Mohd Ahzan dipukul hingga retak tempurung kepala, hanya kerana menagih hutang RM300

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
MOHD Ahzan bersama Norhayati dan anaknya. Gambar kanan, kecederaan yang dialami Mohd Ahzan. FOTO Mary Victoria Dass
MOHD Ahzan bersama Norhayati dan anaknya. Gambar kanan, kecederaan yang dialami Mohd Ahzan. FOTO Mary Victoria Dass
Johor Bahru: "Atas dasar simpati, anak meminjamkan RM300 yang sepatutnya digunakan untuk membeli susu cucu kepada rakannya, malangnya kerana menuntut hutang itu, dia dipukul hingga retak tempurung kepala," kata Norhayati A Razak, 53.

Norhayati memberi reaksi itu ketika menceritakan kejadian malang menimpa anak sulungnya, Mohd Ahzan Husni, 35, yang parah dipukul sekumpulan lelaki hanya kerana menagih hutang yang gagal dilunaskan pada tarikh seperti dijanjikan.

Kejadian berlaku jam 5.10 petang pada 15 Julai lalu di Jalan Cendana, Kampung Setanggi, di sini, ketika Mohd Ahzan menuntut kembali wang yang dipinjamkan kepada rakannya, menyebabkan lelaki itu marah dan mengerahkan enam lelaki lain untuk menyerangnya.

Norhayati berkata, dia sudah menasihati anaknya itu supaya tidak meminjamkan wang kerana itu saja wang dimiliki bagi kegunaan anak, namun dia percaya dengan rakannya.

"Apabila dia menuntut wang, ia mencetuskan kemarahan rakannya hingga menyumbang kejadian," katanya ketika ditemui hari ini, selepas menerima kunjungan Wanita Ikon Johor merangkap Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia Faridah Hamzah.

Bercerita lanjut, Norhayati berkata, pada hari kejadian, ketika ahli keluarganya hendak keluar rumah, mereka mendengar jeritan Mohd Ahzan meminta tolong dan mendapati enam lelaki termasuk yang bertopeng memukulnya dengan cota besi dan topi keledar.

"Ahli keluarga saya cuba meleraikan pergaduhan namun turut dibelasah oleh kumpulan lelaki itu. Ketika itu Mohd Ahzan berlumuran darah terutama di bahagian kiri wajahnya.

"Kumpulan lelaki itu kemudian melarikan diri. Ahli keluarga membawa Mohd Ahzan ke Hospital Sultanah Aminah dan membuat laporan di Balai Polis Majidee pada 16 Julai lalu," katanya.

Menurutnya, Mohd Ahzan terpaksa menjalani beberapa pembedahan termasuk mengeluarkan tempurung kepala yang retak, selain urat kepalanya bengkak dan daya penglihatan mata kirinya juga terjejas.

"Buat masa ini tempurung kepalanya masih tidak dapat dipasang atas faktor tertentu dan doktor meramalkan tempoh penyembuhan Mohd Ahzan yang paling cepat antara enam hingga setahun, paling lama antara setahun hingga empat tahun.

"Dia hanya mengingati saya dan tidak mengenali bapanya mahupun anaknya. Sejak berpisah dengan isteri lebih setahun lalu, anaknya di bawah penjagaan Mohd Ahzan," katanya.

Norhayati berkata, dia buntu memikirkan masa depan Mohd Ahzan, selain tiga cucu iaitu seorang perempuan serta dua lelaki.

"Kesemua anaknya masih memerlukan bekalan susu selain lampin pakai buang dan kini keluarga juga memerlukan kewangan bagi mengurus Mohd Ahzan," katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan menerima laporan kejadian dan menyatakan tangkapan sudah dilakukan terhadap suspek yang terbabit dalam serangan itu.

Dua maut pacuan empat roda bertembung treler

Amir Hamzah Nordin
am@hmetro.com.my
KEADAAN Toyota Hilux yang bertembung dengan treler berdekatan Kampung Desa Bakti. FOTO Ihsan Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab
KEADAAN Toyota Hilux yang bertembung dengan treler berdekatan Kampung Desa Bakti. FOTO Ihsan Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab
Temerloh: Dua maut, manakala enam yang lain cedera termasuk seorang kanak-kanak apabila sebuah pacuan empat roda bertembung dengan treler di Kilometer 145, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan berdekatan Kampung Desa Bakti di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1.20 tengah hari itu, warga tempatan berusia 79 tahun yang memandu pacuan empat roda Toyota Hilux dan penumpang kenderaan itu, lelaki warga China berusia 46 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tiga lagi penumpang Toyota Hilux membabitkan warga emas berusia 65 dan 69 tahun serta kanak-kanak berusia sembilan tahun parah, manakala pemandu treler Hinoyang iaitu lelaki berusia 63 tahun turut cedera.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, hasil siasatan mendapati, kemalangan berlaku apabila treler dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur bertembung dengan Toyota Hilux di laluan bertentangan.

"Mangsa yang parah dirawat di zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. Pemandu treler turut mendapat rawatan di hospital sama.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Gadis pelayan: Bayar RM400 hingga RM900 sejam untuk khidmat urutan

MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN

PUTRAJAYA – Dua sindiket pelacuran warga asing yang menggunakan modus operandi penawaran khidmat urutan badan dan gadis pelayan dengan kadar RM400 hingga RM900 sejam tumpas apabila diserbu Jabatan Imigresen (JIM), baru-baru ini.

Serbuan di tujuh lokasi berasingan sekitar Seremban, Negeri Sembilan dan Seri Kembangan, Selangor itu dibuat berdasarkan makluman awam dan risikan selama dua minggu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya berjaya menahan seramai lelaki warganegara Malaysia yang disyaki sebagai penjaga premis berusia dalam lingkungan 27 hingga 63 tahun.

“Turut ditahan 48 wanita warga Vietnam, 34 wanita Indonesia, tiga wanita Bangladesh selain 18 lelaki Bangladesh, tiga lelaki Vietnam dan seorang lekaki Nepal berusia antara 15 hingga 53 tahun.

“Secara keseluruhannya, jumlah mereka yang ditahan ialah seramai 117 orang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.

Katanya semasa serbuan, wanita warga asing itu telah bersembunyi di bilik rahsia selain terdapat pelangga asing serta tempatan cuba melakukan provokasi.

Bagaimanapun jelasnya, pasukan operasi berjaya menjumpai tempat persembunyian juga mengawal keadaan di dalam premis tersebut.

“Modus operandi dua sindiket adalah menawarkan perkhidmatan urutan badan dan gadis pelayan kepada warga tempatan dan asing. Pelanggan akan hadir ke premis dan pilih pelayan berdasarkan katalog dan kalungan kain yang diberikan,” jelasnya.

Katanya, bayaran secara tunai atau dalam talian diberikan kepada penjaga premis sebelum wanita warga asing diserahkan kepada pelanggan.

Katanya, hasil semakan mendapati ada daripada mereka ditahan memiliki pas masih sah laku, sementara 14 lagi wanita Vietnam, lima wanita Indonesia dan tiga lelaki Bangladesh telah tinggal lebih masa.

“Ada warga asing lain yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini. Semua ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pemuda derita usus, pundi kencing pecah akibat dihempap dinding konkrit

BERNAMA
ZALIHA (kiri) menguruskan anaknya, Abdul Mukmin yang terlantar ketika ditemui di Kampung Kuala Tepuh hari ini. FOTO Bernama
ZALIHA (kiri) menguruskan anaknya, Abdul Mukmin yang terlantar ketika ditemui di Kampung Kuala Tepuh hari ini. FOTO Bernama
Kuala Nerus: Kehidupan seorang pemuda di Kampung Kuala Tepuh di sini, berubah sekelip mata apabila kini hanya mampu terlantar di katil dengan ususnya di luar badan selepas kejadian dihempap dinding konkrit ketika membaiki surau lima bulan lepas.

Kejadian yang berlaku pada 11 Februari lalu itu menyebabkan Abdul Mukmin Awang, 34, menderita apabila usus dan pundi kencingnya pecah, patah tulang pinggul dan hati serta paru-parunya mengalami masalah.

Abdul Mukmin yang sebelum ini bekerja sebagai mekanik berkata, kejadian itu berlaku ketika dia sedang membantu ayahnya membaiki surau di Kampung Buluh Gading, di Manir, Kuala Terengganu.

"Akibat kejadian itu saya terpaksa melalui tiga pembedahan iaitu memasang besi di bahagian pinggul, memotong usus yang rosak dan menebuk lubang di pundi kencing. Selepas ini akan ada satu lagi pembedahan untuk memasukkan semula usus ke dalam badan tetapi ia hanya akan dibuat selepas doktor berpuas hati dengan tahap kesihatan saya.

