Pemandu terkejut toleh belakang tiada penumpang

NORFARHIZA MOHD ATAR
KEADAAN trak pikap yang terbabas selepas bergesel dengan sebuah MPV di Kilometer 47.3 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di Bentong semalam.
KUANTAN – “Selepas trak pikap berpusing beberapa kali dan berhenti, saya terkejut apabila melihat tiada seorang penumpang di belakang kerana mereka sudah tercampak keluar.”

Demikian kata pemandu Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Abdullah Ali Abdul Rahman, 58, ketika menceritakan detik cemas selepas kenderaan dipandunya terlibat kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 47.3, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di Bentong semalam.

Menurut lelaki itu, biarpun badannya sakit, namun ketika itu dia hanya memikirkan nasib pesakit Orang Asli yang terdiri daripada ibu serta tiga anak.

“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan membawa pulang pesakit Orang Asli dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke Rompin.

“Sewaktu melalui selekoh, kenderaan dipandu saya bergesel dengan MPV sebelum berpusing beberapa kali. Empat penumpang termasuk seorang kanak-kanak tercampak keluar,” katanya.

Abdullah Ali yang bertugas sebagai pemandu Jakoa Pahang sejak 28 tahun lalu menyifatkan kemalangan pada pukul 12.05 tengah hari semalam adalah yang paling teruk dialaminya setakat ini.

“Alhamdulillah. Allah masih memanjangkan usia saya tanpa sebarang kecederaan serius. Mangsa lain juga cedera ringan kecuali seorang kanak-kanak yang tercampak,” katanya.

Bapa dua anak itu berkata, dia menerima rawatan di Hospital Pekan dan doktor mengesahkan dia tidak mengalami kecederaan serius kecuali bengkak di badan. – KOSMO! ONLINE

PAS jawab Dr M

Kerjasama parti ‘resipi’ tawan Putrajaya, PAS beritahu Dr M

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: PAS yakin dasarnya yang akan bekerjasama dalam pelbagai bentuk dari sudut politik antara ‘resipi’ utama menawan Putrajaya pada PRU16.

Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata setiap parti memerlukan kerjasama parti lain termasuk dengan pihak di Sabah dan Sarawak.

“Sebab itu daripada 15 kali PRU, PAS bertanding dalam pelbagai bentuk kerjasama politik pada 13 kali PRU. PAS meyakini kerjasama politik serta persefahaman antara resipi utama dalam pembentukan kerajaan menghadapi PRU16,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, tiada parti boleh membentuk kerajaan persekutuan bersendirian tidak kira dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, dalam temu bual dengan FMT bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata PAS tidak akan dapat membentuk kerajaan persekutuan sendiri memandangkan popularitinya yang terhad.

Mahathir yang juga penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri pimpinan PAS dikenali SG4 berkata, parti itu hanya mampu meraih undi di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Mereka mesti bekerjasama dengan orang lain. Jika PAS mahu menjadi kerajaan, ia perlu mencari kira-kira 80 kerusi lagi untuk membentuk 112 (untuk majoriti mudah di Dewan Rakyat)…80 kerusi ini akan datang dari pantai barat (Semenanjung) dan orang pantai barat bukan penyokong PAS.

“Jadi PAS dengan sendirinya tidak boleh memerintah negara. Ia perlu bekerjasama dengan bukan Melayu dan Melayu yang bukan ahli (atau penyokong) PAS,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata tidak timbul dasar PAS tidak diterima bukan Melayu serta pengundi Sabah dan Sarawak.

Dakwanya, PH juga tidak mendapat sokongan di Kelantan dan Terengganu.

“Apa yang penting kerjasama politik pelbagai kumpulan adalah strategi utama setiap kali menghadapi PRU,” katanya.

Senada dengan Tuan Ibrahim, Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata semua kerajaan yang memerintah negara adalah gabungan parti.

“Umno dahulu berkongsi dalam Perikatan. Kemudian bentuk BN. (Jadi) Kena tanya Mahathir apa maksud beliau,” katanya.

Siapa yang benarkan dia memandu bas persiaran kalau tak ada lesen

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pemandu bas persiaran terlibat kemalangan di Genting Highlands yang mengorbankan dua pelancong China didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd Kahar, berkata siasatan lanjut juga mendapati pemandu bas berusia 32 tahun itu mempunyai 27 saman trafik lampau membabitkan pelbagai kesala

Beliau berkata, dua mangsa lelaki yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Shuhong, 49.

Katanya, kemalangan itu melibatkan 18 pelancong asing selain masing-masing seorang pemandu bas, pembantu dan pemandu pelancong warga tempatan.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Bentong, Pahang, untuk tindakan lanjut termasuk enam mangsa yang cedera, 13 mangsa lain yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan,” katanya menurut Bernama.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi tadi, bas persiaran itu dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan ketika dalam perjalanan ke ibu negara di kilometer 16.5 Jalan Turun Genting Highlands.

Wanita jumpa wang lebih RM260,000 di rumah sewa

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan kotak misteri yang berisi wang tunai dan perhiasan. - Tribunnews
BEIJING – Perbuatan seorang wanita mengembalikan semula wang tunai harta yang ditemuinya ketika membersihkan rumah sewa di China mengundang perhatian orang ramai, lapor akhbar Tribunnews semalam. 

Wanita bernama Jiang Jing Ping itu menemui sebuah kotak misteri yang disorok pada dinding rumah sewa baharunya.

Dia menemui wang tunai berjumlah 401,812 yuan (RM260,718). Kejadian berlaku di bandar Ningbo, timur China.

Bukan itu sahaja, beberapa perhiasan emas seperti cincin dan gelang turut ditemui di dalam kotak itu. 

“Pada hari kejadian, saya sedang membersihkan rumah yang baru disewa. Ketika membersihkannya, saya menemui sebuah kotak misteri.

“Apabila saya membukanya, di dalamnya ada wang tunai dan perhiasan. Saat itu, saya sangat keliru dan tidak tahu apa yang sedang berlaku,” kata wanita berkenaan yang dikenali sebagai Jiang Jing Ping.

Terkejut dengan penemuan itu, dia segera menghubungi persatuan komuniti setempat untuk mencari pemilik harta itu. 

Wanita itu tidak berniat untuk menyimpan harta itu, malah mahu memulangkan kepada pemilik sebenarnya. 

Bagaimanapun, pemilik harta tersebut dilaporkan telah meninggal dunia. – AGENSI

Bas persiaran terbalik, 2 warga China maut

Bernama

Kemalangan itu berlaku ketika bas terbabit dalam perjalanan turun dari Genting Highlands kira-kira 11 pagi tadi.
Keadaan bas persiaran yang terbalik di Jalan Genting Highlands kira-kira 11 pagi tadi. (Gambar JBPM)
KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga China maut manakala 19 penumpang lagi terselamat selepas bas persiaran dinaiki mereka terbalik ketika dalam perjalanan turun dari Genting Highlands kira-kira 11 pagi tadi.

Pengarah Bomba Pahang Wan Mohamad Zaidi Wan Isa berkata dua lelaki itu maut akibat mengalami kecederaan di kepala.

“Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Bentong,” katanya ketika dihubungi.

Wan Mohamad Zaidi berkata bas berkenaan membawa 21 penumpang terdiri daripada 18 penumpang warga China manakala pemandu bas dan dua pemandu pelancong adalah warga tempatan.

Terdahulu, tular video berdurasi 21 saat memaparkan situasi kemalangan bas persiaran itu dengan kelihatan beberapa anggota keselamatan telah berada di lokasi kejadian.

