pada selut bawah jambatan berkenaan awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.28 pagi berhubung kejadian sebelum sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai bergegas ke lokasi.

“Hasil semakan mendapati wanita berusia 36 tahun itu meninggal kereta jenis Perodua Axia di Kilometer 1.0 jambatan berkenaan dari arah Perai sebelum bertindak terjun.

“Ketika kejadian, air laut surut sekali gus menyebabkan mangsa tersangkut di dalam selut.

79c46e11-e533-441f-b4bf-f55dc82b433c
Mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Mangsa ditemui empat kilometer dari lokasi dia terjun dan kita lakukan kerja-kerja menyelamat wanita itu sebelum dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

Pelajar maut rempuh belakang treler

Nazdy Harun
am@hmetro.com.my
Bahagian belakang treler yang dirempuh motosikal dalam kejadian kemalangan maut di Jalan Kampung Kepong. FOTO IHSAN PDRM
Bahagian belakang treler yang dirempuh motosikal dalam kejadian kemalangan maut di Jalan Kampung Kepong. FOTO IHSAN PDRM
Kuala Terengganu: Seorang pelajar maut selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum merempuh belakang sebuah treler di Jalan Kampung Kepong, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian jam 2.30 pagi membabitkan motosikal jenis Honda Wave dan sebuah treler.

Katanya, motosikal ditunggang Muhammad Alauddin Shammunaha, 16, dari Kampung Kepong menghala ke tempat pembuangan sampah yang turut dibonceng dua lagi individu.

"Treler terbabit pula sedang parkir di kaki lima di hadapan Loji Air Kepong 1, dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa mangsa sedang bergerak di laluan.

"Secara tiba-tiba mangsa hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan lalu melanggar bahagian belakang treler berkenaan.

"Kemalangan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 4 pagi ketika menerima rawatan di HSNZ manakala dua lagi pembonceng mengalami luka di tangan dan kaki.

Katanya, bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kelantan: Lawan bedil mercun, 4 lelaki ditahan

Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
FOTO Tular
FOTO Tular

Kota Bharu: Polis menahan empat lelaki selepas disyaki berlawan bermain mercun kejadian di Lembah Sireh di sini, semalam.

Terdahulu, tular satu video berdurasi lima minit 16 saat yang dimuat naik di media sosial yang memaparkan kejadian sekumpulan lelaki sedang bermain mercun.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihak polis menahan empat lelaki berusia antara 22 hingga 27 tahun untuk tindakan lanjut.

Katanya, sebelum itu, jam 3 pagi semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima maklumat berkenaan bunyi bising di mana beberapa lelaki bermain mercun di sekitar kawasan Pasaraya Lotus's Lembah Sireh.

"Sehubungan itu, sepasukan polis dari IPD Kota Bharu ke lokasi kejadian dan mendapati sekumpulan individu bermain mercun secara berlawanan antara dua belah pihak di mana satu pihak berada di kawasan tepi Pasaraya Lotus's, manakala satu pihak lagi berada di atas Jambatan Sultan Yahya Petra.

"Polis menahan empat lelaki sebelum dibebaskan selepas diambil keterangan dan satu amaran keras dikeluarkan terhadap mereka supaya tidak mengulangi perbuatan itu pada masa akan datang," katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan pihak polis di tempat kejadian tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan berhubung kejadian itu.

Namun katanya, bermain bunga api sehingga mengganggu ketenteraman atau membahayakan orang awam adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Individu yang sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat untuk menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda boleh dikenakan tindakan mengikutSeksyen 7 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207) yang boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

"Justeru, PDRM menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab serta mengamalkan langkah-langkah keselamatan ketika mengendalikan bunga api dalam mana-mana sambutan perayaan di negara ini," katanya.

Remaja maut motosikal langgar kenderaan polis

Bernama
ALOR GAJAH: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka selepas dipercayai merempuh kenderaan polis yang sedang menjalankan rondaan Op Cegah Lumba Haram di Jalan Gangsa-Kesang, Durian Tunggal, di sini, pada 1 Syawal.

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah berkata, Mohammad Khairul Basahri, 18, yang menunggang Yamaha 135 LC meninggal dunia akibat kecederaan dalaman, selain patah kaki dan paha dalam kejadian 2.56 pagi Rabu.

“Polis Melaka mengesan video 40 saat yang tular di media sosial memaparkan kemalangan itu melibatkan pacuan empat roda polis dengan sebuah motosikal ditunggang mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Sebelum kejadian, kenderaan polis dipandu anggota 37 tahun dari Balai Polis Durian Tunggal ke lokasi terlibat susulan aduan awam berkaitan bunyi bising dan aktiviti lumba haram di kawasan itu, sebelum menyalakan lampu mata arah serta bunyi siren bagi memberi amaran kepada kumpulan motosikal terbabit.”

Beliau berkata, menyedari kehadiran polis di kawasan itu, penunggang motosikal yang sedang berkumpul di tepi jalan bertindak melarikan diri.