"Kini pergerakan saya terbatas dan hanya terlantar di katil kerana usus yang pecah terpaksa dikeluarkan dan diletakkan di dalam beg plastik yang dilekatkan di bahagian perut, selain badan saya turut dipasang tiub untuk saluran kencing," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Tepuh di sini hari ini.

Rutin harian pemuda yang masih bujang itu kini terpaksa diuruskan sepenuhnya oleh ibu, Zaliha Chik, 61, selain dibantu adik beradik yang lain.

Anak ketiga daripada sembilan beradik itu berasa terkilan kerana dia sudah tidak dapat bekerja membantu keluarga dan terpaksa membiarkan ayahnya, Awang Embong, 60, menyara keluarga dengan bekerja sebagai tukang rumah yang pendapatannya tidak seberapa.

Meskipun dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 dan ibunya menerima RM500 sebagai penjaga, wang tersebut tidak cukup untuk menampung perbelanjaan perubatan dan pengurusan dirinya yang mencecah RM2,000 sebulan termasuk kos ulang-alik ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, lampin, ubat, susu khas dan sebagainya.

Sehubungan itu mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Abdul Mukmin di talian 017-9273477.

Dulu kecam, sekarang bincang, kenapa ye Pas jumpa PAP

SITI NUR ZAWANI

Pas ibarat ‘menjilat ludah sendiri’ apabila mengadakan pertemuan dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang pernah diburukkan sendiri oleh mereka.

Pada 2017, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah melabel DAP dengan perumpamaan kesat iaitu sebagai anak butir tahi PAP.

Logik yang digunakan Abdul Hadi ialah Singapura sebagai bapa DAP dan yang memerintah negara itu adalah PAP.

Kemudian pada 2022, Abdul Hadi sekali lagi mengeluarkan kenyataan serupa, mendakwa DAP adalah parti cauvinis jelmaan PAP di Singapura, yang sangat ekstrem.
Selepas bertahun-tahun memburukkan PAP, ironinya Pas mengadakan pertemuan dengan parti Cina dari Singapura itu.

Dalam pertemuan yang diadakan semalam, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah bertemu dan mengadakan perbincangan dengan delegasi Biro Ehwal Melayu PAP Singapura yang dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia.

Foto mereka juga disiarkan di laman Harakahdaily.

Tanah untuk Datuk Tay, kerajaan Kelantan perlu beri penjelasan

AKMAL MANAF

Kerajaan Kelantan perlu memberi penjelasan berhubung satu maklumat berkaitan lot tanah di daerah Kuala Krai, Kelantan yang didakwa diserahkan kepada seorang tauke Cina.

Senarai lot tanah berkenaan dimuat naik seorang aktivis dikenali Wan Mahussin di laman sosialnya itu.

”Tahniah Dato’ Tay Kian Chuan. Kurniaan Tanah Pajakan 62.2582 ekar 99 tahun,” demikian kapsyen pendek yang tertera pada video tersebut.

Menurut perkongsian daripada Wan Mahussin itu lagi, terdapat sembilan lot tanah di Kuala Krai dengan keluasan 62.2582 ekar yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Dato’ Tay seperti surat yang tertera itu.

Pada tahun lepas, aktivis berkenaan pernah mendedahkan beberapa surat mendakwa kerajaan Kelantan memajak tanah lagi 99 tahun kepada bukan Melayu.

Dalam satu hantaran di Facebooknya pada tahun lalu, beliau mendakwa rakyat Kelantan, Cina Kelantan bersusah payah untuk mendapatkan sebidang tanah, tetapi begitu mudah kerajaan negeri memberi pajakan dengan tempoh 99 tahun kepada Dato’ Tay.

Sementara itu, di ruangan komen TikTok Wan Mahussin pula, ada netizen yang menyifatkan perkara itu sebagai ‘anak sendiri diabaikan, anak kera disusukan’.

”Wooo! Ni lah pemimpin ularmak.. anak sendiri diabaikan, anak kera disusukan.. hebat demo!,” kata husseinxmnkriss.

”Janganlah kutuk! Ada dalil lah,” sindir Zafir Zakaria.

”Teruskan bongkar Sin.. terbaik!,” puji Creative Peppe kepada aktivis berkenaan.

Polis tahan guru lelaki disyaki terbabit kes amang seksual murid

Bernama

Polis menahan seorang guru lelaki yang disyaki terbabit dalam kes amang seksual terhadap beberapa murid lelaki di sekitar daerah Hulu Selangor.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata tangkapan dibuat ke atas guru pendidikan jasmani berusia lingkungan 30-an itu di Bukit Beruntung, Selangor selepas menerima empat laporan sejak 2.03 pagi hingga 10 pagi semalam berhubung kejadian tersebut.

“Siasatan awal mendapati kejadian pertama membabitkan mangsa yang berusia 12 tahun berlaku sebulan yang lalu.

“Antara lokasi kejadian adalah di sebuah inap desa di kawasan Ulu Yam ketika mangsa mewakili daerah Hulu Selangor dalam pertandingan bola sepak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal berkata pihaknya membuka empat kertas siasatan terhadap lelaki terbabit mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Katanya, semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah dan direman enam hari sehingga 31 Julai.

- Bernama

Cubaan rogol: Wanita terselamat kerana datang bulan

KOSMO!
SUSPEK (bulatan merah) ditahan kerana cuba melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang tukang urut. – THAIGER
BANGKOK  – Polis menahan seorang lelaki di wilayah Songkhla, selatan Thailand  semalam kerana cuba memperkosa seorang tukang urut sebelum mengubah fikiran dan mencuri telefon bimbit mangsa, lapor laman berita Thaiger.

Dia berbuat demikian kerana wanita itu datang haid.

Tukang urut berusia 28 tahun itu melarikan diri dan meminta bantuan seorang pemandu di daerah Hat Yai, Songkhla. Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Tung Lung dan menceritakan butiran kejadian.

Tukang urut itu berkata, suspek  yang kemudian dikenali sebagai Teeraphat, 20, menghubunginya melalui aplikasi LINE.

Dia mengupah mangsa untuk menyediakan perkhidmatan urut di sebuah resort berhampiran tempat kejadian dan menawarkan bayaran sebanyak 2,000 baht(RM258), baru-baru ini.

Ketika mangsa membonceng motosikal suspek menuju ke resort itu, Teeraphat mendakwa bahawa dia perlu ke tandas dan melencongkan motosikalnya ke sebuah  ladang getah di tepi jalan.  

Teerafat didakwa mencampakkan mangsa ke tanah dan cuba melakukan perkara tidak senonoh terhadap dirinya.

Teerafat menghentikan niat jahatnya apabila mendapati mangsa benar-benar datang haid. Dia kemudian melarikan telefon bimbit wanita berkenaan.

Polis menahan Teeraphat semalam di rumahnya di daerah Namom, Songkhla. Teeraphat mengaku perbuatannya dan memberi alasan bahawa ketika kejadian, isterinya sedang  hamil. 

Laman berita DailyNews melaporkan bahawa polis telah mengeluarkan pertuduhan terhadap Teerafat tanpa memberikan butiran lanjut. – AGENSI

Baburam pilih jadi penjenayah untuk buktikan masih hidup

Agensi
BABURAM Bhil. FOTO Agensi
BABURAM Bhil. FOTO Agensi
New Delhi: Seorang lelaki India yang secara salah disahkan mati oleh kerajaan, baru-baru ini memilih melakukan jenayah sebagai cara terdesak untuk membuktikan bahawa dia masih hidup.

Memetik laporan Oddity Central, Baburam Bhil, 40, dari kampung Mithora di Rajasthan, sudah lama cuba meyakinkan pihak berkuasa bahawa dia masih hidup selepas mereka mengeluarkan sijil kematian atas namanya.

Dia cuba membetulkan kesilapan itu dengan merayu kepada orang kampung dan pihak berkuasa negerinya, tetapi tidak berjaya. Jadi, dia memutuskan untuk menggunakan pilihan yang lebih ekstrem.

Takut semua hartanya akan dirampas oleh kerajaan selepas kematian palsu itu, Baburam membuat kesimpulan bahawa menjadi penjenayah yang serius adalah cara terbaik untuk menarik perhatian kepada masalahnya.

Pada 19 Julai, dia mengambil pisau dan botol petrol dan mula 'mengganas' di sebuah sekolah.

Selepas memasuki Sekolah Chuli Bera Dharana, lelaki yang terdesak itu terus mencederakan beberapa guru, pemangku guru besar dan satu pasangan ibu bapa.

Menurut laporan polis, Baburam Bhil turut menjadikan beberapa pelajar dan guru sebagai tebusan, sehingga pihak penguat kuasa undang-undang tiba dan menahannya.

