Status 7 wakil rakyat paling tadah, Bersatu sudah putuskan

Nor Azizah Mokhtar
am@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah memuktamadkan keputusan status tujuh wakil rakyatnya yang berpaling tadah.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat MPT Bersatu semalam yang dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Status tujuh wakil rakyat yang berpaling tadah telah diputuskan dan Majlis Pimpinan Tertinggi mengarahkan Setiausaha Agung untuk membuat tindakan susulan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, tujuh wakil rakyat Bersatu termasuk enam ahli Parlimen mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Seorang Adun Bersatu pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shaari ialah Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Dalam pada itu, Hamzah berkata menerusi mesyuarat semalam juga, MPT memutuskan untuk Muhyiddin kekal sebagai Presiden Bersatu bagi pemilihan akan datang.

"MPT mematuhi ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu pada 25 November 2023 yang sebulat suara memutuskan Muhyiddin kekal sebagai Presiden bagi pemilihan akan datang," katanya.

Dalam pada itu, katanya Bersatu juga kekal mengikut Perlembagaan parti bagi pertandingan untuk jawatan-jawatan lain, dengan calon yang berhasrat untuk bertanding pada pemilihan Oktober ini perlu memohon kepada Majlis Pimpinan Tertinggi selari dengan Fasal 14.14 dan 14.16 Perlembagaan Bersatu.

"Parti turut melantik Datuk Dr Radzi Jidin serta Abdullah Omar Bledram sebagai Ketua Bahagian (Penaja) Putrajaya dan Ketua Bahagian (Penaja) Labuan yang baharu.

"Pada masa yang sama, mesyuarat turut membincangkan banyak perkara membabitkan situasi terkini ekonomi negara, beban kos sara hidup rakyat yang tiada penyelesaian, isu penyasaran subsidi bahan api oleh kerajaan serta senario semasa politik negara yang meresahkan," katanya.

Hamzah berkata, mesyuarat turut memutuskan beberapa tarikh persidangan antaranya persidangan peringkat cawangan akan diadakan pada 30 Julai hingga 31 Ogos ini, manakala persidangan peringkat cawangan pada 12 hingga 26 Oktober ini.

Selain itu, Perhimpunan Agung Sayap Bersekutu dan Srikandi Muda akan diadakan pada 28 November ini, Perhimpunan Agung Sayap Armada dan Srikandi pada 29 November ini dan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 30 November hingga 1 Disember ini.

Lelaki hilang ditemukan tinggal rangka

CHERINE JON
Anggota SAR membawa rangka mangsa yang dijumpai di laluan ke kebunnya dalam radius 200 meter dari lokasi motosikalnya dijumpai.
SRI AMAN – Lelaki yang dilaporkan hilang ketika mencari rebung di kawasan kebun berhampiran Rumah Suyong Stumbin, di sini kira-kira 48 hari lalu ditemukan tinggal rangka hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, PPgB Andrew Vengitasamy berkata rangka dipercayai milik Sebli Paying, 52, itu dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) susulan  penemuan terbaru iaitu motosikal mangsa semalam.

“Operasi pencarian pada pukul 10.35 pagi dari lokasi terakhir motosikal mangsa dijumpai ke kawasan kebun mangsa, menggunakan kaedah anjing pengesan Daisy (Unit K9) dan ‘sweeping’.

“Kira-kira pukul 11.35 pagi, pasukan SAR menemukan rangka mangsa di laluan ke kebun mangsa dalam radius 200 meter dari lokasi motosikal mangsa dijumpai. rangka mangsa itu seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.-KOSMO! ONLINE

'Jangan buat lawak' - Pemuda Umno Johor beri amaran pada Adun DAP

Alyaa Alhadjri

Pemuda Umno Johor memberi amaran kepada Adun Stualang, Andrew Chen berhubung program kewarganegaraan anjurannya yang menimbulkan kecaman di media sosial.

Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambrose menggesa program itu dibatalkan meskipun Chen mengumumkan program yang dijadualkan pada 30 Jun itu ditangguhkan.

"Jangan cuba buat lawak... Kamu akan terkejut jika kamu cuba buat sesuatu yang lucu," kata Noor Azleen kepada pemberita di Johor petang ini.

Difahamkan kontroversi timbul berikutan tajuk awal program itu yang dinamakan sebagai “Program Permohonan Kewarganegaraan”.

Bagaimanapun tajuk program berkenaan dilihat telah ditukar kepada “Taklimat dan Penerangan Kewarganegaraan” di Faceboook Chen.

Sementara itu, Noor Azleen mempersoalkan keperluan Adun DAP itu menganjurkan program sedemikian.

Menurutnya, program seumpama itu sepatutnya dikendalikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Dalam Negeri.

“Tidak ada sebab bagi parti politik untuk terlibat dalam aktiviti seperti ini. Ia sepatutnya dilakukan oleh agensi-agensi berkaitan.

“Apatah lagi sekarang menteri dalam negeri juga adalah dari kalangan mereka (PH),” tambahnya, merujuk kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Azlene berkata walaupun dia tidak mengulas isu lain seperti isu sekolah vernakular yang didakwa sebagai provokasi, namun ada hal tertentu seperti hak kewarganegaraan yang tidak boleh dikompromi.

Terdahulu, Chen menjelaskan program itu bertujuan untuk menangani isu membabitkan individu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa dan sebab-sebab lain.

Teksi ‘berdiri’ selepas rempuh patung pelawak

KOSMO
PATUNG Wood (gambar bawah kiri) tumbang manakala teksi yang melanggarnya seolah-olah berada dalam keadaan berdiri di Manchester baru-baru ini. - Foto Bury Times
LONDON – Sebuah teksi melanggar patung pelawak wanita, mendiang Victoria Wood yang menyebabkan struktur tersebut tumbang, lapor portal berita MailOnline semalam.

Patung itu mengalami kerosakan serius, manakala teksi tersebut pula berada dalam keadaan seperti ‘berdiri’. Kemalangan berlaku kira-kira pukul 10 malam (waktu tempatan) di Bury, Manchester, Isnin lalu.

Pada keesokan harinya, pihak majlis perbandaran mengumumkan akan mengalihkan patung itu. 

Namun, saudara lelaki mendiang, Chris Foote-Wood berkata, dia mahu pihak majlis meletakkan beberapa tiang kecil di hadapan patung tersebut untuk mengelak kejadian serupa berulang.

Patung pelakon, penulis dan pemuzik  itu didirikan di Bury, Greater Manchester pada 2019 berhampiran tempat Victoria dibesarkan. Dia meninggal dunia akibat  kanser pada 2016.

Tiada tangkapan dibuat, namun  pemandu kenderaan itu dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan tetapi tidak serius. – AGENSI

DAP buat taklimat penerangan warganegara untuk soaps?

JPN tak terlibat program taklimat, penerangan warganegara

Bernama

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak terlibat sama sekali dalam penganjuran satu program taklimat dan penerangan kewarganegaraan seperti yang tular di media sosial sebelum ini.

JPN dalam kenyataan hari ini menegaskan program itu bukan anjuran bersama jabatan itu, malah tiada jemputan penyertaan ke program terbabit diterima JPN.

Jabatan itu turut menjelaskan sebarang permohonan berkaitan kewarganegaraan hanya boleh dibuat di kaunter Pejabat JPN dengan kehadiran pemohon itu sendiri.

“JPN ingin menegaskan penganugerahan taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh Kerajaan Malaysia kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi syarat.

“Proses yang dilaksanakan oleh kerajaan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung poster penganjuran “Program Taklimat dan Penerangan Kewarganegaraan” yang dijadualkan berlangsung pada 30 Jun di Plaza Sentosa, Johor Bharu.

Berdasarkan kandungan hebahan itu, ia dianjurkan oleh seorang ahli politik dari Johor.

- Bernama

3 lelaki dikenal pasti bantu wanita promosi aktiviti persundalan, jual ubat kuat

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
SUSPEK yang ditahan polis
SUSPEK yang ditahan polis
Kuala Lumpur: Wanita yang ditahan terbabit dengan aktiviti promosi seks dan penjualan ubat kuat di laman sosial dibantu tiga lelaki untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, seorang lagi lelaki yang ditahan itu dikenal pasti teman lelaki kepada wanita yang berasal dari negeri utara tanah air terbabit.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 292(a) kanun sama, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan wanita terbabit ditahan polis di Bandar Bukit Mahkota, Bangi di Selangor, selepas disyaki terbabit aktiviti terbabit di laman sosial sehingga mampu meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.

Aktiviti persundalan itu dilakukan wanita terbabit bersama empat lagi suspek yang turut ditahan.

Siasatan mendapati kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan dua wanita itu menjalankan aktiviti mempromosikan aktiviti seks di laman sosial, menjual rakaman video lucah dan menjual ubatan seks melalui laman sosial.