Mayat penolong guru besar ditemui dalam kereta selepas 13 hari dilaporkan hilang

Agensi
MAYAT Ruchakorn (gambar kecil) ditemui dalam kereta Toyota Vios di bawah jambatan di Chiang Mai selepas dilaporkan hilang sejak 16 Jun. FOTO KhaoSod
MAYAT Ruchakorn (gambar kecil) ditemui dalam kereta Toyota Vios di bawah jambatan di Chiang Mai selepas dilaporkan hilang sejak 16 Jun. FOTO KhaoSod
Bangkok: Penolong guru besar ditemukan sudah meninggal dunia dalam kereta miliknya di bawah jambatan di Chiang Mai, dekat sini selepas pencarian selama 13 hari.

Thethaiger melaporkan, Ruchakorn Jaisanti, 43, dilaporkan hilang sejak 16 Jun.

Ruchakorn juga dikenali sebagai Bank, berkhidmat sebagai penolong guru besar di San Pa Yang Nom School dan pemangku guru besar di Wat Chammathewi Kindergarten di Lamphun.

Lelaki itu dilaporkan hilang bersama kereta Toyota Vios berwarna perak, sekali gus membimbangkan ahli keluarga.

Susulan itu pihak polis melakukan usaha mencari termasuk meneliti rakam kamera litar tertutup (CCTV) dan mengumpul bukti lain di sepanjang laluan yang disyaki dilalui Ruchakorn, kereta Toyota Vios berwarna perak itu ditemui di bawah jambatan Ban Chiang Khang di Chiang Mai.

Polis turut menemui mayat Ruchakorn di dalam kenderaan itu.

Isterinya, Tan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan identiti mangsa.

Ketika ini, polis sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian dan perkembangan lanjut akan diberikan dari semasa ke semasa.

"Hampir dua minggu ahli keluarga sangat risaukannya, kami tiada idea ke mana dia pergi atau apa yang berlaku kepadanya.

"Kita harap perkara ini tidak berlaku. Ruchakorn adalah seorang guru yang sangat berdedikasi disayangi dalam komuniti ini, kehilangannya sangat dirasai semua yang mengenalinya," kata rakan sekerja dari San Pa Yang Nom School.

Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui punca kematian.

Dr M: PAS tak akan dapat bentuk kerajaan sendiri

Nicholas Chung

PETALING JAYA: PAS tidak akan dapat membentuk kerajaan persekutuan sendiri memandangkan popularitinya yang terhad, dakwa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata PAS hanya mampu meraih undi di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Itu tidak mencukupi,” kata Mahathir, yang merupakan penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri pimpinan PAS dikenali SG4.

Bercakap dalam temu bual khas dengan FMT, Mahathir berkata PAS telah memenangi lebih daripada 40 kerusi parlimen pada PRU 2022 tetapi ‘itu tidak mencukupi untuk menjadi kerajaan’.

“Mereka mesti bekerjasama dengan orang lain. Jika PAS mahu menjadi kerajaan, ia perlu mencari kira-kira 80 kerusi lagi untuk membentuk 112 (untuk majoriti mudah di Dewan Rakyat). 80 kerusi ini akan datang dari pantai barat (Semenanjung) dan orang pantai barat bukan penyokong PAS,” katanya.

“Jadi PAS dengan sendirinya tidak boleh memerintah negara. Ia perlu bekerjasama dengan bukan Melayu dan Melayu yang bukan ahli (atau penyokong) PAS.”

Mahathir berkata PAS akan berjuang untuk mendapatkan majoriti kerusi di dewan rakyat walaupun Umno kehilangan sokongan di kalangan pengundi Melayu dan pelbagai masalah Bersatu, termasuk kes rasuah dan pembelotan.

Di Parlimen sekarang, PAS (43 kerusi) dan Bersatu (35 kerusi) membentuk pembangkang, manakala kerajaan dibentuk oleh gabungan parti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional dan Malaysia Timur yang menguasai 153 kerusi.

Mengenai Umno, yang diterajuinya selama 22 tahun sehingga 2003, Mahathir berkata parti itu telah ‘dirosakkan’ oleh Najib Razak dan mereka yang masih berada dalam parti berada di sana ‘kerana wang’.

“Mereka mendapati jika anda menjadi wakil rakyat, anda boleh memperoleh pendapatan tetapi bukan itu sahaja, anda mendapat peluang perniagaan. Kami dapati mereka menjana wang untuk diri mereka sendiri, bukan mentadbir kerajaan,” kata Mahathir.

Najib, yang menjadi presiden Umno pada 2009, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun atas tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB.

Malaysia hanya perlu pertumbuhan, bukan ‘wawasan’ baru

Mahathir, yang pada 1991 melancarkan rancangan nasional 30 tahun yang dikenali sebagai Wawasan 2020, berkata negara tidak memerlukan ‘wawasan’ baharu.

“Cuba dan kembangkan negara,” katanya sambil menyatakan Malaysia gagal mencapai status negara maju, walaupun potensinya sangat besar. Dia menyalahkan rasuah dan ahli politik yang menumpukan pada politik daripada pembangunan.

Kegagalan negara untuk memenuhi potensinya adalah kesilapan penggantinya sebagai perdana menteri yang katanya, telah merombak dasar diperkenalkannya yang meletakkan negara pada kedudukan kukuh.

“Apabila saya memilih untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri (pada 2003), ia bukan kerana sebarang tekanan. Saya memilih untuk meletakkan jawatan kerana, pada masa itu, pertumbuhan ekonomi Malaysia sangat baik.

“Saya fikir pengganti saya akan meneruskan dasar yang telah dilaksanakan untuk kepentingan negara. Saya percaya sekiranya mereka meneruskan dasar yang menjadikan Malaysia dikenali sebagai harimau Asia, Malaysia akan menjadi negara maju menjelang 2020.

“Tetapi mereka tidak melakukannya,” katanya.

Mahathir mula memegang jawatan sebagai perdana menteri pada 1981. Selepas 22 tahun memegang jawatan, beliau meletakkan jawatan pada 2003 untuk digantikan oleh timbalannya ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi. Enam tahun kemudian, Abdullah memberi laluan kepada Najib.

Pada PRU 2018 kerajaan BN Najib telah dikalahkan oleh PH, yang mencalonkan Mahathir, ketika itu pengerusi Bersatu, untuk menjadi perdana menteri. Beliau meletak jawatan, buat kali kedua dalam kerjayanya, pada 24 Feb 2020.

BlackRock: Pertahan urus niaga MAHB, Zahid berisiko disingkir Umno

'Ainin Wan Salleh

PETALING JAYA: Kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi yang parti itu tidak menentang pengambilalihan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh syarikat dikaitkan dengan BlackRock boleh menjejaskan popularitinya dalam parti, kata penganalisis.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata pendirian Zahid yang mendakwa pendirian parti itu konsisten dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai perjanjian MAHB mungkin membawa kepada desakan untuk menggulingkannya.

Kenyataan itu bercanggah dengan timbalannya Mohamad Hasan, juga dikenali sebagai Tok Mat, yang berkata menteri Umno telah merayu kepada dana kekayaan negara Khazanah Nasional Bhd untuk tidak meneruskan urus niaga membabitkan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh juga sebelum ini menggesa perjanjian itu dibatalkan.

“Tanggapan yang diterima ialah Tok Mat dan Akmal lebih baik dalam mewakili sentimen akar umbi dalam Umno, sedangkan Zahid hanya menenangkan ‘bos’nya dalam kerajaan dan mentor lama, Anwar,” kata Fauzi kepada FMT.

Beliau bagaimanapun mencadangkan bahawa perselisihan antara Zahid dan Mohamad mungkin lebih jelas daripada sebenar.

