Kekalahan PN di Nenggiri, prestasi terburuk dalam PRK

Malaysiakini

Kekalahan PN di Nenggiri merupakan prestasi terburuk gabungan itu dalam pilihan raya kecil (PRK) sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, walaupun tewas dalam PRK seperti di Pulai dan Simpang Jeram, PN berjaya meningkatkan atau mengekalkan peratusan undi mereka.

Namun, keadaan sebaliknya berlaku di Nenggiri.

Berdasarkan keputusan rasmi, peratusan undi PN di kerusi tersebut merosot daripada 53.3 peratus tahun lalu kepada 38.7 peratus.

Jumlah undi yang diterima juga menurun daripada 6,517 undi kepada 5,739 undi.

Pengarah operasi pilihan raya PN untuk Nenggiri, Annuar Musa, mendakwa lebih daripada 2,000 penyokong PN tidak keluar mengundi kerana BN telah 'membeli undi'.

Namun, dia tidak menjelaskan kaitan antara kedua-dua dakwaan tersebut.

Peningkatan kehadiran pengundi dan keputusan di pusat daerah mengundi (PDM) juga menunjukkan terdapat peralihan undi kepada BN.

Berbanding pilihan raya negeri tahun lalu, PRK kali ini hanya terdapat penambahan 40 pengundi berdaftar.

Namun, kadar keluar mengundi kali ini jauh lebih tinggi iaitu 73.9 peratus berbanding 61 peratus tahun lalu.

Peratusan undi BN juga meningkat kepada 61.3 peratus berbanding 46.7 peratus, manakala jumlah undi yang diterima juga meningkat 3,384 undi kepada 9,091 undi.

Ini dapat dilihat berdasarkan keputusan di PDM, di mana BN menang 17 daripada 20 PDM, berbanding hanya tujuh PDM tahun lalu.

Meskipun tewas di PDM Ladang SEDC, Kesedar Limau Kasturi dan Pasir Tumboh, BN berjaya mengurangkan majoriti PN daripada tiga angka di setiap PDM kepada dua angka.

Sebab sokongan beralih

Kemenangan BN di Nenggiri adalah kali pertama sejak PRU15 selepas kerusi itu bertukar tangan.

Apa sebenarnya yang mendorong peralihan sokongan kepada BN masih belum jelas buat masa ini.

Antara sebab yang disebut-sebut ialah kemungkinan ada tindakan boikot daripada Bersatu.

Nenggiri secara rasmi ditandingi oleh Bersatu, tetapi calon yang bertanding, Mohd Rizwadi Ismail adalah dari PAS dan diumumkan dua hari sebelum hari penamaan calon - manakala calon-calon yang dicadangkan oleh Bersatu telah diketepikan.

Namun, antara perkembangan penting semasa tempoh berkempen ialah pemasangan mesin ATM pada 15 Ogos lalu di sebuah pasar mini di Kampung Jerek, Gua Musang, yang memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 penduduk

Sebelum ini penduduk di Nenggiri terpaksa berjalan sejauh 50km ke bandar Gua Musang untuk mengeluarkan wang daripada ATM.

Sementara itu, kerajaan pada Jumaat lalu mengumumkan skim kenaikan gaji untuk penjawat awam.

Ini juga merupakan PRK kali pertama di mana DAP - musuh lama Umno yang kini menjadi sekutu - tidak terlibat dalam kempen.

Satu hari di Bumi akan menjadi 25 jam

KOSMO!
GAMBAR fail menunjukkan bulan di Sydney, Australia. - Foto AFP
WASHINGTON  –  Hari di Bumi akan bertambah panjang disebabkan Bulan beransur-ansur  semakin jauh dari planet yang menjadi tempat tinggal manusia tersebut, lapor portal berita MailOnline semalam.

Saintis-saintis  mendapati apabila Bulan berada lebih jauh, ia akan mengubah tarikan gravitinya terhadap Bumi.

Keadaan itu menyebabkan putaran Bumi semakin perlahan, mengakibatkan hari menjadi lebih panjang.

Mereka berkata, masa satu hari di Bumi akhirnya boleh menjadi 25 jam, tetapi menyatakan bahawa ia akan mengambil masa kira-kira 200 juta tahun.

“Apabila Bulan bergerak semakin jauh, Bumi adalah seperti peluncur figura yang berputar perlahan,” jelas ahli geosains Amerika Syarikat, Stephen Meyers.

Bulan terletak kira-kira 383,023 kilometer dari Bumi dan mengambil masa sekitar  27.3 hari untuk melengkapkan pusingan orbit mengelilingi planet tempat tinggal manusia tersebut. 

Namun, kajian terdahulu mendapati bahawa Bulan bergerak lebih jauh pada jarak kira-kira 3.81 sentimeter setahun yang bermaksud ia akan mengambil masa lebih lama untuk mengelilingi  Bumi. – AGENSI 

BN menang besar di Nenggiri, raih majoriti 3,372 undi

Harapandaily

Barisan Nasional (BN) menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri hari ini.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan menewaskan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Azmawi atau mesra dipanggil Awie menang dengan meraih majoriti sebanyak 3,372 undi.

Dewan Kompleks Perdana Gua Musang yang menjadi Pusat Penjumlahan Rasmi Undi dibanjiri pemimpin dan jentera BN.

Laungan bersemangat, “Kita telah menang dengan penuh bermaruah” antara yang kedengaran sejurus selesai kiraan di kesemua 47 saluran undi.

Awie kemudiannya menyampaikan ucapan ringkas pada jam 8.25 malam dengan mengucapkan penghargaan kepada seluruh jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan.

Jumlah keluar mengundi mencecah sebanyak 71.87 peratus setakat jam 4 petang.

Annuar Musa ucap tahniah pada BN

Malaysiakini 

8.10 malam - Pengarah Operasi pilihan raya PN bagi PRK Nenggiri, Annuar Musa mengucapkan tahniah kepada BN kerana memenangi PRK berkenaan.

"Keputusan tidak rasmi sudah diperolehi. BN memenangi PRK ini dengan majoriti yang selesa.

"Kita ucapkan tahniah kepada yang menang. Selamat menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan,” katanya pada hantaran di media sosial.

Tambah Annuar, rakyat Nenggiri sudah membuat pilihan dan PN perlu menghormati keputusan tersebut.

"Semoga rakyat Nenggiri mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.

Tak rasmi: BN merampas kerusi Nenggiri daripada PN

BN merampas kerusi Nenggiri daripada PN, menurut keputusan tidak rasmi.

Ini pilihan raya kecil pertama sejak pilihan raya umum 2022 dan pilihan raya negeri 2023 yang menyaksikan kerusi bertukar tangan.

Malaysiakini menganggarkan BN telah melepasi ambang 50 peratus undi dengan 39 dari 47 daerah mengundi telah dikira.

BN masih mendahului dengan lebih 2,800 undi setakat ini dan PN dijangka tidak akan mampu mengejar lagi.

Di bilik gerakan BN, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan terima kasih kepada pengundi Nenggiri kerana mengembalikan kerusi tersebut kepada gabungan itu.

Dia juga berterima kasih kepada bekas ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub.

BN mendahului PN dengan hampir 2,000 undi

7 malam - Keputusan tidak rasmi kem BN menunjukkan gabungan tersebut kekal mendahului dengan 20 dari 47 saluran mengundi telah dikira.

Setakat ini, BN mendahului PN dengan hampir 2,000 undi

Annuar Musa: 2,000 penyokong PN tak keluar undi

Malaysiakini

PRK NENGGIRI | Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (dikenali sebagai Awie) dan calon PN Mohd Rizwadi Ismail yang menggunakan logo PAS bertarung satu lawan satu untuk dinobatkan sebagai wakil rakyat kerusi DUN di Kelantan ini.

Malaysiakini membawakan secara langsung perkembangan keputusan PRK ini dari semasa ke semasa.

Undi PN mungkin merosot - Annuar

6.15 petang - Pemimpin PN Annuar Musa membayangkan persaingan sengit dengan kemungkinan undi untuk gabungan itu merosot.

Dalam satu hantaran di Facebook, Annuar mendakwa lebih 2,000 penyokong PN tidak keluar mengundi “gara-gara tempias berita pihak lain mendapat duit.”

Pun begitu Annuar tidak menjelaskan kaitan antara perkara ini.

Pemimpin PAS itu juga mendakwa peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi pada hari ini mungkin memberi kelebihan kepada BN.

Jika dakwaan Annuar benar, PN mungkin akan kehilangan kerusi tersebut.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, PN menang DUN Nenggiri hanya dengan majoriti 810 undi daripada BN.

Tak rasmi: BN menang semua daerah mengundi Orang Asli

6 petang - BN telah memenangi kesemua enam daerah mengundi Orang Asli menurut keputusan tidak rasmi.

Jumlah undi tidak rasmi menunjukkan BN meraih 1,852 undi di enam daerah mengundi tersebut - Kuala Sungai, Tohoi, Sungai Puian, Sungai Jenera, Simpor dan Sungai Wias.