Punca dua digit terakhir terbalik: Tersalah ‘transfer’ RM30,000, wanita dipuji tak ambil kesempatan

FATIN FILZATI BADRUL
Paparan menunjukkan seorang individu telah melakukan kesilapan dalam transaksi duit bernilai RM30,000 kepada seorang wanita.
PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita yang masih menyimpan wang bernilai RM30,000 oleh individu yang tersilap hantar ke akaunnya sejak sebulan lalu dipuji ramai orang apabila dia tidak putus asa untuk memulangkan duit tersebut.

Menerusi ciapan X, wanita berkenaan berkongsikan kisahnya dalam menjaga wang tersebut dengan mengasingkan dan menyimpannya di dalam akaun tabungnya di Maybank.

“Saya rasa bersyukur sebab saya bukan jenis tak gelap mata nampak duit lebih-lebih lagi diuji dengan tindakan individu salah transfer RM30,000 ke dalam akaun.

“Selama dua minggu saya tunggu tapi masih tiada individu yang mahu claim (membuat tuntuan). Saya terpaksa trace (mengesan) sendiri pemberi wang itu.

“Akhirnya, selepas tempoh sebulan, saya dapat jumpa pelaku yang tersalah transfer (hantar) dan kembalikan wang tersebut kepadanya,” katanya.

Menurut wanita berkenaan, kesilapan transaksi adalah disebabkan kecuaian oleh penerima asal yang memberikan maklumat nombor akaun yang salah pada dua digit terakhir kepada pemberi wang itu.

Dalam pada itu, wanita tersebut memberitahu, dia berjaya mengesan pemberi wang melalui nama agensi yang tertera di transaksi lalu mencari di platform Google untuk maklumat lebih lanjut mengenai alamat serta nombor telefon.

Bagaimanapun, nombor yang dipaparkan di platform Google itu sudah usang lalu dia mencari solusi lain untuk segera mendapatkan pelaku yang tersalah hantar itu.

“Saya dapat tahu itu adalah agensi syarikat pelancongan, nasib baik saya ada rakan dari bidang yang sama untuk bantu mencari pelaku tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, ciapan itu menimbulkan pelbagai reaksi oleh orang ramai dengan pertanyaan bagaimana wanita tersebut memberi kepercayaan sewenang-wenangnya kepada individu terbabit.

“Saya memastikan saya tidak ditipu dengan bertanya dahulu kepada pelaku berkenaan maklumat transaksi, tarikh, nama dan sebagainya.

“Dia (pemberi wang) terus memberi resit dengan nama penuh, nombor akaun, jumlah yang sama serta report yang dilakukan benar apabila transaksi menunjukkan bukti bahawa nombor belakang dua digit memang terbalik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ini lagi pengkhianat lahanat dikalangan penjawat awam: Lindungi rumah urut, pusat hiburan: Timbalan Pengarah DBKL antara 4 ditahan SPRM

Safeek Affendy Razali
safeek@bh.com.my
SPRM KL menahan reman tiga penjawat awam dan seorang bekas penjawat awam kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada aktiviti premis perniagaan haram di sekitar ibu negara semalam. - Foto SPRM
SPRM KL menahan reman tiga penjawat awam dan seorang bekas penjawat awam kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada aktiviti premis perniagaan haram di sekitar ibu negara semalam. - Foto SPRM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga penjawat awam dan seorang bekas penjawat awam kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada aktiviti premis perniagaan haram di sekitar ibu negara.

Timbalan Pengarah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusia pertengahan 40-an dipercayai adalah suspek utama disyaki menerima rasuah antara RM100,000 hingga RM500,000 secara bulanan daripada sindiket rumah urut, pusat hiburan serta premis yang tidak berlesen.

Sumber berkata, selain timbalan pengarah terbabit dua lagi penjawat awam yang ditahan adalah anggotanya serta seorang anggota agensi penguat kuasa.

"Ketiga-tiga mereka yang ditahan semalam, direman selama tujuh hari hingga 14 Jun ini manakala seorang suspek yang juga bekas anggota agensi penguat kuasa ditahan reman selama lima hari hingga 12 Jun 2024.

"Perintah reman terhadap semua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an dikeluarkan Majistret Shairil Farhana Ruslan selepas menerima permohonan dibuat SPRM di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi," katanya.
SPRM KL menahan reman tiga penjawat awam dan seorang bekas penjawat awam kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada aktiviti premis perniagaan haram di sekitar ibu negara semalam. - Foto SPRM
SPRM KL menahan reman tiga penjawat awam dan seorang bekas penjawat awam kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada aktiviti premis perniagaan haram di sekitar ibu negara semalam. - Foto SPRM
Sumber berkata, timbalan pengarah terbabit menerima wang rasuah itu sejak beberapa bulan lalu.

"Wang rasuah itu bagi membolehkan premis-premis perniagaan haram berkenaan beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan.

"Susulan tangkapan ke atas suspek utama, SPRM kemudian menahan tiga individu lain kerana dipercayai turut menerima suapan dan berperanan sebagai orang tengah bagi mengagihkan wang rasuah kepada beberapa anggota penguat kuasa PBT," katanya.

Menurut sumber itu lagi, menerusi tangkapan ini, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000 selain barang kemas dan 28 keping wafer emas yang belum dikenal pasti anggaran nilai dan berat.

Semua suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dalam operasi yang diadakan semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap semua suspek berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) retak, tak selamat ?

BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) diarah membuat pemeriksaan dan penilaian segera di persimpangan bertingkat lebuh raya berkenaan yang didakwa retak.

Menteri Kerja Raya Datuk Sri Alexander Nanta Linggi menerusi akaun X berkata, keselamatan semua pihak terutama pengguna jalan raya amat dititikberatkan.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada satu hantaran menerusi akaun X berserta gambar yang mendakwa keretakan di persimpangan bertingkat lebuh raya berkenaan semakin besar.

"Saya amat memandang serius perkara ini," kata Nanta tadi.

SPE dibuka sepenuhnya pada 3 November lalu mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat.

SPE dibahagikan kepada empat seksyen utama iaitu Kerinchi - Salak (Seksyen 1), Salak - Pandan (Seksyen 2), Pandan - Setiawangsa (Seksyen 3) dan Setiawangsa - Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 kilometer.

Ia menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang - Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) dan lain-lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara.

Kelantan: 50 ekor babi sejuk beku 'penuh' di tepi jalan

Paya Linda Yahya
am@hmetro.com.my
Beberapa penduduk Orang Asli membantu mengalihkan daging babi sejuk bekuKeadaan di Jalan Gua Musang-Jeli di Kampung Kuala Tool, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Beberapa penduduk Orang Asli membantu mengalihkan daging babi sejuk beku Keadaan di Jalan Gua Musang-Jeli di Kampung Kuala Tool, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Gua Musang: Lori yang membawa muatan hampir 50 ekor babi sejuk beku terbabit dalam kemalangan dekat Kampung Kuala Tool di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi tadi itu mengakibatkan dinding sebelah kiri lori tercabut menyebabkan daging babi yang dibawa berserakan di jalan raya.

Tinjauan di lokasi kejadian juga mendapati kerja-kerja mengalihkan daging babi berkenaan dilakukan Orang Asli yang tinggal berhampiran kawasan itu.

Sehingga jam 4 petang tadi kerja-kerja mengalihkan daging terbabit masih belum selesai.

Penduduk Kampung Kuala Tool, Muhammad Ikhwan Mahmood, 22, berkata kejadian itu mengejutkan penduduk kampung terbabit.

"Saya dimaklumkan semasa mereka sampai di lokasi kejadian kemalangan itu sudah berlaku dan daging babi terbabit sudah bergelimpangan di atas jalan.

"Dianggarkan terdapat hampir 50 ekor babi sejuk beku di dalam lori terbabit dan saya difahamkan pemandu tidak mengalami apa-apa kecederaan," katanya yang tinggal hampir 10 meter dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkenaan kejadian itu.

Pramugari sorok hampir 1kg emas dalam dubur

Agensi

New Delhi: Seorang pramugari ditahan kerana didakwa menyeludup hampir satu kilogram emas dari Muscat, Oman ke Kannur, bandar di barat daya India, dengan menyembunyikannya di dalam dubur.

Sumber Direktorat Perisikan Hasil (DRI) berkata, taktik wanita itu terbongkar selepas risikan khusus dilakukan pasukan DRI Cochin.

Katanya, wanita dikenali Surabhi Khatun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kannur sebaik tiba dari Muscat pada 28 Mei lalu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati 960 gram (g) emas cuba diseludup dalam bentuk kompaun, disorokkan dalam duburnya.

"Selepas disoal siasat dan melengkapkan proses lain diperlukan, wanita itu dibawa ke mahkamah majistret dan direman 14 hari di penjara wanita di Kannur," kata sumber itu kepada Press Trust of India.

Menurut sumber itu lagi, kejadian berkenaan kes pertama penyeludupan emas dengan cara berkenaan yang membabitkan kru kabin syarikat penerbangan.

"Siasatan terperinci telah bermula dan bukti yang dikumpul setakat ini menunjukkan suspek pernah menyeludup emas beberapa kali sebelum ini.