“Dalam satu pihak, tindakan Zahid untuk terus memihak kepada perdana menteri untuk Umno, dan sebaliknya, tindak balas Tok Mat adalah untuk meyakinkan penyokong akar umbi Umno bahawa pemimpin parti tidak meninggalkan perjuangan untuk Islam dan umat Islam,” katanya.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata Zahid mengekalkan kedudukannya untuk dilihat ‘lebih pro kerajaan perpaduan’.

“Ini sudah tentu akan mengundang lebih banyak kemarahan dalam Umno kerana Zahid mungkin dilihat terlalu pro-Anwar,” katanya.

Bagaimanapun, Syaza berkata kedudukan Zahid dalam Umno agak terjamin kerana beliau tidak mempunyai saingan sebenar untuk jawatan tertinggi parti.

“Parti mungkin mengkritiknya tetapi secara realiti, dia akan dapat memegang jawatan tertinggi seketika.”

Bagi penganalisis Asrul Hadi Abdullah Sani pula, Zahid hanya akan disingkirkan daripada Umno jika parti itu kehilangan lebih banyak kerusi pada PRU akan datang, menyebabkan beliau tidak lagi penting secara strategik kepada Anwar.

Tiada kesan pada PRK Sungai Bakap

Fauzi dan Syaza meramalkan Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan pendirian Zahid dalam perjanjian MAHB untuk mengumpulkan pengundi Melayu menentang kerajaan perpaduan dalam PRK Sungai Bakap.

Bagaimanapun, Asrul berkata PRK Sungai Bakap adalah sangat setempat manakala Umno bukan pemacu utama dan bukan juga penggerak kempen pilihan raya kerajaan perpaduan.

“Zahid bukan isu. Saya tidak fikir ia akan membawa kepada pemboikotan kempen PKR, tetapi ia akan menyukarkan untuk menarik pengundi atas pagar di kerusi luar bandar,” katanya.

Enam suspek pemburu haram ditahan dipercayai bunuh, lapah dan jual tulang harimau belang

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
ANTARA suspek yang  ditahan   terbabit   membantu aktiviti penjualan hidupan liar dilindungi.
ANTARA suspek yang ditahan terbabit membantu aktiviti penjualan hidupan liar dilindungi.
Putrajaya: Penemuan mengejutkan apabila pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menemui rangka dan tulang lengkap harimau belang milik 'geng pemburu' haram.

Harimau belang itu dipercayai dibunuh sebelum dilapah dagingnya manakala tulang haiwan itu disimpan dipercayai untuk dijual di pasaran gelap.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kejayaan itu adalah hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) membabitkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai Perhilitan.

Menurutnya, kejayaan itu membabitkan dua serbuan di dua lokasi di Rompin, Pahang, kelmarin.

"Serbuan pertama dilakukan di kawasan parkir sebuah premis manakala serbuan kedua dilakukan di sebuah kediaman di Rompin, Pahang, sekitar jam 6 petang hingga jam 8.30 petang kelmarin.

"Susulan operasi dilakukan itu, seramai enam suspek berjaya diberkas selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penjualan haram hidupan liar dilindungi.

"Antara suspek ditahan membabitkan tiga lelaki Orang Asli yang terbabit dalam membantu aktiviti penjualan hidupan liar," katanya.

Turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 40-an dan 50-an yang disyaki mengaturkan penjualan hidupan liar kepada pembeli.

"Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang dikesan menyembunyikan rangka tulang harimau.

"Pihak kami turut merampas sebuah kereta Proton Saga yang dipercayai digunakan untuk membawa bahagian hidupan liar dilindungi yang mahu dijual sindiket," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan pegawai Perhilitan di kediaman suspek menemui beg berisi rangka kepala harimau belang.

"Turut ditemui sebuah lagi beg yang berisi tulang-tulang harimau belang. Suspek dipercayai memburu atau menjerat haiwan liar dilindungi itu sebelum tulangnya dikumpulkan.

"Semua tulang haiwan, kereta dan telefon pintar dirampas dianggarkan bernilai lebih RM228,000," katanya.

Susulan itu semua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010/ Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM150,000 dan penjara tidak melebihi 15 tahun.

Selasa lalu, Perhilitan Pahang menahan tiga lelaki warga Kemboja selepas disyaki memburu hidupan liar secara haram di Hutan Simpan Berkelah, Pahang.

Pasukan Taktikal Khas Perhilitan (Sparta) juga turut menemukan beberapa utas jerat dan bahagian hidupan liar berserta peralatan kerja yang dipercayai digunakan untuk mengambil hasil hutan ketika pemeriksaan dijalankan di khemah warga asing itu.

Pelajar 13 tahun parah jatuh tingkat 3 bangunan sekolah

FMT Reporters

Kejadian petang semalam menyebabkan remaja berusia 13 tahun itu cedera di bahagian kepala dan beberapa anggota badan lain.
Gambar tular dalam kejadian membabitkan seorang pelajar yang parah selepas terjatuh dari tingkat tiga di sekolahnya semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang pelajar parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah di Kajang, petang semalam.

Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5.50 petang.

“Pihak polis menerima laporan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemui dengan kesan kecederaan dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga.

“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kajang bagi menerima rawatan atas kecederaan yang dialaminya,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.

Katanya, kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian kepala dan beberapa anggota badan lain.

“Punca kejadian masih dalam siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sebarang maklumat berkaitan boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Faizal Azizi di talian 011-16120032 bagi membantu siasatan,” katanya.

Nyawa jadi taruhan: ‘Mahalnya’ berbuat baik di dunia

MUHAMAD ADHAM SHADAN
Seorang lelaki maut semasa hendak membantu kereta yang terbabas di Kota Tinggi Johor pada 6 Jun lalu, manakala seorang penunggang motosikal terbunuh dilanggar kereta ketika beri laluan kepada ambulans di Padang Jambu, Melaka beberapa hari lalu.
Benarlah dunia ini sukar dijangka. Tidak kira siapapun kita, susu yang dihulur adakalanya bertukar tuba. Seringkali orang berkata, buat baik dibalas baik, buat jahat buruk padahnya tetapi sebenarnya tiada jaminan bantuan atau kebaikan yang dihulurkan akan memberi natijah baik seperti diharapkan.

Barangkali itulah ujian terbesar dalam kehidupan.

Niat kita baik hendak bantu orang, tetapi nyawa sendiri pula yang melayang. Hasrat di hati mahu berbelas ihsan sesama insan tetapi akhirnya diri sendiri yang ditimpa kecelakaan.

Bulan ini kita menelusuri beberapa situasi malang bantu orang yang ‘memakan’ diri. Tiga minggu lalu dilaporkan, niat baik seorang lelaki yang mahu membantu sebuah kereta terbabas di Kilometer 18.8, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, Johor bertukar tragedi apabila dia maut dilanggar pikap ketika menghulurkan bantuan tersebut.

Lelaki berusia 35 tahun itu terkorban setelah dirempuh Mitsubishi Triton ketika berada berhampiran kereta berkenaan. Lelaki tersebut maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan dalaman badan, manakala pemandu kereta yang hendak dibantunya itu cuma cedera ringan.

Beberapa hari lalu pula dilaporkan, tindakan murni seorang penunggang motosikal penghantar makanan memberi laluan kepada ambulans dalam kecemasan bertukar tragedi apabila dia maut dilanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, Melaka.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan teruk di kepala. Sedih pula mengenangkannya.

Begitulah hidup, melakukan suatu kebaikan tidak semestinya dijanjikan kemudahan. Ada orang fikir dengan melakukan kebaikan kita akan menerima yang baik-baik sahaja di dunia, tetapi sebaliknya melakukan atau menawarkan kebaikan juga ‘mahal’ maharnya dan ada ranjaunya.