Sementara itu, PN hanya mendapat 282 undi di kawasan-kawasan ini.

Pusat pengundian ditutup

6 petang - Peratusan keluar mengundi merekodkan 71.87 peratus setakat 4 petang, maklum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melebihi sasaran hanya lebih 60 peratus.

14 pusat pengundian dibuka sehingga 6 petang manakala enam pusat pengundian ditutup lebih awal.

Empat pusat mengundi yang ditutup pada 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai, manakala dua lagi ditutup 3 petang iaitu Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan SK Pulat.

Tukang tilik didakwa merogol sudah ditahan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
LAPORAN Harian Metro terdahulu.
LAPORAN Harian Metro terdahulu.
Sepang: Tukang tilik bergelar Datuk yang didakwa merogol wanita sejak setahun lalu ketika bertemu dengannya untuk mengubah nasib, sudah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa semalam.

"Kita sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Suspek juga sudah ditahan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Satu kenyataan media akan dikeluarkan berkaitan kes ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan niat seorang wanita yang menilik nasib bagi mengubah kehidupannya bertukar episod malang apabila trauma selepas mendakwa menjadi mangsa rogol lelaki bergelar Datuk yang juga tukang tilik, sejak setahun lalu.

Wanita yang dikenali sebagai Linda, 24, berkata, dia pada mulanya terpedaya dengan perkhidmatan ditawarkan lelaki berkenaan menerusi iklan di media sosial dan sejak itu diperdaya apabila lelaki berkenaan yang dipanggil 'master' menyakinnya bahawa dia adalah teman hidupnya dan perlu menjadi teman wanitanya sekiranya mahu mendapat nasib yang baik.

Rafizi sangkal dakwaan seorang menteri PKR akan digugur

Malaysiakini 

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyangkal spekulasi berkenaan seorang menteri PKR akan digugurkan daripada Kabinet.

Menurut laporan Sinar Harian hari ini, Rafizi yang juga timbalan presiden PKR menyifatkan spekulasi tersebut hanya polemik politik dan taktik lapuk untuk menyerang kerajaan.

"Saya nasihatkan begini, saya rasa ni taktik lapuk, apabila lawan kami tidak boleh berdepan hal penting untuk negara seperti hal ekonomi dan pentadbiran. 

“Jadi diambil isu-isu picisan seperti ini untuk disebar dan dipolitikkan,” katanya seperti dipetik.

Pada 12 Ogos lalu, Free Malaysia Today memetik sumber yang membayangkan seorang menteri daripada PKR berisiko ditukar portfolio atau digugurkan daripada Kabinet atas faktor prestasi.

Laporan itu turut mendakwa seorang menteri besar dijangka dilantik sebagai menteri persekutuan.

Ia juga memetik sumber DAP yang mendakwa rombakan Kabinet mungkin dibuat pada akhir bulan ini, dengan beberapa timbalan menteri mungkin dilantik sebagai menteri penuh.

Namun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan spekulasi itu.

“Baru saya diberitahu. Macam mana saya tak dengar lagi? Siapa nak tolong reshuffle (rombak) tu? Saya tak dengar, serious ini, saya belum dengar,” katanya.

Sementara itu, Rafizi berkata sepanjang 25 tahun menjadi anggota PKR, parti itu dalam keadaan paling stabil dan aman pada masa ini.

“Tiada apa-apa masalah daripada PKR ketika ini," katanya.

BN mendahului di empat PDM, kata Asyraf Wajdi

Malaysiakini 

BN mendahului PN di empat pusat daerah mengundi (PDM) berdasarkan kiraan tidak rasmi, kata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf pada hantaran di media sosial berkata BN menang dengan majoriti 1,003 undi di PDM Tohoi dan mendahului di Sungai Puian dan Sungai Jenera.

BN juga merampas kembali PDM Kuala Sungai dengan memperoleh 1,229 undi manakala PN meraih 226 undi.

Bagaimanapun terdapat 20 pusat mengundi di DUN Nenggiri dan keputusan tidak rasmi cuma mengira empat pusat mengundi setakat ini.

Berikut keputusan tidak rasmi di empat PDM:

ADS

PDM Tohoi

BN: 330

PAS: 28

ADS

(BN menang majoriti 302)

PDM Sungai Puian

BN: 305

PAS: 5

(BN menang majoriti 300)

PDM Sungai Jenera

BN: 440

PAS: 88

ADS

(BN menang majoriti 352)

PDM Kuala Sungai

BN: 154

PAS: 105

(BN Menang majoriti 49)

Pegawai kerajaan acu pistol dan pukul sebab ‘tersinggung’

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan pegawai itu mengacukan pistol sambil memukulnya berkali-kali. - Instagram @depokhariini
JAKARTA – Seorang pegawai kerajaan di Depok, wilayah Jawa Barat dikritik kerana mengacukan pistol kepada penduduk selepas ditanya tentang sebuah bangunan di kawasan sawah padi, lapor saluran berita Tribun semalam. 

Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @depokhariini, pegawai berkenaan dilihat menghampiri perakam sambil mengacukan pistol. 

Lebih mengejutkan dia memukulnya menggunakan senjata api tersebut.

Mangsa juga diarahkan untuk meniarap.  

Pegawai polis tempatan dikenali sebagai Yefta berkata, suspek dipercayai tersinggung selepas ditanya berhubung surat perobohan bangunan yang dimiliki oleh mangsa. 

“Mangsa mengalami luka di tubuhnya akibat dipukul suspek,” kata Yefta. 

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. 

Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan mencatatkan lebih 358,000 tontonan bersama 2,514 komen. 

“Tangkap si pelaku! Jangan memaafkan! Terlalu sombong!” marah netizen. 

“Esok keluar video dia memohon maaf,” kata netizen lain. – AGENSI

Wanita diusir dari pesawat kerana beg tangan mewah

KOSMO!

BEIJING  – Seorang wanita China enggan meletakkan beg tangan jenama mewah miliknya di bawah tempat duduk seperti diminta oleh kru kabin, menyebabkan penerbangan yang dinaiki mengalami kelewatan sehingga sejam, lapor portal berita South China Morning Post semalam.

Wanita itu diusir dari pesawat tersebut selepas dia berkeras mahu meletakkan beg tangan tersebut di sebelahnya.

Klip video kejadian  itu  yang dirakam oleh penumpang lain, mendapat empat juta tontonan di platform Douyin dan mencetuskan perbincangan hangat.

Penumpang yang enggan dikenali itu berkata, wanita yang duduk di kelas ekonomi itu berkeras mahu meletakkan beg tangan jenama mewah di sebelahnya, bukannya di bawah tempat duduk di hadapannya.

Penerbangan pada 10 Ogos lalu dari lapangan terbang di bandar raya Chongqing, barat daya China itu sudah pun berlepas tetapi terpaksa berpatah balik ke terminal tempat ia mengambil penumpang.

Penumpang lain bertepuk tangan apabila polis mengiringi wanita itu keluar dari pesawat.

Sebilangan netizen mengkritik penumpang itu, manakala yang lain menulis bahawa pramugari itu mungkin terlalu ‘bersemangat’  dalam menjalankan tugasnya.

“Dia (wanita itu) lebih menghargai beg itu daripada nyawanya,” kata seorang netizen di Weibo. – AGENSI

Siti Kasim ‘mengamuk’ lagi isu tolong rakyat Palestin, ini nasihat netizen

Harapandaily

Aktivis sosial, Siti Kasim dilihat ‘mengamuk’ lagi tidak puas hati dengan tindakan kerajaan Malaysia menerbangkan rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini.

Selepas dia menempelak Perdana Menteri dengan menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim patut jadi PM Palestin, peguam berkenaan menganggap “ramai sakit hati” dengannya.

Dia mempersoal aspek kemanusiaan yang dibangkitkan oleh pihak yang menyokong keputusan kerajaan Madani merawat 41 rakyat Palestin yang cedera dibedil pengganas Israel itu.

Padahal, mereka terbabit mengalami kecederaan, termasuk melecur dan patah kaki, selain ada yang hilang anggota tubuh badan.

“Kenapa Anwar Ibrahim beria-ia bawa orang Palestin yang “kononnya cedera”, nak bawa balik Malaysia untuk dirawat?

“Dia tak hirau ke, ramai rakyat Malaysia tak dapat rawatan di negara ini?

“Tahukah kamu orang Asli, mereka di pedalaman Sabah apabila sakit mereka tidak dapat keluar pergi hospital kerana tidak ada jalan dan kenderaan?

“Ia masih terjadi sehingga hari ini,” katanya.

Semalam, seramai 127 rakyat Palestin selamat tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Mereka yang diterbangkan dengan dua pesawat pengangkut TUDM Airbus A-400M itu termasuk 41 pesakit berusia lapan bulan hingga 62 tahun.

Kumpulan mangsa keganasan Israel berkenaan sebelum ini mencari perlindungan di Mesir.