"Kita juga sedang menyiasat pembabitan kumpulan penyeludupan yang berpangkalan di Kerala yang berkemungkinan terkait aktiviti itu," katanya.

Sementara itu, wakil syarikat penerbangan yang dihubungi untuk maklum balas tidak memberi sebarang reaksi.

Fatwa PAS? Kejap ada kejap takde

Mohsin Abdullah

Mungkinkah Tuan Ibrahim telah tersalah cakap atau terlepas cakap yang boleh menyinggung perasaan kawan-kawan yang dahulu pernah memerintah?

Tajuk artikel ini saya pinjam daripada iklan biskut yang popular suatu masa dahulu. Ramai yang gemar menggunakannya ketika merujuk kemunculan mendadak dan kehilangan mendadak seseorang, benda, atau pun perkara.

Untuk artikel ini ungkapan itu saya gunakan bersabit kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man, timbalan presiden PAS. Pada 4 Jun lalu beliau dilapor berkata kemenangan Islam dalam pilihan raya akan menyebabkan dosa-dosa golongan terdahulu diampunkan “seperti dinyatakan Allah di dalam Al-Quran”.

Tuan Ibrahim berkata keampunan Ilahi disebabkan berlakunya perubahan kepada pentadbiran yang menghapuskan maksiat yang telah dibenarkan oleh pentadbiran terdahulu. Walaupun beliau dikatakan memetik sirah kemenangan Rasulullah, rasanya umum boleh baca apa yang tersurat dan tersirat dalam kata-kata beliau.

Beliau juga dipetik berkata “dengan kemenangan Islam kita boleh betulkan dasar yang tak betul, kemungkaran yang dibenarkan zaman dulu, contohnya perjudian”. Pada hemat saya ini jelas tanpa perlu penjelasan siapa yang dirujuk.

Ada lagi yang jelas-sejelasnya. Tuan Ibrahim berkata premis perjudian wujud kerana kelulusan diberi oleh pemimpin yang berkuasa dengan mendapat kuasa melalui pilihan raya. Jelas dan nyata bukan? Maka bolehkah saya kata yang dimaksudkan ialah pemimpin kerajaan dahulu, termasuk mereka yang bersama PAS masa ini?

Tuan Ibrahim seterusnya dipetik berkata pemimpin itu (yakni yang dahulu) mendapat kuasa hasil sokongan rakyat terdahulu yang menyebabkan semuanya bersekongkol dengan maksiat. Ertinya rakyat yang menyokong atau mengundi pemimpin dahulu melakukan kesalahan (atau dosa?) kerana “bersekongkol dengan maksiat”?

Untuk menghentikan itu semua, menurut beliau, ialah dengan cara “kita berjuang” dan “bila kita menang kita tutup premis perjudian supaya dosa tadi terhenti”. Bukanlah sesuatu yang memeningkan kepala untuk tahu ‘kita’ yang dimaksudkan ialah parti Tuan Ibrahim dan ‘menang’ ialah menang pilihan raya.

Sesungguhnya di negeri yang diperintahnya (hasil kemenangan pilihan raya) PAS menutup premis judi meskipun dituduh menafikan hak dan menyekat kebebasan masyarakat bukan Islam. Namun kata PAS, “semua agama mengakui judi adalah tidak baik dan melarangnya”. Benar tetapi pun begitu agama lain tidak mengharamkannya seperti mana Islam mengharamkan judi. Bagi mereka, penganut boleh membuat pilihan sendiri tapi bagus jika tidak berjudi.

Berkata Tuan Ibrahim: “kita tak tutup terus bar, disko, kelab malam. Tetapi kita ada proses ada kaedah-kaedah yang kita buat.” Beliau tidak nyatakan apa kaedah yang dibuat. Adakah PAS menyifatkan bar, disko, kelab malam tidak semaksiat judi? Setelah tahu pandangannya terhadap judi bagaimana pula PAS melihat bar, disko, dan kelab malam? Bagi Tuan Ibrahim “mana yang perlu utama dulu mana yang perlu kemudian. Ada aulawiyat. Sebab kena teliti kena hati-hati. Allah bila mana mengharamkan arak ada tiga peringkat.”

Apa yang beliau dilapor berkata adalah sebahagian ucapannya pada perasmian mesyuarat agung PAS kawasan Port Dickson pada 3 Jun lalu. Pertama kali saya baca mengenai ucapan beliau itu ialah menerusi laporan Malaysiakini. Portal berita itu memetik laporan Harakahdaily. Oleh kerana itu saya berpendapat elok juga jika saya baca laporan terus di Harakahdaily.

Malangnya laporan itu sudah tiada. Dibawa turun. Lebih tepat dipadamkan. Mengapa? Adakah kerana Harakahdaily salah lapor? Jika begitu keadaannya Tuan Ibrahim boleh menegur atau membuat penafian untuk membolehkan Harakahdaily membuat pembetulan.

Atau adakah Malaysiakini yang salah buat interpretasi? Sehingga sekarang tidak ada penafian baik daripada Tuan Ibrahim atau pun Harakahdaily terhadap laporan Malaysiakini. Ertinya Malaysiakini tidak salah tafsir atau tidak salah lapor dalam memetik laporan Harakahdaily. Sehingga saat ini laporan itu masih boleh dibaca di Malaysiakini.

Mungkinkah Tuan Ibrahim telah tersalah cakap atau terlepas cakap yang boleh menyinggung perasaan kawan-kawan yang dahulu pernah memerintah? Atau menyakiti hati rakyat kerana ‘bersekongkol dengan maksiat’? Mungkinkah ucapan timbalan presiden PAS boleh membawa kesan negatif terhadap parti?

Tuan Ibrahim boleh sahaja mengeluarkan versi baharu ucapannya menerusi Harakahdaily tetapi hadirin di mesyuararat agung PAS Port Dickson sudah dengar ucapan yang ori. Lantas tindakan memadam laporan berkenaan daripada Harakahdaily sesuatu yang sia-sia.

Hakikatnya apa yang berlaku ialah laporan ucapan Tuan Ibrahim di Port Dickson muncul dan hilang. Maka sebab itu saya pinjam kata-kata iklan biskut yang disebut tadi.

Terima Suapan hingga RM500,000 sebulan? Inilah antara punca peniaga haram berleluasa di Kuala Lumpur

Suapan hingga RM500,000 ‘payung’ premis haram, timbalan pengarah PBT direman

FMT Reporters

Wang rasuah itu bagi membolehkan premis perniagaan haram beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Tiga suspek direman tujuh hari manakala seorang lagi direman lima hari untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA: Seorang timbalan pengarah pihak berkuasa tempatan (PBT) antara tiga penjawat awam direman kerana dipercayai menerima rasuah bulanan hingga RM500,000 daripada premis perniagaan haram di ibu negara.

Sumber berkata, seorang bekas penjawat awam turut ditahan dalam operasi diadakan semalam di sekitar Kuala Lumpur.

“Tiga suspek melibatkan timbalan pengarah dan anggota PBT serta anggota agensi penguat kuasa direman tujuh hari hingga 14 Jun, manakala seorang suspek yang merupakan bekas anggota agensi penguat kuasa direman lima hari hingga 12 Jun 2024,” katanya.

Perintah reman terhadap semua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an dikeluarkan Majistret Shairil Farhana Ruslan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di IPD Dang Wangi.

Menurut sumber, suspek utama iaitu timbalan pengarah PBT dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan antara RM100,000 hingga RM500,000 sejak beberapa bulan lalu daripada premis menjalankan kegiatan rumah urut dan hiburan selain premis tanpa lesen sah.

“Wang rasuah itu bagi membolehkan premis perniagaan haram berkenaan beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Susulan tangkapan ke atas suspek utama, SPRM kemudian menahan tiga individu lain kerana dipercayai turut menerima suapan dan berperanan sebagai orang tengah bagi mengagihkan wang rasuah kepada beberapa anggota penguat kuasa PBT,” katanya.

Sumber berkata, menerusi tangkapan itu SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000 selain barang kemas dan 28 keping wafer emas yang belum dikenal pasti anggaran nilai dan berat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Fauzi Husin, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan semua suspek terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Wanita ditelan ular gergasi ketika jual hasil kebun

KOSMO
ULAR sawa gergasi yang menelan Farida. - Kalimantanlive.com
JAKARTA – Seorang petani disahkan terkoban akibat dibaham seekor ular sawa gergasi ketika hendak menjual hasil kebunnya, lapor saluran berita Wartabanjar hari ini. 

Kejadian berlaku di Dusun III Paraja, Desa Kalempang wilayah Sulawesi Selatan kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Farida dan berusia 50 tahun. Dia dilaporkan hilang oleh suaminya apabila tidak pulang ke rumah dan hilang tanpa jejak.

Menurut Penghulu Desa Kalempang, Suardi Rosi, suami mangsa menemui seekor ular gergasi berukuran panjang lebih 7 meter dengan bonjolan pada perutnya. 