Semasa soal siasat, lelaki itu menjelaskan bahawa dia sudah diisytiharkan mati secara salah, dan selepas berulang kali cuba untuk membatalkan sijil kematiannya, dia terdesak untuk membuktikannya masih hidup.

Dia berpendapat bahawa melakukan jenayah yang cukup serius untuk dirinya ditangkap akan menyebabkan polis tiada pilihan lain selain menangkapnya, dan menulis namanya dalam rekod polis dan ia bukti bahawa dia sebenarnya tidak mati.

Baburam Bhil kemudian ditahan kerana jenayahnya, tetapi rancangannya itu mungkin berjaya kerana polis sudah mengumumkan siasatan terhadap dakwaannya.

Songlap RM2.4 juta: Kerani bank pindah wang ke 11 akaun sebelum ambil nyawa sendiri

TUAN NURHIDAYAH TUAN AB.GHANI
Ramli ketika sidang akhbar di Menara KPJ hari ini.
KUALA LUMPUR – Seorang kerani sebuah bank di Kuala Kuala Kangsar, Perak, dipercayai memindahkan wang lebih RM2.4 juta ke 11 akaun berlainan termasuk akaun syarikat sebelum mengambil nyawanya sendiri pada 5 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wang terbabit dikeluarkan dari tiga akaun simpanan tetap serta melibatkan 108 transaksi sejak Februari tahun lalu.

“Wang yang telah diselewengkan melalui tiga akaun simpanan tetap bernilai lebih RM2.4 juta dan telah dikeluarkan ke 11 akaun bermula 14 Februari tahun lalu hingga 24 Jun tahun ini.

“Sebanyak 108 transaksi yang mencurigakan direkodkan sepanjang tempoh berkenaan. Akaun tersebut dipercayai adalah milik kenalan, orang yang dikenali dan juga syarikat.

“Siasatan sedang dijalankan kerana kita dapati kebanyakan wang tersebut telah digunakan.

“Pendeposit berusia 69 tahun telah menyedari bahawa wang telah dikeluarkan pada 5 Julai lalu seterusnya melaporkan perkara itu terhadap pihak bank,” ujarnya ketika sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Beliau juga menegaskan, siasatan berhubung kes itu tetap diteruskan meskipun suspek telah membunuh diri.

“Hasil siasatan perlu disudahkan jadi kita masih teruskan siasatan ini termasuk mereka (11 akaun) yang menerima wang tersebut,” jelasnya.

12 Julai lalu Kosmo! melaporkan Polis merekodkan satu lagi kes kehilangan wang daripada akaun bank melibatkan nilai kerugian melebihi RM2 juta dikesan berlaku di sebuah bank di Kuala Kangsar, Perak, 9 Julai lalu.

Laporan yang diterima daripada kakitangan bank itu memaklumkan pihaknya mendapati seorang kakitangan di bank yang sama telah melakukan penyelewengan.

Terdapat pindahan wang dari akaun simpanan tetap milik pelanggan ke akaun pihak ketiga oleh kakitangan bank tersebut.

Katanya, kegiatan kakitangan itu hanya terbongkar apabila dua pemilik akaun simpanan tetap terbabit hadir ke bank untuk membuat pengeluaran wang dari akaun simpanan tetap pada 27 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE.

Asrama terbakar: Seorang sesak nafas, 13 selamat

Bernama

Seorang wanita sesak nafas dalam kejadian sebuah asrama terbakar di Bandar Puchong Jaya.
Seorang wanita sesak nafas manakala 13 individu berjaya selamatkan diri dalam kejadian asrama terbakar di Puchong Jaya petang tadi. (Gambar JBPM)
KUALA LUMPUR: Seorang wanita mengalami sesak nafas manakala 13 individu lagi berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran melibatkan sebuah asrama di bangunan premis perniagaan di Bandar Puchong Jaya, Selangor, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran pada 2 petang, dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dengan kekuatan sembilan pegawai serta anggota bergerak ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran membabitkan sebuah asrama yang terbakar 100% dan terdapat seorang wanita berusia 36 tahun yang mengalami sesak nafas.

Pasukan menjalankan kerja pemadaman dan terdapat dua kereta jenis Mercedes serta Toyota Prius yang berada di bawah bangunan turut mengalami kerosakan sebanyak 5%, katanya dalam kenyataan.

Mukhlis berkata mangsa yang terdiri daripada sembilan lelaki dan lima wanita berusia antara 16 hingga 65 tahun itu dipercayai menyewa bilik di asrama berkenaan.

Mangsa yang sesak nafas diserahkan kepada pegawai perubatan untuk rawatan lanjut.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.

Terima kasih pak cik, saya ingat muka pak cik sampai bila-bila'

Mahaizura Abd Malik
mahaizura@mediaprima.com.my
LELAKI yang dicari pemilik akaun TikTok, shqn.s. FOTO TikTok shqn.s
LELAKI yang dicari pemilik akaun TikTok, shqn.s. FOTO TikTok shqn.s
Kuala Lumpur: "Tolong cari uncle (pak cik) Cina ini! Gunakan kuasa netizen dan viral (tularkan)," demikian pinta seorang wanita muda kepada warganet bagi menjejaki individu yang membantunya di jalan raya, baru-baru ini.

Menurut satu perkongsian di akaun TikTok, shqn.s, wanita itu menceritakan bagaimana lelaki berbangsa Tionghua itu menghulurkan pertolongan ketika keretanya tiba-tiba rosak di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

"Kereta shut down (mati) lepas turun Suke Highway. Dengan break (brek) kaki terus jadi keras," katanya.

Akibat keretanya menghalang laluan, katanya, kenderaan lain membunyikan hon masing-masing sehingga membuatkannya buntu dan menangis, namun lelaki itu hadir sebagai penyelamat apabila menawarkan diri membawa keretanya ke tempat lebih selamat.

"Allah Maha Baik, Dia datangkan satu uncle Cina tolong aku, sanggup dia bawa kereta aku yang risk (risiko) sangatlah tinggi sebab break (brake) kaki tak dapat tekan dan bawa kereta sampai ke bawah.

"Terima kasih pak cik saya ingat muka pak cik sampai bila-bila," katanya.

Menurut wanita itu, sebelum beredar lelaki itu sempat berpesan kepadanya supaya jangan duduk belakang kereta rosak itu bagi mengelakkan dilanggar kenderaan lain.

Katanya, wanita lain perlu menjadikan kisahnya sebagai iktibar supaya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan tentang kereta.

"Girls (wanita) pandai mana pun kita cari duit kena ada ilmu pasal kereta rosak ini kena buat apa.

"Jangan jadi macam aku, gelabah semua tak tahu buat apa, orang hon rasa presure (tertekan) sangat.

"Alhamdulillah semua selamat. Di kala negara kita banyak isu terjadi, hadirnya insan yang baik berhati mulia," katanya.

Berikutan itu dia meminta bantuan netizen supaya membantunya menjejaki lelaki itu kerana tidak sempat mengambil nombor telefon.

"Cari uncle ni korang (kau orang), aku nak number fon (nombor telefon) dia.

"Sebab tadi tak sempat borak apa semua. Sempat say thankyou (ucap terima kasih) lepas itu dia pergi terus," katanya.

Sementara itu, usaha Harian Metro mendapatkan maklumat lanjut daripada pemilik akaun itu tidak berhasil apabila dia masih belum menjawab mesej dikirim kepadanya sejak malam tadi.

Pelakon ini pernah digoda peguam lelaki, ditawarkan permainan ajak ke bilik hotel

HELMI ANUAR
TONY membuka luka trauma zaman remajanya yang hampir dicabul seorang lelaki mengaku peguam.
PETALING JAYA – Ungkapan ‘lelaki juga sudah tidak selamat’ barangkali sesuai digunakan untuk menggambarkan situasi cemas yang pernah dilalui pelakon Tony Eusoff apabila hampir dicabul kaum sejenis sewaktu zaman remaja.

Mengimbau semula kejadian yang berlaku ketika usianya 15 tahun, kata Tony atau nama sebenarnya Anthony Joseph Hermas Rajiman, 47, dia tidak pernah menceritakan kisah berkenaan kepada mana-mana pihak sebelum ini

“Kejadian ini berlaku ketika saya masih di bangku sekolah di Kuching, Sarawak. Saya pernah ‘dipancing’ untuk ikut seorang lelaki berusia 40-an ke bilik hotelnya.

“Ketika itu saya sedang lepak di sebuah pusat beli belah. Tiba-tiba saya dilanggar seorang lelaki hingga menyebabkan fail yang dipegangnya terjatuh. Saya yang naif ketika itu rasa sangat bersalah dan gelabah kerana telah menyebabkan failnya terjatuh.

