Wanita rakam tujuh matahari dari tingkap hospital

KOSMO!
WANG merakamkan video yang menunjukkan tujuh matahari, - Foto Tangkap Layar/Jam Press
BEIJING  – Satu klip video yang dirakam dari sebuah hospital di China menunjukan terdapat tujuh matahari di langit, lapor portal berita MailOnline semalam.

Rakaman video itu menarik perhatian dan menyebabkan netizen di seluruh dunia keliru.

Ketika kejadian, seorang wanita sedang merakam fenomena matahari terbenam apabila sesuatu uang menakjubkan berlaku.

Imej yang dirakam menunjukkan terdapat lebih daripada sebuah matahari di langit.

Bagaimanapun, video berdurasi satu minit yang kelihatan seperti keajaiban kosmik itu sebenarnya adalah ilusi optik yang ‘dicipta’ oleh tingkap kaca di mana ia dirakam.

Video itu dirakam dari tingkat 11 sebuah hospital di Chengdu, China pada 18 Ogos lalu.

Wanita merakam video itu yang dikenali sebagai Wang berkata, penonton terpesona dengan paparan tersebut kerana kelihatan seperti di luar realiti, demikian menurut laman berita Jam Press.

Ramai netizen memberikan teori tentang bagaimana fenomena itu berlaku.

‘Ia berlaku kerana gangguan medan magnet yang menjadikan alam semesta selari,” tulis seorang netizen di platform media sosial China, Weibo. – AGENSI

Dua beranak ditemui maut dipercayai kelaparan

ADNAN IBRAHIM
RUMAH dimana dua orang lelaki ditemui mati dan seorang wanita dalam keadaan tidak bermaya di Taman Indah, Sungai Abong di Muar tengahari tadi.
MUAR – Dua beranak ditemui mati manakala seorang lagi tidak bermaya dipercayai kelaparan selepas beberapa hari tidak kelihatan keluar dari kediaman mereka di Taman Indah, Sungai Abong, semalam.

Dua beranak yang ditemui sudah meninggal dunia itu dianggarkan berusia antara 40-an hingga 70-an tahun manakala seorang lagi anak perempuan juga 40-an yang tidak bermaya dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).

Difahamkan ketika pemeriksaan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO), seorang lelaki yang juga ayah kepada dua orang anak itu berada di dalam bilik air manakala anak lelakinya diatas kerusi sofa.

Menurut jirannya, pemeriksaan oleh NGO dilakukan selepas mendapati keadaan rumah tersebut gelap sejak beberapa hari lalu.

Kedua-dua mayat serta anak perempuannya kemudiannya diruju ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk proses bedah siasat dan rawatan

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, ketika dihubungi mengesahkan kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tiga budak serang rumah guna panah

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan tiga kanak-kanak menyerang sebuah rumah menggunakan busur panah. - Tribun Timur
JAKARTA – Perbuatan tiga kanak-kanak lelaki yang menyerang sebuah rumah dengan menggunakan  busur dan anak panah mengundang perhatian orang ramai, lapor saluran berita Tribunnews. 

Kejadian berlaku sekitar pukul 10.10 malam (waktu tempatan) di Jalan Adipura, bandar Makassar, wilayah Sulawesi Selatan semalam. 

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) lokasi kejadian menunjukkan sebuah motosikal dinaiki tiga kanak-kanak terbabit menghampiri sebuah rumah. 

Salah seorang kanak-kanak itu turun lalu melepaskan anak panah ke arah seorang lelaki yang berada di dalam rumah tersebut sebelum mereka melarikan diri. 

Menurut Ketua Polis Panakkukang, Muhammadi Mustari, ketiga-tiga suspek ditahan dalam tempoh kurang 24 jam. 

“Suspek berjaya ditahan dan diserahkan ke Unit Perlindungan Wanita dan Anak (PPA) manakala motif serangan masih belum diketahui,” kata Muhammad.

Tambah Muhammad, busur panah yang digunakan turut disita oleh polis. – AGENSI

Harimau terkam selepas diejek wanita

KOSMO!
SEEKOR harimau menerpa ke arah seorang wanita. - Foto Today Show
WASHINGTON – Satu rakaman video menunjukkan seekor harimau menerpa ke arah seorang wanita selepas dia mengganggu binatang buas itu di sebuah zoo di negeri New Jersey, lapor laman berita MailOnline. 

Wanita tidak dikenali  itu dipercayai ‘mengejek’ binatang itu.

Dia cuba menarik perhatian seekor harimau Bengal di Zoo Cohanzick, Bridgeton dengan memasukkan tangan melalui celah pagar yang memisahkan kedua-duanya. 

Harimau itu mendekati wanita berkenaan dan cuba menerkamnya. 

Pelawat itu kemudian meninggalkan kandang tersebut.

Jabatan Polis Bridgeton mengeluarkan rakaman itu pada Selasa lepas tetapi tidak menyatakan tarikh sebenar kejadian.

Polis  sedang mencari wanita itu, demikian menurut  saluran televisyen NBC. 

“Sebarang tingkah laku pelawat yang meletakkan haiwan, kakitangan dan orang awam dalam situasi berpotensi berbahaya adalah tidak boleh diterima dan akan ditangani sewajarnya,” kata Pengarah Rekreasi dan Hal Ehwal Awam Bandar Bridgeton, John Medica 

Harimau seberat hampir 300 kilogram itu lahir pada 2016 dan didermakan kepada Zoo Cohanzick. – AGENSI

Bapa, anak lelaki OKU ditemui mati dalam rumah

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
LOKASI penemuan mayat dua beranak di sebuah rumah di Taman Indah, Sungai Abong. FOTO Alias Abd Rani
LOKASI penemuan mayat dua beranak di sebuah rumah di Taman Indah, Sungai Abong. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Misteri rumah bergelap selain sunyi sepi membongkarkan penemuan mayat dua beranak dipercayai sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu di Taman Indah, Sungai Abong, di sini, semalam.

Mayat dua beranak dipercayai berusia 40-an dan 70-an itu ditemui oleh sebuah pertubuhan kebajikan (NGO) yang dipanggil penduduk selepas curiga terhadap kelibat mereka tidak kelihatan sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, mayat dua beranak itu ditemui kira-kira jam 12 tengahari dengan bapanya ditemukan dalam bilik air manakala anak lelakinya di atas sofa.

Pada masa sama, seorang lagi anaknya, wanita berusia lingkungan 40-an yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui selamat namun dalam keadaan tidak bermaya.

Tiga beranak itu menetap di rumah terbabit sejak sekian lama selepas ibunya meninggal dunia beberapa tahun lalu, dengan kedua-dua anaknya dikategorikan OKU lembam.

Jiran yang enggan dikenali berkata, pada hari penemuan itu, mereka pelik apabila rumahnya bergelap lalu meminta bantuan NGO untuk memeriksanya.

"Penduduk memanggil NGO terbabit kerana mereka selalu datang ke sini menghantar bantuan memandangkan bapanya tidak bekerja.

"Dua anaknya pula, masing-masing lelaki dan perempuan adalah OKU dan dijaga sepenuhnya oleh bapa mereka.

"Apabila pintu dibuka, mereka melihat anaknya lelakinya terbaring atas sofa manakala anak perempuannya dalam keadaan tidak bermaya dipercayai kelaparan," katanya.

Katanya, NGO dan penduduk taman itu kemudian menghubungi polis bagi mendapat bantuan selanjutnya.

Menurutnya lagi, ketika polis memasuki rumah, mereka menemui mayat bapanya dalam bilik air," katanya ketika ditemui.

Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mereka sementara seorang lagi dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Operator kilang tidak mengaku cabul rakan sekerja

ASLIZA MUSA
Syamsul Syawal (dua dari kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencabul rakan sekerjanya. -Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!
TELUK INTAN – Seorang operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan rakan sekerja di sebuah kilang sarung tangan di Changkat Jong, minggu lalu.

Tertuduh, Syamsul Syawal Hosnon, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
L

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 28 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan wanita itu.

Bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah kilang di Batu 8, Jalan Changkat Jong di daerah Hilir Perak pada pukul 2 petang, 12 Ogos 2024.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan mencadangkan jaminan RM6,000 dikenakan terhadap tertuduh beserta syarat tambah tidak menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Khairul Anuar Musa memohon jumlah jaminan minimum dikenakan ke atas anak guamnya atas alasan tertuduh yang berpendapatan RM1,800 sebulan itu perlu menanggung isteri dan dua anak selain kos perubatan ibu bapanya.

Naidatul Athirah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Kes disebut semula pada 30 September depan bagi serahan dokumen.

Lelaki mengamuk, ugut bunuh pemandu van hantar barang

KOSMO!
Tangkap layar video kejadian.
PETALING JAYA – Seorang lelaki mengamuk sehingga bertindak memecahkan cermin sebuah kenderaan penghantar barangan.

Menerusi klip video di laman X, memaparkan kejadian tersebut yang dipercayai berlaku di kawasan perumahan dekat Kajang.

Berdasarkan video berdurasi lebih seminit itu, lelaki berkenaan dilihat mengamuk dengan melemparkan kata kesat sebelum menghentak topi keledarnya ke arah kenderaan mangsa.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian tidak dapat dikenal pasti.

“Saya hantar barang, apa masalah abang ini. Kalau abang buat apa-apa dekat saya, saya ‘report’ (lapor) polis sahaja. Saya tengah rakam ini,” kata mangsa.

Namun, lelaki terbabit tidak mengendahkan kata-kata mangsa dan memintanya untuk keluar daripada kenderaan.

“Kalau tak nak cermin depan pecah, engkau turun. Aku bunuh engkau nanti,” kata lelaki itu sambil menghalakan penyodok ke arah mangsa.

Sehubungan itu, rata-rata meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan terhadap individu berkenaan.

“Lain macam dia punya baran. Kita tunggu dia naik ‘kereta putih’ nanti,” kata Artemis.

“PDRM dah angkut ke orang ini. Macam hisap dadah pun ada. Mesti sangkut urin kalau kena tahan,” seloroh Aen.

“Banyak benda boleh ambil tindakan ni. Membahayakan diri kita, ugut bunuh dan merosakkan harta benda. Ingat negara gengster ke?” ujar Cikgu Zyd. – KOSMO! ONLINE

Wow!!!! Jurugambar rakam gambar model tanpa seurat benang di tepi jalan

KOSMO!
Siasatan sedang dilakukan ekoran seorang model wanita diupah berbogel di tepi jalan Vietnam. - Foto AFP
HANOI – Pihak berkuasa menyiasat gambar bogel seorang model wanita yang didakwa dirakam di tepi jalan di daerah Bau Bang, tenggara Vietnam, lapor portal berita VnExpress kelmarin.

Sesi bergambar berlangsung pada 15 Mac lalu itu melibatkan beberapa jurugambar dan seorang model wanita.

Jabatan Kebudayaan dan Penerangan Bau Bang bersama polis, Jabatan Penerangan serta Komunikasi Binh Duong memanggil seorang jurugambar berusia 47 tahun kelmarin untuk disoal siasat mengenai kejadian itu. 

Siasatan itu dilakukan susulan klip video yang tular di media sosial menunjukkan kumpulan itu merakam gambar seorang wanita berbogel di tepi jalan  My Phuoc-Tan Van.

Menurut jurugambar itu,  model berkenaan diupah untuk sesi fotografi seni bogel selama dua jam pada 15 Mac lalu dengan bayaran 1.5 juta dong (RM262.45).

Peguam firma undang-undang HPL dan Partners, Dang Thi Thuy Huyen berkata, perbuatan merakam gambar bogel di tempat awam, di mana orang lalu lalang boleh menyaksikan adegan itu adalah melanggar norma sosial dan peraturan ketenteraman awam. – AGENSI

Terbongkar Mahiaddin sebenarnya tiada ‘jumloh’ SD mencukupi jadi PM

SITI NUR ZAWANI

Akhirnya terbongkar bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebenarnya tidak pernah mempunyai 115 Ahli Parlimen yang menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

Ia dipercayai kerana terdapat pertindihan apabila beberapa Ahli Parlimen menandatangani SD sehingga dua atau tiga kali.

Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedudukan Mahiaddin ketika itu tidak jelas kerana dakwaan sudah peroleh 115 Akuan Bersumpah (SD) adalah bercanggah.

Ia sekaligus mendorong Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu untuk membuat semakan semula.

Atas sebab itu, telah didapati Mahiaddin tidak mempunyai sokongan SD yang mencukupi untuk dilantik sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022.

“Apabila kedudukan tidak jelas, Mahiaddin kata ada 115, Anwar kata ada 112, ada orang tandatangan sekali, dua kali, tiga kali. Ada parti berbeza pendapat.

“Oleh itu, Tuanku (Agong pada waktu itu) terpaksa buka semula dan semak untuk yakinkan diri Tuanku.

“Sebab itu dalam Perlembagaan Persekutuan, dikatakan mengikut pandangan dia (Agong) setelah melihat, kemudian Tuanku panggil sidang (Majlis) Raja-Raja untuk bincang,” katanya kepada media selepas makan tengah hari hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, Majlis Raja-Raja dan Peguam Negara ketika itu Tan Sri Idrus Harun turut mempertikai jumlah SD berkenaan.

“Setakat saya faham pandangan Raja-Raja dan peguam negara masa itu yang dilantik oleh Muhyiddin mengatakan jumlah itu dipertikai, maka diserah kepada budi bicara Agong,” kata Anwar.

Mahiaddin, ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini mendakwa beliau memiliki 115 SD selepas PRU15 dan menyatakan bahawa jumlah itu cukup untuk beliau menjadi Perdana Menteri.

Namun katanya, beliau tidak dipanggil oleh Tuanku Agong untuk mengangkat sumpah.

Lagi pegawai penguat kuasa lahanat disyaki minta rasuah direman

Bernama

GEORGE TOWN: Seorang pegawai penguat kuasa sebuah agensi yang disyaki meminta rasuah kira-kira RM6,500 sebagai balasan membantu menyelesaikan kes berkaitan judi laga ayam ditahan reman selama tiga hari.

Majistret Mohamad Azlan Basri mengeluarkan perintah reman hingga 25 Ogos ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM.

Lelaki berumur 30-an itu ditahan pada kira-kira 4 petang semalam di sekitar Pulau Pinang.

Menurut sumber, suspek disyaki melakukan perbuatan itu baru-baru ini semasa proses jamin pengadu bersama 12 rakan pengadu yang lain.

Suspek dipercayai telah meminta RM500 daripada setiap orang dan jumlah keseluruhan ialah RM6,500… bagaimanapun, semasa tangkapan dibuat (penguat kuasa) hanya menemui wang tunai kira-kira RM5,000, katanya.

Tanah jerlus Jalan Masjid India: Tolong selamatkan ibu saya

TUAN NURHIDAYAH TUAN AB.GHANI
Anak mangsa sebak melihat keadaan lokasi tanah jerlus yang menyebabkan ibunya terjatuh pagi tadi.
KUALA LUMPUR – “Tolong selamatkan ibu saya!,” demikian rintihan anak sulung mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, yang tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja melihat pasukan sedang melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ibunya di lokasi.