Meluahkan lanjut rasa berang, Siti Kasim menganggap Perdana Menteri mengeksploitasi nasib menimpa rakyat Palestin.

Malah, dia berpendapat keutamaan kerajaan pada masa ini salah sama sekali.

“Isu Palestin ini betul-betul digunakan habis-habisan oleh PM kita. Itu yang saya meluat. Meluat tau, meluat!

“Kita mesti jaga rakyat kita dulu. Kemanusiaan kena bermula di negara ini terlebih dahulu,” bentaknya.

Rata-rata menegurnya dengan mengingatkan tanggungjawab untuk membantu rakyat Palestin yang sudah 10 bulan dizalimi pengganas Israel.

Malah, ada juga berpendapat rakyat Palestin yang diterbangkan ke negara ini tidak mengambil hak rakyat tempatan di hospital awam.

Hal ini memandangkan mereka terbabit dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) yang terletak di Seksyen 2 Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

“Kerajaan ambil bukan semua (rakyat Palestin). Kerajaan bantu mana yang mampu. Tak luak duit kerajaan kita. Mngkin dengan kita bantu saudara kita, Allah beri ganjaran pada rakyat Malaysia. Doa yang baik-baik.

“Tanggungjawab semua orang Islam membantu sesama Islam.

“Orang Palestin dirawat di hospital tentera ATM saja bukannya campur-campur di hospital lain.

“Nak cerita pasal Malaysia, suruh dia cerita 4.6 juta tak reti balik siap beli tanah tu, tiada pula nampk muka dia bantah.

“Nak bandingkan kita dengan orang di sana (Palestin), kita lebih selesa, amalkan rasa bersyukur dengan apa yang kita ada,” demikian antara nasihat warganet yang membanjiri ruangan komentar di akaun media sosial Siti Kasim.

Lima mayat dipenuhi kesan peluru tergantung pada tiang elektrik

AFP

Islamabad: Mayat lima orang yang dipenuhi kesan peluru ditemukan tergantung pada tiang elektrik di Balochistan pada Jumaat, kata pegawai kerajaan.

Mayat ditemukan awal pagi berhampiran sebuah kolej di bandar Dalbandin di Balochistan, di mana kumpulan pejuang pemisah melancarkan pemberontakan yang panjang dan berdarah.

"Lima mayat dengan kesan peluru ditemukan tergantung pada tiang elektrik.

"Mereka dipindahkan ke hospital tempatan. Doktor sudah memastikan bahawa punca kematian adalah beberapa kesan tembakan, kebanyakannya di bahagian dada," kata pegawai kanan kerajaan di kawasan itu, Attiq Shahwani.

Beliau berkata, lelaki itu berkemungkinan dibunuh pada Khamis.

Tiada laporan orang hilang didaftarkan dengan polis tempatan dan lelaki itu masih belum dikenal pasti, tambahnya.

Penguasa Kanan Polis (SSP) Mir Hussain Lehri berkata, identiti mereka tidak dikenal pasti, sambil menambah bahawa mangsa ditembak mati.

Dia berkata, semua individu adalah warga Afghanistan.

Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Pangkalan Data dan Pendaftaran Negara (Nadra) diminta untuk memastikan identiti si mati menggunakan cap jari.

Tambahnya, polis sudah melancarkan siasatan berhubung kejadian itu selepas mengumpul bukti.

Balochistan adalah kawasan kepada beberapa kumpulan militan, ada yang berjuang untuk kemerdekaan atau sebahagian besar sumber mineral di rantau ini, dengan pasukan keselamatan sering menjadi sasaran pengeboman.

Remaja 14 tahun ditemukan lemas dalam tasik

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
OPERASI pencarian mangsa. FOTO Ihsan Bomba
OPERASI pencarian mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Johor Bahru: Remaja lelaki ditemukan lemas di dalam tasik dekat loji berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permai, Jalan Denai 12, Kempas di sini, semalam.

Mayat remaja berusia 14 tahun itu ditemukan pada 7.35 malam selepas lebih sejam operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Mohd Yazid Abdul Rahman, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6 petang semalam.

Beliau berkata, seramai sembilan anggota bomba kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya pasukan di tempat kejadian, didapati seorang mangsa lemas di dalam sebuah tasik.

"Mangsa ditemukan 7.35 malam," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, operasi ditamatkan pada 8.10 malam.

Bila orang gomen naik gaji

Mohsin Abdullah

Eloklah kakitangan kerajaan menghayati peringatan khutbah Jumaat semalam. Melainkan mereka sudah tak kisah tuntutan agama.

Tak perlulah saya hurai secara teknikal, terperinci, dan spesifik pelarasan gaji baharu bagi penjawat awam yang diumum semalam oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Kesimpulannya gaji mereka naik.

Sebaik berita pengumuman disiar, seorang kenalan yang menganggotai kumpulan sembang WhatsApp (yang saya juga berada di dalamnya) melahirkan kesyukuran kerana kerajaan naikkan gaji. Alhamdulillah buat kakitangan kerajaan dan pesara kerajaan, kata beliau. Kenalan saya itu sudah bersara daripada perkhidmatan awam.

Berkata pula seorang lagi kenalan yang juga orang pencen: Dari segi kadar nampak reasonable tapi dari segi amaun, naik gaji banyak sebab bosku dah bagi gaji tinggi. Saya tidak faham apa yang beliau maksudkan. Tidak pula saya cuba dapatkan penjelasannya. Cuma bertanya pada diri sendiri adakah si pencen itu tidak sependapat dengan kawannya tadi yang bersyukur?

Realitinya penjawat awam boleh dianggap golongan bertuah. Mereka sering dapat increment, dapat bonus tahunan, dapat duit raya setiap tahun, dan kerap juga dapat one-off payment.

Semasa PKP waktu pandemik Covid-19 dulu, kakitangan kerajaan tenang-tenang saja sebab akhir bulan gaji tetap masuk. Tidak seperti orang yang hilang sumber pendapatan waktu itu. Tidak pernah ada retrenchment kakitangan kerajaan. Mereka yang tidak berdisiplin dan sebagainya bukan mudah untuk disingkir, kecuali kesalahan yang dilakukan amat besar.

Umum tahu ada kakitangan kerajaan yang dedikasi, kerja keras, rajin, dan bertanggungjawab. Diakui juga ada kaki ponteng, kuat ambil MC, datang lambat, kerja sambil lewa.

Hakikatnya kedua-dua golongan dapat kenaikan gaji, walaupun PMX kata mereka yang malas dan ponteng tidak akan merasai kenikmatan gaji naik kali ini. Untuk ini terjadi bos-bos mereka mesti gigih mengasingkan the rotten from the good ones. Easier said than done.

Saya tak tahu berapa gaji orang gomen sekarang tetapi kata kawan yang tahu akan skim gaji kerajaan, gaji mereka bukan rendah macam dulu bila mana ramai termasuk saya tidak minat kerja kerajaan.

Namun yang membimbangkan apabila gaji orang gomen naik harga barangan turut naik. Bak kata tajuk berita akhbar Kosmo 15 Ogos lalu: Esok gaji ‘gomen’ naik, jangan pula lusa harga barang mahal.

Kata pakar ekonomi Zarinah Yusof yang dipetik FMT, kenaikan penjawat awam boleh membantu mengimbangi kos sara hidup dan bukan punca peningkatan harga barangan secara langsung.

Menurut beliau kenaikan harga barangan secara umumnya berlaku apabila terdapat kekurangan bekalan, permintaan tinggi, kos bahan mentah meningkat, dan kejatuhan mata wang.

Saya bukan pakar ekonomi tetapi apa yang saya lihat selama ini bila gaji kakitangan kerajaan naik harga barangan pun melambung. Itu realiti yang tidak boleh dinafikan. Maka orang yang gajinya tak naik, pekerja swasta, bekerja sendiri, termasuk golongan peniaga tertentu terkesan. Terpaksa hadap barangan mahal.

Apa pun majoriti rakyat tidak marah dan tak jaki kakitangan kerajaan dapat kenaikan gaji. Yang diminta seperti yang dilapor akhbar The Star semalam yakni sebelum pengumuman Anwar ialah Malaysians hope civil servants’ pay raise will mean better service. Boleh?

CNA Singapura melaporkan langkah mengejut PMX melantik seorang pegawai daripada luar ‘kelompok pegawai kerajaan elit’ untuk jawatan ketua setiausaha negara memecah ‘tradisi’ dan isyarat serious reforms in the public sector are underway.

Menurut CNA lagi, Close advisors to Mr Anwar acknowledge that when the premier took power after the country’s November 2022 general election, he privately declared that bringing greater discipline and professionalism was his top priority in the public sector workforce where corruption had become rampant.

