Malaysiakini
Imran Mohd Rasid
Hampir sebulan yang lalu telah berlangsungnya pilihan raya Parlimen Eropah yang turut menyaksikan peratusan pengundi tertinggi dalam tempoh 10 tahun. Pilihan raya kali ini adalah yang ke-10 sejak tahun 1979, dan berlangsung setiap lima tahun dengan hampir 720 kerusi dipertandingkan.
Parti Rakyat Eropah (European People’s Party, EPP), iaitu parti politik berhaluan kanan-tengah berjaya mengekalkan majoriti dengan 189 kerusi (26.25 peratus) manakala blok Sosialis dan Demokrat (S&D) berada di tangga kedua. Apa yang paling mengejutkan adalah selain daripada peratusan keluar mengundi yang tinggi, pilihan raya kali ini menarik kerana ia mengisyaratkan kebangkitan gelombang populis kanan yang semakin dominan dalam ranah politik Eropah.
Parti-parti politik berhaluan kanan antara yang paling banyak memperoleh kemenangan berbanding tahun-tahun sebelumnya, manakala prestasi parti-parti Liberal atau centrist pula kian merosot. Dua blok terbesar dalam Parlimen Eropah yang berjalur pelampau kanan (far-right), iaitu European Conservatives and Reformists (ECR) dan parti Identity and Democracy (ID), sekarang memiliki 131 kerusi (18.2 peratus), diikuti dengan beberapa parti kecil sayap kanan lain, iaitu Alternative for Germany (15 kerusi), Parti Fidsez (10 kerusi), Parti Konfederasi Poland (enam kerusi), dan parti-parti Bulgaria yang pro-Russia (tiga kerusi).
Antara negara-negara Eropah yang terkesan adalah Itali, Jerman, dan Perancis. Parti Demokratik Sosial yang dipimpin Canselor Olaf Scholz jatuh ke tangga ketiga di belakang Alternative for Germany (Alternative für Deutschland, AfD), parti populis bersayap kanan. Parti Kesaudaraan Itali (Fratelli d'Italia), iaitu parti konservatif dan populis berhaluan Kanan yang dipimpin Perdana Menteri Itali sekarang, Giorgia Meloni turut mengukuhkan kedudukan mereka dengan peratusan undi 28.7 peratus, tatkala prestasi parti lawannya yang dipimpin Matteo Salvini merudum.
Olaf Scholz bersama Anwar Ibrahim
Di Perancis, gabungan parti yang dipimpin Presiden Emmanuel Macron, Parti Renaissans, hanya memperoleh 14.6 peratus undi manakala parti Rassemblement National yang berhaluan pelampau kanan dan memperjuangkan idea anti-imigran berjaya merangkul 31.3 peratus undi. Oleh sebab demikianlah, Presiden Macron membubarkan Parlimen Perancis dan hasilnya membawa kepada kemenangan gabungan parti-parti Kiri (New Popular Front, NFP) dalam membentuk kerajaan.
Perkembangan di Eropah ini adalah isyarat penting bagi menunjukkan kebangkitan kuasa politik populis kanan di Eropah, dan hal ini tentunya merungsingkan banyak pihak. Bagi pemimpin-pemimpin negara Eropah, pilihan raya EU kebiasaanya dianggap sebagai referendum secara tidak rasmi bagi menggambarkan suasana politik di negara masing-masing. Kemenangan calon-calon populis kanan menunjukkan kemerosotan kuasa dan pengaruh centrist dan liberal yang kini berada di tampuk kekuasaan.
Di Finland, Sweden, Belanda, Itali dan Croatia, parti-parti berhaluan kanan sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan pemerintah. Di Portugal dan Slovakia pula, prestasi gerakan populis kanan turut meningkat dalam pilihan raya baru-baru ini, manakala di Austria beberapa bancian menunjukkan gerakan pelampau kanan mendahului bagi persaingan pilihan raya yang bakal berlangsung pada bulan September nanti.