Difahamkan, anak sulung mangsa dikenali Surya, 26, yang berbaju kemeja putih baru sahaja tiba dari Thailand dan hadir ke tempat kejadian kira-kira pukul 9.20 malam ini.

Anak lelakinya kemudian ditenangkan si bapa berusia 40-an dan keluarga lain yang berada di sekitar sejak awal kejadian.

Mangsa, Vijayaletchumi, 48, difahamkan datang melancong ke Malaysia dan dijangka pulang ke negara asalnya esok.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shariff dilihat tiba melawat lokasi kira-kira pukul 8 malam dan sempat bercakap kepada suami mangsa.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mangsa dipercayai dibawa oleh arus deras bawah tanah.

Katanya, operasi SAR telah meliputi kawasan hujung bawah tanah dan ia memerlukan perancangan rapi kerana membabitkan infrastruktur awam.

Setiap tindakan yang diambil perlu berstrategi dan dirancang rapi demi menjaga keselamatan orang awam serta pasukan penyelamat. – KOSMO! ONLINE

Wanita cuai lintas jalan tapi netizen maafkan disebabkan cantik

KOSMO!
DETIK-detik seorang wanita cantik melintas jalan di Taipei. - Foto YouTube/WoWtchout
TAIPEI  – Seorang wanita di Taipei nyaris dilanggar kereta kerana cuai ketika melintas jalan tetapi netizen memaafkannya kerana dia memiliki wajah yang cantik, lapor portal berita MSNews semalam.

Kejadian berlaku 18 Ogos lalu sekitar pukul 4.48 petang (waktu tempatan) berdasarkan tarikh kamera video papan pemuka kenderaan yang merakam detik cemas itu.

Sebuah kereta sedang bergerak apabila wanita itu meluru dan cuba melintas jalan tanpa memeriksa persekitarannya.

Namun, pemandu kenderaan memandu  perlahan dan segera menekan brek bagi mengelak daripada melanggar mangsa.

Wanita itu melangkah semula ke tepi jalan, mengangkat tangan memohon maaf dan memberikan senyuman menawan kepada pemandu.

Selepas pemandu itu memberi isyarat untuknya melintas, dia menunjukkan tangan untuk memohon maaf sebelum berlari anak di depan kereta tersebut untuk menyeberang jalan.

“Disebabkan permohonan maaf yang indah dan anggun ini, saya akan membiarkan dia melintas kali ini,” kata seorang pengguna media sosial bersama emoji senyuman.

“Wanita muda dan  cantik dibenarkan untuk membuat kesilapan,” kata netizen lain. – AGENSI

Mayat lelaki dalam parit dipercayai mangsa bunuh

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

Nilai: Mayat lelaki tidak berpakaian ditemui di dalam parit dekat Pekan Lama Nilai, di sini, kira-kira 12 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, terdapat kesan luka pada mayat dipercayai warga asing itu dan disyaki dibunuh.

Katanya, pihaknya menerima panggilan memaklumkan penemuan mayat itu di belakang sebuah kedai.

"Siasatan di tempat kejadian menemui sekujur mayat dipercayai warga asing yang mempunyai ciri fizikal berkulit cerah, rambut pendek, tinggi 165 sentimeter dan berumur sekitar pertengahan 30-an," katanya, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa mungkin meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

"Pemeriksaan lanjut pada badan menemui kesan luka daripada objek tumpul pada kepala dan beberapa bahagian badan lain dan dipercayai mati akibat dibunuh.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya yang meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Deputi Superintendan Md Nurazam Md Ghazali di talian 013-800 5225 atau mana-mana balai berhampiran.

Kes rogol pelajar tingkatan tiga, 8 lelaki ditahan

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Perbuatan terkutuk lapan lelaki termasuk pelajar sekolah yang disyaki merogol remaja perempuan berusia 15 tahun seorang memakan diri apabila semua mereka ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, bertindak atas maklumat, polis melakukan serbuan di beberapa rumah di daerah ini.

"Hasil serbuan itu, lapan lelaki berusia 14 hingga 38 tahun ditahan, disyaki terbabit kes rogol pelajar tingkatan tiga, baru-baru ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kasim berkata, kes selesai kurang 24 jam sebaik mangsa membuat laporan polis.

"Semua suspek termasuk pelajar sekolah ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan iaitu rogol berkumpulan," katanya.

Kepala air di Langkawi, beberapa kenderaan rosak dihanyut arus deras

Bernama

Hujan lebat berterusan dan angin kuat menyebabkan berlakunya kepala air sehingga melimpah ke kawasan letak kereta Cable Car Langkawi.
Arus deras menghanyutkan beberapa kenderaan di kawasan letak kereta Cable Car Langkawi akibat kejadian kepala air di Air Terjun Telaga Tujuh hari ini.
ALOR SETAR: Beberapa kenderaan mengalami kerosakan termasuk sebuah daripadanya dihanyutkan ke dalam sungai akibat kejadian kepala air di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi hari ini.

Ketua Polis Langkawi, Shariman Ashari, berkata hujan lebat berterusan dan angin kuat menyebabkan berlakunya kepala air sehingga melimpah ke kawasan letak kereta Cable Car Langkawi.

“Kejadian kepala air itu menyebabkan beberapa kenderaan yang diparkir rosak dan sebuah daripadanya dihanyutkan dan ditemukan di Sungai Perangin.

Selain itu, beberapa kios, kedai baju, kafe dan tempat makan di kawasan berkenaan turut terjejas. Setakat ini, tiada laporan polis diterima berhubung kejadian itu, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut membuat kawalan di laluan masuk kawasan berkenaan bagi mengelakkan orang ramai memasuki kawasan itu.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi Kapten (PA), Khairul Afzan Md Yasin, berkata hujan lebat berterusan dari semalam turut mengakibatkan limpahan air ke kawasan parkir B Oriental Village Panorama Langkawi Sdn Bhd pada 12.50 tengah hari.

Hujan berhenti pada 2 petang dan air surut sepenuhnya pada 2.40 petang. Beberapa kenderaan, kedai dan kios di kawasan berhampiran mengalami kerosakan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, katanya.

Anggota polis ditemukan meninggal dunia di pondok polis

Selwam Arjunan

BEDONG: Seorang anggota polis ditemukan meninggal dunia oleh rakan sekerja di Pondok Polis Sungai Lalang, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Wan Azharuddin Wan Ismail berkata Balai Polis Bedong telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada anggota polis berkenaan pada jam 6.45 petang semalam.

“Lebih kurang jam 6.15 petang, semasa beliau masuk ke dalam Pondok Polis Sungai Lalang, telah memanggil rakan setugas yang tinggal bersebelahan Pondok Polis, namun tidak berjawab dan pintu dalam keadaan berkunci dari dalam.

“Pengadu kemudian telah memecahkan pintu bilik dan dapati rakan setugas beliau dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pihak ambulans dari Hospital Sultan Abdul Halim telah hadir dan mengesahkan kematian.

“Hasil siasatan yang dijalankan dapati mangsa lelaki berumur 46 tahun, bertugas di Balai Polis Bedong sejak 2017 dan tinggal di Pondok Polis Sungai Lalang seorang diri.

“Menurut rakan setugas, mangsa ada memaklumkan kepada pengadu untuk mendapat kelepasan tugas Isnin lepas kerana mahu pulang ke kampung bagi menziarahi ayahnya yang sedang sakit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

Mayat telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.