Dalam hidup kita sendiri juga sering terjadi kita cuba menyelesaikan masalah orang, tetapi tanpa disedari diri kita yang akhirnya ditimpa susah dan musibah. Dalam pekerjaan, keluarga atau kemasyarakatan, sesetengah orang mungkin pernah bersedia membantu atau bermurah hati menggantikan orang lain, tetapi tidak semena-mena berdepan dugaan luar kebiasaan.

Ingatlah, orang yang berbuat kebaikan tidak terlepas daripada ujian tatkala melakukan kebaikan. Kebaikan yang dilakukan boleh saja jadi penyebab dirinya tidak mendapat kebahagiaan.

Namun, apapun teruskanlah berbuat baik sesama insan, bukan natijah kebaikan di dunia yang menjadi ukuran sebaliknya penilaian sebenar adalah di sisi Tuhan.

Usah sesekali kita sesalkan dunia ini dan kehidupan. Tawa, tangis dan penderitaan cuma dugaan-Nya seketika di dunia fana.
Rasulullah SAW yang merupakan kekasih Allah juga menyeru kepada kebaikan dan melakukan dakwah, namun baginda berdepan ujian, rintangan dan segala macam ancaman dan penghinaan.

Firman Allah dalam ayat 7 dan 8 surah Al-Zalzalah: Maka, sesiapa berbuat kebaikan walau sekecil zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya), dan sesiapa yang berbuat kejahatan walau sekecil zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”

Eskalator pusat beli-belah tiba-tiba ‘terkeluar’ pengunjung cemas tetapi tiada yang cedera

FMT Reporters

Pengunjung itu memuat naik gambar di media sosial menunjukkan sebahagian eskalator itu ‘terkeluar’ dan mengeluarkan bunyi yang kuat.
Gambar dimuat naik di media sosial menunjukkan keadaan sebuah eskalator di pasar raya di Kuala Lumpur yang ‘terkeluar’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang pengunjung di sebuah pusat beli-belah popular di Kuala Lumpur berdepan detik-detik cemas selepas sebuah eskalator di premis itu dilaporkan tiba-tiba ‘terkeluar’.

Satu hantaran di platform media sosial Xiaohongshu menceritakan bagaimana pengunjung itu terdengar bunyi yang kuat ketika menaiki eskalator dan melihat beberapa bahagian tangga gerak itu terkeluar.

Kerana terkejut, pengunjung itu dan beberapa yang lain segera turun daripada eskalator tersebut.

Bagaimanapun, menurut hantaran yang ditulis dalam bahasa Cina itu, tiada yang cedera dalam kejadian itu.

Pengunjung itu turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan tidak menggunakan fon kepala dengan muzik yang kuat supaya cepat bertindak sekiranya berlaku kecemasan.

FMT cuba mendapatkan komen daripada pengurusan pusat beli-belah tersebut.

Polis tahan Timbalan Menteri didakwa terbabit ilmu hitam

BERNAMA
Fathimath Shamnaz Ali Saleem. - Foto AGENSI
Fathimath Shamnaz Ali Saleem. - Foto AGENSI
NEW DELHI: Seorang timbalan menteri di Kementerian Perubahan Iklim, Alam Sekitar dan Tenaga Maldives ditahan oleh pihak polis.

Tidak jelas mengenai punca Fathimath Shamnaz Ali Saleem ditahan, tetapi laporan dalam talian pada Jumaat mendakwa beliau dikatakan terbabit dengan amalan ilmu hitam.

Shamnaz dan dua individu lain ditahan pada Ahad di ibu negara Male dan direman selama tujuh hari.

Beliau digantung daripada jawatannya bersama bekas suaminya, Adam Rameez, yang juga seorang menteri di Pejabat Presiden Mohamed Muizzu, menurut laporan di laman sesawang The Edition.

Kedua-duanya digantung tugas kerana siasatan yang sedang berjalan, menurut laporan itu yang memetik Jurucakap Presiden Heena Waleed.

Wanita ditahan, balik bercuti Hatyai bawa duit RM65,000

NORLIDA AKMAR IDROS
Ismail (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian wang yang dirampas daripada seorang wanita yang disyaki membawa wang tersebut secara salah pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Perlis, Kangar hari ini.
KANGAR – Seorang pemilik restoran yang pulang bercuti di Hatyai, Thailand ditahan kerana membawa wang tunai sebanyak RM65,160 secara salah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, dekat sini pada Isnin lalu.

Wanita tempatan berusia 47 tahun itu ditahan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Laluan Import Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) di kompleks tersebut kira-kira pukul 2.40 petang.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, suspek ditahan untuk pemeriksaan selepas mesin pengimbas bagasi mengesyaki beg galas dibawanya membawa sejumlah wang tunai.

“Pegawai bertugas bertindak memeriksa beg galas itu dan mendapati ia mengandungi wang tunai mata wang Ringgit Malaysia berjumlah RM65,160.

“Wanita terbabit didapati gagal membuat pengikraran mata wang dalam Borang Kastam 7 serta gagal mendapatkan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) kerana membawa mata wang Ringgit Malaysia melebihi AS$10,000,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Perlis, di sini hari ini.

Kata beliau, suspek memberi alasan membawa wang tersebut kerana menganggapnya lebih selamat, berbanding menyimpan di mana-mana institusi kewangan.

“Dalam pemikiran wanita itu, tindakan membawa wang dalam jumlah banyak ke mana-mana dia pergi adalah lebih selamat. Namun tindakannya kali ini dikesan ketika mahu masuk ke Malaysia selepas mendakwa bercuti di Hatyai.

“Suspek mendakwa ke negara jiran berseorangan dan pulang dengan menaiki van,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3 juta atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Rupanya Tok Pa bukan lagi ahli Bersatu, Muhyiddin pun baru tahu

N Faizal Ghazali

Muhyiddin Yassin berkata dia baru menyedari Mustapa Mohamed bukan lagi ahli Bersatu, walaupun bekas Menteri itu sudah keluar parti pada September lalu.

Menurut presiden Bersatu itu, dia juga tidak tahu berkenaan sebab yang membuatkan bekas ahli parlimen Jeli itu membuat keputusan tersebut.

“Saya baru dengar, saya baca berita yang dia tidak lagi ahli Bersatu. Saya tak dapat berita apa sebabnya.

“Mungkin (kerana) pilihan raya umum lepas dia tak nak bertandin,g dia lepaskan kawasan Jeli dan kita masih bertanding dekat situ.

“Tapi tak apalah itu pilihan Tok Pa, (dia) sahabat kita juga lagi,” katanya kepada media selepas program santai petang bersama penduduk Kampung Kepala Gajah di Simpang Ampat, hari ini.

Mustapa hari ini memaklumkan dia bukan lagi ahli Bersatu selepas dikaitkan dengan laporan kemungkinan akan menjadi calon di kerusi Parlimen Jeli sekiranya PRK diadakan.

Dia turut mengulangi pendirian yang pernah dinyatakan sebelum ini bahawa dia sudah pencen daripada politik.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya telahpun meletakkan jawatan sebagai ahli dan semua jawatan dalam parti Bersatu pada 30 September 2023,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata dia berharap Mustapa akan sentiasa mengenang kerjasama mereka ketika bersama dalam parti itu.

“Walaupun begitu saya harap dia dapat mengingati kerjasama yang telah kita berikan sewaktu dia berada dalam Bersatu.

“Walaupun dia tak jadi ahli Bersatu dan mungkin takkan jadi ahli mana-mana parti. Agaknya sebab nak bebas dari politik, itulah (sebab) langkah yang diambil,” katanya lagi.