Di peringkat EU pula, kita harus sedar pengaruh pelampau kanan mempunyai kesan yang mendasar terhadap dasar-dasar EU. Parlimen Eropah adalah badan penggubal undang-undang Kesatuan Eropah (EU) dan bertanggungjawab meluluskan belanjawan EU. Berdasarkan keadaan terkini, sekiranya kesemua parti-parti berhaluan kanan itu bergabung dalam Parlimen Eropah, ia bakal menjadi blok kedua terbesar selepas EPP. Hal ini tentunya memberi kesan kepada dasar-dasar Kesatuan Eropah (EU) di masa hadapan.
Misalnya, dalam dasar-dasar migrasi, pengaruh gerakan pelampau kanan ternyata semakin mengukuh. Pendekatan “Euroskepticism” yang diangkat kumpulan pelampau kanan menolak secara keras proses integrasi dalam negara-negara EU, dan hal ini dimanifestasi dalam bentuk penolakan agresif terhadap kemasukan buruh-buruh imigran dan golongan pelarian (terutama imigran dan pelarian beragama Islam), dan menyempitkan isu migrasi sebagai isu keselamatan nasional semata-mata. Laporan yang dikeluarkan oleh Cargenie Europe baru-baru ini (April 2024), dengan tumpuan terhadap pengaruh pelampau kanan terhadap dasar luar EU, turut mencatatkan kebimbangan ini.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron
Selain itu, isu alam sekitar dan pembangunan lestari juga bakal terjejas. Sebahagian daripada parti-parti pelampau kanan, misalnya Law and Justice Party (PiS) di Poland, dan Parti Flemish Interest (VB), berkempen dalam pilihan raya Eropah baru-baru ini untuk mencabar pelaksanaan Perjanjian Hijau Eropah (Europe’s Green Deal) yang bertujuan untuk menyelaras dasar-dasar tenaga, alam sekitar, dan pengangkutan agar selari dengan sasaran sifar karbon pada tahun 2050. Walaupun perjanjian tersebut sudah pun termeterai, ramai pihak khuatir golongan pelampau kanan yang semakin berpengaruh ini akan menjejaskan proses pelaksanaannya nanti.
Keputusan pilihan raya Eropah baru-baru ini turut menggambarkan polarisasi yang kian melebar dalam masyarakat Eropah. Laporan Risiko Global 2024 yang dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) menyebutkan bahawa polarisasi masyarakat adalah risiko ketiga paling serius di dunia untuk dua tahun mendatang, antaranya disebabkan keberlangsungan beberapa pilihan raya besar di pelbagai negara pada tahun ini.
Di Eropah, kesan buruk polarisasi dalam masyarakat lebih mencabar dan meluas. Pada waktu ini, negara-negara Eropah masih berada dalam kemelut geopolitik (perang Ukraine dan Russia) dan kedudukan ekonomi juga tidak sepenuhnya stabil dan pulih daripada era Covid-19 sebelumnya.
Tentunya masa depan negara-negara EU samar-samar, namun andainya dasar-dasar EU yang melibatkan isu pelarian politik, imigran, dan penentangan terhadap isu-isu rasisme dan Islamofobia diwarnai dan dipandu dengan sentimen-sentimen populis kanan, ia bakal menatijahkan suatu realiti politik yang sangat eksklusif dan agresif.
Malahan, sifat negara-negara Eropah yang majmuk budaya juga terdedah kepada risiko cetusan konflik sekiranya masalah polarisasi yang diapi-apikan retorik golongan pelampau kanan ini tidak dibendung.
IMRAN MOHD RASID adalah wakil penganalisis politik bagi International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia, bertempat di Istanbul. Dia juga sedang menyelesaikan pengajian pasca-siswazah dalam bidang Politik dan Hubungan Antarabangsa di Ibn Haldun Ãœniversitesi.