Kes disiasat di bawah laporan mati mengejut

Bomba guna jengkaut perluas pencarian mangsa

Bernama

Bomba berkata carian manual gagal menjumpai seorang wanita yang terjatuh.
Bomba meluaskan kawasan pencarian wanita yang terjatuh dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Pasukan penyelamat akan mengorek kawasan mendapan yang berlaku akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India menggunakan mesin jengkaut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat berkata langkah itu bagi meluaskan kawasan pencarian wanita warga India yang terjatuh.

Berikutan perluasan kawasan pencarian, pihaknya juga akan menambah anggota JBPM.

Kita dah buat carian manual tetapi gagal menjumpai mangsa, dijangka dalam waktu terdekat akan sambung buat korekan lebih luas di tempat mendapan, katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman berkata beliau difahamkan ketika kejadian, mangsa sedang berjalan kaki dari Selangor Mansion ke arah Lebuh Ampang dan kemudiannya duduk di kerusi konkrit yang turut terjatuh bersamanya.

“Buat masa ini, kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup serta mengambil rakaman keterangan saksi yang berada di lokasi kejadian.

Tiada maklumat lanjut yang boleh diberikan buat masa ini termasuk kronologi sebenar insiden… sejurus mangsa ditemukan, kita akan kemas kini maklumat, katanya.

Sementara itu, berhubung keadaan keselamatan kawasan sekitar, Sulizmie berkata pihaknya masih berbincang dengan agensi berkaitan sebelum mengambil langkah sama ada menutup sepenuhnya lokasi kejadian atau sebaliknya.

“Setakat ini usaha menyelamatkan mangsa yang masih ada di bawah sedang dijalankan dan kini kita tunggu jengkaut untuk menggerakkan kerja pencarian.

Kita perlu pertimbangkan nyawa bomba yang melakukan kerja penyelamatan dan buat masa ini, kita belum buat keputusan untuk tutup sepenuhnya sebab kita rasakan masih selamat dan kita akan membuat beberapa analisis dan jika perlu ditutup maka kita akan maklumkan kelak, katanya.

Polis gempur 4 transit migran: 5 ejen, 24 PATI warga Myanmar ditahan

Safeek Affendy Razali
safeek@bh.com.my
Anggota polis memeriksa PATI warga Myanmar yang ditahan dalam serbuan di salah sebuah lokasi transit migran di sekitar Lembah Klang. - Foto ihsan polis
Anggota polis memeriksa PATI warga Myanmar yang ditahan dalam serbuan di salah sebuah lokasi transit migran di sekitar Lembah Klang. - Foto ihsan polis
KUALA LUMPUR: Lima lelaki Myanmar disyaki ejen kegiatan penyeludupan migran ditahan bersama 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan warganegara sama dalam serbuan di sekitar Cheras dan Kajang, semalam.

Tangkapan dilakukan susulan serbuan ke atas empat kediaman di unit pangsapuri yang dijadikan sebagai lokasi transit PATI masing-masing dua di Cheras dan Kajang sekitar jam 10.35 malam tadi.

Serbuan dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman susulan maklumat dan risikan, dengan tumpuan kepada kegiatan membawa masuk migran melalui jalan tidak diwartakan, selain ejen yang terbabit penyeludupan.

Ketua Penolong Bahagian D3 ATIPSOM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata siasatan awal mendapati semua 24 migran Myanmar termasuk dua wanita berusia antara 18 hingga 36 tahun ditempatkan dalam empat kediaman diserbu itu sejak dua minggu lalu.
Anggota polis memeriksa PATI warga Myanmar yang ditahan dalam serbuan di salah sebuah lokasi transit migran di sekitar Lembah Klang. - Foto ihsan polis
Anggota polis memeriksa PATI warga Myanmar yang ditahan dalam serbuan di salah sebuah lokasi transit migran di sekitar Lembah Klang. - Foto ihsan polis
"Mereka disyaki diseludup masuk ke negara ini melalui jalan darat dari Pantai Timur selepas membayar antara RM2,000 hingga RM3,000 seorang kepada ejen warga Myanmar terbabit," katanya kepada BH.

Soffian berkata, pada masa ini pihaknya masih mengenal pasti tujuan dan destinasi sebenar migran Myanmar ini akan dibawa.

"Daripada siasatan kita dapati semua lima ejen ditahan menjalankan aktiviti menyeludup masuk migran sejak tiga bulan lalu.

"Pihak kami juga masih menyiasat jumlah kemasukan migran hasil kegiatan ini, selain mengenal pasti lokasi keberadaan mereka ketika ini," katanya.

Semua lima lelaki yang bertindak sebagai ejen berusia antara 27 hingga 30 tahun kini disiasat di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007, manakala 24 migran Myanmar yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Terkejut kemaluan dalam mulut ular ketika buang air di tandas

KOSMO!
SEEKOR ular sawa menggigit buah zakar seorang lelaki di dalam tandas. - Foto Asia Pacific Press/Viral Press
BANGKOK –  Seekor ular sawa sepanjang hampir 2 meter menggigit kemaluan seorang lelaki ketika dia duduk di atas mangkuk tandas di rumahnya di Bangkok, lapor portal berita Khaosod kelmarin.

Thanat Tangtewanont berkata, dia bangun untuk menggunakan bilik air di tingkat dua rumahnya pada 19 Ogos lalu

Semasa duduk dan menggunakan telefonnya, Thanat berasa sesuatu menyentuh buah zakarnya. Dia terasa seperti digigit semut, namun tidak mempedulikan perkara itu. 

Apabila gigitan menjadi lebih kuat dan menyakitkan, dia berdiri dan melihat ke bawah sebelum mendapati mulut ular sawa tersebut melekat pada buah zakarnya.

Thanat yang terkejut pantas ‘mencekik’ leher reptilia itu menyebabkan ia melepaskan gigitannya. 

Mangsa turut merakam video dengan tujuan untuk menunjukkan kepada teman wanitanya bahawa seekor ular telah menggigitnya.

Dia cuba menarik ular tersebut keluar dari mangkuk tandas selama kira-kira 10 minit tetapi gagal.

Thanat kemuddian memukul kepala ular itu berulang kali dengan tangan dan berus tandas. 

Ular itu akhirnya merayap keluar dari tandas.

Seorang jiran yang dihubungi mangsa kemudian menelefon  pasukan kecemasan untuk menangkap ular  tersebut. 

Thanat seterusnya dibawa ke sebuah hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan. – AGENSI 

Mangsa terjerlus di Masjid India belum ditemui

TUAN NURHIDAYAH TUAN AB.GHANI
Rozihan (kiri), Sulizmie (tengah) ketika sidang akhbar di lokasi kejadian.
KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjerlus ke dalam tanah mendap sekitar Jalan Masjid India, di sini, masih giat dijalankan.

Timbalan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat berkata, pasukan penyelamat akan mengorek kawasan tanah mendap itu bagi memudahkan pencarian mangsa.

“Kita dah buat carian manual tetapi gagal menjumpai mangsa jadi kita akan menggerakkan bantuan jengkaut milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam waktu terdekat.

“Kita akan sambung buat korekan lebih luas di tempat mendapan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman berkata, seramai 90 anggota terdiri daripada bomba (35), DBKL (14), PDRM (32), JPAM (5) dan Hospital Kuala Lumpur (4).

“Memandangkan kes masih disiasat, kita tidak boleh dedahkan butiran lanjut mangsa. Kerja penyelamatan diteruskan sehinggalah mangsa dijumpai.

“Saya difahamkan mangsa berjalan kaki dari Selangor Mansion ke arah Lebuh Ampang dan sempat duduk di kerusi konkrit.