“Ular itu ditemui ketika suaminya keluar untuk mencari Farida. Melihatkan perut ular tersebut, ia disyaki telah menelan mangsa.

“Kerana perutnya terlalu besar, ular tersebut sukar  bergerak. Keadaan itu membolehkan penduduk tempatan menangkapnya,” kata Suardi. 

Mereka kemudian membelah perut ular berkenaan dan menemui mayat Farida di dalamnya. – AGENSI

Sampah penuh dari lantai sampai siling

RUMAH dipenuhi sampah sehingga kawasan menjadi sempit dan menyukarkan pergerakan.
RUMAH dipenuhi sampah sehingga kawasan menjadi sempit dan menyukarkan pergerakan.
Johor Bahru: Ibarat penyakit berjangkit apabila bilangan 'pencinta' atau mengumpul sampah kian merebak dan menular di kalangan masyarakat.

Tabiat luar biasa individu digelar hoarders ini dikesan semakin mudah ditemui di kawasan perumahan di negara ini apabila mereka gemar hidup bersama timbunan barangan terbuang.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Baru Permas Jaya A, Habib Syed Sallilah Aasad berkata, ada sekurang-kurangnya empat pemilik kediaman di kawasannya yang hidup bertemankan sampah.

Beliau berkata, golongan ini tidak menyedari tabiat mereka mengumpul sampah tidak disenangi jiran tetangga.

"Golongan ini menjadikan ruangan dalam rumah dan hadapan rumah sebagai lokasi mengumpul sampah. Manakala sebahagian pula mengumpul sampah di lorong belakang rumah.

"Bukan hanya di luar rumah, malah sampah seperti plastik, kertas dan botol kosong berlonggok dan memenuhi ruang di dalam rumah.

"Saya pernah mengunjungi rumah salah seorang pesakit ini, longgokan sampah mengakibatkan rumahnya menjadi amat sempit hingga sukar dilalui," katanya.

Menurutnya, sampah dikumpul memenuhi dari lantai hingga ke siling kediaman.

"Hendak berjalan pun susah. Sampah berada di mana-mana sam ada di ruang tamu, bilik tidur, dapur hingga ke tandas," katanya.

Terbaru 18 April lalu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengutip dan membersihkan 2 tan sampah dikumpul dari kediaman lelaki warga emas di Permas Jaya, di sini.

Rumah lelaki itu dipenuhi dua tan sampah termasuk sisa makanan, plastik, kotak dan tin.

Lebih mengecewakan perbuatannya menjejaskan keselesaan jiran berhampiran yang terpaksa menutup pintu dan tingkap kerana tidak tahan dengan bau busuk dan nyamuk.

Salah sendiri ingatkan kereta api sempat brek

KOSMO!
SEBUAH kereta api mendekati kereta yang diletakkan di tepi landasan di Hanoi kelmarin. – Foto tuoi tre news/Supplied
HANOI –  Sebuah kereta api barang bertembung dengan kereta yang diletakkan berhampiran landasan di Hanoi kelmarin menyebabkan bahagian hadapan kenderaan itu remuk, lapor portal berita tuoi tre news semalam.

Menurut saksi, seorang pemandu lelaki meletakkan kereta merah miliknya berhampiran landasan kereta api sebelum pergi ke sebuah pasar tempatan. 

Kejadian berlaku pada waktu petang di Alley 104,  Jalan Co Nhue di daerah Bac Tu Liem, Hanoi. 

Apabila menyedari kereta api menghampiri keretanya, lelaki itu berlari  ke arah kenderaan tersebut dalam cubaan untuk mengalihkannya tetapi dia sudah terlambat. 

Akibatnya, kereta api itu merempuh kenderaan tersebut  yang menyebabkan kerosakan besar pada bahagian hadapannya.

Perbadanan Kereta Api Vietnam berkata, kereta itu menyalahi  undang-undang landasan kereta api tempatan.

Polis di Daerah Bac Tu Liem mengenal pasti pemandu kereta itu sebagai D.T.N. 

Tiada kecederaan dilaporkan dalam  kejadian itu. – AGENSI

Pengarah syarikat swasta dakwa ditipu kakitangan institusi kewangan RM1.2 juta

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang pengarah syarikat swasta mendakwa kerugian RM1.2 juta akibat diperdaya kakitangan sebuah institusi kewangan yang menawarkan peluang pelaburan menerusi skim simpanan tetap yang kononnya menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, mangsa yang berusia 62 tahun membuat laporan polis kelmarin selepas menyedari penipuan berkenaan.

Beliau berkata, lelaki itu mendakwa menjadi mangsa penipuan tawaran skim simpanan tetap dikenali sebagai 'share booster'.

Katanya, suspek yang juga warga tempatan turut menjanjikan dan meyakinkan mangsa bahawa skim berkenaan menawarkan pulangan yang lebih tinggi berbanding di institusi kewangan lain.

"Mangsa menyerahkan cek pembayaran kepada suspek berjumlah RM1.8 juta. Pada awal Jun ini, mangsa menghubungi suspek dengan hasrat mahu mengeluarkan faedah atas simpanan tetap terbabit.

"Suspek didapati memberikan pelbagai alasan tidak munasabah dan mencurigakan hingga mangsa bertindak membuat semakan di institusi kewangan terbabit," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati beberapa cek bayaran yang diserahkan kepada suspek tidak didepositkan ke dalam akaun milik mangsa, sebaliknya dimasukkan ke lain-lain akaun atas penama yang tidak kenali.

"Hanya RM600,000 dimasukkan ke akaun mangsa hingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM1.2 juta.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 409 kanun sama," katanya.

Pemandu disaman bawa 4 wanita dalam but kereta

KOSMO!
EMPAT wanita duduk di dalam but sebuah kereta di WilayahThai Nguyen baru-baru ini. - Foto VnExpress
HANOI – Seorang pemandu di Wilayah Thai Nguyen didenda 4 juta dong (RM735) dan lesen memandunya digantung  selama dua bulan selepas dia memandu sambil membawa beberapa wanita berada di dalam but keretanya.

Menurut portal berita VnExpress kelmarin,  ketika kejadian, dia  memandu bersama empat wanita duduk di dalam but kereta tersebut.

Pada Ahad lalu, satu rakaman video di media sosial menunjukkan sebuah kereta membawa empat wanita di dalam but,

Ketika itu, kenderaan tersebut melalui bandar Hoa Thuong di daerah Dong Hy.

Pemandu berusia 35 tahun itu berkata, wanita-wanita itu berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Katanya, mereka memakai pakaian basah selepas berenang. 

Akibat takut bahagian dalaman  kereta itu basah, mereka mengambil keputusan untuk duduk di dalam but. – AGENSI

Wanita disyaki promosi aktiviti persundalan, jual video seks ditahan polis

Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my

Kajang: Wanita yang disyaki mempromosi aktiviti seks dan menjual video melakukan hubungan seks dengan beberapa lelaki di sosial media ditahan polis dalam serbuan di kediaman mewahnya di Bandar Bukit Mahkota, Bangi di sini, semalam.
 
Aktiviti wanita berusia 27 tahun yang turut menjual ubat kuat lelaki itu didapati menggunakan nama pelacur kelas atasan popular di Jepun untuk akaun media sosialnya berjaya dibongkar pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam serbuan pada 4 petang.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan dan masing-masing seorang lelaki serta wanita Indonesia berusia antara 17 hingga 26 tahun.

Menurut sumber, polis yang menerima maklumat mengenai aktiviti promosi seks dan penjualan video seks di media sosial termasuk aplikasi Telegram yang disyaki dikendalikan seorang wanita bertindak menjalankan risikan selama beberapa hari.

"Hasil risikan dijalankan, polis menyerbu sebuah kondominium di Bandar Bukit Mahkota dan menahan lima individu terbabit.

"Pemeriksaan di rumah berkenaan menjumpai beberapa produk perangsang seks lelaki dan produk penjagaan dalaman wanita disyaki barangan jualan mereka.

"Polis turut merampas komputer riba dan telefon bimbit pelbagai jenama serta wang tunai lebih RM30,000," katanya.

Sumber berkata, pemeriksaan lanjut dilakukan turut menemui pelbagai rakaman video seks dan seorang wanita yang ditahan adalah pemilik akaun aplikasi Telegram mempromosikan aktiviti seks terbabit.

Katanya, kesemua mereka disyaki terbabit aktiviti mempromosikan seks dan penjualan video seks di aplikasi Telegram serta media sosial sebagai pendapatan mereka.

Berikutan itu, sumber berkata, kesemua mereka direman selama tujuh hari bagi siasatan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah D7 JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan penahanan itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Ramai sangat pengkhianat dikalangan penjawat awam rupanya

Sindiket kontena terbang: JKDM sahkan 3 pegawai ditahan SPRM

Raja Noraina Raja Rahim
TUJUH suspek ditahan babitkan sindiket kontena terbang. FOTO Ihsan Sumber
TUJUH suspek ditahan babitkan sindiket kontena terbang. FOTO Ihsan Sumber
Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) maklum mengenai penahanan tiga pegawainya yang disyaki terbabit sindiket penyeludupan barangan import terbesar membabitkan ketirisan cukai lebih RM3.5 bilion.