Jadi adakah Anwar akan keluarkan rotan sekarang selepas beri apa yang kakitangan kerajaan mahu? Pasti PMX expects them to deliver. Ertinya semua penjawat awam kerja kuat untuk perkhidmatan cemerlang yang rakyat mahu? Kakitangan yang jahat tidak akan buat jahat lagi? Yang suka rasuah tidak makan suap lagi? Sebab gaji dah sedap sekarang?

Oleh kerana pengumuman kenaikan gaji dibuat pagi semalam khutbah Jumaat juga bercakap mengenainya. Khatib mengingatkan nilai positif bukan sahaja akan memberi kebaikan kepada individu pekerja, ia memberi impak besar kepada tatakelola pentadbiran dan rakyat keseluruhannya.

Oleh kerana majoriti kakitangan kerajaan terdiri daripada orang Melayu beragama Islam pasti yang lelaki sudah mendengar khutbah semasa di masjid untuk mendirikan sembahyang Jumaat semalam.

Yang wanita bolehlah Google khutbah Jumaat 16 Ogos 2024 berjudul Nilai dipelihara, Produktiviti diperkasa. Semuanya akan terbentang. Kalau boleh layan video kelakar di TikTok takkan tak boleh hayati khutbah, betul tak?

Saya akhiri penulisan ini dengan petikan khutbah itu:

Tanamkan muraqabah (menyakini bahawa diri kita sentiasa dalam pengawasan Allah) dan dengan itu kita akan lebih cermat dalam menunaikan amanah yang telah diberi. Ingatlah bahawa setiap pekerjaan yang kita lakukan di dunia ini akan dihisab di akhirat kelak.

Eloklah kakitangan kerajaan menghayati peringatan itu. Melainkan mereka sudah tak kisah tuntutan agama.

Mayat wanita hampir reput ditemui dalam longkang

FMT Reporters
PETALING JAYA: Mayat wanita yang hampir reput ditemui orang awam di longkang besar berhampiran perumahan Dillenia, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Iqbal Ibrahim berkata polis menerima laporan berhubung penemuan mayat dalam keadaan berulat itu kira-kira pukul 6.30 petang, semalam.

Menurutnya, ketika ditemui mayat wanita itu hanya berpakaian baju dan seluar dalam.

“Setakat ini identiti mayat belum dikenal pasti.

Hasil pemeriksaan forensik juga mendapati tiada kesan pergelutan atau lain-lain kecederaan yang boleh menyebabkan kematian, katanya dalam kenyataan.

Iqbal berkata mayat telah dihantar ke forensik Hospital Shah Alam untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR), katanya.

Pembantu peribadi dakwa dicederakan pelakon

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Gombak: Pembantu peribadi kepada seorang pelakon wanita membuat laporan polis pada Rabu mendakwa dicederakan oleh selebriti terbabit.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, wanita berusia 28 tahun itu mendakwa diserang menggunakan senjata dan diugut dalam kejadian di sekitar Batu Caves.

"Mangsa mendakwa dicederakan serta diugut menggunakan senjata oleh majikan (pelakon) dan sepupu suspek iaitu seorang wanita berusia 30 tahun di pejabat suspek.

"Kejadian dipercayai berlaku berpunca kerana mangsa dikatakan mencampuri urusan rumah tangga suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan lengan, serta mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan. Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Shahreen Yasin di talian 0182475864," katanya.

Beri naik gaji pun ada penjawat awam ‘bising’, rupanya dia…

Naik gaji pun ada penjawat awam ‘bising’, rupanya dia…

Harapandaily

Ada juga penjawat awam yang ‘bising’ walaupun bakal menikmati peningkatan pendapatan antara 16.8 hingga 42.7 peratus.

Seorang pengguna X, @SaifulAdn berkongsikan tangkap layar seorang penjawat awam yang mempersoalkan pelarasan gaji secara bertahap dengan fasa pertama bermula 1 Disember ini manakala fasa seterusnya akan bermula 1 Januari 2026.

“Dia ingat rakyat Malaysia ni senang digula-gulakan. Pandai kau ye bagi dua kali pecahan.

“Tunggulah next PRU nanti,” kata seorang kakitangan kerajaan yang difahamkan merupakan pembantu tadbir.

Menurut @SaifulAdn, suami pembantu tadbir berkenaan merupakan anggota polis.

Rata-rata warganet meluahkan rasa geram dengan sikap penjawat awam tertentu yang tidak tahu bersyukur lantaran taasub menyokong parti pembangkang.

Mereka yang juga digelar walaun dilihat tidak berterima kasih malah menyemai sentimen kebencian terhadap Kerajaan Perpaduan walaupun Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dilaksanakan selepas kali terakhir gaji disemak pada 2013.

“Lain kali beritahu nama siapa. Nak tau juga pangkat apa yg terlebih kecoh dan tak reti tunjuk terima kasih langsung. Senang bos mereka nak ambil Tindakan,” tulis @magomedvborz.

“Penjawat awam kalau tak reti nak bersyukur dengan peningkatan gaji, malas bekerja, rasa sudah tidak mampu lagi bekerja, dah boleh letak jawatan, berhenti bekerja dan bagi laluan kepada orang lain yang boleh betul-betul bekerja,” kata @riyadolly90.

Warga asing samun pekerja kedai aiskrim kena tahan

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Suspek melakukan samun bersenjata ke atas pekerja kedai aiskrim di Taman Sri Muda di sini, yang video mengenainya tular di media sosial sudah diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tangkapan dilakukan pasukannya di sebuah pangsapuri di Puncak Alam pada 4.15 petang tadi.

"Suspek adalah lelaki warga Pakistan berumur 39 tahun dan polis turut merampas senjata digunakan serta pakaian dipakai ketika kejadian.

"Lelaki itu akan direman di Mahkamah Shah Alam pada 9 pagi esok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Syer Aidid di talian 013-6544996.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa yang berumur 21 tahun dicederakan oleh suspek menggunakan pisau pemotong kertas dalam kejadian samun di kedai aiskrim itu pada 11.30 pagi, 12 Ogos lalu.

Kejadian berlaku ketika mangsa sendirian di dalam kedai sementara menunggu pekerja lain masuk bertugas. Dia cedera ditoreh pisau ketika cuba melawan suspek.

Suhakam: Lewat tangani kes OKU 'dipukul' hakis keyakinan awam

Malaysiakini 

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa pihak polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengambil langkah segera dan telus bagi memastikan keadilan ditegakkan dalam kes seorang anggota pengiring polis didakwa menyerang seorang pemandu e-hailing yang pekak.

Suhakam berkata AGC perlu mempercepatkan pendakwaan jenayah dalam kes serangan yang sepatutnya mudah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Kelewatan dalam menangani kejadian serius ini melemahkan keyakinan awam terhadap institusi yang bertanggungjawab untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan memberikan keadilan [...]

"Suhakam menekankan kepentingan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam mengendalikan kes ini bagi memastikan mangsa diberikan ganti rugi dan keadilan yang sewajarnya secara pantas. Keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang dinafikan.

"Selain itu, orang awam berhak untuk dimaklumkan tentang perkembangan kes ini dan Suhakam menggesa AGC untuk memberikan kemas kini secara berkala mengenai tindakan yang diambil," kata suruhanjaya itu satu kenyataan hari ini.

Dengan menangani kes ini dengan cepat dan telus, Suhakam berkata pihak polis dan AGC dapat meredakan kebimbangan awam bahawa salah guna kuasa tidak akan diambil mudah dan maruah semua individu - termasuk mereka yang mempunyai keperluan khas - akan dihormati.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas pemandu OKU, Ong Ing Keong mendedahkan rakaman dashcam mengenai serangan yang didakwa berlaku itu.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilaporkan berkata anggota yang didakwa memukul OKU itu telah dikenakan tindakan disiplin dalaman serta siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Serangan tersebut didakwa berlaku di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 28 Mei, ketika Ong sedang menjemput penumpangnya.

Pada masa sama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tiba dan pengiring trafiknya mengarahkan Ong untuk memberi laluan.

Rakaman dashcam menunjukkan seorang lelaki berpakaian sut menumbuk Ong sewaktu penumpangnya memasuki kereta dipandunua.

Kurang info perkembangan kes

Suhakam berkata kenyataan Razarudin bahawa pelaku yang didakwa telah dikenakan tindakan disiplin dialu-alukan tetapi kekurangan butiran lanjut membimbangkan.

Suruhanjaya itu berkata sebagai contoh, tiada maklumat sama ada sebarang tindakan hukuman seperti pemecatan, penggantungan atau denda telah diambil sebagai sebahagian daripada tindakan itu, atau sama ada prosiding disiplin sedang berjalan atau telah selesai.

Insiden ini kata Suhakam menekankan keperluan mendesak untuk anggota penguatkuasa undang-undang menjalani latihan bagi memastikan orang kurang upaya dilindungi dengan berkesan daripada keganasan dan penyalahgunaan kuasa serta mempunyai akses terhadap keadilan tanpa halangan.

Ini diwajibkan di bawah Artikel 13(2) Konvensyen PBB mengenai Hak Orang Kurang Upaya, yang mana Malaysia telah memeterainya.