“Kita akan lihat televisyen litar tertutup (CCTV) nanti dan keterangan saksi di lokasi kejadian,” ujarnya.

Menurut beliau, keadaan sekitar lokasi kejadian masih selamat, namun perbincangan lanjut akan diadakan bagi mempertimbangkan sama ada kawasan tersebut di tutup atau sebaliknya.

“Kita belum buat keputusan untuk menutup kawasan ini sepenuhnya, kita rasakan ia masih selamat, kita akan buat beberapa analisa nanti dan jika dirasakan perlu ditutup akan dimaklumkan kelak,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Isteri sempat jerit minta tolong sebelum senyap

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
(Baju hijau) Suami mangsa menunggu pasukan penyelamat mencari isterinya. FOTO MOHD HARIS FADLI MOHD FADZIL
(Baju hijau) Suami mangsa menunggu pasukan penyelamat mencari isterinya. FOTO MOHD HARIS FADLI MOHD FADZIL
Kuala Lumpur: "Dia (mangsa) menjerit meminta tolong selepas terjatuh sebelum terus senyap tidak lama kemudian."

Kata suami kepada wanita warga India yang terjatuh dan tertimbus ke dalam lubang benam berhampiran Masjid India, di sini hari ini.

Bagaimanapun lelaki berusia 40-an itu agak keberatan untuk menceritakan dengan lebih lanjut berhubung kejadian yang menimpa isterinya di samping kesukaran untuk berkomunikasi.

Setakat jam 3 petang, usaha mencari dan menyelamat (SAR) yang sudah masuk hampir tujuh jam diteruskan menggunakan jengkaut bagi membesarkan lubang benam terbabit untuk memudahkan tugas pasukan penyelamat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya masih dalam proses melengkapkan maklumat berkaitan kejadian itu dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu

"Kita juga akan merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan, setakat ini saya tidak boleh komen lebih terperinci kerana ia masih dalam siasatan.

"Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan anggota Bomba sedang giat melaksanakan kerja penyelamatan di lokasi kejadian," katanya pada sidang media di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini kawasan itu masih dianggap selamat bagaimanapun

perbincangan lanjut akan diadakan bagi mempertimbangkan jika ada keperluan untuk menutup kawasan itu.

Katanya, seramai 35 anggota dan pegawai bomba, 14 kakitangan DBKL, 32 anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (lima) dan pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (empat) turut serta dalam operasi SAR itu.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat.

'Muhyiddin tiada sokongan mencukupi, ada MP tanda tangan SD dua, tiga kali'

Malaysiakini

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menempelak Muhyiddin Yassin yang terus menjaja bahawa dirinya mempunyai sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lalu.

Sebaliknya, menurut Anwar, pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak mempunyai sokongan mencukupi untuk menjadi perdana menteri.

Ini kerana berlaku pertindihan apabila beberapa ahli parlimen menandatangani akuan berkanun (SD) sehingga dua atau tiga kali, menyebabkan Muhyiddin tiada sokongan mencukupi untuk dilantik sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022.

Apabila kedudukan tidak jelas, Muhyiddin kata ada 115, Anwar kata ada 112, ada orang tandatangan sekali, dua kali, tiga kali. Ada parti berbeza pendapat. 

“Oleh itu, Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) terpaksa buka semula dan semak untuk yakinkan diri Tuanku (Agong).

“Sebab itu dalam Perlembagaan Persekutuan, dikatakan mengikut pandangan dia (Agong) setelah melihat, kemudian Tuanku panggil sidang (Majlis) Raja-Raja untuk bincang,” katanya kepada pemberita selepas makan tengah hari di Warung Gertak Merah, Kg Sungai Penchala, di Kuala Lumpur hari ini.

Pada Rabu lalu, semasa siasatan polis ke atas dirinya berhubung dakwaan memperlekehkan Yang di-Pertuan Agong sebeum ini, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, 

Muhyiddin menyerahkan 115 akuan berkanun yang didakwanya  yang menyokong dirinya sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022.

Dia juga menyerahkan surat akuan penerimaan SD berkenaan yang bertarikh 21 Nov 2022 daripada setiausaha sulit kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata Majlis Raja-Raja dan Peguam Negara ketika itu Idrus Harun turut mempertikai jumlah SD berkenaan.

“Setakat saya faham pandangan Raja-Raja dan peguam negara masa itu yang dilantik oleh Muhyiddin mengatakan jumlah itu dipertikai, maka diserah kepada budi bicara Agong,” kata Anwar.

Muhyiddin dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.

Dia didakwa sebagai berkata, dirinya sudah mendapat 115 sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang membolehkannya diangkat sebagai perdana menteri.

Namun, menurut presiden Bersatu itu, dia tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

Wanita dikecam pakai seluar pendek hadiri temu duga

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan Tyreshia memakai seluar pendek berwarna hitam. - TikTok
WASHINGTON – Seorang wanita di San Antonio, Texas mengundang kecaman ramai gara-gara dia memakai seluar pendek untuk menghadiri sesi temu duga, lapor stesen penyiaran NDTV semalam. 

Wanita bernama Tyreshia itu mendakwa dirinya disuruh pulang dan dianggap tidak profesional oleh penemu duga. 

Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @mtyreshiadaily, dia menunjukkan pakaian yang dipakai bersama seluar pendek berwarna hitam paras paha. 

“Syarikat itu menolak (permohonan) saya kerana ini (seluar)!” kata Tyreshia. 

Lebih mengejutkan apabila Tyreshia menolak dengan tegas apabila dia diberi pilihan untuk menukar pakaian dan menjadualkan semula temu duga itu.

“Mereka memutuskan untuk menjadualkan semula temu duga pada keesokan harinya. Sebelum itu, mereka bertanya sama ada saya mahu pergi menukar pakaian dan kembali (ke temu duga). Saya menjawab tidak,” tambahnya. 

Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan meraih lebih 5.3 juta tontonan bersama 131,700 tanda suka. 

“Siapa pergi kerja memakai seluar pendek?” sindir seorang netizen. 

“Memakai seluar pendek ke sesi temu duga adalah gila,” kata netizen lain.- AGENSI

Sultan Nazrin bertitah agar jangan diberi tanggungjawab kepada golongan terpalit rasuah

Jangan beri tanggungjawab kepada golongan terpalit rasuah, Sultan Nazrin tegur siapa?

Harapandaily

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah agar tidak memberikan amanah atau menyerahkan tanggungjawab kepada kalangan mereka yang terpalit rasuah dan salah guna kuasa.

Lapor Bernama, baginda menyeru masyarakat Islam supaya dengan segala daya dan kekuatan menolak sama sekali golongan yang berimej mungkar, munafik, lemah moral, rendah akhlak serta sebarang perlakuan yang boleh mencemarkan nama baik umat.

Sultan Nazrin bertitah, kejayaan meningkatkan syiar Islam sangat bergantung kepada kejayaan umatnya dan untuk itu setiap orang Islam bertanggungjawab mewarnakan Islam dengan gemerlapan dan mengisinya dengan kandungan yang meyakinkan.

“Imej Islam dan gambaran masyarakat dunia terhadap Islam dipengaruhi tahap pencapaian dan status kejayaan umat Islam. 

“Islam akan lebih dihormati dan Islam akan terus dimuliakan, jika majoriti penganut Islam memperlihatkan prestasi pencapaian yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

“Oleh itu usaha dan program pembangunan insan sewajarnya diberikan fokus. 