Ketika kenderaan polis itu sedang membelok ke arah kanan jalan, katanya, mangsa yang menunggang motosikal dari arah bertentangan merempuh pacuan empat roda terbabit.

Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Melaka sebelum meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi hospital itu pada 12.37 tengah malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Beliau berkata, polis Melaka memastikan siasatan kes terbabit dijalankan secara telus serta profesional dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Alor Gajah di talian 06-5563222 bagi membantu siasatan lanjut.

Ismail Haniyeh sahkan tiga anaknya terbunuh

Malaysiakini 

Pemimpin tertinggi Hamas Ismail Haniyeh mengesahkan  bahawa tiga anak lelakinya terbunuh dalam serangan udara terbaru rejim Israel ke atas Gaza.

Media berkaitan Hamas berkata, memetiknya sebagai berkata, kereta yang dinaiki anak lelakinya diserang di kem Al-Shati berhampiran Bandar Gaza.

Menurut BBC, Haniyeh dilaporkan berkata bahawa insiden berkenaan  tidak akan mengubah tuntutan Hamas dalam perbincangan yang bertujuan mencapai perjanjian gencatan senjata.

Tentera Israel berkata anak lelaki Haniyeh itu adalah anggota sayap tentera Hamas.

Kumpulan itu dilaporkan dalam perjalanan menyambut Aidilfitri bersama keluarga mereka.

Haniyeh memberitahu stesen Al Jazeera bahawa tiga anak lelaki - Hazem, Amir, dan Muhammad - tinggal di Gaza semasa perang.

Kenyataan Hamas kemudiannya menyebut empat cucu Haniyeh - Mona, Amal, Khaled dan Razan - adalah antara mereka yang terbunuh dalam apa yang mereka panggil sebagai serangan "khianat dan pengecut".

Haniyeh berkata, dia dimaklumkan mengenai berita itu ketika dia melawat rakyat Palestin yang cedera yang dibawa untuk rawatan di ibu kota Qatar, Doha, tempat  pemimpin Hamas itu tinggal.

"Musuh akan menjadi delusi jika mereka fikir bahawa menyasarkan anak-anak saya, pada kemuncak rundingan [gencatan senjata] dan sebelum pergerakan itu menghantar tindak balasnya, akan mendorong Hamas untuk mengubah kedudukannya," katanya kepada Al Jazeera.

Dalam komen yang dilaporkan di saluran Telegram Hamas, dia bersyukur kepada Allah atas "penghormatan" yang dianugerahkan kepadanya dengan apa yang disebutnya sebagai "syahid buat anak-anak dan cucu-cucunya".

Menurut tentera Israel, mereka berjaya  "menghapuskan tiga operasi sayap tentera Hamas di tengah Semenanjung Gaza", sambil menambah bahawa mereka adalah anak kepada Ismail Haniyeh. Kenyataan itu tidak menyebut tentang kematian cucu Haniyeh yang dilaporkan.

Bermalam di lokap

Muhaimin Sulam
story-image
(Artikel ini bersempena tarikh Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada 14 April 1999 ekoran tuduhan salah guna kuasa.)

Waktu itu, malam pertama di lokap – malam yang payah sekali melelapkan mata, biar kelopak mata dipaksa-paksa memejam rapat. Sekejap mengiring ke kiri, ke kanan, terlentang. Mahu meniarap terasa sesak dada pula. Malam itu adalah malam yang panjang. Teringat cerita Ahmad Boestamam semasa darurat. Fajar siang sangat lambat. Saya dapat rasai apa yang alami oleh mereka dipenjara. Terasa begitu terasing, terpisah dan jauh.  

Ingin tahu waktu, tidak tahu kecuali bertanya dengan anggota polis yang bertugas. Baru pukul dua pagi. Selang beberapa ketika tanya lagi. Baru jam tiga pagi. Sampailah waktu subuh bila terasa sayup-sayup suara azan kedengaran di celah lubang lokap. Teringat pesan bapa dan tok guru, solatlah malam apabila begitu.

Teringat juga  cerita Syed Qutb, Imam Abu Hanifah terpenjara dalam buku-buku yang pernah saya baca. Malam itu mula terasa mahu bermunajat. Rindu memanjatkan doa kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Tiada apa yang mampu saya lakukan kecuali mengisi malam dengan solat.

Ayat al-Quran yang sama diulang-ulang baca. Terasa kesal tidak banyak surah yang dihafal.

Mulalah fikiran melayang mengenang anak isteri yang terpaksa ditinggalkan. Anak-anak masih kecil mungkin mereka tidak faham mengapa bapa mereka masih belum pulang. Ibu mereka pun enggan berterus terang.

Memujuk dengan mengatakan bahawa bapa mereka sedang berkursus. Anak-anak kecil percaya pujukan ibunya. Begitulah adat anak-anak yang bersih hati dan jiwanya.

Pada masa itulah saya memujuk hati. Bersabarlah. Inilah ujian yang Tuhan berikan kepada kamu. Jika kamu tabah dan sabar, nescaya Allah SWT akan kurniakan kemudahan dan keringanan pada masa hadapan.