Selain itu, Suhakam menekankan Artikel 20 Prinsip Asas mengenai Penggunaan Kekerasan dan Senjata Api oleh Pegawai Penguatkuasa Undang-Undang - yang diterima pakai oleh PBB pada tahun 1990 - menekankan perhatian khusus kepada isu etika polis dan hak asasi manusia dalam latihan pihak berkuasa.

Lagi kes remaja hilang

Remaja perempuan 16 tahun dilapor hilang

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
SITI Nur Fatin Syamira Abdullah dilapor hilang sejak semalam. FOTO Ihsan Polis.
SITI Nur Fatin Syamira Abdullah dilapor hilang sejak semalam. FOTO Ihsan Polis.
Alor Setar: Remaja perempuan berusia 16 tahun dilapor hilang sejak semalam selepas keluar dari rumah keluarga di Kampung Cegar, Seberang Pantai Johor di sini.

Siti Nur Fatin Syamira Abdullah yang masih bersekolah di tingkatan empat disedari tiada di rumah oleh ibu tirinya yang berusia 32 tahun pada 11.30 malam.

Wanita itu kemudian membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan remaja terbabit selepas diberitahu yang anak tirinya itu mungkin berada di Pulau Pinang.

Remaja berkenaan berketinggian 148 sentimeter (sm), berbadan kurus dengan berat 45 kilogram.

Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja itu supaya menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Siti Nur Azirah Arzemi di talian 04-7747222 sambungan 7203.

Seorang maut, seorang parah ditetak 5 lelaki bersenjatakan parang

BuletinTV3 
Barangan kes yang ditemui di lokasi kejadian membabitkan mangsa tetak di Bedong, semalam. – Foto ihsan polis
SUNGAI PETANI: Seorang pekerja cuci kereta maut, manakala seorang pengawal keselamatan parah dengan kesan kecederaan dipercayai ditetak di kepala dan badan di lokasi berasingan di kawasan Bedong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten. Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata anggotanya dari pondok polis Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) menerima panggilan daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan di Zon Merah pada jam 2.20 pagi memaklumkan menerima kes dua lelaki yang mempunyai kesan kecederaan akibat ditetak.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kejadian bermula di sebuah tapak kosong di simpang ke Kampung Toh Pawang, apabila mangsa pertama iaitu pengawal keselamatan yang ketika itu sedang bekerja dan ditemani seorang rakan dipercayai diserang lima lelaki bersenjatakan parang.

“Akibat daripada itu, mangsa mengalami kecederaan parah di dada, tangan kiri dan kanan manakala rakan mangsa sempat melarikan diri dari tempat kejadian.

“Kesemua suspek kemudiannya pergi ke belakang sebuah premis cuci kereta di Taman Bedong yang terletak kira-kira 2.7 kilometer (km) dari lokasi kejadian pertama.

“Kesemua suspek menyerang mangsa yang juga pekerja kedai cuci kereta yang berada di situ menyebabkan mangsa mengalami cedera parah di pelbagai anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 20-an itu dibawa ke HSAH oleh rakan mereka dan seorang mangsa yang juga pekerja cuci kereta disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian turut dibantu oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Unit Anjing Pengesan (K-9) masih menyiasat motif kejadian bagi kedua-dua kes berkenaan.

Menurutnya siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera parah yang disiasat secara berasingan.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati bagi kesalahan bunuh dan jika disabitkan kesalahan menyebabkan cedera parah boleh di hukum penjara hingga 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebatan.

“Setakat ini polis sudah menahan tiga lelaki berusia 20-an hingga 30-an di sekitar daerah ini untuk membantu siasatan berhubung kes itu,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi IPD Kuala Muda di talian 04-4299222 atau Pegawai Penyiasat kes ASP Azmirul bin Abdul Aziz di talian 019-444 6521.

Seorang warga emas wanita mati dibelit ular sawa

ZARITH SUFIA ZAHARUDDIN dan KOSMO
GAMBAR fail 21 September 2021 menunjukkan seorang renjer cuba menangkap seekor ular sawa sepanjang 9 meter dan berat 100 kilogram di sebuah kampung di Indonesia. – AFP 
JAKARTA – Seorang warga emas wanita  ditemui mati selepas diserang seekor ular sawa dalam kejadian di tengah Indonesia, kata polis dan pegawai tempatan hari ini, kematian ketiga seumpamanya di wilayah berkenaan dalam tempoh beberapa bulan.

Mangsa berusia 74 tahun dan dikenali sebagai Maga. Dia menimbulkan kebimbangan keluarga apabila tidak pulang ke rumah sejak kelmarin.

“Maga  ditemui mati, dipercayai dibelit dan digigit ular,” kata jurucakap polis bandar Palopo dalam wilayah Sulawesi Selatan, Supriadi.

Katanya, ular berkenaan ialah seekor ular sawa berukuran panjang 4 meter.

Wanita itu ditemui dengan kesan gigitan di kepala dan kaki berhampiran rumah keluarganya selepas pergi bekerja di sebuah ladang, kata ketua daerah Padang Lambe di Palopo, Awaluddin.

Mangsa ditemui di Padang Lambe oleh anak perempuannya bersama ular itu, kata Awaluddin kepada AFP.

Penduduk tempatan memukul ular sawa itu hingga mati dan berkata, wanita itu telah ditelan sehingga ke paras bahu.

Kematian akibat serangan ular sawa  dianggap jarang berlaku, tetapi beberapa orang di Indonesia telah dibunuh oleh spesies itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bulan lalu, seorang wanita ditemui mati di dalam perut ular selepas ia menelan keseluruhan mangsa di kampung Siteba, wilayah Sulawesi Selatan.

Pada Jun lepas, seorang wanita ditemui mati, juga di dalam perut ular sawa di daerah lain di Sulawesi Selatan.

Pada 2023, penduduk  wilayah itu membunuh seekor ular sawa sepanjang 8 meter  yang ditemui di sebuah kampung selepas menelan seorang petani.

Kejadian serupa juga dilaporkan berlaku di Pulau Sulawesi pada 2018 dan 2017.

Jeritan terakhir pembantu juruterbang nahas Elmina, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah

Amalia Azmi & Fuad Nizam
am@hmetro.com.my
LOKASI nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), N28JV yang terhempas di Elmina, Shah Alam
LOKASI nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), N28JV yang terhempas di Elmina, Shah Alam
Kuala Lumpur: Transkrip perakam suara kokpit milik pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), N28JV yang terhempas di Elmina, Shah Alam tahun lalu, mendedahkan detik akhir dialami juruterbang yang panik dan ketakutan ketika tragedi itu.

Transkrip dikeluarkan Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) menerusi Laporan Akhir nahas kemalangan udara itu hari ini, menunjukkan juruterbang berkomunikasi dengan menara kawalan di Subang sejurus sebelum mendarat.

Ketika menghampiri Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, pesawat sudah mendapat kebenaran untuk mendarat oleh menara kawalan.

Pada jam 06:48:56.9 (Koordinasi Masa Sejagat/Coordinated Universal Time) bunyi klik dirakam melalui mikrofon di kawasan kokpit atau sumber bunyi.

Ini menunjukkan lift dump spoilers pesawat diaktifkan. Satu minit kemudian, bunyi yang serupa dengan nada amaran lift dump kedengaran, berlarutan selama 1.5 saat.

Pembantu Juruterbang (SIC), yang menjadi juruterbang menerbangkan pesawat, menyatakan kebimbangan, menyedari ada sesuatu yang tidak kena.

Jam 06:49:00.0
SIC: Woah woah woah woah woah woah woah woah. Apa yang sedang berlaku?

Menurut laporan itu, nada amaran lift dump terus kedengaran sehingga tamat rakaman.

Dalam 10 saat terakhir, Enhanced Ground Proximity Warning System diaktifkan, dengan amaran seperti 'minimums', 'sink rate', dan 'pull up' bergema.

Antara detik terakhir yang dirakamkan perakam suara kokpit itu seperti berikut:

Jam 06:49:10.2
SIC: Oihhh… oihhh oihh.

Jam 06:49:11.2
PIC/Juruterbang: Ya Allah. [menjerit]

jam 06:49:11.2
SIC: Ya Allah. Ya Allah. Ya Allah. [menjerit]

127 rakyat Palestin tiba untuk rawatan

Yasmin Abdul Latif

SUBANG JAYA: Pesawat membawa 127 rakyat Palestin bagi mendapatkan rawatan tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang, petang tadi.

Penumpang adalah 41 pesakit bersama waris masing-masing yang seramai 86 orang, terdiri daripada lelaki, wanita, dan kanak-kanak dalam lingkungan usia 8 bulan hingga 62 tahun.

Mereka antara orang awam yang berlindung di Mesir susulan serangan Israel ke atas Gaza, yang setakat ini meragut hampir 40,000 nyawa.