Ular sawa batik 'tumpang' dari Subang ke Melaka

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
Ular sawa batik melingkar pada besi di belakang lori dalam kejadian di Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah - Foto Ihsan APM Alor Gajah.
Ular sawa batik melingkar pada besi di belakang lori dalam kejadian di Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah - Foto Ihsan APM Alor Gajah.
Alor Gajah: "Saya sangkakan plastik hitam tersangkut pada belakang lori, tapi bila nak pegang saya terkejut bila ia tiba-tiba bergerak dan kepala ular sawa batik itu tegak menghadap saya," kata pemandu lori, Mohd Sukri Mondi.

Menurutnya, dia lantas menghubungi talian kecemasan sebelum disambungkan kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Sukri,35, berkata, dia tidak tahu dari mana ular itu muncul dan mengesyaki reptilia itu menyelinap ke bawah lori lima tan yang diparkirnya di tepi jalan berhampiran sungai dekat Subang, Selangor.

"Masa berhenti di RnR (Kawasan Rehat dan Rawat) Seremban tadi, tiada pula ular itu keluar dan saya meneruskan perjalanan ke Malim untuk hantar barangan minuman bagi stesen minyak Shell.

"Namun, semasa berhenti untuk ke tandas tiba di Plaza Tol Simpang Ampat, saya hairan melihat benda seakan plastik berwarna hitam melekat pada belakang lori dalam keadaan cahaya lampu yang sama-samar.

"Ketika cuba pegang untuk membuangnya saya terperanjat mendapati ia seekor ular sawa. Kalau di kawasan kampung mungkin boleh ambil kayu untuk halau ular itu, tapi ini di plaza tol," katanya dihubungi Harian Metro di sini.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, seramai empat anggota ke lokasi selepas menerima panggilan jam 5.30 pagi tadi.

Katanya, ular sawa sepanjang hampir dua meter dan berat kira-kira satu kilogram itu berjaya ditangkap menggunakan alat penyepit ular.

Besarnya lubang nyaris ‘telan’ padang bola sepak

KOSMO!
SEBUAH lubang benam gergasi terbentuk di padang bola sepak AS di Alton kelmarin. - Foto 618 Drone Service/Storyful
WASHINGTON  – Sebuah lubang benam selebar 30.48 meter terbentuk di sebuah padang bola sepak Amerika kelmarin, disebabkan lombong bawah tanah berhampiran yang runtuh, lapor portal berita Fox News semalam.

Lubang benam gergasi itu terbentuk sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan) di Taman Gordon Moore di Alton, negeri Illinois,

Video pengawasan di bandar itu menunjukkan detik-detik lubang gergasi itu terbentuk dan ia turut ‘menelan’ tiang lampu di padang tersebut.

New Frontier Materials yang mengendalikan syarikat perlombongan Bluff City Minerals menjelaskan bahawa lubang benam itu adalah kesan l daripada ‘penurunan permukaan’   di lombong bawah tanahnya di Alton.

“Kawasan yang terjejas telah dilindungi,  manakala pakar-pakar memeriksa lombong itu dan melakukan kerja-kerja pembaikan,” kata New Frontier.

Datuk Bandar Alton, David Goins berkata,  tiada sesiapa pun yang berada di padang cedera apabila lubang benam tersebut tiba-tiba menelan sebahagian daripada padang bola sepak. – AGENSI

Cuma nak tanya pemilik kilang warga mana dah ditangkap ke?

Kilang haram upah penyelia wanita jaga 9 pekerja lelaki
Oleh OTHMAN YAHAYA
Sharifah Zakiah (dua dari kanan) memeriksa bahan buangan elektrik dan elekronik yang diproses secara haram di sebuah kilang di Kampung Buluh, Tikam Batu dekat Sungai Petani hari ini.
SUNGAI PETANI – Tawaran gaji lumayan menyebabkan seorang wanita dari China sanggup bekerja di sebuah premis yang menjalankan aktiviti pemerolehan bahan buangan elektrik dan elektronik tanpa permit kerja sah.

Bagaimanapun, operasi haram premis yang terletak di dalam kebun kelapa sawit di Kampung Buluh, Tikam batu itu berakhir hari ini apabila diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah selepas mengumpul maklumat selama dua bulan.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, serbuan bermula pukul 9 pagi tadi turut membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia.

“Kita mengalami kesukaran memasuki premis yang menggunakan dua lapisan pagar yang tinggi dan alat kawalan jauh itu sehingga memaksa anggota penguat kuasa memecah pagar.

“Dalam pemeriksaan lanjut kita berjaya menemui kira-kira 100 metrik tan bahan buangan elektrik dan elektronik yang merupakan barang buangan terjadual yang diproses tanpa kelulusan dan tanpa alat kawalan,” katanya.

Menurut Sharifah Zakiah, turut ditahan ialah sembilan pekerja Bangladesh termasuk seorang penyelia wanita dari China.

“Premis itu disyaki beroperasi secara haram dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dibawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Barangan yang disyaki diimport dari luar dan disita itu pula bakal disiasat di bawah Seksyen 18(1), 34A(1) dan 34(B)(1) akta sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Pekerja ladang dihukum gantung bunuh adik kandung

NOR AINNA HAMZAH

SEREMBAN – Seorang pekerja ladang dijatuhkan hukuman mati di Mahkamah Tinggi, di sini, selepas dia didapati bersalah atas pertuduhan membunuh adik kandungnya di sebuah ladang kelapa sawit di Rantau, empat tahun lalu.

Hakim, Datuk Rohani Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap K. Paramasivam, 49, selepas mendengar hujahan dan rayuan mitigasi pihak pembelaan dan hujahan pemberatan pihak pendakwaan.

“Saya memutuskan bahawa tertuduh dijatuhkan hukuman gantung pada masa, tarikh dan tempat yang akan ditetapkan kemudian,” katanya.

Pada 25 Jun lalu, mahkamah sama telah mendapati Paramisivam bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh adik kandungnya, K. Tanjong Tuan, 40, di antara pukul 11 pagi hingga 1 petang di Ladang Kelapa Sawit, Linsum Rantau di sini pada 8 Jun 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ala’uddin Baharom manakala tertuduh diwakili peguam Raftfizi Zainal Abidin.

Pada 11 Jun 2020, media melaporkan mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian dengan beberapa kesan kecederaan pada bahagian anggota badan telah ditemukan orang awam di sebuah ladang kelapa sawit di Rantau, di sini.

Polis siasat bahan digunakan suspek 'tidurkan' mangsa liwat

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Polis sedang mengenal pasti bahan disyaki digunakan pelukis tatu bagi membuat pelanggannya tidak sedarkan diri sebelum dipercayai meliwat mangsa di sebuah premis, di sini, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, polis turut mengambil sampel asid deoxyribonucleic (DNA) mangsa bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pihak polis juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil dari premis terbabit bagi membantu siasatan.

"Soal siasat ke atas suspek sedang dijalankan, antara fokus utama adalah mengenalpasti bahan digunakan bagi membuatkan mangsa tidak sedarkan diri," katanya hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, niat untuk melukis tatu bunga di tangan bertukar episod malang buat seorang lelaki apabila menjadi mangsa liwat pelukis tatu di sebuah premis, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa seorang lelaki berusia 24 tahun datang ke kedai terbabit untuk melukis tatu di badannya sebelum dilaporkan tidak sedarkan diri.

Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis sebelum menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Susulan itu suspek yang juga seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan di sekitar Sungai Way, di sini 12.05 tengah malam kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Suspek direman empat hari bermula 27 hingga 30 Jun.