JKDM menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Pendirian JDKM adalah jelas dan tegas dengan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit salah laku serta pelanggaran integriti termasuk jenayah rasuah.

"Sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terbabit hanya boleh ditentukan berdasarkan hasil daripada keputusan siasatan SPRM kelak," kata kenyataan itu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan tujuh individu termasuk tiga pegawai agensi penguat kuasa ditahan SPRM selepas disyaki ada kaitan dengan sindiket penyeludupan barangan import terbesar membabitkan ketirisan cukai sekitar RM3.5 bilion kepada negara sejak 10 tahun lalu.

Melalui operasi Ops Transit itu, SPRM turut menahan seorang pengarah syarikat kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang, Selangor itu.

Menurut sumber, suspek membabitkan dua wanita dan lima lelaki berusia sekitar 30-an hingga 50-an ditahan petang semalam di beberapa lokasi sekitar Pelabuhan Klang.

Mengulas lanjut, JKDM berkata, pihaknya sedang mengambil langkah proaktif secara berterusan bagi mengekang aktiviti rasuah dan ketirisan di pintu masuk keluar negara.

JKDM sentiasa komited memerangi jenayah rasuah selaras dengan agenda utama JKDM dalam usaha memartabatkan nama baik jabatan dan perkhidmatan awam.

Suami isteri peluk Islam ikut jejak anak selepas enam tahun

Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Zakaria Othman (kanan) menziarahi Abdul Rahman Kheng selepas lelaki itu memeluk Islam. - Foto FB
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Zakaria Othman (kanan) menziarahi Abdul Rahman Kheng selepas lelaki itu memeluk Islam. - Foto FB
JITRA: Selepas enam tahun anak sulung memeluk Islam pada Mac 2018 ketika berusia 11 tahun, kini suami isteri dari Pekan Tunjang turut mendapat hidayah Allah apabila melafazkan kalimah syahadah pada 26 Mei lalu.

Lim Hun Kheng atau nama Islamnya Abdul Rahman Kheng, 51, berkata dia dan isteri, Wandee Sandaesa, 45, atau nama Islam Nur Wandee membuat keputusan memeluk Islam selepas kedua-duanya bermimpi lebih dua minggu lalu.

"Pada mulanya saya mimpi pergi ke pejabat agama untuk mengucapkan kalimah syahadah dan pada malam esoknya isteri saya pula bermimpi dia didatangi lelaki berjubah putih seperti pakaian imam masjid.

"Kami tidak bercerita antara satu sama lain sehingga beberapa hari selepas itu kami bersembang mengenai kos rawatan isteri (warga Thailand), dia mengidap penyakit jantung dan memerlukan rawatan berkala di Hospital Satun.

"Keadaan jantungnya agak kurang baik dan memerlukan pembedahan segera dengan kos mungkin melebihi RM10,000, saya dan isteri pun bercerita mengenai mimpi masing-masing dan mungkin ini tandanya kami juga perlu peluk Islam seperti anak kami, Firdaus Hong yang kini sudah berusia 17 tahun," katanya dihubungi, di sini.

Lelaki Cina ini berkata, dia dan isteri kemudian dibantu bapa angkat anak mereka yang dikenali sebagai Ehsan sebelum menghubungi jawatankuasa masjid Pekan Tunjang untuk memimpin lafaz syahadah pada jam 11 malam, 26 Mei lalu.

Selepas memeluk Islam, dia dan isteri berasa lebih tenang dan menerima bantuan awal daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

"Selepas peluk Islam, keesokannya Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman datang ziarah saya sekeluarga. Alhamdulillah kami dapat pelbagai bantuan dari zakat. Cuma sekarang ini kami perlu fikir untuk mencari wang untuk pembedahan isteri saya di Hospital Satun pada hujung bulan ini," katanya yang bekerja sebagai tukang perabot.

Ketika ditanya mengenai anak kedua mereka, Abdul Rahman berkata anaknya, Lim Eveen, 13, masih belum mengikut jejak mereka untuk memeluk Islam.

"Saya tidak paksa anak bongsu untuk peluk Islam, cuma kami perlu tunjuk contoh yang baik seperti Firdaus buat sebelum ini. Sekarang saya dan isteri dalam proses belajar agama, ramai kenalan yang datang membantu. Alhamdulillah saya syukur kepada Allah kerana beri hidayah kepada kami," katanya.

Pada 11 Mei 2019, media melaporkan Hun Kheng dan isteri sentiasa membantu mengejutkan anak mereka Firdaus untuk bersahur pada Ramadan termasuk menghantar dan menjemput anaknya untuk mempelajari agama.

Firdaus memeluk Islam secara sukarela pada usia 11 tahun dan dibawa ke pejabat agama daerah oleh ibu bapanya bagi tujuan pendaftaran.

Firdaus kini belajar dan tinggal di asrama sekolah agama LZNK iaitu Maahad Dini Sultan Abdul Halim di Alor Setar.

Semalam, Zakaria turut berkongsi di Facebook mengenai pasangan ini dengan tajuk '6 tahun menanti kelahiran ayah dan ibu'.

Bagi orang ramai yang mahu membantu Abdul Rahman dan isteri boleh berbuat demikian menerusi akaun AmBank (8881017438912) atas nama Lim Hun Kheng.

Disyaki geng rompakan berkumpulan, 'Rider' ditahan

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
LOKASI kejadian dua warga asing dirompak sekumpulan lelaki bersenjata parang di Jalan Pandan Jaya, Ampang Jaya, Mei lalu. FOTO Ihsan Polis
LOKASI kejadian dua warga asing dirompak sekumpulan lelaki bersenjata parang di Jalan Pandan Jaya, Ampang Jaya, Mei lalu. FOTO Ihsan Polis
Ampang: Pekerja p-hailing disyaki anggota geng rompakan bersenjata yang menyasarkan warga asing di sekitar daerah ini, ditahan polis kelmarin.

Suspek berusia 19 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di Jalan Pandan Jaya di sini, pada 9.10 malam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan kes rompakan yang berlaku di Pandan Jaya pada 3 Mei lalu.

"Dalam kejadian 2.30 petang, dua lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai tukang paip mendakwa didatangi empat lelaki tempatan yang menaiki motosikal.

"Suspek merompak mangsa menggunakan parang dan melarikan wang tunai RM1,000 berserta dua telefon bimbit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, hasil siasatan polis berjaya mengesan dan menahan seorang suspek.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal, telefon bimbit dan sebilah parang yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.

"Berdasarkan siasatan, suspek menyasarkan warga asing untuk melakukan rompak berkumpulan dengan menggunakan motosikal dan senjata parang," katanya.

Katanya, semakan juga mendapati suspek memiliki tujuh rekod jenayah lampau termasuk dadah.

Tambah beliau, suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga 12 Jun ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kini sedang giat mengesan suspek yang masih bebas.

Peniaga dipenjara empat tahun, dua sebatan lakukan amang seksual anak tiri

BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang peniaga char kuetiau dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya berusia 13 tahun di dalam bilik sebuah hotel, awal bulan ini.

Hakim Mohd Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap lelaki berumur 44 tahun itu, serta memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap pada 4 Jun lalu dan menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta pengawasan selama setahun selepas tamat tempoh hukuman.

Tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun empat bulan di dalam bilik sebuah hotel di Bandar Tasik Selatan di sini pada 12.44 tengah malam, 3 Jun.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16(1) itu, boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum sebatan tidak kurang dua sebatan.

Mengikut fakta kes, mangsa dari Bagan Serai, Perak sepatutnya menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan untuk pergi ke sebuah sekolah di Johor Bahru, namun apabila mangsa dan tertuduh tiba di terminal bas itu pada 2 Jun, tertuduh memberitahu mangsa bahawa tiket bas habis dijual dan hanya ada pada keesokannya (3 Jun).

Mereka kemudian menginap di sebuah hotel dan semasa berada di dalam bilik itu, tertuduh meminta mangsa merapatkan kedua-dua katil tetapi mangsa enggan kerana berasa tidak selesa.

Bagaimanapun, tertuduh tetap merapatkan kedua-dua katil itu dan mangsa yang tidur pada malam itu terjaga daripada tidurnya apabila menyedari tertuduh menyentuh mangsa.

Mangsa mengadu kepada kakak kandungnya melalui WhatsApp dan satu laporan polis dibuat sebelum tertuduh ditangkap.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira tertuduh dalam kes ini adalah bapa tiri mangsa yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak tirinya meskipun tiada pertalian darah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Bekas CEO Prolintas rosak otak akibat pembedahan, pusat perubatan dan dua doktor diarah bayar pampasan RM5.1 juta

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pusat Pakar Tawakal Sdn Bhd dan dua doktornya diperintah Mahkamah Tinggi di sini membayar RM5.1 juta kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), Datuk Zainudin A Kadir selepas mengalami 'brain damage' akibat pembedahan hidung di hospital swasta berkenaan.