“Dari situlah kami mula berkenalan dan berbual. Tetapi lama-kelamaan dia mula bertanya tentang perkara peribadi dan apa yang saya suka lalu dia mengajak saya ke hotel tempat penginapannya,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Lubuk baru-baru ini.

Berasakan bagai ada yang tidak kena, Tony menolak ajakan lelaki terbabit yang mengaku dirinya seorang peguam berasal dari Kuala Lumpur.

“Dia mengumpan saya dengan memberitahu bahawa di biliknya ada permainan Nintendo dan macam-macam lagi. Namun saya enggan turuti.

“Kemudian dia mengeluarkan fotonya dan memberikan kepada saya yang membuatkan saya berasa semakin pelik. Saya tidak faham apa yang sedang berlaku.

“Ketika saya mahu beredar dia memujuk untuk saya ikutnya makan tengah hari. Bila saya enggan, dia terus tarik tangan saya. Saya yang panik ketika itu terus menjerit ketakutan dan lelaki tersebut terus beredar,” kongsinya.

Ujar Tony, pengalaman hitam itu membuatkan dia trauma kerana tidak faham apa sebenarnya yang berlaku.

“Selepas beberapa tahun dan sudah dewasa baru saya faham apa yang berlaku. Ketika itu saya masih belum faham seksualiti manusia itu seperti apa. Yang saya tahu lelaki suka perempuan dan sebaliknya.

“Bayangkan selama beberapa tahun saya alami gangguan stres pasca trauma (PTSD) sebab tak faham apa yang berlaku.

“Walaupun saya cuba untuk lupakan detik hitam tersebut, tetapi kadang-kadang momen itu kembali menghantui,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, filem lakonan Tony, Lubuk arahan Mark Lee See Teck kini sedang ditayangkan di pawagam. Dalam filem ini Tony melakonkan watak sebagai seorang penjual organ. KOSMO! ONLINE

Model jelita mati ditikam, polis berkas teman lelaki

KOSMO
Gwendoline Cretton. - Bangkok Post
BANGKOK – Seorang model wanita  berusia 24 tahun dari Hong Kong ditemui mati akibat ditikam di kediamannya di Bangkok, lapor saluran berita Thaiger semalam. 

Gwendoline Cretton yang juga pemegang passport Switzerland, ditemui tidak bernyawa pada 18 Julai lalu selepas jirannya terdengar suara jeritan sekitar pukul 6.15 petang (waktu tempatan). 

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan mangsa dibawa keluar dari apartmen berkenaan oleh teman lelakinya, yang dikenali sebagai Wai dan dua lelaki lain. 

Rakaman juga menunjukkan kereta milik Wai yang terletak berhampiran kediaman mangsa sebelum kejadian.

Menurut polis, mangsa kali terakhir dilihat membawa anjingnya berjalan sekitar pukul 5.30 petang (waktu tempatan) pada hari yang sama. 

Polis Thai menahan tiga suspek termasuk Wai, yang mendakwa bahawa mangsa membunuh diri.

Agensi model CalCarries International Management mengesahkan bahawa mangsa sudah bekerja di syarikat itu selama bertahun-tahun dan kontraknya tamat pada tahun ini.

Bagaimanapun, mereka tidak dapat menghubungi mangsa untuk mendapatkan pengesahan kerana dia tidak lagi bekerja untuk mereka. 

Sementara itu, Jabatan Imigresen Thailand menyatakan bahawa mereka masih tidak menerima sebarang permintaan untuk bantuan. 

Namun, jabatan itu sedang berhubung rapat dengan Pejabat Pesuruhjaya Kementerian Luar China dan Kedutaan China di Thailand untuk memantau keadaan. – AGENSI

Koperal dituduh minta rasuah RM40,000

JAMLIAH ABDULLAH
Sazali (kiri) dituduh meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!
ALOR SETAR – Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah, dua tahun lalu.

Tertuduh, Sazali Lokhman, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa meminta rasuah sebanyak RM40,000 daripada seorang wanita berusia 26 tahun sebagai dorongan untuk membantu menurunkan seksyen kesalahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang ditangkap polis di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kawasan Perindustrian Bandar Darul Aman di Kubang Pasu, dekat sini pada pukul 2 petang, 29 November 2022.

Sementara bagi pertuduhan kedua, Sazali didakwa menerima rasuah RM10,000 daripada wanita terbabit di lokasi dan waktu yang sama di dalam sebuah kenderaan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa menerima rasuah sebanyak RM9,000 daripada seorang lelaki berusia 30 tahun sebagai dorongan sama di Jalan Langgar, di sini pada pukul 9 malam, 30 November 2022. – KOSMO! ONLINE

Akaun FB Dr Maza hadapi serangan siber, hilang sejuta ‘followers’

Iqbal Harraz

Akaun peribadi Facebook Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menghadapi serangan siber mengakibatkan dia kehilangan sejuta pengikut (followers).

Mohd Asri memberitahu Malaysiakini setakat ini dia menggunakan akaun Facebook ‘Dr Maza Channel’ sebagai ganti.

“FB Dr MAZA yang mempunyai lebih sejuta followers hilang oleh serangan siber tanpa sebarang amaran.

“Ini FB baru sebagai ganti buat masa ini,” katanya ringkas.

Akaun Facebook Dr Maza Channel mempunyai 31,000 pengikut.

Kata mufti Perlis lagi, semua maklumat akan dimasukkan ke laman berkenaan terlebih dahulu.

Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza merupakan seorang ulama aktif di media sosial memberi pencerahan berhubung isu-isu agama dan politik kepada rakyat.

Cabul bayi, pemuda direman 7 hari

Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
Seorang lelaki berusia 30-an direman selama tujuh hari. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Seorang lelaki berusia 30-an direman selama tujuh hari. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kota Bharu: Seorang lelaki berusia 30-an direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mencabul seorang bayi perempuan berusia lima bulan kejadian di Kubang Kerian di sini.

Suspek ditahan reman sehingga 1 Ogos ini mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Terdahulu, lelaki berkenaan tiba di Mahkamah Kota Bharu dengan memakai baju lokap dan diiringi polis.

Lelaki berkenaan ditangkap semalam susulan laporan polis yang dibuat ibu bapa mangsa.

Difahamkan, lelaki yang ditahan itu adalah anak kepada pengasuh bayi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Suami tergamak tinggalkan isteri, anak di pondok tepi jalan

KOSMO
SEORANG wanita bersama tiga anak ditinggalkan di sebuah pondok tepi jalan oleh suaminya di Udon Thani semalam. – KHAOSOD
BANGKOK – Seorang lelaki warga Thailand menipu keluarganya dengan berjanji untuk membeli kek hari jadi, hanya untuk meninggalkan isteri bersama empat orang  anak di sebuah pondok tepi jalan, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Penduduk kampung yang tidak sampai hati melihat keadaan keluarga tersebut, bertindak membawa mereka pulang ke sebuah rumah sewa.

Pegawai-pegawai tempatan menerima laporan pukul 5  petang semalam daripada ahli Majlis Perbandaran Daerah Koksung, Parida Prasomsri  bahawa seorang ibu dan empat anaknya ditemui di sebuah pondok di jalan Ban Dong Rueang-Ban Muang Nadee, mukim Phang Ngu dalam wilayah Udon Thani. 

Penduduk kampung menemui keluarga itu selepas si suami meninggalkan mereka di sana. Dia menggunakan helah mahu membeli rokok tetapi tidak pernah kembali.

Si isteri berkata, dia,  suaminya, dan anak-anak mereka menyewa sebuah rumah di Ban Na Baek, daerah Kumphawapi  di mana mereka menangkap ikan dan menjalani kehidupan secara ‘kais pagi makan pagi’.

Keluarga itu membayar 2,000 baht (RM258) sebulan untuk sewa rumah dan sering bergelut untuk membuat pembayaran.

Si suami  telah meyakinkannya untuk melawat saudara-mara di daerah Chaiwan untuk meminta wang bagi membeli kek hari jadi anak bongsu mereka.

Mereka bersama-sama menaiki motosikal tetapi apabila sampai di pondok tersebut, lelaki itu menyuruh keluarganya menunggu di pondok sementara dia pergi membeli rokok, namun  tidak pernah  kembali.

Si isteri menceritakan bagaimana mereka menunggu dari awal pagi hingga ke petang, tanpa kelibat suami. 

Penduduk kampung yang menemui mereka melaporkan keadaan itu kepada polis tempatan di Nong Han. Si isteri mengesyaki suaminya mungkin pergi membeli dadah, kerana dia mempunyai sejarah meninggalkan keluarga untuk tempoh yang lama.