Kasihan MP walauntit ni fb jadi bahan rujukannya

Wakil rakyat PAS diarah tarik balik kenyataan dibaca di Facebook

Farah Marshita Abdul Patah
farahmarshita@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kenyataan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi bahawa harga besi akan meningkat kepada RM4,000 yang diambil dari Facebook mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan ahli Parlimen kerajaan.

Mumtaz ketika membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) 2021 dan 2022, berkata kenaikan itu membabitkan hak asasi manusia bagi mendapatkan perumahan.

"Jadi bila harga besi tinggi, ada pula perbincangan dan rundingan antara pemaju dan bank, menyebabkan harga rumah sewa tinggi, harga rumah pun tinggi.

"Jadi ini perlu dilihat sebagai hak asasi manusia," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Kenyataan Mumtaz itu kurang disenangi Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang meminta beliau menarik balik kenyataan itu.

Katanya, Kementerian Komunikasi semalam sudah memaklumkan bahawa kenaikan harga besi adalah berita palsu pada 2021.

"Jadi saya harap Yang Berhormat (YB) tarik balik, kenyataan itu," katanya.

Terdahulu, seorang pempengaruh pembangkang memuat naik keratan akhbar bertajuk harga besi naik RM2,800 kepada RM4,000 satu tan di laman Facebook miliknya.

Bagaimanapun, segmen khas 'Biar Betul!' mendapati keratan akhbar itu diambil daripada berita bertarikh 26 Oktober 2021 berhubung dakwaan harga bahan binaan naik mendadak.

Media sebelum ini melaporkan ketika ini, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan 'Mycon 60 high tensile deformed bars' adalah RM3,664.51 bagi satu tan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, kemudian bertanya dari mana beliau mendapat maklumat berkenaan.

Mumtaz menjawab: "Kita tengok dalam media, saya tak tahu jawapan daripada menteri, saya tak dengar yang itu.

Ramli: Jadi tiada asas?

Mumtaz: Ada asas, sebab saya baca dalam media

Ramli: Media mana?

Mumtaz: Dalam Facebook.

Ramli: Bagi saya kalau data itu tidak benar, tidak boleh disahkan oleh YB sendiri yang bercakap dalam dewan ini, sila tarik balik bahagian itu.

Mumtaz akur dengan arahan itu namun menyatakan bahawa perkara itu (hal perumahan) masih perlu dilaksanakan oleh kerajaan.

Sementara itu, Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata, isu kewarganegaraan tidak boleh dijadikan isu politik, sebaliknya perlu sama-sama membantu untuk memastikan individu yang layak dapat melalui proses sebenarnya.

"Ada ramai yang tak tahu dokumen apa yang diperlukan dan sebagainya. Jadi saya harap kerajaan akan terus memastikan proses ini berlangsung dan mempercepatkan permohonan yang tertangguh.

"Pihak SUHAKAM juga harus terus memberikan penerangan mengenai kewarganegaraan ini," katanya.

Ketua polis kemaruk isteri orang

KOSMO
Ervina mendedahkan kisah rumah tangganya di laman media sosial. – Tribunnews Sultra
JAKARTA – Seorang ketua polis daerah di Banyuasin, wilayah Sumatera Selatan digantung tugas selepas isterinya tampil mendedahkan kecurangannya dan pengabaian nafkah selama tujuh tahun, lapor laman berita Detik.

Ketua Polis Pangkalan Balai, Inspektor Satu Joko Beni Waluyo digantung tugas ketika siasatan dilakukan ke atasnya.

“Saya telah menyahaktifkan Ketua Polis Sektor (digantung tugas), dan menggantikannya dengan pelaksana harian daripada jabatan polis,” kata Ketua Polis Banyuasin, Asisten Komisioner Besar Polis Ferly Rosa Putra.

Tambah Ferly, Joko sedang disiasat bagi mendapatkan fakta sebenar kejadian.

Pihaknya juga enggan terburu-buru membuat kesimpulan bagi kes tersebut, sebaliknya mengambil keterangan daripada Joko dan isterinya, Ervina.

“Proses siasatan dibuat berdasarkan perkongsian yang tular di media sosial dan belum ada laporan rasmi daripada isterinya. Kami akan memeriksa kesahihannya,” ujarnya.

Sebelum ini, Ervina tampil membuat pendedahan di laman sosial mengenai rumah tangganya.Wanita itu  mendakwa bahawa Joko tidak memberi sebarang bentuk nafkah kepada dia dan tiga anak mereka.

Menurutnya,  dia pernah menangkap suaminya curang beberapa kali termasuk dengan seorang anggota polis yang juga sudah bersuami dan memiliki anak.

Ervina turut mendakwa bahawa Joko pernah curang dengan seorang pegawai tinggi jabatan pendidikan di Palembang dan kedua-duanya telah berkahwin. – AGENSI 

Tanggapan pada Yahudi, Zionis, rejim Tel Aviv dan Israel

Zin Mahmud

Dalam keadaan sekarang yang sedang berlaku genosid di Gaza tentu ramai penyokong hak rakyat Palestin, terutamanya dari kalangan umat Islam berasa terganggu dari segi emosi dan sensitif apabila isu berkaitan Yahudi timbul.

Saya sendiri berasa keberatan untuk menonton berita-berita antarabangsa yang memaparkan kesengsaraan dan penderitaan penduduk Gaza. Apa yang dilakukan oleh rejim Tel Aviv adalah kejam. Lebih-lebih lagi laporan itu disampaikan oleh saluran-saluran televisyen negara yang lebih cenderung untuk menyebelahi Israel iaitu BBC, ABC, DW, Euronews, NHK, France24 dan CNA.

Saya percaya sentimen ini turut dirasai oleh kebanyakan umat Islam di seluruh dunia lebih-lebih lagi di Malaysia dan Indonesia. Hubungan emosi orang Islam di Nusantara amat kuat dengan Palestin, Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa.

Maka adalah dapat difahami bahawa umat Islam di Malaysia dan Indonesia akan berasa marah dan sensitif bukan saja terhadap rejim Tel Aviv tetapi semua perkara yang berkaitan dengan Yahudi, Zionis dan Israel.

Maka apabila diseru untuk memboikot produk-produk yang dikaitkan dengan pihak yang menyokong Israel, maka ia mudah dilaksanakan. Sebab itulah produk McDonald, Starbucks, KFC dan Coca-Cola diboikot sejak Oktober tahun lalu walaupun ia tidak memberi kesan kepada perbuatan rejim Tel Aviv.

Kini apabila timbul isu syarikat pengurus dana antarabangsa, Blackrock yang turut dikaitkan dengan sokongan terhadap genosid, maka tentulah ia merupakan sesuatu yang sensitif walaupun saya sendiri seperti kebanyakan orang tidak begitu faham mengenai sistem kewangan dunia dengan harapan bahawa kerajaan tahu apa yang mereka lakukan.

Di sini perlu diingatkan sekali lagi mengenai perbezaan antara Yahudi, Zionis, rejim Tel Aviv dan Israel yang banyak orang menganggap kesemuanya serupa. Yahudi boleh merujuk pada bangsa dan agama. Dalam bahasa Inggeris, bangsa Yahudi disebut sebagai Jew dan agama Yahudi sebagai Judaism. Zionis pula metujuk pada pendokong Zionisme, iaitu fahaman yang mahukan supaya bangsa Yahudi berhak mempunyai tanah air dan negara.

Rejim Tel Aviv merujuk pada kerajaan Israel yang awalnya ditubuhkan di Tel Aviv tetapi kini berada di Baitulmaqdis. Ia disebut sebagai “rejim” dan bukannya ”kerajaan” kerana terdapat banyak pihak tidak mengiktirafnya. Israel pula adalah negara yang kini ditubuhkan di atas wilayah yang dahulunya adalah Palestin.