“Jika keagungan Islam mahu dijulang, jika martabat bangsa mahu didarjatkan, usaha untuk memperkaya generasi muda dengan ilmu wajib diberikan tumpuan melalui persepakatan gerakan yang tersusun lagi strategik, diselaraskan, diintegrasikan dan digabungkan,” titah baginda seperti dilapor.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) ke-72 di sini, hari ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejak kebelakangan ini, pasukan penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar banyaknya kegiatan rasuah yang berlaku dalam kalangan penjawat awam.

Bukan sahaja mereka yang berpangkat tinggi, pegawai yang berpangkat rendah juga banyak terpalit dengan rasuah.

Perdana Menteri ketika mengambil alih negara menegaskan dengan bersungguh-sungguh untuk membanteras rasuah sehingga ke akar umbi.

Tidak kira ahli politik kerajaan mahupun pembangkang, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.

Pelancong wanita warga India jatuh dalam lubang benam

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Kerja menyelamat sedang dijalankan. FOTO Ihsan JBPM
Kerja menyelamat sedang dijalankan. FOTO Ihsan JBPM
Kuala Lumpur: Identiti mangsa yang terjatuh ke dalam kejadian lubang benam berhampiran Masjid India, di sini disahkan sebagai wanita warga India berusia 48 tahun.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) dalam kenyataan hari ini berkata kedalaman lubang benam itu dianggarkan sedalam lapan meter.

Menurut kenyataan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada 8.22 pagi.

"15 anggota pasukan operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan bantuan daripada Hang Tuah dikerahkan ke lokasi kejadian," kata kenyataan itu.

PGOKL berkata, Komander Operasi, Mohd Riduan Akhyar mengesahkan terdapat seorang mangsa wanita terjatuh ke dalam lubang ada tertimbus di bawah tanah.

Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan Unit Pengesan (K9) turut dikerah ke lokasi kejadian.

Lelaki buka pintu kecemasan, terjun semasa pesawat mendarat

KOSMO
Gambar fail menunjukkan penumpang itu berada di atas sayap pesawat sebelum melompat ke bawah. - James Gordon
CANBERRA – Seorang penumpang Jetstar membuka pintu kecemasan, beberapa minit selepas pesawat dinaikinya mendarat di Lapangan Terbang Melbourne.

Dia kemudian melompat keluar dari pesawat dan menggelongsor ke bawah menggunakan gelongsor kecemasan.

Penerbangan JQ507 dari Sydney itu baru saja mendarat di Melbourne kira-kira pukul 10 pagi (waktu tempatan) hari ini apabila seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an membuka pintu keluar kecemasan dan ‘melompat keluar’

“Kru kabin meminta penumpang itu duduk, namun dia mundar-mandir dan tidak mendengar arahan,” kata hos saluran berita Sky News, Kieran Gilbert.

Penumpang itu kemudian berjalan ke ruang kabin di hadapan sayap kanan pesawat A320-200 itu sebelum keluar menggunakan gelongsor kecemasan.

Dia dengan cepat dihalang oleh kakitangan pengendalian darat.

Penumpang dilaporkan menjerit kepada lelaki itu supaya ‘duduk’ semasa kekacauan berlaku.

Lelaki itu telah ditangkap, dan semua penumpang di atas kapal dibenarkan turun.

Seorang jurucakap Jetstar mengesahkan seorang penumpang ‘membuka pintu keluar kecemasan selepas tiba di Melbourne, yang secara automatik mengaktifkan gelongsor’.

“Penumpang itu telah ditangkap oleh Polis Persekutuan Australia,” katanya.

Seorang penumpang penerbangan itu yang dikenali sebagai Adam memberitahu Sky News bahawa semasa pesawat mendarat, lelaki itu berdiri dari tempat duduknya dan tidak mengendahkan arahan kru kabin untuk terus duduk.

“Ketika kami pesawat bergerak ke pintu terminal, lelaki yang duduk tidak jauh dari saya itu berdiri dan tidak mengendahkan arahan,” katanya.

“Dia kelihatan sedikit terganggu, saya rasa dia mengalami semacam episod psikotik.

“Apabila pesawat berhenti di pintu terminal, dia membuka pintu kecemasan.

“Semua orang ketika itu menjerit dan meminta dia berhenti dan cuba menahannya,” jelas Adam. – AGENSI

‘Ajak orang jihad tapi dia sendiri kerja bagi kuliah bersampul saja’

Harapandaily

ZOLKHARNAIN ABIDIN AL-ABYADHI

Pegang mikrofon bersyarah saja, ajak orang ramai berjihad. Beritahu orang ramai nak mati syahid. Kononnya negara ini penuh dengan maksiat.

Habis kuliah dapat sampul, makan percuma. Naik kereta buka telefon tengok jadual kuliah hari seterusnya. Sampai rumah, masuk bilik, lena.

Pagi esok kuliah Subuh. Ajak orang ramai berjihad lagi, nak mati syahid lagi. Dapat sampul lagi. Lepas tu tengok jadual kuliah lagi. Masuk bilik, lena lagi.

Begitulah lagi dan lagi. Akhirnya kerja ubah maksiat yang dikata penuh dalam negara tu, dia tak buat pun. Orang lain yang tak bagi kuliah yang buat.

Orang lain yang ubah maksiat tu bukan dengar kuliah dia pun. Orang itu tahu, jika ada maksiat kena ubah. Tiada kuliah dia pun, orang tetap usaha untuk ubah maksiat.

Kuliah dia orang hadir untuk berhibur. Orang yang hadir kuliah dia, otak lebih kurang macam dia juga. Hadir untuk ketawa dan berhibur.

Kuliah dia, ada jugalah maklumat sikit-sikit. Maklumat biasa-biasa yang boleh dapat di mana-mana. Tapi bagi pentaksub dia, maklumat biasa itu dianggap ilmu bernilai tinggi.

Dia yang bagi kuliah, tetap sebagai pembagi kuliah yang diiringi sampul dan makan percuma.

Kerja dia, hasut pendengar kuliah untuk benci pihak yang tidak sealiran dengan dia atau kumpulan yang dia sokong.

Dia ajak orang jihad, tapi dia sendiri kerja bagi kuliah bersampul saja. Dia ajak orang mati syahid, dia sendiri balik rumah lena lepas bagi kuliah.

Itu pun jangaaannn… nak mati syahid konon!

Remaja bermotosikal gaduh tengah jalan punca kesesakan teruk

KOSMO
Pergaduhan itu membabitkan dua kumpulan remaja. - Khaosod
BANGKOK – Pergaduhan antara dua kumpulan remaja di sebatang jalan di wilayah Samut Prakan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk serta mengakibatkan sebuah motosikal rosak, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Berdasarkan sebuah video yang dikongsikan pengguna Facebook bernama Maem, dua kumpulan remaja tersebut menaiki motosikal sebelum bergaduh di satu lokasi pusingan U di Phraeksa.

Menurut Maem, dalam kejadian pukul 2 petang (waktu tempatan) semalam, dia melihat dua kumpulan remaja terlibat dengan salah satu daripadanya memakai uniform sekolah.

Salah seorang daripada ahli kumpulan terbabit dilihat membawa pisau sebelum mereka menyerang kumpulan remaja berbaju sekolah yang turut menunggang motosikal.

Salah sebuah motosikal dirosakkan menggunakan kayu selepas ia ditinggalkan oleh kumpulan yang melarikan diri.

Maem  berkata, selepas kira-kira 20 minit kemudian iaitu setelah dia mengambil anaknya dari sekolah, dia melihat beberapa anggota polis tiba di tempat kejadian.

Pelajar yang cedera dilihat berada bersama pegawai polis.

“Remaja-remaja itu kelihatan nekad untuk mendatangkan bahaya dan bertindak agresif.