Penduduk kampung yang terharu dengan nasib ibu dan anak-anak tersebut, bertindak menghantar keluarga itu pulang pulang ke rumah sewa mereka di Ban Na Baek, daerah Kumphawapi, lapor laman berita KhaoSod. – AGENSI

Misteri 14,000 tahun Gua Pelangi terungkai

Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my
NICOLE Tan Lee Koon (tengah) ketika mengadakan lawatan ke Gua Pelangi. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
NICOLE Tan Lee Koon (tengah) ketika mengadakan lawatan ke Gua Pelangi. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Jelebu: Artifak batu dan sisa makanan pra sejarah berusia 14,000 tahun antara tarikan utama Tapak Arkeologi Gua Pelangi terletak berhampiran FELDA Pasoh Empat di sini.

Lokasi itu bakal dibangunkan sebagai Jejak Geo dalam usaha kerajaan Negeri Sembilan merancakkan lagi rangkaian eko pelancongan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, Jejak Geo adalah pakej lawatan ke gua berkenaan selain persinggahan ke tapak biodiversiti, tapak warisan, budaya atau sejarah dan tapak produk.

Katanya, usaha untuk menjadikan kawasan itu sebagai Geopark pasti mengambil masa.

"Jadi apa yang boleh dilaksanakan sekarang adalah menjadikannya sebagai Geotrail (Jejak Geo) dalam masa terdekat.

"Banyak perkara berkaitan di tapak arkeologi itu sudah dilaksanakan cuma ia perlu dimantapkan lagi. Contohnya dari segi papan tanda,l atihan untuk juru pandu, kemudahan asas dan sebagainya," katanya selepas selesai mengadakan lawatan kerja di Gua Pelangi di sini, tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Warisan, Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd Faizal Ramli; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir dan ADUN Sungai Lui, Datuk Mohd Razi Mohd Ali.

Lawatan khas itu diselaraskan Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) bersama Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia bagi mendapat gambaran sebenar berhubung potensi lokasi berkenaan sebagai salah satu produk pelancongan menarik di negeri ini.

Media pada tahun 2015 melaporkan Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat sejarah apabila menemui artifak Paleolitik iaitu zaman prasejarah yang berusia kira-kira 14,000 tahun yang pertama di Selatan Semenanjung terletak di Gua Pelangi.

Penemuan artifak berbentuk batu dan sisa makanan itu dikatakan sangat penting sekali gus dapat menerangkan asal usul Negeri Sembilan dan daerah Jelebu.

Dalam pada itu, Nicole berkata, pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa khas membabitkan jabatan bertanggungjawab bagi memperincikan keperluan dan usaha berkaitan dalam menjadikan Gua Pelangi ini sebagai Geopark pada masa akan datang.

"Perincian ini nanti akan diusulkan pula dalam belanjawan Negeri Sembilan pada bulan depan untuk mendapatkan peruntukkan di bawah kapasiti kerajaan negeri selain permohonan dana daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC)," katanya.

Dr Kamilin: Sebab itu Nabi larang kita jumpa bomoh

SITI NUR ZAWANI

Seorang Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan berulang kali mengingatkan ada sebab mengapa Nabi Muhammad melarang umat Islam berjumpa dengan bomoh.

Dr Kamilin Jamilin merujuk kepada isu berlaku terhadap Allahyarham Zulfarhan Osman yang didera sehingga mati selepas seorang bomoh menyebut namanya sebagai pencuri komputer riba.

Beliau dalam satu video ringkasnya, mengingatkan umat Islam agar kukuhkan akidah dan tauhid supaya tidak mempercayai tukang ramal seperti bomoh, dukun dan pawang.

“Beringat sikit orang-orang Melayu kita yang masih percaya dan terikut-ikut dengan benda-benda khurafat dan syirik ini .

“Penting untik kita semua kukuhkan akidah dan tauhid,” katanya.

Dr Kamilin berkata, jin dan syaitan akan sedaya upaya menyesatkan umat Islam, sehingga mendorong manusia melakukan kejahatan di luar jangkauan.

Pesannya, mana-mana umat Islam yang mendatangi bomoh atau tukang ramal, maka solatnya tidak diterima selama 40 hari.

“Orang kita memang sukalah nak jumpa dengan bomoh bila nak cari benda-benda hilang, nak cari pesalah. Jin, syaitan pula memang suka gunakan kesempatan ini untuk sesatkan manusia.

“Nabi kata di sebalik satu berita betul yang dibawa jin, dia akan campur aduk dengan 100 penipuan dan 100 pendustaan.

“Maksudnya jin dan syaitan ini mesti akan cari jalan nak sesatkan manusia. Itu yang sampai jadi kes kes macam ini sebab syaitan,” katanya lagi.

Sebelum ini orang ramai menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap ‘bomoh’ yang menjadi punca pembunuhan Allahyarham.

2 maut, 2 parah kereta dinaiki bertembung pacuan empat roda

Amir Hamzah Nordin
am@hmetro.com.my
KEMALANGAN membabitkan Proton Wira dan Toyota Hilux berhampiran lampu isyarat di Batu 3, Raub. FOTO Ihsan Bomba
KEMALANGAN membabitkan Proton Wira dan Toyota Hilux berhampiran lampu isyarat di Batu 3, Raub. FOTO Ihsan Bomba
Raub: Dua maut, manakala dua lagi parah apabila sebuah kereta bertembung dengan pacuan empat roda berhampiran lampu isyarat di Batu 3 di sini, malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub Azain Uzir berkata, kemalangan 10.43 malam itu membabitkan kereta Proton Wira dan pacuan empat roda Toyota Hilux.

"Sejurus menerima laporan kejadian, sepasukan anggota dari BBP Raub dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.

"Pemandu kereta Proton Wira iaitu seorang lelaki dan penumpang wanita berjaya dikeluarkan tetapi disahkan meninggal dunia.

"Dua wanita yang turut menaiki kereta itu parah dan dihantar ke Hospital Raub untuk menerima rawatan. Lelaki yang memandu Toyota Hilux cedera ringan," katanya ketika dihubungi, tadi.

Katanya, kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Remaja lelaki maut jatuh dari tingkat sembilan PPR

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
MAYAT remaja lelaki ditemukan di tingkat bawah bangunan berkenaan dan terdapat bangkai seekor kucing berhampiran mayat itu. FOTO Ihsan Pembaca
MAYAT remaja lelaki ditemukan di tingkat bawah bangunan berkenaan dan terdapat bangkai seekor kucing berhampiran mayat itu. FOTO Ihsan Pembaca
Kuala Lumpur: Remaja lelaki berusia 17 tahun ditemukan maut selepas terjatuh dari tingkat sembilan sebuah blok projek perumahan rakyat (PPR) di Setapak di sini, hari ini.

Difahamkan, pelajar sebuah sekolah menengah itu ditemukan dalam keadaan terbaring di tingkat bawah bangunan berkenaan dan terdapat bangkai seekor kucing berhampiran mayat.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, polis menerima laporan kejadian pada 11.50 pagi.

"Berdasarkan maklumat, seorang lelaki terjatuh bangunan dan tidak disedari oleh ahli keluarga.

"Remaja itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia. Semakan mendapati dia si mati adalah pesakit psikiatri dan sedang menjalani rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Anak tauke restoran dipercayai dibunuh, kenderaan dibakar

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
PASUKAN polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian berdekatan sebuah ladang di Kampung Sungai Memanjang, Sandakan. FOTO Ihsan Polis
PASUKAN polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian berdekatan sebuah ladang di Kampung Sungai Memanjang, Sandakan. FOTO Ihsan Polis
Sandakan: Misteri kehilangan seorang lelaki sejak Ahad lalu terjawab apabila mayatnya ditemukan dan dipercayai dibunuh di kawasan semak berdekatan sebuah ladang di Kampung Sungai Memanjang, di sini, hari ini.

Mayat mangsa dikenali sebagai Naufal Abdul Rashid, 35, ditemukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, kira-kira 11 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Ramasamy Kuppan berkata, pihaknya menerima laporan awal berhubung penemuan sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar di kawasan berkenaan.

Susulan itu katanya, sepasukan polis digerakkan ke tempat berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.

"Setiba di lokasi didapati sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar namun tiada individu di dalam kenderaan berkenaan.

"Anggota polis kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi kenderaan itu dan menemui satu mayat lelaki yang disyaki berkaitan satu laporan orang hilang pada Ahad lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of kent (HDOK) Sandakan untuk tujuan bedah siasat.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Sejak pagi, tular di media sosial berkaitan kehilangan seorang lelaki yang juga anak tauke restoran Supreme, kira-kira 3 petang, Ahad lalu.