Walaupun dipercayai bahawa kebanyakan orang Yahudi adalah Zionis dan menyokong rejim Tel Aviv serta Israel tetapi tidaklah semua. Pada tahun 2014, melalui Youtube, saya terjumpa seorang ahli sains politik Amerika berbangsa Yahudi, Nornan Finkelstein. Saya ikuti hampir semua syarahannya yang ada di Youtube. Beliau amat lantang menentang Zionisme, rejim Tel Aviv serta Israel serta menyokong perjuangan Palestin.

Tokoh bangsa Yahudi

Seorang lagi tokoh Yahudi Amerika yang turut menyokong perjuangan Palestin adalah Noam Chomsky, seorang ahli linguistik. Chomsky yang memegang fahaman anarkisme menolak rejim Tel Aviv serta Israel. Saya terjumpa pemikiran beliau melalui buku-bukunya pada tahun 1980-an yang kebanyakannya mengenai demokrasi dan geopolitik. Beberapa bukunya ada dalam perpustakaan peribadi saya.

Apabila melihat perpustakaan itu, saya percaya sebahagian besar buku-buku di situ ditulis oleh orang Yahudi atau mengenai seseorang tokoh berbangaa Yahudi. Kebanyakan buku itu adalah bukan fiksyen dalam bahasa Inggeris. Buku-buku popular terutama dalam bidang sains itu diterbitkan oleh penerbit-penerbit tersohor di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Ia mempunyai kualiti yang baik dan diedar dan dijual ke seluruh dunia, malah diterjemahkan je ke pelbagai bahasa.

Salah satu judul yang saya baca ialah Sapiens, a Brief History of Humankind (Sapiens, Sejarah Singkat Manusia) oleh Yuval Noah Harari, seorang profesor di Jabatan Sejarah di Universiti Hebrew, Baitulmaqdis. Dua lagi buku beliau yang saya miliki berjudul Homo Deus: A Brief History of Tomorrow (Homo Deus: Sejarah Singkat Akan Datang) dan 21 Lessons for 21st Century (21 Pelajaran bagi Abad ke-21). Kesemuanya telah diterjemahkan ke Bahasa Indonesia.

Menurut Yuval, beliau terinspirasi dari Jared Diamond, seorang Yahudi Amerika yang merupakan intelektual sains awam dari Universiti Los Angeles. Saya juga membaca buku beliau bertajuk The Third Chimpanzee (Cimpanzi Ketiga).. Selain itu, saya juga memiliki buku beliau yang bertajuk Guns, Germs and Steel (Senapang. Kuman dan Keluli), Why Sex is Fun? (Mengapa Seks Menyeronokkan), Collapse (Keruntuhan) Upheaval (Pergolakan) dan The World Until Yesterday (Dunia Sehingga Semalam).

Saya juga memiliki buku-buku yang ditulis oleh dan mengenai tokoh-tokoh berbangsa Yahudi yang mencorak dunua moden iaitu Sigmund Freud, Karl Marx dan Albert Einstein. Freud adalah seorang atheis dan menolak agama Yahudi. Marx juga seorang atheis dengan ibu bapanya telah meninggalkan agama Yahudi untuk memeluk Kristian. Einstein yang juga atheis pernah ditawarkan sebagai presiden pertama Israel tetapi beliau menolak.

Sememangnya banyak orang Yahudi Eropah menjadi ahli sains dan ilmu-ilmu lain walaupun mereka didiskriminasi dan dipinggirkan pada awal abad ke-20. Sumbangan mereka membentuk pemikiran moden abad ke-20 adalah besar dengan mereka banyak memenangi Hadiah Nobel, iaitu tidak padan dengan bilangan bangsa itu di dunia.

Namun begitu, perlu juga melihat keadaan itu dalam konteks tokoh-tokoh besar moden yang lain. Umpamanya Charles Darwin bukanlah orang Yahudi. Begitu juga dengan rakan seperjuangan Marx, Friedrich Engels bukan seorang Yahudi. Begiti juga ahli kosmologi terulung, Stephen Hawking, juga bukanlah seorang Yahudi.

Dalam bidang sastera, saya miliki dan membaca karya-karya Franz Kafka, seorang Yahudi dari Republik Czech. Sementara dalam bidang fiksyen sains, saya turut baca dan miliki karya-karya oleh Isaac Asimov, juga seorang atheis Yahudi. Buku-buku falsafah yang saya baca dan miliki antaranya adalah Ludwig Wittgenstein, seorang Yahudi Austria, Baruch Spinoza, seorang ahli falsafah Yahudi yang dianggap sesat oleh agamawan-agamawan mereka.

Sumbangan kepada tamadun Islam

Walaupun orang Yahudi tidaklah menjadi bangsa utama yang menyumbang kepada tamadun moden tetapi mereka memainkan peranan besar bersama orang British, Perancis, Jerman, Itali, Rusia dan lain-lain. Dalam memilih buku, saya utamakan kandungan pemikiran di dalam, tidak kiralah penulisnya dari bangsa apa. Walaupun latar belakang bangsa seseorang penulis tentulah memberi pengaruh kepada pemikirannya.

Tetapi apa yang nyata sejak saya mula baca buku-buku bukan fiksyen bahasa Inggeris dari tahun 1975, pastinya sumbangan intelektual orang Yahudi kepada pembentukan fikiran saya secara langsung atau tidak langsung.

Pada tahun 1980-an, ketika berlakunya kebangkitan semula Islam, saya membaca buku oleh Maryam Jameelah dan Muhammad Asad. Kedua-duanya adalah orang Yahudi yang meninggalkan agama mereka dan memeluk Islam serta memberi sumbangan besar kepada pemikiran Iskam zaman moden.

Dari pembacaan juga saya tahu bagaimana orang Yahudi turut menyumbang kepada tamadun Islam semasa zaman kekhalifahan Umayah di Damsyek dan Kordova, serta Abasiah di Baghdad dan Usmaniah di Istanbul.

Ada satu masa pada tahun 2004, dalam satu pertemuan antara wartawan Asia dan pemimpin tempatan di sebuah restoran Chinatown, Los Angeles, seorang hadirin bertanya: “Ada sesiapa di sini dari Malaysia?”

Saya pun mengangkat tangan. Orang berkenaan pun datang dan duduk di sebelah saya.

Beliau berkata: “Saya orang Yahudi. Saya hendak tahu mengapa orang Malaysia membenci orang Yahudi sedangkan negara saudara terletak jauh dari Israel?”

Jawab saya: “Secara peribadi, saya tidak membenci orang Yahudi. Apa yang saya benci ialah kekejaman orang Yahudi terutamanya Zionis dan rejim Tel Aviv yang membunuh orang Palestin serta merampas wilayah mereka untuk dijadikan Israel.”

“Tetapi semua itu tidak ada kaitan dengan orang Malaysia,” balasnya.

“Orang Palestin adalah saudara orang Malaysia, bukan saja saudara seagama tetapi saudara sesama manusia,” kataku.

Namun begitu saya sedar umumnya orang Islam Malaysia membenci orang Yahudi kerana dari kecil mereka diajar bahawa orang Yahudi adalah musuh Islam. Dalam masyarakat, ceramah-ceramah agama sentiasa dibuat untuk menyemai perasaan ini walaupun pada asal dan asasnya adalah kerana kezaliman Zionis dan rejim Tel Aviv ke atas orang Palestin.

ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Bersatu sedia pertaruh Annuar, Tok Pa di Gua Musang, Jeli

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Bersatu Kelantan sedia memberi laluan kepada ahli politik berpengaruh, termasuk Annuar Musa dan Mustapa Mohamed bertanding di Parlimen Gua Musang serta Jeli, jika PRK diadakan kelak.

Ketua Bersatu Kelantan Kamaruddin Md Noor berkata langkah menghantar dua ahli politik itu ke Dewan Rakyat bagaimanapun perlu mendapat persetujuan pucuk pimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu.

“Kita serah kepada pucuk pimpinan untuk buat keputusan muktamad, jika ada cadangan (calonkan Annuar dan Mustapa).

“Perbincangan dibuat peringkat atas kita (Bersatu Kelantan) menerima apa saja keputusan, selepas peringkat akar umbi memberi maklum balas kerana yang lebih penting kemenangan untuk Bersatu dan PN,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas Adun Nenggiri, Azizi Abu Naim, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, mendapatkan injunksi sementara untuk menghentikan PRK bagi kerusi DUN itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan pelaksanaan PRK DUN Nenggiri.

Selain Azizi, lima Ahli Parlimen yang turut dihentikan keahlian Bersatu kerana menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ialah Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari pula menyokong Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Semuanya gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Annuar ialah bekas Ahli Parlimen Ketereh selama tiga penggal, manakala Mustapa lebih dikenali sebagai Tok Pa pula memenangi kerusi Parlimen Jeli sejak 1995, sebelum menarik diri daripada bertanding pada PRU15.

Kamaruddin yang juga Adun Ayer Lanas berkata, Bersatu sedia mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang, Jeli dan DUN Nenggiri jika PRK diadakan selepas wakil rakyatnya menyuarakan sokongan kepada Anwar.

“Kita yakin mampu mempertahankan ketiga-tiga kawasan ini dan ada calon sesuai memandangkan kerjasama dan persefahaman Bersatu, PAS di Kelantan cukup baik dan kita boleh mengulangi persefahaman ini dalam PRK nanti.”

Katanya, Bersatu sudah melantik wakilnya untuk menjalankan tugas Adun bayangan selepas siri pengkhianatan wakil rakyatnya dalam membela nasib rakyat di Gua Musang, Jeli dan Nenggiri.

Seks tanpa rela: Bekas polis diarah bayar 2 wanita Mongolia RM820k

Hidir Reduan Abdul Rashid
story-image
Mahkamah sivil memutuskan seorang bekas inspektor polis membayar RM820,000 kepada dua wanita Mongolia.

Ini berhubung kes saman persetubuhan tanpa persetujuan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) Malaysia empat tahun lalu.

Istilah 'perhubungan seks tanpa persetujuan' digunakan untuk tindakan saman di mahkamah sivil manakala istilah 'rogol' hanya digunakan untuk kes di mahkamah jenayah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi membenarkan saman dua plaintif terhadap defendan Hazrul Hizham Ghazali berhubung kejadian di dua bilik tidur berasingan di sebuah hotel di Petaling Jaya antara 10 dan 11 April 2020.

Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee memutuskan Hazrul gagal menangkis keterangan kedua-dua wanita itu kerana lelaki berusia 34 tahun itu tidak hadir perbicaraan penuh mahkamah pada tahun lepas untuk memberi keterangan di kandang saksi.

Hakim berkata wanita berkenaan memberi keterangan mereka bertemu Hazrul apabila plaintif dihalang pada sekatan jalan raya di Petaling Jaya pada malam 10 April 2020.

Johan berkata kedua-dua mereka diarah keluar dari kereta dan dibawa ke khemah polis berhampiran, sebelum Hazrul membawa wanita itu ke bilik tidur berasingan di sebuah hotel.

Hakim berkata Hazrul melakukan persetubuhan tanpa persetujuan dengan kedua-dua plaintif, sekurang-kurangnya lima kali dengan salah seorang wanita dan dua kali dengan wanita yang lain.

"Secara ringkasnya, selepas mempertimbangkan keterangan saksi dan penghujahan yang tidak dipertikaikan dan tidak dicabar, saya mendapati bahawa plaintif telah membuktikan pada imbangan kebarangkalian," kata Johan.

Hakim kemudiannya memerintahkan Hazrul, yang tidak hadir dalam prosiding mahkamah sivil hari ini membayar RM460,000 kepada seorang daripada wanita itu dan RM360,000 lagi kepada wanita lain.

Johan turut memerintahkan defendan membayar kos RM20,000 kepada setiap wanita itu.

Peguam Nathalie Annette Kee Xuan Li hadir mewakili kedua-dua wanita itu, dengan salah seorang daripada mereka hadir melalui aplikasi zoom dalam talian.

Peguam Hazrul pada tahun lepas melepaskan diri daripada bertindak bagi pihak defendan, sebelum perbicaraan penuh bermula.

Pada April 2020 di hadapan mahkamah sesyen jenayah, Hazrul didakwa atas dakwaan menahan dua wanita itu secara tidak sah dan merogol mereka berulang kali di hotel itu.

Pertuduhan jenayah itu didakwa mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang menjenayahkan penggunaan kuasa daripada jawatan dipegang untuk memaksa seorang wanita melakukan persetubuhan tanpa rela.

Jika didapati bersalah, Hazrul boleh dipenjarakan sehingga 30 tahun.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 13(f) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang menjenayahkan pemerdagangan orang untuk dieksploitasi melalui salah guna kuasa.

Di bawah undang-undang ini, Hazrul boleh dipenjara antara tiga hingga 20 tahun.

Bagaimanapun, Hazrul dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan pada akhir peringkat pembelaan perbicaraan jenayah.

Kerusi roda bergerak sendiri turun tangga

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan kerusi roda itu berhenti di sebelah pintu kereta selepas turun empat tangga. - Detiknews
JAKARTA – Satu klip video tular di media sosial memaparkan detik seram di sebuah hospital di Indonesia apabila sebuah kerusi roda bergerak sendiri tanpa dikendalikan oleh sesiapa, lapor akhbar Detiknews semalam. 

Menerusi rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV), kerusi roda berkenaan dilihat bergerak dan turun empat tangga daripada tempat asal ia diletakkan.

Lebih menyeramkan apabila kerusi roda itu tidak terguling mahupun terbalik. 

Malah, ia berhenti tepat-tepat di sebelah pintu kenderaan berwarna putih. 

Pergerakan kerusi roda itu seolah-olah ada ‘seseorang’ yang sedang menolaknya.

Bagaimanapun, masih belum jelas di mana lokasi kejadian itu berlaku. – AGENSI

Kereta elektrik terbakar selepas berlanggar

KOSMO!
SEBUAH kereta elektrik terbakar selepas terlibat dengan perlanggaran di Pattaya. - Foto Pattaya Mail
PATTAYA – Sebuah kereta elektrik terbakar selepas mengalami kemalangan yang melibatkan beberapa buah kenderaan di Pattaya, lapor laman berita Pattaya Mail kelmarin.

 Nahas itu berlaku ketika sebuah bas persiaran ditunda oleh sebuah trak penunda.

Serpihan dari bas itu terjatuh, menyebabkan berlakunya kemalangan dengan kereta terakhir terbakar.

Menurut pemandu kereta elektrik tersebut, Nachanok Rattanathip, dia memandu di belakang kenderaan lain yang mengekori trak tunda tersebut.

Namun, serpihan dari bas persiaran yang rosak itu terjatuh, menyebabkan kenderaan di hadapannya terbabas.  

Disebabkan tidak dapat mengelak, keretanya turut melanggar serpihan itu sehingga mencetuskan sistem amaran. 

Kereta tersebut kemudian terbakar sebelum anggota bomba tiba untuk memadam kebakaran. – AGENSI