“Insiden itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk. Tiada sesiapa berani campur tangan kerana mereka bersenjata walaupun ramai yang membunyikan hon sebagai tanda tidak bersetuju dengan tindakan itu,” kata Maem. – AGENSI 

Pengkhianat lahanat: Penguat kuasa korup disyaki terima habuan RM2,500 lepas warga asing

FMT Reporters

Bayaran rasuah paling rendah adalah RM500 bagi warga Uzbekistan dan paling tinggi warga Bangladesh.
Antara suspek termasuk penguat kuasa yang ditahan reman kerana dipercayai terbabit sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA: Penguat kuasa korup disyaki terima rasuah RM500 hingga RM2,500 daripada sindiket yang membawa masuk kumpulan warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2.

Bayaran rasuah diberikan kepada penguat kuasa terbabit adalah berbeza mengikut kewarganegaraan.

“Bayaran rasuah ini paling rendah sekitar RM500 bagi warga Uzbekistan dan paling tinggi RM2,500 bagi warga Bangladesh. Manakala, bayaran berbeza bagi beberapa negara lain seperti Indonesia, China, Vietnam, Pakistan, India, Myanmar, selain Yemen.

Beberapa kod nama khas seperti ‘School boy, Salak, Limau, Laici, Karpet, Kicap, Roti canai, Junta, dan Ayam’ yang merujuk kepada kewarganegaraan tertentu turut digunakan penguat kuasa dan sindiket bagi mengelakkan komunikasi mereka dikesan, kata sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tambah sumber, mereka juga turut menggunakan kod sulit iaitu ‘lembu’ merujuk bayaran rasuah diterima sindiket, manakala kod nama ‘durian’ merujuk upah pegawai penguat kuasa yang mengatur laluan ‘kaunter khas’.

“Pegawai penguat kuasa di kedua-dua terminal berkenaan akan menerima senarai nama serta gambar pasport kumpulan warga asing yang akan tiba ke negara ini menerusi aplikasi Whatsapp daripada sindiket.

Sebaik kumpulan warga asing itu tiba, mereka akan diarahkan untuk pergi ke kaunter tertentu bagi tujuan pelepasan masuk dan diberikan cop menetap selama 30 hari atau cop terbuka untuk menetap selama tujuh hari, katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, turut mengesahkan operasi sedang dijalankan di KLIA 1 dan KLIA 2 berhubung isu laluan kaunter khas serta tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan selanjutnya.

Menurutnya, pihak SPRM sedang mengesan pegawai penguat kuasa lain yang terlibat dan dijangka ramai lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, katanya, warga asing yang mendapat layanan ‘kaunter khas’ itu lesap dan sukar dikeşan.

Inilah yang menyebabkan penambahan lambakan pekerja tiada permit di negara ini. Mereka bukan datang untuk melawat, tetapi untuk mencari pekerjaan, katanya.

Semalam, 11 individu termasuk empat penguat kuasa direman SPRM kerana dipercayai terbabit sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya di KLIA Terminal 2.

Dadah begitu teruk di tiga negeri Pas ini, Pendang muncul ‘juara’ daerah

Harapandaily

Masalah penyalahgunaan dadah begitu serius di Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan daerah Pendang apabila sudah melepasi angka 1,000 orang daripada nisbah 432 orang untuk 100,000 penduduk yang disasarkan sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata data itu diperoleh hasil pemetaan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada himpunan data Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan (KKM) dan pusat pemulihan narkotik swasta.

Menurutnya, nisbah melebihi 1,000 itu bukan sahaja membabitkan daerah Pendang, malah beberapa daerah lain di Kelantan dan Terengganu iaitu Machang, Bachok di Kelantan, manakala Besut, Dungun, Kemaman dan Marang di Terengganu.

Jelasnya, angka 1,333 itu sudah melebihi nisbah angka ideal kebangsaan yang ditetapkan sebelum ini iaitu 432 penyalahgunaan dadah bersamaan dengan 100,000 penduduk dan pada tahun ini, menyasarkan untuk mengurangkan kepada 400 orang.

“Data yang kita dapat itu sangat granular (rawak) dan ia memberikan kita data mengenai latar belakang kes mengikut kaum, taraf pendidikan, segmen pekerjaan dan pendapatan isi rumah.

“Kita dapati kelompok ramai terlibat (dadah) ialah daerah hampir 100 peratus komunitinya Melayu, dan bekerja di sektor swasta serta penganggur dengan kelayakan pendidikan minimum SPM (Sijil Persekolahan Malaysia) dengan latar belakang daripada keluarga B40 dan M40 (bawah),” katanya.

Saifuddin berkata demikian dalam sidang media di Pusat Konvension Sime Darby di ibu negara, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penutup Dialog Khas II PDRM 2024 yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, data berkenaan dibentangkan pada mesyuarat selepas Kabinet, semalam berkaitan Laporan Dadah Dunia 2023 oleh PDRM dan KDN yang menunjukkan trend meningkat.

“Data daripada empat sumber itu dikumpul dan menjadikan ia data paling kredibel dan lengkap seterusnya dianalisa oleh PDRM.

“PDRM melakukan analisis dan dicerakinkan dan merumuskan dua kaedah berkaitan nisbah penyalahgunaan dadah iaitu perbandingan dengan 100,000 penduduk dan 10,000 penduduk.

“Apabila kita buat ‘mapping’ (pemetaan), terhasil keputusan bagi 100,000 penduduk yang mana penyalahgunaan paling serius adalah di Pendang iaitu 1,333 orang,” katanya lagi.

Anak mohon mahkamah gali kubur bapa, minta dikebumi cara Hindu

Hidir Reduan Abdu Rashid

Seorang anak mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Seremban untuk menggali semula jenazah bapanya, yang telah dikebumikan secara Islam tujuh tahun lalu, bagi membolehkan jenazah tersebut dikebumikan semula mengikut upacara Hindu.

Namun begitu, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berusaha untuk membatalkan saman tersebut atas alasan ia difailkan lewat, memandangkan Mahat Sulaiman telah meninggal dunia pada awal pagi 9 September 2017.

Peguam MAINS, Zainul Rijal Abu Bakar (gambar bawah) mengesahkan Mahkamah Tinggi Seremban telah mendengar sebahagian permohonan untuk membatalkan saman tersebut semalam (dan masih belum ada keputusan terhadap permohonan tersebut).

MAINS turut diwakili oleh peguam Muhammad Hafiz Md Yusoff, Danial Farhan Zainul Rijal, Ali Huzaifah Sharif Ahmed dan Ahmad Khalil Md Rofiee.

Penasihat undang-undang negeri, Roziaton Mhd Nordin pula mewakili kerajaan Negeri Sembilan.

Pihak berkuasa agama itu berpendapat saman berkenaan - yang turut mensasarkan MAINS serta kerajaan persekutuan dan negeri - wajar dibatalkan kerana ia sepatutnya difailkan dalam tempoh tiga tahun selepas kejadian itu.

Melalui saman pemula yang difailkan pada 31 Julai tahun lalu, Roseli Mahat memohon untuk menggali semula jenazah bapanya Mahat, yang telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Sikamat, Negeri Sembilan.

Plaintif yang berusia 51 tahun itu mendakwa bapanya mengamalkan agama Hindu Baba Nyonya sejak lahir pada tahun 1941.

Roseli mendakwa dia dan lima lagi adik-beradiknya hasil perkahwinan Mahat dengan seorang ibu berketurunan India.

Plaintif menjelaskan kejadian kebakaran 36 tahun lalu telah memusnahkan dokumen pengenalan keluarganya dan dokumen yang dikeluarkan semula telah meletakkan 'bin' pada nama Mahat.