Mereka yang datang ini adalah pesakit kronik, kebanyakan mengalami trauma dan kecederaan fizikal, kata Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin pada sidang media di lokasi.

Mereka diterbangkan dari Lapangan Terbang Pangkalan Tentera Udara Almaza, Mesir dengan menaiki dua pesawat Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia, yang berlepas semalam.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 4 Ogos lepas mengumumkan Malaysia akan membantu merawat rakyat Palestin yang cedera. Duta Mesir Ragai Nasr dilapor berkata negaranya kini menempatkan lebih 70,000 rakyat Palestin di 40 hospital.

Khaled memaklumkan rancangan membawa pesakit bersama waris mereka ke Malaysia dirangka selama dua bulan bersama kerajaan Mesir, selepas mengambil kira hospital medan berisiko menjadi sasaran rejim Israel.

Ia mempunyai risiko yang tinggi kerana tentera Israel tidak mengira…jadi kita bawa balik tanpa ada apa-apa gangguan, katanya.

Sementara itu, Duta Palestin Walid Abu Ali berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana sudi merawat rakyat Palestin di sini.

Saya pasti bahawa rakyat Palestin yang tiba di Malaysia akan merasakan Malaysia sebagai rumah kedua, katanya.

Menteri' ajaran sesat Millah Abraham ditahan Mohamed Farid Noh

Mohamed Farid Noh
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang lagi individu disyaki pengikut Millah Abraham bertaraf 'menteri' dalam hierarki ajaran sesat itu, ditahan dalam operasi bersepadu di Batu Pahat, malam Rabu lalu.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khaled berkata, lelaki berusia lingkungan 45 hingga 50-an itu ditahan di kediamannya kira-kira 7.15 malam.

Katanya, ia susulan operasi bersepadu khas Ops Milab yang dijalankan Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor Bahru.

"Hasil operasi bersepadu itu, seorang lelaki disyaki pengikut kepada ajaran sesat Milah Abraham ini ditahan di Batu Pahat.

"Lelaki itu mendakwa dirinya berstatus 'menteri' dalam kelompok ajaran sesat itu.

"Pendakwaan kes ke atas lelaki itu dijalankan semalam di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Batu Pahat dengan tarikh perbicaraannya ditetapkan pada 24 September nanti," katanya dalam kenyataan, di sini.

Pada 6 Ogos lalu, seorang imam dan guru penolong kanan dilaporkan antara 14 individu disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini, atas pertuduhan mengingkari pihak berkuasa agama serta memiliki bahan penerbitan agama bertentangan hukum syarak.

Mereka terdiri daripada 11 lelaki serta tiga wanita berusia 30 hingga 70 tahun yang didakwa secara berasingan atas satu atau dua pertuduhan mengikut Seksyen 9 dan Seksyen 13 (1) (b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003.

Berdasarkan fakta kes, mereka ditahan dalam operasi khas di beberapa daerah negeri ini, termasuk Segamat, Muar, Batu Pahat dan Pontian, 1 Ogos lalu.

Dalam serbuan itu, seramai 17 individu ditahan kerana disyaki pengikut ajaran Millah Abraham sebelum dibawa ke jabatan agama untuk disoal siasat.

Sebelum itu, JAINJ mengesan penyebaran ajaran Millah Abraham susulan laporan polis diterima berhubung pergerakan anggota kumpulan terbabit.

Hasil siasatan awal mendapati mereka dipercayai turut cuba menyebarkan ajaran itu kepada ahli keluarga dan masyarakat di negeri ini.

Ajaran ini difatwakan haram pada 2019 oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Antara fahaman salah ajaran sesat itu ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli adalah tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan mempunyai syahadah berbeza.

Mereka juga cuba menggabungkan tiga agama membabitkan Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman sendiri tanpa berdasarkan kitab tafsir.

Seorang mati, 60 cedera naik ‘karpet terbang’

KOSMO!
Eskalator ‘permaidani ajaib’ membawa pelancong naik ke puncak bagi menikmati pemandangan indah Air Terjun Detian. - Xiaohongshu/Weibo
BEIJING  –  Pihak berkuasa China menahan beberapa individu berikutan insiden berdarah di sebuah lokasi pelancongan popular di Jeram Detian dalam wilayah autonomi Guangxi Zhuang, lapor saluran berita Channel NewsAsia semalam.

Nahas pada 10 Ogos lalu itu melibatkan struktur menyerupai eskalator digelar ‘permaidani ajaib’ yang mengalami kegagalan fungsi.

Alat tersebut digunakan sebagai ‘pengangkutan’ untuk membawa pelancong mendaki gunung bagi menikmati pemandangan indah Air Terjun Detian yang terletak di sempadan China dan Vietnam.

Beberapa individu yang terlibat ditahan polis, kata pegawai tempatan dalam satu kenyataan kelmarin sambil menambah, siasatan sedang dilakukan. 

Polis bagaimanapun tidak menyatakan bilangan individu yang ditahan atau identiti mereka.

Kenyataan itu juga menjelaskan lebih lanjut mengenai punca kemalangan, dengan menyatakan bahawa siasatan awal menunjukkan terdapat keretakan pada ‘sambungan engsel’ semasa alat itu beroperasi.

Menurutnya, alat tersebut yang sedang bergerak pada arah mendaki, secara tiba-tiba memecut ke arah berlawanan.

Ia menyebabkan orang ramai berlanggar antara satu sama lain dan membawa kepada kecederaan dan kematian.

Dalam kejadian itu, seorang meninggal dunia, manakala 60 yang lain cedera dengan seorang daripada mereka parah.

Tarikan pelancongan  itu kini ditutup untuk tujuan penyelenggaraan dan pemeriksaan peralatan, manakala pihak pengurusan mengucapkan takziah dan memohon maaf kepada mangsa yang cedera dan keluarga mereka. – AGENSI 

Dijel secara salah 5 dekad, lelaki terima pampasan RM31 juta

AFP
GLYNN Simmons. FOTO X
GLYNN Simmons. FOTO X
Washington: Lelaki berusia 71 tahun yang menghabiskan hampir lima dekad di penjara atas pembunuhan tidak dilakukannya akan menerima bayaran AS$7.15 juta (kira-kira RM31.7 juta) daripada pihak berkuasa bandar Edmond, Oklahoma.

Glynn Simmons adalah antara banduan paling lama di Amerika Syarikat, lapor Daftar Kebangsaan untuk Pembebasan.

Peguam bela Simmons berkata, bayaran itu mewakili penyelesaian sebahagian daripada tuntutan mahkamahnya terhadap bandar Edmond dan polis.

"Simmons menghabiskan masa yang tragis, dipenjarakan kerana jenayah yang tidak dilakukannya.

"Walaupun dia tidak akan dapat mengundurkan masa, penyelesaian dengan Edmond ini akan membolehkan dia bergerak ke hadapan sambil terus mendesak tuntutannya terhadap Oklahoma City dan seorang detektif terkemuka," kata peguam utama, Elizabeth Wang.

Simmons dan seorang lagi lelaki, Don Roberts, dihukum mati pada 1975 atas pertuduhan membunuh seorang kerani kedai arak yang berusia 30 tahun ketika kejadian rompakan di Edmond.

Hukuman mereka kemudiannya ditukar kepada penjara seumur hidup.

Simmons dan Roberts disabitkan kesalahan semata-mata berdasarkan keterangan seorang pelanggan remaja yang ditembak di kepala pada masa rompakan, tetapi dia terselamat.

Hakim Mahkamah daerah Amerika Syarikat Amy Palumbo menolak sabitan terhadap Simmons pada Julai tahun lalu. Simmons secara rasmi diisytiharkan tidak bersalah pada Disember lalu.

Roberts, defendan bersama Simmons, dibebaskan dari penjara pada 2008.

Bapa berbalas tembakan dengan anak kerana isu hutang

KOSMO!
SEORANG bapa dan anak berbalas tembakan di sebuah kedai pajak di Khon Kaen. - Foto Khon Kaen Link
BANGKOK  – Seorang bapa menembak anak lelakinya kerana mengkritik kakaknya sendiri di media sosial mengenai isu hutang semalam, lapor portal berita MSNews.

Kejadian berlaku di sebuah kedai pajak gadai di bandar Khon Kaen manakala polis dimaklumkan mengenai insiden  tersebut.

Apabila tiba di lokasi kejadian,  polis menemui seorang lelaki berusia 53 tahun yang cedera bernama Chalao. Dia ditembak di kaki kiri oleh anak lelakinya, Pawinyo, 32,  yang melarikan diri dari tempat kejadian.

Polis melaporkan, kakak Pawinyo telah meminjam wang satu juta baht (RM126,695) daripadanya.

Walaupun lelaki tersebut meminta berulang kali untuk membayar balik, kakaknya enggan memulangkan wang itu.

Pawinyo yang memiliki kedai pajak gadai kemudian bertindak menyiarkan isu itu di media sosial, menamakan dan memalukan kakaknya.