Mungkin ini ujian untuk meningkatkan takwa dan hampir diri dengan Allah SWT. Bermacam-macam jenis monolog malam pertama itu.

Jika diberikan saya sekeping kertas dan mata pena, nescaya saya akan tulis puisi dan warkah dari lokap. Malam pertama banyak angan dan bayangan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran. Terasa seperti menjadi pejuang hebat. Terasa bangga membuktikan jalan perjuangan yang dipilih. Banyak perasaan yang bermain dalam pemikiran ketika itu.

Sejuk lantai simen lokap ada waktu mengurangkan kehangatan udara malam. Tiada ruang udara kecuali lubang kecil berjeriji dan atas bumbung yang terbuka. Jika hujan, pasti tempias air masuk ke dalam sel.

Apabila panas, melekit-lekit badan berpeluh. Saya memilih tidak memakai baju seragam lokap kerana baunya tidak menyenangkan. Rela tidak berbaju.

Sepanjang tujuh malam itu, saya pilih tidur di koridor menghadap pintu lokap yang sedikit berudara dari luar. Lokap yang mempunyai empat sel dan tiga tandas tanpa pintu terpaksa dikongsi lebih 30 orang pada masa itu.

Ikut peraturannya, lokap itu untuk 25 orang sahaja. Memang sendat macam ikan sardin dalam tin. Tiada selimut dan bantal. Kami tidur di atas lantai bersimen. Jika ada yang menyebut lokap atau penjara VIP berbeza, saya tidak tahu.

Tak rasa aib kena lokap

Saya bersama berbelas-belas OKT (orang kena tahan) ditangkap kerana himpunan Black 14 pada tahun 2000. Kami ditangkap di hadapan Masjid Negara kemudian dibawa ke lokap balai polis Cheras. Mak bapa saya terpaksa rahsiakan penahanan saya.

Tidak pernah terlintas dalam kepala bapa dan keluarga bahawa ada cucu Kiyai Yasin masuk dalam lokap. Pada masa itu, yang masuk lokap ialah pencuri, penagih dan penjenayah. Arwah bapa cakap yang masuk lokap ialah orang jahat.

Arwah bapa, mak dan isteri mahu jumpa dengan saya  tetapi pihak balai tidak benarkan kecuali pada hari ketiga atau keempat. Itupun setelah puas arwah bapa minta.
Pemimpin PAS hadir di mahkamah untuk memberi sokongan
Mereka datang dari kampung. Jauh dari Kuala Lumpur. Semasa itu, dramatik pertemuan kami tiada hendak dibayangkan. Semalam dua terasa setahun lamanya. Apatah lagi jika enam tahun atau 12 tahun.  

Saya dan rakan-rakan dibebaskan atas perintah mahkamah sesyen di bangunan Sultan Abdul Samad pada hari ke lapan. Semangat perjuangan saya semakin kuat. Arwah bapa tidak lagi berasa malu atau kecewa anaknya dilokap.

Ini kerana saya dilokap bukannya kerana merompak, mencuri, rasuah dan seumpamanya. Saya ditangkap kerana menyertai perhimpunan sempena setahun Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun.

Saya ketika itu ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak. Kebanyakan yang menyertai himpunan reformasi adalah penyokong Anwar, ahli PKR dan ahli bawahan PAS.  

Oleh sebab itu, penahanan saya ketika itu mengejutkan pimpinan Pemuda PAS dan penyokong PAS. Memang tiada arahan daripada pimpinan PAS  untuk menyertai perhimpunan haram itu.

Saya pun tidak mahu kena tangkap semasa perhimpunan itu. Sesekali cabut lari daripada dikejar oleh polis dan FRU. Sedaya upaya tidak mahu kena tangkap. Namun sudah ditakdirkan saya kena tangkap pada petang itu bersama seorang lagi anak muda yang pergi ke Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan.

Kini anak muda itu menjadi hakim di salah sebuah mahkamah di tanah air kita. Tentu dia akan teringat momen ini apabila mahu membuat sesuatu hukuman kepada yang sabit bersalah.

MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tragedi solat Aidilfitri: 3 maut, 3 lagi parah dirempuh kereta, pemandu positif ganja

Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
Teluk Intan: Hajat enam lelaki warga Pakistan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri berakhir tragedi apabila tiga antara mereka maut, manakala tiga lagi parah akibat dirempuh sebuah kereta di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Bidor, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, ketika kejadian semua mangsa berjalan kaki dari rumah ke masjid berhampiran.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 8.10 pagi.

"Hasil siasatan di tempat kejadian, kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan dan seterusnya terlanggar enam pejalan kaki yang melalui bahu jalan terbabit.

"Akibat kemalangan itu, tiga daripada mereka yang berusia antara 20 hingga 35 tahun disahkan meninggal dunia, manakala tiga lagi cedera parah dan dirawat di Hospital Teluk Intan.

"Semua mangsa mempunyai permit dan dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap pemandu Proton Saga mendapati lelaki terbabit positif ganja dan polis bertindak menahan suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959 atau 05-6122222 bagi membantu siasatan," katanya.