Polis ditangkap khalwat kali kedua

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan anggota polis yang ditangkap berdua-duaan dengan kekasih gelapnya. - Instagram
JAKARTA – Seorang anggota polis yang sudah berumah tangga dicekup ketika berdua-duaan dengan wanita lain dalam kejadian di Kendari, wilayah Sulawesi Tenggara, lapor saluran berita Tribunnews semalam. 

Mereka ditemui di dalam sebuah bilik hotel, selepas anggota-anggota penguatkuasa tempatan (Dinas) melakukan serbuan. 

Rakaman mengenainya yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @memomedsos_official, menunjukkan anggota-anggota Dinas mengetuk pintu bilik hotel sebelum dibuka oleh seorang wanita.

“Ini isteri kamu ke?” tanya salah seorang anggota Dinas. 

“Bukan,” jawab polis itu.  

Menurut si isteri yang hanya dikenali sebagai IK, ini bukan kali pertama suaminya dicekup kerana berlaku curang.

“Dia pernah ditangkap basah bersama wanita berbeza sebanyak dua kali. 

“Kejadian pertama berlaku pada tahun 2022 lalu dan dia ditangkap kali-2 pada tahun ini,” kata isterinya.

Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan meraih 200,000 tontonan. – AGENSI

Penganggur ditahan susulan kehilangan Nurul Aishah Farhana

Amirul Aiman Hamsuddin
bhnews@bh.com.my
Nurul Aishah Farhana Azni
HULU SELANGOR: Seorang penganggur ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan Nurul Aishah Farhana Azni di Bandar Utama Batang Kali di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus, berkata pemuda berusia 20-an itu ditahan di kawasan Triang, Pahang, jam 12.30 tengah malam tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

Pada masa sama katanya, remaja perempuan berusia 17 tahun itu ditemukan selamat dalam sebuah rumah dipercayai milik saudara kepada suspek.

"Siasatan mendapati suspek dipercayai melarikan mangsa yang berdepan dengan masalah keluarga.

"Ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah selain tiada rekod lampau jenayah atau dadah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Asri menegaskan polis berjaya menyelesaikan kes terbabit dalam tempoh 24 jam.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menjalani pemeriksaan.

"Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 27 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017," katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan daripada bapa Nurul Aishah Farhana di Balai Polis Batang Kali, jam 12.42 tengah hari semalam.

Lokasi terakhir remaja perempuan itu adalah di sebuah kedai makan di Bandar Utama Batang Kali jam 9.30 malam kelmarin.

Suami kejar isteri dengan gunting, mengamuk sebab bayi jatuh

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!
MELAKA – Seorang pegawai pengurusan jenazah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menakutkan isterinya dengan mengejar mangsa sambil memegang gunting, Sabtu lalu.

Tertuduh, Mohd. Ridzuan Mohd. Fauzi, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dengan niat menakutkan secara jenayah terhadap isterinya, Siti Najira Abdul Sahak, 39, dengan cara mengejar mangsa sambil memegang sebilah gunting.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam di sebuah rumah di Pangsapuri Kota Laksamana dalam daerah Melaka Tengah pada 20 Julai lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Difahamkan tertuduh ‘naik hantu’ selepas bayi mereka berusia tiga bulan dikatakan terjatuh dan mendakwa kejadian itu berlaku gara-gara mangsa cuai.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan hanya bekerja sebagai pegawai pengurusan jenazah dengan gaji bulanan RM1,800 dan mempunyai dua orang anak.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Khairunnisak kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 beserta syarat tambahan tidak akan menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan tarikh 29 Ogos depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Pasar malam Batu 4 'dijajah' peniaga asing ?

Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my
Suasana keadaan di Tapak Pasar Malam Batu 4 ketika tinjauan media di sini lewat petang semalam. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Suasana keadaan di Tapak Pasar Malam Batu 4 ketika tinjauan media di sini lewat petang semalam. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Port Dickson: Tular di media sosial mendakwa pasar malam Batu 4 di sini, dipenuhi peniaga warga asing yang mengambil kesempatan berniaga secara haram.

Maklumat tular itu bagaimanapun dinafikan peniaga tempatan di pasar berkenaan yang mendakwa ia sengaja mengelirukan pengguna,

Salah seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, dia sudah lebih 10 tahun berniaga di Tapak Pasar Malam Batu 4 dan tida terdengar warga asing dibenarkan berniaga di sini.

"Mungkin dakwaan itu ditujukan kepada peniaga yang sudah mendapat status penduduk tetap di negara ini. Golongan ini sudah mendapat kerakyatan dan sudah berpuluh tahun menetap di sini.

"Beberapa minggu lalu ada juga peniaga warga asing (Bangladesh) yang berniaga ikan tetapi pihak berkuasa tempatan segera mengambil tindakan selepas menerima aduan kami," katanya semalam.

Bagi peniaga mahu dikenali sebagai Shukor, 57, berkata, hanya peniaga yang sudah mendaftar sebagai ahli sahaja dibenarkan berniaga di situ.

"Mungkin disebabkan video tular itu, pihak berkuasa tempatan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas semua peniaga baru-baru ini. Ada peniaga yang disaman kerana tidak mempunyai atau lesen perniagaan sudah tamat tempoh," ujarnya yang sudah 12 tahun berniaga di sini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat tular itu, peniaga Indonesia didakwa memonopoli tapak pasar malam berkenaan.

Sementara itu, usaha bagi mendapatkan penganjur Tapak Pasar Malam Batu 4 gagal kerana peniaga memberitahu penganjur adalah pihak MPPD (Majlis Perbandaran Port Dickson) sendiri.

Usaha mendapatkan Yang Di Pertua (YDP) MPPD, Hasnor Abd Hamid turut gagal berikutan beliau enggan memberi komen namun mengakui ia sudah viral di media sosial.

Rompak berkumpulan: Pegawai polis mengaku tak bersalah

BERNAMA

Kota Bharu: Seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan merompak secara berkumpulan wang tunai RM2,500 dalam sebuah kereta, pada November lalu.

Khairul Anuar Abdul Aziz, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Dia didakwa melakukan rompakan berkumpulan dalam sebuah kereta Volkswagen Scirocco terhadap seorang lelaki berusia 20 tahun ketika dalam perjalanan dari Restoran Nasi Lemak Dusun Muda ke Pasar Melor di sini, antara 3.30 pagi dan 5 pagi, 3 November lalu.

Pegawai polis itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala Khairul diwakili peguam Zainal Abidin Mustafa.

Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan Khairul tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Zulkifli menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Culik 2 budak perempuan, lelaki dipenjara 2 tahun

FMT Reporters
Peniaga pisang goreng Mohamad Shahriza Othman mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Besar atas tuduhan menculik dua kanak-kanak perempuan berusia lapan dan enam tahun di Jeram pada 19 Julai lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang peniaga pisang goreng dihukum penjara dua tahun dan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Besar atas tuduhan menculik dua kanak-kanak perempuan berusia lapan dan enam tahun di Jeram pada 19 Julai lalu.

Majistret Siti Hajar Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Shahriza Othman, 31, yang mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, Shahriza menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan dan enam tahun dari penjaganya di Nombor 2, Jalan Ikan Emas 2, Taman Ikan Emas di Jeram pada 6.30 petang, 19 Julai lalu.

Dia dakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tempoh tujuh tahun dan boleh juga didenda.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh melarikan dua kanak-kanak perempuan itu yang sedang bermain di hadapan rumah dengan menaiki kereta jenis Perodua Bezza.

Tertuduh mengajak kedua-dua mangsa menemaninya untuk menghantar surat sambil memberikan wang tunai RM50 sebagai upah.

Mangsa mengikut lelaki itu ke kedai runcit dan mengajak berjalan-jalan sekitar Jeram dan singgah di rumah tertuduh sebelum menghantar semula mangsa kira-kira 7.45 malam.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhd Muqri Mohd Khairi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memberi alasan dia melakukan perbuatan itu kerana tidak memiliki anak perempuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kes penculikan semakin meningkat yang akan mempengaruhi dan mengancam keselamatan awam.

Media sebelum ini melaporkan dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun yang dilaporkan hilang ditemui dalam keadaan selamat selepas dipercayai dilarikan seorang lelaki dengan menaiki sebuah kereta Perodua Bezza di Jeram, pada Jumaat.

Misteri bau busuk terjawab, mayat mereput dalam bilik sewa

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui terbaring di atas tilam bilik sewanya di Kampung Air, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui terbaring di atas tilam bilik sewanya di Kampung Air, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Kota Kinabalu: Misteri bau busuk dari bilik sewa di tingkat dua sebuah premis di Jalan Lorong Haji Yacoob, Kampung Air di sini, terungkai selepas penemuan mayat seorang lelaki malam tadi.