Apabila bapa mereka melihat hantaran itu, dia mengarahkan Pawinyo untuk memadamkannya.

Bagaimanapun, anak lelaki itu enggan melakukan seperti yang disuruh, menyebabkan Chalao berang. 

Ketika Pawinyo sedang minum bersama rakan-rakan di hadapan kedainya, Chalao tiba dengan sebuah kenderaan dan melepaskan tembakan ke arah Pawinyo tetapi tidak mengenainya.

Sebagai tindak balas, Pawinyo melepaskan tembakan yang mengenai kaki kiri bapanya sebelum melarikan diri.

Kemudian, pada jam 6 petang (waktu tempatan) pada hari yang sama, Pawinyo dilaporkan menyerahkan diri  kepada polis. – AGENSI

Kelantan: Gempar dakwaan kes samun di Kota Bharu, siap pisau dah di tangan

Harapandaily

Tular gambar pembonceng motosikal dengan sebilah pisau di genggaman tangannya dalam mesej mengenai kes jenayah di sekitar ibu negeri Kelantan.

Seorang pengguna X, @TokJoeMY memberitahu gambar yang dikongsinya itu adalah dari kumpulan WhatsApp.

“Tolong beringat ada kes samun dan rompak di sekitar Kota Bharu.

“Target dia adalah pemandu yang keluar dari kereta. Sumber dari grup WhatsApp,” dakwanya.

Dia menambah pihak polis sudah mengetahui kawasan operasi penjenayah tersebut iaitu sekitar Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Rata-rata warganet bimbang dengan risiko jenayah yang berlaku selain berpendapat kemungkinan pelakunya adalah penagih dadah.

“Mesti mat pet takde duit nak beli pil kuda,” kata pengguna X, @shahirarosli.

“Apa nak jadi dengan anak muda sekarang, tak reti nak kerja ke,” tulis @CarlHarlock.

“Ikut je rapat-rapat, lepas tu dia buat kerja, langgar je,” komen @NorshafiqM.

“Mungkin nombor pendaftaran motorsikal palsu,” ujar @CXinfei pula.

Penyelidik Pompeii temui rangka dikelilingi harta karun

KOSMO
Rangka tersebut ditemukan dalam keadaan hampir lengkap. - EPA-EFE
ROM – Sekumpulan ahli arkeologi di tapak bersejarah Pompeii menemui sepasang rangka lelaki dan wanita dalam keadaan hampir lengkap, yang berbaring sambil memegang barangan berharga dipercayai milik mereka, lapor akhbar New York Post. 

Rangka wanita ditemukan di atas katil yang dikelilingi oleh syiling emas, perak dan gangsa, di samping beberapa barangan kemas termasuk anting-anting mutiara dan emas. 

Sementara itu, rangka lelaki  ditemui tidak jauh darinya.

Pengarah Taman Arkeologi tersebut, Gabriel Zuchtriegel menyifatkan penemuan itu sebagai ‘tidak ternilai’ kerana ia berlaku di bandar purba yang musnah akibat letusan gunung berapi di Wilayah IX Gunung Vesuvius. 

“Penemuan itu membolehkan kami mendapatkan sejumlah besar maklumat tentang kehidupan seharian dan sejarah mikro purba Pompeii.

“Dengan dokumentasi yang tepat, ia dapat mengesahkan keunikan wilayah Vesuvia,” kata Zuchtriegel. 

Menurut saintis, pasangan itu dipercayai terbunuh dalam keadaan mengerikan oleh ‘aliran piroklastik’ batuan vulkanik yang melanda bandar tersebut. – AGENSI

Pembantu peribadi pelakon wanita popular ditahan polis

Wartawan Harian Metro
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pembantu peribadi kepada seorang pelakon wanita popular ditahan polis selepas didakwa mencuri barangan kemas pelakon itu, semalam.

Sumber Harian Metro berkata, wanita berusia 28 tahun itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor.

"Difahamkan kecurian berlaku pada Jun lalu selepas pelakon wanita itu menyedari rantai emas miliknya hilang.

"Bukan itu saja, rantai emas milik anak pelakon itu juga turut hilang," katanya kepada Harian Metro.

Menurut sumber lagi, pelakon wanita itu turut kehilangan wang RM10,000.

"Pemeriksaan di rumah wanita terbabit di Gombak turut menemui semula barangan kemas itu," katanya.

Harian Metro difahamkan, pembantu peribadi itu juga ada membuat laporan di IPD Daerah Gombak mendakwa dipukul pelakon wanita terbabit.

Sumber berkata, punca pembantu peribadi itu dipukul kerana didakwa mereka cerita yang rumah tangga pelakon itu sedang bermasalah.

"Pelakon itu juga ada membuat laporan polis semalam," katanya.

Harian Metro sedang mendapatkan pengesahan pihak polis berhubung penahanan itu.

257 warga asing tidak sempat lolos pintu sempadan

Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my
IMIGRESEN menggagalkan cubaan 257 warga asing daripada keluar dari dua pintu sempadan di Johor Bahru dan Gelang Patah. FOTO Ihsan JIM.
IMIGRESEN menggagalkan cubaan 257 warga asing daripada keluar dari dua pintu sempadan di Johor Bahru dan Gelang Patah. FOTO Ihsan JIM.
Johor Bahru: Jabatan Imigresen (JIM) Johor berjaya menggagalkan cubaan 257 warga asing pelbagai negara daripada lolos keluar menerusi dua pintu sempadan negara di bandar raya ini dan Gelang Patah.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, ia susulan langkah pihaknya memperketatkan kawalan dan penguatkuasaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Gelang Patah.

Katanya, operasi dijalankan semalam dan hari ini oleh Unit Penguat Kuasa dan Keselamatan BSI dan KSAB.

"Menerusi operasi di BSI semalam, seramai 169 warga asing dan 19 warga tempatan telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Warga ini merangkumi 43 warga Indonesia 43; Myanmar (33); Bangladesh (22); Pakistan (18); Singapura (14); China (10); India (8) dan Vietnam (4).

"Turut ditahan adalah warga Thailand dan Kemboja masing-masing tiga; manakala Nepal, Egypt dan Korea masing-masing dua orang serta masing-masing seorang warga Iran, Syria, Nigeria dan Algeria.

"Sementara operasi di KSAB hari ini pula menahan 80 orang termasuk warga Singapura, China, Bangladesh, Indonesia, India dan Itali, manakala 88 warga asing lagi telah dikenakan kompaun," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Rusdi berkata, kesemua warga asing serta 18 warga tempatan yang ditahan kini direman 14 hari untuk siasatan lanjut.

Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155); Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155); Seksyen 56(1)(1) Akta Imigresen; Seksyen 55 E(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 56(1)(g) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

"Kesemua warga asing yang ditahan itu telah melakukan kesalahan termasuk tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia selain tinggal lebih masa, menggunakan atau memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara palsu.

"Warga tempatan yang ditahan pula kerana membenarkan imigran

haram untuk masuk atau tinggal di mana-mana premis, selain menghalang pegawai imigresen dalam menjalankan tugas mereka.

"JIM Johor sentiasa menjaga kedaulatan dan keselamatan negara serta memperketatkan lagi kawalan terutama di pintu-pintu masuk negara

bagi mengekang isu pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Jabatan ini juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang berpotensi memberi ancaman pada keselamatan negara," katanya.

Silahanat bekas pegawai kanan TUDM didakwa terima rasuah bayaran bina rumah RM300,000

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar Jeneral mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menerima wang berjumlah RM300,000 bagi bayaran pembinaan sebuah rumah antara 2021 hingga 2022.

Datuk Zainal Abdul Manaf, 61, didakwa sebagai penjawat awam iaitu Asisten Ketua Staf Material TUDM, Kementerian Pertahanan menerima untuk dirinya pembayaran pembinaan rumah iaitu RM200,000 dan RM100,000 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Wangsa Maju, Jalan Wangsa Delima 11, D'Wangsa di sini pada 22 Disember 2021 dan 15 Mac 2022, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Aznika Mohd Anas menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Putrajaya serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Simret Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM30,000, atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan selain tiada risiko melarikan diri.

"Anak guam saya kini merupakan pesara tentera TUDM dan beliau dan isteri menghidap penyakit darah tinggi yang memerlukan rawatan susulan di hospital, selain perlu menanggung keluarga," kata peguam itu.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 26 September ini untuk sebutan kes.

- BERNAMA

Trafik dekat Terowong Menora sesak, lori terbakar

Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
LORI yang terbakar di KM 260.9 Lebuhraya Utara Selatan dekat Terowong Menora petang tadi menyebabkan trafik sesak menghala utara. FOTO Ihsan Pembaca.
LORI yang terbakar di KM 260.9 Lebuhraya Utara Selatan dekat Terowong Menora petang tadi menyebabkan trafik sesak menghala utara. FOTO Ihsan Pembaca.
Ipoh: Treler terbakar di KM260.9 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Terowong Menora, di sini, hari ini mengakibatkan trafik sesak.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan Meru Raya dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik panggilan diterima pada 6.42 petang.l

"Sebaik tiba, didapati lori 12 tan jenis Hino membawa muatan bakul buah-buahan sedang terbakar 35 peratus.