Ganti rugi itu perlu dibayar kepada Datin Nor Rizam Abdul Wahab sebagai isteri dan pentadbir harta Zainudin yang meninggal dunia pada 2021 ketika penularan Covid-19.

Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin berkata, ia susulan Nor Rizam sebagai plaintif berjaya membuktikan imbangan kebarangkalian bahawa pusat itu bersama dua pakarnya bertanggungjawab atas kecuaian perubatan.

Dalam keputusan yang dimuatnaik sistem kehakiman pada Rabu lalu, Mohd Arief Emran juga mengarahkan tiga pihak terbabit membayar RM210,000 sebagai kos kepada pentadbir harta Zainudin itu. 

"Sebahagian besar daripada ganti rugi adalah akibat kehilangan pendapatan kerana mangsa bekerja dan memperoleh RM65,000 sebulan manakala RM500,000 lagi adalah untuk kesakitan dan penderitaan.

"Bukan fungsi mahkamah untuk menghukum doktor atau hospital tetapi memberi pampasan kepada plaintif.

"Kerosakan otak kepada mangsa kerana kebenaran keluar awal selepas pembedahan selain beberapa kejadian di wad," katanya.

Mengikut fakta kes, Zainudin dimasukkan ke hospital pada 22 Februari 2016 dan menjalani pembedahan hidung empat hari kemudian.

Pembedahan bermula pada jam 5.45 petang dan berakhir jam 8.05 malam, sebelum Zainudin rebah jam 9.30 malam.

Mengikut protokol hospital, doktor perlu memerhati pesakit di ruang pemulihan sekurang-kurangnya sejam selepas 'reversal anaesthesia' sebelum keluar wad.

Dalam kes ini, pemerhatian hanya berlaku selama 25 minit.

Memandangkan pesakit masih mengantuk, pakar bedah memasukkan tiub ke dalam esofagus dan bukannya trakea yang membawa kepada kerosakan otak.

Dah terlebih cerdik: Melopong emas RM25,765 ditanam di belakang rumah lesap

KOSMO
Prawet menutup lubang tersebut dengan tikar dan reban ayam beserta seekor ayam di dalamnya. – PPTV
BANGKOK – Sepasang suami isteri warga emas di wilayah Lamphun cemas apabila emas bernilai lebih 200,000 baht (RM25,765) milik mereka hilang selepas ditanam di dalam tanah di belakang rumah, lapor laman berita Thaiger semalam.

Prawet Sitha, 71, berkata, dia dan isterinya, Somboon Phudontong, 69, menanam barangan kemas diperbuat daripada emas tersebut sebelum mereka masuk ke dalam hutan berdekatan untuk mencari cendawan.

Pasangan itu berbuat demikian kerana bimbang barangan kemas itu dilarikan pencuri sepanjang ketiadaan mereka di rumah.

Pada 29 Mei lalu, Prawet menggali lubang sedalam 30 sentimeter di bawah sebatang pokok longan yang terletak kira-kira 4 meter dari rumahnya.

Dia kemudian meletakkan semua barangan kemas termasuk dua utas rantai dan seutas gelang emas di dalam lubang itu.

Prawet menutup lubang tersebut dengan tikar dan meletakkan reban ayam beserta seekor ayam di dalamnya.

Namun, pada 3 Jun lalu, ketika Prawet dan isterinya mahu memakai emas ke satu acara, dia terkejut apabila mendapati semua barangan kemas yang ditanam telah hilang.

Menurut lelaki itu, ini  bukan kali pertama dia menanam barangan kemas kerana telah beberapa kali melakukan perkara serupa dan sering mengubah lokasi setiap kali ia dilakukan.

Tambahnya lagi, hanya dia dan isterinya yang mengetahui lokasi emas itu ditanam.

Pasangan itu membuat laporan polis mengenai kehilangan emas tersebut, manakala pihak berkuasa sedang menyiasat kes itu untuk mencari pelakunya. – AGENSI 

Keselamatan yang selalu diabaikan: Kasut lelaki ‘dimakan’ eskalator

MUHD HAZMAN ABD AZIZ
Keadaan kasut sebelah kanan lelaki itu selepas ‘ditelan’ tangga gerak. - Foto PEMBACA BH
Kaki kanan lelaki berusia 39 tahun itu harus dibalut selepas buku lalinya dikatakan telah terseliuh. - Foto PEMBACA BH
Seorang lelaki berusia 39 tahun terseliuh buku lali kanannya apabila kasutnya tersangkut di eskalator dekat tempat makan Fork and Spoon di Hab HDB.

Kejadian itu berlaku pada 4 Jun ketika lelaki tersebut (yang enggan namanya disiarkan) bersama tiga rakannya baru sahaja selesai makan tengah hari.

Beliau, yang mendakwa sedang berdiri di tengah eskalator itu, sudah menghampiri hujung tangga apabila tiba-tiba terasa kaki kanannya seperti ditarik. Eskalator itu kemudian berbunyi dan terhenti.

Lelaki itu sempat melompat dan menarik keluar kakinya, namun kasut kanannya ‘ditelan’ eskalator tersebut.

Dua temannya yang berada di belakang hampir terjatuh selepas tangga itu tiba-tiba berhenti.

Semasa kejadian, lelaki itu tidak merasakan kesakitan pada kaki kanannya dan sempat menghubungi nombor yang tertera pada eskalator tersebut.

Seorang pekerja kemudian tiba untuk menghentikan operasinya.

Lelaki itu kemudian diminta menghubungi pihak pengurusan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan dinasihatkan supaya berjumpa pengurus Fork and Spoon, yang bertanggungjawab mengendalikan eskalator tersebut.

Apabila mendapati kakinya terasa bertambah sakit, lelaki itu bergegas ke Hospital Khoo Teck Puat.

Di sana, doktor menjelaskan bahawa tulang kaki kanannya tidak patah, hanya terseliuh di bahagian buku lali akibat ditarik secara mengejut.

Beliau kemudian diberitahu bahawa Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) sedang menyiasat kejadian tersebut.

Apabila dihubungi, jurucakap BCA berkata pada waktu kejadian, eskalator tersebut berfungsi dengan baik.

“Eskalator itu dihentikan oleh suis keselamatan, yang diaktifkan secara automatik apabila ia mengesan ada kasut tersekat.

“Kami telah memberitahu pemilik eskalator tersebut supaya melakukan pembaikan dan pemeriksaan sebelum meneruskan operasinya,” tambahnya.

BCA menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah keselamatan semasa menaiki eskalator, seperti berdiri di antara garis kuning dan mengelakkan daripada berdiri berdekatan dengan tepi tangga supaya pakaian dan kasut tidak tersangkut.

Lelaki Maut dilanggar ketika bantu mangsa kemalangan

Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
SEORANG pemuda maut dilanggar ketika membantu mangsa kemalangan di Kilometer 18.8 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, semalam. FOTO ihsan polis
SEORANG pemuda maut dilanggar ketika membantu mangsa kemalangan di Kilometer 18.8 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, semalam. FOTO ihsan polis
Kota Tinggi: Seorang pemuda maut dilanggar ketika sedang memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan dalam kejadian di Kilometer 18.8 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam jam 5.20 petang.

Katanya, pada awalnya berlaku kemalangan membabitkan Perodua Axia dipandu lelaki tempatan berumur 33 tahun yang dalam perjalanan dari arah Sungai Rengit ke Kota Tinggi.

"Kereta terbabit dipercayai terbabas sendiri. Apabila melihat kemalangan itu, seorang lelaki tempatan yang memandu Toyota Hilux dari arah bertentangan memberhentikan kenderaan dan membantu mangsa.

"Ketika mangsa berusia 35 tahun itu sedang membantu tiba-tiba datang Mitsubishi Triton dipandu lelaki tempatan berumur 27 tahun bersama dua penumpang berumur 26 dan 27 tahun dari arah Sungai Rengit melanggar mangsa yang berada berhampiran dengan Perodua Axia itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Hilux mengalami kecederaan di bahagian dalaman badan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi.

"Pemandu dan penumpang Triton turut mengalami kecederaan dan masih menerima rawatan di hospital sama.

"Manakala pemandu Perodua Axia yang mengalami cedera ringan dirawat di Hospital swasta di Pasir Gudang.

"Punca kemalangan masih dalam siasatan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Cabul remaja, doktor ditahan polis

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang doktor ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes cabul remaja perempuan berusia 15 tahun dalam kejadian pada Selasa lalu.

Ketua Polis Perak Tengah, Hafezul Helmi Hamzah, mangsa membuat laporan pada hari kejadian itu di Balai Polis Bota, sekitar 9.14 malam.

Menurutnya, mangsa mendakwa telah diganggu secara seksual oleh lelaki terbabit ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan sebuah hospital.