Mayat lelaki berusia lingkungan 30 tahun itu ditemukan dalam keadaan membengkak dan berbau di atas tilam bilik sewanya, kira-kira jam 9 malam.

Difahamkan, penghuni bilik sewa lain di premis berkenaan curiga dengan bau busuk dan mengalir cecair dari bilik berkenaan sejak petang semalam.

Penghuni kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pengurus premis sebelum membuka pintu bilik dan menemukan mayat dalam keadaan terbaring di atas tilam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan mendapati mangsa adalah pekerja di sebuah restoran yang terletak di tingkat bawah bilik sewanya.

Katanya, penemuan mayat lelaki itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan bedah siasat akan dilakukan hari ini bagi mengetahui punca kematian.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Kelantan: Penganggur didakwa bunuh lelaki

Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
Mazlan Mat Noh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki di perhentian bas di tepi lorong Che Majid, Jalan Sultan Yahya Petra.  FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mazlan Mat Noh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki di perhentian bas di tepi lorong Che Majid, Jalan Sultan Yahya Petra. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kota Bharu: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki, 13 Julai lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Mazlan Mat Noh, 47, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang lelaki, Abdul Hayyiy Ismail Yahya, 31.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di perhentian bas di tepi lorong Che Majid, Jalan Sultan Yahya Petra di sini, antara jam 9.29 pagi hingga 10.15 pagi, pada 13 Julai 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan boleh dikenakan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Syahmi Yazid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Muhammad Aiman Syahmi tidak mencadangkan sebarang jaminan dan mohon tarikh untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia serta kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia dan laporan bedah siasat daripada forensik.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam di bahagian belakang badan, 13 Julai lalu.

Mangsa ditemukan orang awam di kawasan kaki lima sebuah perhentian bas pada jam 10 pagi selepas terdengar suara meminta tolong.

Tak cukup menangis minta dilepaskan, 3 wanita cuba sogok Imigresen RM16,000

Zuhainy Zulkiffli
bhnews@bh.com.my
Pegawai Imigresen menyoal siasat seorang daripada tiga wanita warga asing yang ditahan kerana terbabit aktiviti persundalan. - NSTP/Zuhainy Zulkiffli
Pegawai Imigresen menyoal siasat seorang daripada tiga wanita warga asing yang ditahan kerana terbabit aktiviti persundalan. - NSTP/Zuhainy Zulkiffli
GEORGETOWN: Tiga wanita warga asing menangis sambil merayu dilepaskan ketika ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen kerana terbabit aktiviti persundalan, semalam.

Tidak cukup dengan itu, ada antara mereka cuba memberi sogokan RM16,000 kepada pegawai Imigresen terbabit serbuan di sebuah hotel di sini, sebagai habuan untuk dibebaskan.

Pengarah Imigresen negeri, Nur Zulfa Ibrahim berkata dalam serbuan kira-kira jam 9 malam itu, tiga wanita warga Thailand, Laos dan Vietnam berusia antara 25 hingga 29 tahun itu ditemukan bersendirian dalam bilik masing-masing, bersedia untuk menerima pelanggan.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga wanita itu berada dalam negara ini sejak dua minggu lalu dengan ada antara mereka sering keluar masuk atas alasan melancong.

Katanya, JIM tidak menolak kemungkinan mereka dijaga ejen sindiket dan memberi layanan kepada kenamaan, malah ketika tangkapan dibuat ada antara mereka memegang wang tunai melebihi RM16,000.

"Mereka disyaki memberi layanan VIP dengan bayaran kira-kira RM240 bagi sejam perkhidmatan.

"Terdapat ejen tertentu mengawal kegiatan mereka menerusi sistem laman sesawang dibuat," katanya.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa turut merampas beberapa telefon bimbit, puluhan kondom termasuk yang sudah digunakan, minyak pelincir, wang tunai, pil perancang dalam tiga bilik wanita terbabit.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

‘Scammer’ terkenal menyamar polis dicekup

KOSMO!
NARONGRIT ditangkap di daerah Takli oleh sepasukan anggota polis. - Foto Khaosod
BANGKOK – Polis Thailand menahan seorang ‘scammer’ terkenal yang menyamar sebagai inspektor menerusi platform online, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Lelaki berusia 30 tahun yang dikenali sebagai Narongrit atau Takli White itu dilaporkan sudah memperdayakan orang ramai selama bertahun-tahun. 

Penangkapan lelaki itu dilakukan berikutan beberapa insiden penipuan dan beberapa siri waran tangkap yang telah dikeluarkan.

Dia ditangkap di daerah Takli, wilayah Nakhon Sawan, oleh sepasukan anggota polis. 

Walaupun pernah ditahan sebelum ini, Narongrit masih meneruskan aktiviti penipuannya. 

Dia sering meniru adegan daripada filem Catch Me If You Can yang dibintangi oleh aktor Tom Hanks dan Leonardo DiCaprio untuk menipu anggota penguat kuasa undang-undang.

Salah satu waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah pada 1 November 2023, menuduh Narongrit melakukan penipuan awam dan memasukkan maklumat palsu ke dalam sistem komputer. 

Waran tangkap seterusnya dikeluarkan Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan pada 14 November 2023, yang mendakwanya atas percubaan penipuan, pemalsuan dokumen dan menggunakan dokumen palsu. – AGENSI

Ego halang kerjasama parti utama Melayu

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Penganalisis politik berpendapat mustahil melihat kerjasama PAS, Bersatu dan Umno pada PRU16 jika semuanya gagal mengetepikan ego serta memikirkan keuntungan parti sendiri semata-mata.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya mencadangkan tiga parti itu mengetepikan ketaasuban politik manakala Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan agak skeptikal terutama penerimaan Bersatu yang dijangka rugi jika PAS dan Umno bekerjasama.

Menurut Awang Azman, kerjasama tidak seharusnya terhad kepada tiga parti terbabit namun perlu diperluaskan kepada Amanah jika ingin bergerak serta menyokong agenda Melayu.

Seterusnya bergerak ke depan serta mendukung kepimpinan perdana menteri (Anwar Ibrahim) yang juga sebahagian besar kepimpinan Melayu, katanya kepada FMT.

Beliau mengulas perkembangan baharu berkait kerjasama parti Melayu menjelang PRU16 susulan kenyataan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, Isnin lalu mendakwa berlaku siri pertemuan PAS bersama pemimpin Umno.

Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi kelmarin menyifatkan pertemuan yang tidak membabitkan dirinya itu dibuat secara peribadi dan bukan rasmi.

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, dalam maklum balasnya berkata parti itu tidak mempunyai syak wasangka terhadap PAS dengan perkembangan tersebut malah menyambut baik demi permuafakatan parti Melayu.

Azmi berpendapat respons positif Bersatu terhadap kerjasama itu mungkin tidak mahu dilihat enggan menyokong agenda penyatuan parti Melayu yang menjadi sebahagian prinsip perjuangannya.

Namun menurutnya, pada masa sama Bersatu juga pasti bimbang kerana mereka akan rugi kerana kebergantungan terhadap kekuatan PAS.

“Bagi saya Umno tidak memerlukan Bersatu kerana akan berlaku pertindihan kerusi.

Bersatu juga akan menjadi tidak relevan jika kerjasama Umno-PAS dalam Muafakat Nasional 2.0 berjaya, katanya.

Minta bantuan kesan remaja hilang di Batang Kali

Bernama
Laporan mengenai kehilangan Nurul Aishah Farhana Azni, 17, dibuat oleh bapa mangsa pada 12.42 tengah hari tadi di Balai Polis Batang Kali. (Gambar PDRM)
KUALA LUMPUR: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan Nurul Aishah Farhana Azni, 17, yang dilaporkan hilang sejak semalam.

Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor Mohd Asri Mohd Yunus berkata, laporan mengenai kehilangan Nurul Aishah Farhana dibuat oleh bapa mangsa pada 12.42 tengah hari tadi di Balai Polis Batang Kali.

Nurul Aishah Farhana dipercayai dilihat kali terakhir di Kedai Makan Sakon Thai, Jalan Mahagoni 7/1A Bandar Utama Batang Kali, Selangor pada 9.30 malam semalam, katanya.

Nurul Aishah Farhana berkulit cerah dengan ketinggian antara 150 hingga 155cm serta anggaran berat 50 hingga 55kg.

Remaja itu kali terakhir dilihat berpakaian kemeja-T berwarna biru gelap, berlengan panjang, berseluar hitam dan memakai sandal berwarna coklat cerah serta bertudung hitam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran, pegawai penyiasat jenayah Muhammad Saiful Abdul Rahman di talian 03-60641222 atau IPD Hulu Selangor di talian 03-60641223.