"Tiada mangsa cedera dan operasi pemadaman dilakukan dengan kekuatan 15 anggota bomba dan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, PLUS melalui aplikasi X memaklumkan, setakat 7.38 malam, trafik masih sesak kerana lorong kanan terlarang.

Aktivis tersalah edar ‘gula-gula syabu’ pada gelandangan

Malaysiakini 

Sebuah badan amal New Zealand yang bekerja untuk gelandangan di Auckland secara tidak sengaja mengedarkan 'gula-gula' berisi methamphetamine - bahan yang berpotensi membawa maut - dalam bungkusan makanan selepas disumbangkan oleh orang awam.

AP memetik Auckland City Mission sebagai berkata, pekerja mereka sudah menghubungi hingga 400 orang untuk menjejaki bungkusan tersebut yang mungkin mengandungi 'gula-gula' terbabit yang terdiri daripada pepejal methamphetamine.

Menurut pihak berkuasa, setakat ini, tiga orang yang dirawat di hospital selepas memakan ‘gula-gula’ berkenaan, sudah dibenarkan pulang.

Yayasan Dadah New Zealand, organisasi yang menjalankan pemeriksaan mendapati jumlah dos methamphetamine dalam setiap 'gula-gula' berkenaan adalah hingga 300 kali ganda paras biasa diambil seseorang yang boleh mengakibatkan maut.

Jurucakapnya, Ben Birks Ang berkata, kaedah penyamaran dadah sebagai bahan tidak berbahaya adalah teknik biasa digunakan untuk penyeludupan merentas sempadan.

Katanya, 'gula-gula' tersebut mungkin sudah diedarkan di seluruh New Zealand.

Menurut Birks Ang, setiap 'gula-gula' berkenaan bernilai sebanyak AS$608 (MYR 2,698.91), hal itu sekali gus mencadangkan sumbangan dibuat oleh seorang orang awam terbabit adalah tidak disengajakan.

Detektif Glen Baldwin berkata, persepsi awal pihak berkuasa adalah berkemungkinan berlakunya kesilapan pada rancangan pengimportan, namun, sifat dan skala operasi sebenar tidak diketahui.

Menurutnya, pegawai mereka menemui 29 ‘gula-gula’ itu tetapi tidak mengetahui berapa banyak sudah diedarkan.

Tambahnya, polis sedang menyiasat laporan berhubung cubaan seseorang untuk menjual ‘gula-gula’ tersebut secara dalam talian.

Pegawai polis, Helen Robinson berkata, lapan keluarga termasuk sekurang-kurang seorang kanak-kanal dilaporkan memakan 'gula-gula' tercemar itu sejak 13 Ogos lalu.

Bagaimanapun, katanya, rasa yang memualkan menyebabkan kebanyakan daripada mereka meludah bahan tersebut.

Menurut Helen, bank makanan hanya menerima sumbangan makanan yang dihasilkan secara komersial dalam bungkusan tertutup.

Katanya, gula-gula nanas yang dicop dengan label jenama Malaysia, ‘Rinda’ tiba dalam beg bersaiz runcit kelihatan seperti itu sewaktu ia didermakan.

Glen berkata, Auckland City Mission dimaklumkan pada 13 Ogos lalu oleh seorang pelanggan bank makanan yang melaporkan ‘gula-gula rasa pelik’.

Menurutnya, pekerja kemudian memakan baki gula-gula tersebut dan kemudian segera menghubungi pihak berkuasa.

Katanya, seorang daripada pekerja dibawa ke hospital selepas memakan sampel gula-gula berkenaan.

Pengurus Besar Rinda, Steven Teh dalam satu kenyataan memaklumkan syarikat terbabit mengetahui gula-gula jenamanya mungkin telah disalahgunakan melalui laporan-laporan berita dipaparkan di New Zealand.

“Kami mahu menjelaskan bahawa Rinda Industries tidak menggunakan atau menyokong penggunaan bahan terlarang dalam produk kami,” katanya.

2 remaja maut, motosikal bertembung ketika 'wheelie'

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
KEADAAN motosikal yang terbabit kemalangan di Jalan Elmina Business Park, malam tadi. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN motosikal yang terbabit kemalangan di Jalan Elmina Business Park, malam tadi. FOTO Ihsan Polis
Sungai Buloh: Dua remaja menemui ajal selepas motosikal mereka bertembung ketika melakukan aksi 'wheelie' di Jalan Elmina Business Park, Aman Putri, Sungai Pelong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 11.20 malam.

"Kemalangan membabitkan dua penunggang motosikal kedua-duanya berusia lingkungan 13 tahun yang mengenali antara satu sama lain disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila kedua-dua motosikal bertembung di lalu bertentangan arah ketika melakukan aksi 'wheelie'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, jenazah kedua-dua mangsa yang tinggal di sekitar Kampung Kubu Gajah, di sini itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasatan.

Mengulas lanjut Mohd Hafiz berkata, kadar kemalangan maut membabitkan aktiviti berlumba atau menduga kelajuan menunjukkan peningkatan drastik sejak Januari hingga Ogos.

"Sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka membabitkan 11 penunggang motosikal maut dalam daerah Sungai Buloh setakat Ogos tahun ini.

"Peningkatan ini amat membimbangkan berikutan hanya tiga kertas siasatan dan tiga kematian membabitkan penunggang motosikal dicatatkan di sini tahun lalu," katanya.

Menurutnya, Ibu bapa harus peka dan cakna dalam mengawal aktiviti anak-anak bawah umur terutama pada waktu malam serta memastikan mereka tidak terbabit dengan aktiviti lumba haram.

Katanya, kegiatan itu bukan sahaja berbahaya dan boleh meragut nyawa sendiri malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Penunggang motosikal bawah umur dan penjaga mereka boleh dituduh di bawah Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda mencecah RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Ibu, bapa juga boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda mencecah RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Banduan menyamar wanita gagal lolos

KOSMO
Da Silva dan Oliveira mengenakan payudara dan rambut palsu untuk melengkapkan penampilan. - MailOnline
BRASILIA – Dua banduan nekad menyamar sebagai wanita bagi melarikan diri dari Unit Penjara Profesor Jose Sobreira de Amorim di Itaitinga, Brazil, lapor portal berita MailOnline. 

Banduan yang dikenal pasti sebagai Francisco da Silva dan Carlos Oliveira, dipercayai mengambil kesempatan semasa waktu lawatan Ahad lalu dengan menukar pakaian penjara kepada pakaian wanita. 

Mereka turut memakai payudara dan rambut palsu untuk melengkapkan penampilan. 

Menerusi gambar yang dimuat naik di media sosial, salah seorang banduan itu dilihat memakai kemeja-T putih dan skirt panjang berwarna merah jambu, dan dia berdiri di antara banduan lain serta pelawat. 

Bagaimanapun, percubaan kedua-dua mereka gagal selepas dikesan oleh polis.

Sekretariat Pentadbiran Penjara dan Penyepaduan CearĂ¡ berkata, mereka segera dipisahkan daripada pelawat dan dimasukkan ke sel penjara masing-masing.  – AGENSI

Pemain bola sepak acu kerambit juga suspek baling molotov di pusat hiburan Mei lalu

Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Polis mengesahkan pemain bola sepak amatur yang ditahan kerana mengacukan objek tajam juga adalah suspek yang membaling bom petrol di sebuah pusat hiburan di ibu negara pada Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki berusia 22 tahun itu akan dituduh atas kedua-dua kesalahan itu di Mahkamah Kuala Lumpur esok.

“Dia ini ada ‘wanted’ (dalam senarai dikehendaki) satu kes, kes baling molotov cocktail di depan pusat hiburan, inilah orangnya.

“(Suspek) ini pun akan dituduh di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, suspek orang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Putrajaya dan Pengerusi PERKEP Putrajaya, di sini hari ini.

Menurut Rusdi, polis mengenal pasti suspek terlibat dalam kedua-dua kes berdasarkan siasatan, rakaman percakapan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan proses pengecaman.

“Suspek ada dua rekod jenayah lampau,” katanya.

Sebelum ini, tular video CCTV di laman media sosial yang memaparkan empat individu menaiki dua motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, 9 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, bagi kes mengacukan objek tajam, suspek akan didakwa di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 serta pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan membahayakan nyawa dan keselamatan diri orang lain.

Dalam kejadian 4 Ogos lalu, lelaki tersebut mengacukan kerambit ke arah pemain lain dalam perselisihan faham ketika perlawanan bola sepak di KLFA Football Centre.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, ACP Mohammad Lazim dilapor berkata, lelaki tersebut ditahan bersama teman wanitanya berusia 21 tahun oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sebuah rumah di Klang kira-kira jam 6.30 petang, Jumaat lalu.