“Susulan daripada laporan polis tersebut, sepasukan pegawai polis dari IPD Perak Tengah membuat tangkapan terhadap lelaki itu, pada Rabu sekitar 2 petang.

“Suspek telah direman untuk siasatan lanjut dan mangsa dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan semalam, lapor Astro Awani.

Hafezul Helmi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan- kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Mohamad Zulkarnaiin Jusoh di talian 013-9740294,” katanya.

Fulus masyuk: Tak selesai selagi PBT 'tutup mata'

Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor
am@hmetro.com.my
Tinjauan warga asing di jalan Lebuh Pudu, Kota Raya dan Silang.
Tinjauan warga asing di jalan Lebuh Pudu, Kota Raya dan Silang.
Kuala Lumpur: Lesen premis dan penjaja yang di 'Ali Baba' kepada warga asing tidak akan selesai selagi ada pihak yang 'tutup mata' mengenainya.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihaknya tidak menafikan pembabitan 'orang dalam' pihak berkuasa tempatan (PBT) yang cuba melindungi kegiatan itu.

"Kita tidak menafikan ia ada (orang dalam) tetapi kita tidak membuat tuduhan, jika PBT terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas sudah pasti perkara ini tidak akan berulang.

"Isu ini sudah lama, bukan perkara baru namun kenapa ia gagal diselesaikan? Kita minta PBT seluruh negara terutama DBKL untuk memastikan anggotanya melaksanakan dengan tegas dan betul serta jangan ada 'hanky panky' dan jangan tutup sebelah mata.

"Jika perkara ini terus berlaku ia tidak akan selesaikan masalah, kita tidak menuduh tetapi inilah senario yang berlaku," katanya ketika dihubungi semalam.

Rosli berkata, pihak persatuan tidak akan berkompromi jika ada ahlinya yang memajak atau menyewakan lesen kepada warga asing.

"Kita ada kesan tetapi bila tanya mereka tetap menyalahkan warga asing, mereka dakwa orang tempatan berniaga secara berlesen tetapi menjaja secara haram tanpa lesen dan barang yang dijual lebih murah," katanya. Persatuan kita akan ambil tindakan tegas dan tidak menyokong keputusan yang dibuat," katanya.

Menurutnya, kegiatan ini perlu diselesaikan bagi mengelak ia menjadi barah dalam golongan peniaga.

"Lama-kelamaan ekonomi akan dikuasai warga asing jika ia tidak ditangani dengan segera, tindakan tegas perlu diambil kepada pihak yang terbabit," katanya.

Ini semua fitnah, kami dianiaya, kata bapa Zayn Rayyan

Malaysiakini

Bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, kanak-kanak autisme yang dipercayai dibunuh di Damansara Damai, Selangor Disember lalu mendakwa dia dan isterinya dianiaya dan difitnah, ketika dibawa masuk ke mahkamah majistret pagi ini bagi prosiding sambungan reman.

Pagi ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya melanjutkan tempoh tahanan reman ke atas Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf selama enam hari lagi sehingga Rabu, 12 Jun depan.

Pasangan yang berusia 28 tahun, ditahan pada 31 Mei dan direman tujuh hari, sebelum ini. Mereka disiasat kerana membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketika dikawal ketat polis, bapa Zayn Rayyan yang digari sempat mengatakan “saya dianiaya, ini semua fitnah” sebelum keadaan menjadi kecoh. Ini apabila beberapa individu dipercayai ahli keluarga menjerit ‘Zaim, Isma you have to be strong’ sebelum pasangan itu dibawa masuk ke mahkamah.

Peguamnya, Fahmi Abdul Moin berkata polis pada mulanya memohon lanjutan reman tujuh hari lagi tetapi Majistret Ainaa Muhammad Kamal hanya membenarkan tahanan enam hari.

"Perintah reman dikenakan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," kata Fahmi. 

Dia turut mengesahkan dirinya dilantik sebagai peguam pasangan itu hari ini, selepas seorang lagi peguam yang mewakili kedua-dua pasangan itu sebelum ini menarik diri.

Sementara itu seorang lagi peguam, Ilyani Khuzairy yang turut mewakili kedua-dua mereka berkata bapa Zayn Rayyan berada dalam keadaan yang sangat tertekan dan menangis ketika ditanyakan soalan.

"Mereka berharap siasatan dapat dijalankan secara telus agar keadilan terhadap Zayn Rayyan dapat dicapai," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kira-kira 20 individu dipercayai ahli keluarga Zayn Rayyan juga berkumpul di luar Kompleks Mahkamah, Kuala Lumpur.

Mereka memegang kain rentang bertulis 'Allahuakbar Keadilan Untuk Zaim dan Isma', 'Justice For Zayn Rayyan' dan 'Keadilan Untuk Zayn Rayyan'.

Seorang wanita yang mengaku dirinya sebagai ibu Zaim menjerit supaya keadilan diberikan kepada anaknya itu.

"Umi (Ibu) tahu kamu betul. Ini semua fitnah!

"Kami mahu pembunuh yang sebenar, " katanya.

Terdahulu polis turut merampas telefon bimbit pasangan itu dan turut menyoal pengasuh kanak-kanak itu.

Mayatnya ditemui di tepi sungai kira-kira 200m dari rumahnya di Apartment Idaman di Damansara Damai.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Ibunya memberitahu pemberita bahawa dia sedang menaiki tangga ke apartmen tingkat tiga mereka bersama Zayn Rayyan pada kira-kira 12.30 tengah hari pada 5 Dis apabila dia menyedari anaknya  itu tiada bersamanya.

Katanya, mereka cuba mencarinya, sebelum memaklumkan suaminya dan penduduk setempat.

Dia juga berkata kanak-kanak lain yang tinggal di pangsapuri itu berkata mereka nampak anaknya berjalan ke arah kawasan semak berhampiran bangunan itu.

Amang seksual: Pemandu bas sekolah dipenjara 15 tahun, sebatan

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
MUSLEH dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal keatas seorang pelajar perempuan. FOTO Abdul Rahemang Taiming
MUSLEH dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal keatas seorang pelajar perempuan. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Tawau: Pemandu bas sekolah dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan pada Januari tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Rosli Ahmad selepas tertuduh Musleh Mahmod, 43, didapati bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 14 tahun (ketika kejadian) di dalam bas sekolah semasa menunggu peralihan sesi persekolahan.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan antara 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, masing-masing pada 25 dan 31 Januari tahun lalu.

Sepanjang perbicaraan bermula 8 November 2023 itu, seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan, manakala pihak pembelaan menampilkan tiga saksi termasuk tertuduh sendiri.

Terdahulu, peguam Samsuddin Sudirman yang mewakili tertuduh dalam rayuan mitigasinya memohon hukuman minima dengan alasan anak guamnya perlu menyara keluarga termasuk kedua Ibu bapa dan isteri yang tidak bekerja selain meminta hukuman berjalan secara serentak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suryana memohon hukuman berat kerana kesalahan dilakukan tertuduh amat serius.

Menurutnya, ia mengambil kira kesan trauma dialami mangsa seperti yang dapat disaksikan sewaktu perbicaraan apabila gadis itu dilihat tidak selesa dengan kehadiran tertuduh.

Katanya, tertuduh juga sedikit pun tidak menunjukkan sebarang rasa simpati atau menyesal.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama, manakala hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan kedua.

Hakim turut memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan selain menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perintah pelaksanaan hukuman.

4 polis Filipina ditahan menculik 4 pelancong termasuk warga Malaysia

Bharianonline

MANILA: Empat pegawai polis yang ditugaskan di wilayah ibu kota Filipina ditangkap kerana menculik empat pelancong asing untuk mendapatkan wang tebusan, kata pegawai, semalam.

Dua pegawai polis yang menaiki motosikal menahan kereta mewah membawa tiga warga China dan seorang warga Malaysia pada hujung minggu.

Sementara itu, manakala kumpulan awam bersenjata mereka kemudian bertindak menggari dan mengheret empat pelancong itu ke dalam sebuah van.

Menurut polis, dua daripada warga China berjaya melarikan diri dan memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Menurut Setiausaha Dalam Negeri, Benhur Abalos, penculik itu bertindak memukul mangsa yang diculik semalaman tetapi mereka dibebaskan selepas bayaran wang tebusan 2.5 juta peso (RM202,419).

Katanya, hasil maklumat yang diberikan oleh pelancong yang dibebaskan dan imej dari kamera keselamatan membawa kepada penahanan empat pegawai polis itu, termasuk seorang mejar polis.

"Saya terkejut apabila mendapat maklumat anggota polis terbabit. Kes ini adalah pelanggaran serius terhadap kepercayaan awam dan nilai teras pasukan polis," katanya dalam sidang media.

Keempat empat polis itu dibawa dengan keadaan bergari dan memakai baju tahanan berwarna jingga.