Pilihan raya Eropah dan kebangkitan pelampau kanan

Malaysiakini 

Imran Mohd Rasid

Hampir sebulan yang lalu telah berlangsungnya pilihan raya Parlimen Eropah yang turut menyaksikan peratusan pengundi tertinggi dalam tempoh 10 tahun. Pilihan raya kali ini adalah yang ke-10 sejak tahun 1979, dan berlangsung setiap lima tahun dengan hampir 720 kerusi dipertandingkan.

Parti Rakyat Eropah (European People’s Party, EPP), iaitu parti politik berhaluan kanan-tengah berjaya mengekalkan majoriti dengan 189 kerusi (26.25 peratus) manakala blok Sosialis dan Demokrat (S&D) berada di tangga kedua. Apa yang paling mengejutkan adalah selain daripada peratusan keluar mengundi yang tinggi, pilihan raya kali ini menarik kerana ia mengisyaratkan kebangkitan gelombang populis kanan yang semakin dominan dalam ranah politik Eropah.

Parti-parti politik berhaluan kanan antara yang paling banyak memperoleh kemenangan berbanding tahun-tahun sebelumnya, manakala prestasi parti-parti Liberal atau centrist pula kian merosot. Dua blok terbesar dalam Parlimen Eropah yang berjalur pelampau kanan (far-right), iaitu European Conservatives and Reformists (ECR) dan parti Identity and Democracy (ID), sekarang memiliki 131 kerusi (18.2 peratus), diikuti dengan beberapa parti kecil sayap kanan lain, iaitu Alternative for Germany (15 kerusi), Parti Fidsez (10 kerusi), Parti Konfederasi Poland (enam kerusi), dan parti-parti Bulgaria yang pro-Russia (tiga kerusi).

Antara negara-negara Eropah yang terkesan adalah Itali, Jerman, dan Perancis. Parti Demokratik Sosial yang dipimpin Canselor Olaf Scholz jatuh ke tangga ketiga di belakang Alternative for Germany (Alternative für Deutschland, AfD), parti populis bersayap kanan. Parti Kesaudaraan Itali (Fratelli d'Italia), iaitu parti konservatif dan populis berhaluan Kanan yang dipimpin Perdana Menteri Itali sekarang, Giorgia Meloni turut mengukuhkan kedudukan mereka dengan peratusan undi 28.7 peratus, tatkala prestasi parti lawannya yang dipimpin Matteo Salvini merudum.


Olaf Scholz bersama Anwar Ibrahim


Di Perancis, gabungan parti yang dipimpin Presiden Emmanuel Macron, Parti Renaissans, hanya memperoleh 14.6 peratus undi manakala parti Rassemblement National yang berhaluan pelampau kanan dan memperjuangkan idea anti-imigran berjaya merangkul 31.3 peratus undi. Oleh sebab demikianlah, Presiden Macron membubarkan Parlimen Perancis dan hasilnya membawa kepada kemenangan gabungan parti-parti Kiri (New Popular Front, NFP) dalam membentuk kerajaan.

Perkembangan di Eropah ini adalah isyarat penting bagi menunjukkan kebangkitan kuasa politik populis kanan di Eropah, dan hal ini tentunya merungsingkan banyak pihak. Bagi pemimpin-pemimpin negara Eropah, pilihan raya EU kebiasaanya dianggap sebagai referendum secara tidak rasmi bagi menggambarkan suasana politik di negara masing-masing. Kemenangan calon-calon populis kanan menunjukkan kemerosotan kuasa dan pengaruh centrist dan liberal yang kini berada di tampuk kekuasaan. 

Di Finland, Sweden, Belanda, Itali dan Croatia, parti-parti berhaluan kanan sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan pemerintah. Di Portugal dan Slovakia pula, prestasi gerakan populis kanan turut meningkat dalam pilihan raya baru-baru ini, manakala di Austria beberapa bancian menunjukkan gerakan pelampau kanan mendahului bagi persaingan pilihan raya yang bakal berlangsung pada bulan September nanti.

Di peringkat EU pula, kita harus sedar pengaruh pelampau kanan mempunyai kesan yang mendasar terhadap dasar-dasar EU. Parlimen Eropah adalah badan penggubal undang-undang Kesatuan Eropah (EU) dan bertanggungjawab meluluskan belanjawan EU. Berdasarkan keadaan terkini, sekiranya kesemua parti-parti berhaluan kanan itu bergabung dalam Parlimen Eropah, ia bakal menjadi blok kedua terbesar selepas EPP. Hal ini tentunya memberi kesan kepada dasar-dasar Kesatuan Eropah (EU) di masa hadapan.

Misalnya, dalam dasar-dasar migrasi, pengaruh gerakan pelampau kanan ternyata semakin mengukuh. Pendekatan “Euroskepticism” yang diangkat kumpulan pelampau kanan menolak secara keras proses integrasi dalam negara-negara EU, dan hal ini dimanifestasi dalam bentuk penolakan agresif terhadap kemasukan buruh-buruh imigran dan golongan pelarian (terutama imigran dan pelarian beragama Islam), dan menyempitkan isu migrasi sebagai isu keselamatan nasional semata-mata. Laporan yang dikeluarkan oleh Cargenie Europe baru-baru ini (April 2024), dengan tumpuan terhadap pengaruh pelampau kanan terhadap dasar luar EU, turut mencatatkan kebimbangan ini.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron
Selain itu, isu alam sekitar dan pembangunan lestari juga bakal terjejas. Sebahagian daripada parti-parti pelampau kanan, misalnya Law and Justice Party (PiS) di Poland, dan Parti Flemish Interest (VB), berkempen dalam pilihan raya Eropah baru-baru ini untuk mencabar pelaksanaan Perjanjian Hijau Eropah (Europe’s Green Deal) yang bertujuan untuk menyelaras dasar-dasar tenaga, alam sekitar, dan pengangkutan agar selari dengan sasaran sifar karbon pada tahun 2050. Walaupun perjanjian tersebut sudah pun termeterai, ramai pihak khuatir golongan pelampau kanan yang semakin berpengaruh ini akan menjejaskan proses pelaksanaannya nanti.

Keputusan pilihan raya Eropah baru-baru ini turut menggambarkan polarisasi yang kian melebar dalam masyarakat Eropah. Laporan Risiko Global 2024 yang dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) menyebutkan bahawa polarisasi masyarakat adalah risiko ketiga paling serius di dunia untuk dua tahun mendatang, antaranya disebabkan keberlangsungan beberapa pilihan raya besar di pelbagai negara pada tahun ini.

Di Eropah, kesan buruk polarisasi dalam masyarakat lebih mencabar dan meluas. Pada waktu ini, negara-negara Eropah masih berada dalam kemelut geopolitik (perang Ukraine dan Russia) dan kedudukan ekonomi juga tidak sepenuhnya stabil dan pulih daripada era Covid-19 sebelumnya.

Tentunya masa depan negara-negara EU samar-samar, namun andainya dasar-dasar EU yang melibatkan isu pelarian politik, imigran, dan penentangan terhadap isu-isu rasisme dan Islamofobia diwarnai dan dipandu dengan sentimen-sentimen populis kanan, ia bakal menatijahkan suatu realiti politik yang sangat eksklusif dan agresif.

Malahan, sifat negara-negara Eropah yang majmuk budaya juga terdedah kepada risiko cetusan konflik sekiranya masalah polarisasi yang diapi-apikan retorik golongan pelampau kanan ini tidak dibendung.

IMRAN MOHD RASID adalah wakil penganalisis politik bagi International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia, bertempat di Istanbul. Dia juga sedang menyelesaikan pengajian pasca-siswazah dalam bidang Politik dan Hubungan Antarabangsa di Ibn Haldun Üniversitesi.

Identiti mayat terapung di Sungai Jertih dikenal pasti

BERNAMA

Jertih: Identiti mayat lelaki lengkap berpakaian yang ditemukan terapung di Sungai Jertih dekat Masjid Hadhari, di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi disahkan sebagai Mohd Azlim Yusof, 51, dari Tembila, Kampung Raja, di sini.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pengecaman dilakukan ahli keluarga mangsa di Unit Forensik Hospital Besut.

"Bedah siasat terhadap mangsa selesai pada 2.30 petang tadi dan punca kematiannya ialah unascertained, namun tiada unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, mangsa dikatakan tinggal seorang diri di sebuah bilik yang disediakan pihak Masjid Hadhari sejak beberapa tahun lalu kerana kesempitan hidup.

Terdahulu, polis menerima laporan penemuan mayat berpakaian lengkap dengan kain pelikat itu pada 9.30 pagi daripada seorang lelaki yang sedang memancing.