Polis berkata, pihaknya memfailkan aduan jenayah kerana menculik, merompak dan mencederakan suspek. - AGENSI

Guna agama untuk pilihan raya

Mohsin Abdullah

Ambil sesuatu perkara, jadikan ia isu agama, bawa berkempen. Hasilnya menang pilihan raya? Ya dan tidak. Itu jawapannya pada hemat saya. Dalam lain perkataan kadang-kadang boleh membawa kemenangan kadang-kadang tidak.

Di Indonesia, negara yang punya populasi umat Islam terbesar di dunia, isu agama Islam tidak membawa kemenangan. Contoh terbaharu pemilihan presiden 2019. Prabowo Subianto menjalin kerjasama dengan parti dan kumpulan Islamis termasuk yang keras dan membawa isu agama menentang Joko Widodo. Beliau tewas. Ertinya agama dijadikan isu untuk dapat sokongan pengundi ditolak. Pada April lalu Prabowo tanding lagi untuk jadi presiden. Kali ini tidak guna agama sebagai isu. Beliau menang.

Di Malaysia, PAS lazim guna Islam untuk meraih sokongan pengundi — tentulah pengundi Melayu-Islam yang merupakan golongan majoriti. Bertanding atas pentas Islamis, PAS kadangkala menang di kawasan Pantai Timur dan Utara Semenanjung di mana penduduknya majoriti Melayu, yang menurut pemerhati politik ‘konservatif’. Tetapi bukan sentiasa menang umpamanya di Terengganu. PAS biasa menang kalah dan menang. Di Pantai Barat, PAS tidak menang untuk memerintah, apa lagi Sabah dan Sarawak. Oleh itu saya ulangi guna agama kadangkala menang pilihan raya dan kadangkala kalah.

Di India yang majoriti Hindu, Narendra Modi guna sentimen agama. Brand Modi menampilkan imej penganut Hindu yang taat kepada kepercayaan. Beliau menang pilihan raya bersama partinya, BJP, untuk menjadi perdana menteri. Pilihan raya India yang terbaru selesai dua hari lalu. Namun menjelang pilihan itu BJP yakin akan menang untuk mencipta sejarah yakni menang untuk penggal ketiga berturut-turut. Penganalisis dan pemerhati politik turut meramalkan BJP menang. Ini bukan ramalan yang memeranjatkan. Kata mereka BJP akan menang cemerlang bak tsunami politik yang memusnahkan parti lawan sekaligus dapat super majority di parlimen.

Agama adalah faktor dalam setiap pilihan raya di India walaupun ia negara sekular mengikut perlembagaannya. Kali ini BJP khususnya Modi meningkatkan lagi retorik agama. Contoh. Sebuah kuil besar bagai mahligai diguna sebagai modal politik. Ia dibina di kawasan yang pernah menjadi rebutan antara kumpulan Hindu dan Muslim di Ayodhya, Uttar Pradesh. Di tapak itu pernah terdiri apa yang dikenali sebagai Masjid Babri. Bagi penganut Hindu di situ tapak kelahiran Dewa Ram dan dipanggil Ramkot atau Kubu Ram.

Pada 1994, kumpulan nasionalis Hindu dikatakan diapi-apikan oleh pemimpin BJB merusuh dan merosakkan majid berkenaan. Pertumpahan darah berlaku di antara Muslim dan Hindu. Untuk pendekkan cerita yang panjang, kaji bumi dijalankan di kawasan berkenaan dan didapati artifak menggambarkan pernah wujud struktur Hindu di kawasan itu. Masjid Babri diruntuhkan dan masyarakat Islam dilapor diberi kawasan berhampiran untuk didirikan masjid baharu berikutan perintah mahkamah.

Upacara pembukaan kuil dijalankan gilang-gemilang pada Januari lalu. Pastinya Modi hadir. Menurut pemimpin parti pembangkang, Modi berlagak bagai sami dan bukan perdana menteri. Modi kata mereka mempolitikkan upacara pembukaan kuil tapi jelas brand Modi dipertontonkan khas untuk penganut Hindu. Penganalisis politik berkata Modi dan BJP menggunakan isu kuil sebaik mungkin.

Namun perkara amat menarik pada pilihan raya terbaharu ialah calon BJP tewas di kawasan di mana kuil Ram didirikan, malah kalah di negeri Uttar Pradesh di mana kuil itu didirikan. Di peringkat nasional, kemenangan BJP tidak memenuhi jangkaan dan ramalan pemerhati. Tsunami tidak berlaku. Super majority tidak ada. Parti lawan, Kongres, mencatat prestasi amat baik walaupun tidak mampu menubuhkan kerajaan.

Modi boleh duduk di kerusi perdana menteri untuk penggal ketiga tetapi terpaksa berunding untuk membolehkan BJP membentuk kerajaan campuran. BJP terpaksa akur ia tidak menang secara mutlak. Menang tanpa gaya. Apabila perbincangan untuk tubuhkan kerajaan berjalan bermacam perkara boleh terjadi. Kita di Malaysia tahu akan hal ini berdasarkan pengalaman.

Sekarang, menurut BBC, persoalan timbul mengenai penggunaan the Hindu card sebagai alat kempen, apabila taktik itu dilihat hanya berjaya menyatukan golongan minoriti untuk menentang BJP.

Terengganu: Peniaga keropok lekor, suami didakwa edar dadah

TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Abdul Maini (dua dari kanan) dan Yusnita (kiri) didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
KUALA TERENGGANU – Sepasang suami isteri berdepan hukuman mati setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 204.15 gram pada minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh, Abdul Maini Abdul Wahab, 38, dan isterinya, Yusnita Yunus, 39, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Yuhanis Mohd. Roslan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka yang masing-masing bekerja sebagai mekanik dan peniaga keropok lekor.

Berdasarkan pertuduhan, Abdul Maini dan Yusnita didakwa secara bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 204.15 gram di sebuah rumah di Kampung Sentul Patah, Marang.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 10.15 malam, 30 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman
mati atau penjara seumur hidup dan sebat minimum 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak ditawarkan jaminan terhadap Abdul Maini dan Yusnita dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 September depan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Othman Ibrahim. – KOSMO! ONLINE

Redah laut bergelora 'seludup' kerbau dari Sabah ke Lawas

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
Maritim Malaysia menahan sebuah bot penumpang yang membawa muatan lima ekor kerbau dari Sabah untuk dibawa ke Lawas, Sarawak, semalam. FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA
Maritim Malaysia menahan sebuah bot penumpang yang membawa muatan lima ekor kerbau dari Sabah untuk dibawa ke Lawas, Sarawak, semalam. FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA
Kuching: Cubaan tiga lelaki mengangkut lima ekor kerbau menaiki bot penumpang dari Sabah ke Lawas, Limbang gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, sepasukan anggota APMM menjalankan rondaan di perairan Lawas dalam Op Permai 01/2019 dan Op Tiris 3.0 pada 10.45 pagi.

Menurutnya, mereka mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 3.1 batu nautika di selatan Tanjung Perapat lalu bertindak menahannya.

"Hasil pemeriksaan, didapati bot penumpang yang dikendalikan seorang tekong dan dua awak-awak warga tempatan membawa lima ekor kerbau yang diikat.

"Bot penumpang itu bersama kesemua kru dibawa ke Jeti Pejabat Daerah Lawas dan diserahkan kepada Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 9 (1) dan (3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar (VPHO) 1999.

Katanya, pihaknya sentiasa komited dalam menguatkuasakan undang-undang dan tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak.

Kena buku dengan ruas: Langgar lampu merah, ‘sodok’ kereta polis

KOSMO!
Tangkap layar pemandu Nissan Grand Livina melanggar lampu isyarat sebelum bergesel dengan kereta polis.
PETALING JAYA -Tindakan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV), Nissan Grand Livina melanggar lampu isyarat merah di Persimpangan Kemuning, Lebuh Raya Shah Alam mengundang padah apabila bertembung dengan sebuah kereta polis.

Kejadian tersebut telah dirakam menggunakan kamera papan pemuka (dash cam) sebuah kenderaan lain tular di Facebook hari ini.

Berdasarkan rakaman dashcam berdurasi 26 saat kejadian dipercayai berlaku semalam kira-kira pukul 6.03 petang.

Susulan kejadian terbabit, ramai pengguna media sosial seakan berpuas hati kerana pemandu tidak bertanggungjawab itu akhirnya bertemu ‘buku dengan ruas’.

Bukan itu sahaja, ramai juga tertanya-tanya dengan nilai ‘hantaran’ yang bakal dikenakan terhadap pemandu Grand Livina yang sudah merempuh bahagian kiri kereta polis.

“Lampu kuning bersedia untuk berhenti, bukan makin tekan pedal minyak. Tak pasal dapat habuan,” komen Syafiq.

“Masak la kau dik pergi ‘cium’ abang sado pulak. Sakit dapat surat cinta pun dapat, siap ada harga hantaran lagi berapa nak kena bayar,” tulis Siti.

“Tak tau la nak habaq lagu mana (cakap macam mana). Kereta polis pun kau sapu, saja cari penyakit,” ujar Sam. -KOSMO! ONLINE.