Roseli mendakwa masalah timbul pada hari bapanya meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, apabila kakitangan di sana menghalang dia daripada menguruskan upacara pengebumian Hindu untuk Mahat.

Roseli mendakwa kakitangan hospital memberi alasan nama Mahat mempunyai 'bin', yang menunjukkan dia beragama Islam.

Roseli berkata ketika dia cuba mendapatkan pengesahan rasmi tentang status agama Mahat, pegawai MAINS datang ke hospital sekitar jam 9 pagi pada 9 September 2017 dan membawa jenazah tersebut untuk dikebumikan secara Islam.

"Saya sesungguhnya percaya bahawa tindakan responden-responden (MAINS) yang meneruskan dengan proses pengkebumian tersebut secara salah tanpa mendapatkan kebenaran waris-waris si mati yang mana ia bertentangan dengan undang-undang.

Surat beranak tunjuk bukan Islam

"Saya dan waris si mati yang lain benar-benar terkejut dengan tidakan pihak responden-responden yang bersikap sambil lewa dan tidak berperikemanausiaan sedangkan kami adalah anak-anak si mati yang berhak mendapat hak ke atas mendiang bapa saya," kata Roseli dalam afidavitnya.

Plaintif juga mendapati, melalui pemeriksaan lanjut beberapa minggu kemudian pada bulan September tahun tersebut sijil kelahiran bapanya menunjukkan si mati bukan seorang yang beragama Islam.

Roseli mendakwa dia terpaksa membawa perkara ini ke mahkamah sivil tahun lalu selepas usaha jangka panjang untuk mendapatkan bantuan daripada pelbagai parti politik tidak membuahkan hasil.

Dia mendakwa ini termasuklah berurusan dengan DAP melalui P Gunasekaran dan J Arul Kumar, yang hanya menimbulkan isu tersebut kepada media dan tiada tindakan lanjut.

Roseli juga mendakwa pada tahun 2018 melalui Parti Sosialis Malaysia (PSM) dia telah menulis surat kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Mujahid Yusof untuk memohon pertemuan bagi membincangkan isu tersebut namun tidak menerima sebarang jawapan.

Dia turut mendakwa tidak menerima sebarang maklum balas terhadap surat yang dihantarnya kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, untuk membantu mengatur pertemuan antara waris Mahat dan MAINS.

Firma guaman Karthig Shan mewakili Roseli dalam kes ini.

Bagaimana mati syahid untuk tegakkan Islam di Malaysia menurut UAI?

Harapandaily

AHMAD MURSI

Niat mati Syahid hal yang perlu ada dalam jiwa mukmin, tetapi konteksnya kena betul.

Syahid banyak kategori. Mati kerana wabak, kebakaran, tertimpa bangunan, wanita lahirkan anak, pertahankan harta, peperangan dan lain-lain.

Tetapi bagaimana nak ditafsir seruan mati syahid kepada ahli Pas? Kita berperang atau bersaing politik pilihanraya sesama muslim di Malaysia?

Adakah UAI maksudkan Syahid seperti di Memali? Jika 14 ahli Pas yang terkorban itu dikira syahid, adakah Pas anggap 4 anggota polis muslim yang terkorban itu pula ‘musuh Islam’?

Jika ‘fatwa’ ini ditafsir secara salah oleh pengikut Pas yang jahil dan berfikiran cetek, lalu berlaku peristiwa Memali kedua, adakah UAI nak tanggung dosa itu?

Silalah kaji balik ucapan-ucapan Ustaz Ibrahim Libya sebelum peristiwa Memali dan bandingkan pula ucapan UAI ini dan Hj Hadi. Ada tak persamaan?

Cukuplah Amanat Haji Hadi ‘membunuh’ mangsa-mangsa Memali. Kita tidak mahu hal sama berulang.

Seruan seperti inilah kerapkali sebabkan salah faham terhadap ajaran Islam kerana mentafsir agama dalam konteks yang salah.

Ulama2 besar termasuk imam-imam mazhab, menyumbang dalam perkara politik sebagai penasihat yang memandu moral. Bukannya mereka bersaing untuk isi jawatan politik.

Umarak pula mesti mendampingi ulama termasuk mufti-mufti dan itu yang PMX lakukan dari awal termasuk di negara India kelmarin.

Tidak kira sekuat mana Kerajaan Madani buat kebaikan untuk perkembangan Islam, Pas tetap akan kata ‘Islam belum tertegak’.

Kadang-kadang agamawan boleh terbabas menjadi Ghuluw apabila melibatkan politik. Itu yang lahirkan Syiah dan Khawarij dll.

Gejala Khawarij berlaku bukan kerana jahil ilmu agama, tetapi semangatnya ‘terlajak’ hingga Nabi SAW umpamakan seperti ‘anak panah yang terkeluar dari busarnya’. Dari kelompok inilah munculnya Dajjal.

Tok Guru Al-Quran Abdurrahman bin Muljam, Khawarij yang membunuh Saidina Ali, mentafsir agama dalam konteks yang salah dan percaya tindakan korbankan dirinya itu adalah demi “Keredaan Allah”.

Sambil lakukan hal terkutuk, dia membaca ayat “dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya” (Al-Baqarah:207).

Mangsa pembunuhan Khawarij itulah sebenarnya ‘Syahid’ sebagaimana Saidina Ali. Khawarij pula mati dalam keadaan sia-sia walaupan awal hidupnya mulia.

Ini verbatim Ceramah Ustaz Azhar Idrus:

“Parti Pas, teruskan perjuangan, tingkatkan lagi kekuatan minda dan ruh kita dalam perjuangan. Ingat, jangan takut makhluk, jangan takut pemerintah kerajaan raja besar mana pun, kita nak duduk dalam keadaan, aku nak mati syahid sekalipun tak apa, tapi aku nak menegakkan Islam di bumi Allah Malaysia ini”.

Sampai bila mahu tengok warga asing jadi tauke?

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

SESUAI dengan nama Pahang Darul Makmur negeri makmur mempunyai tanah subur untuk aktiviti tanaman sayur, durian, sawit dan pertanian lain.

Pahang juga terkenal dalam sektor pelancongan dan perindustrian. Kemakmuran Pahang menyebabkan negeri terbesar di Semenanjung Malaysia menjadi lubuk rezeki termasuk orang asing.

Di ladang sawit, kebun durian dan sayur malah premis perniagaan ada warga asing.Ada yang menjadi pekerja, ada yang jadi tauke di 11 daerah di negeri tersebut.

Rompin misalnya pendatang asing mula menguasai perniagaan dan selain bekerja. Di Raub dan Bentong, warga asing mencari makan di ladang musang king, malah kawasan pengeluaran sayur didominasi pekerja asing.

Mereka bersenang lenang menjadi tauke memajak tanah pertanian. Pekerja asing telah mewujudkan kartel yang menguasai pertanian di Pahang.

Perkara ini tidak dapat disorokkan lagi dan mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan rasa bimbang apabila tanah di Pahang mula ‘dijajah’ pendatang asing secara terang-terangan.

Baginda memberi contoh tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani kini disewakan kepada warga asing.

“Demi mengikut nafsu dan mementingkan wang ringgit, kita sanggup gadai integriti dan membiarkan tanah di negeri ini diratah oleh bukan pemiliknya.

“Lebih mendukacitakan, warga asing mengambil alih peranan sebagai ‘tauke’ yang mengawal bekalan dan harga pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah, pihak berkuasa perlu menangani pencerobohan tanah kerajaan secara haram dengan tegas dan bersepadu bagi mengelakkan kerugian besar. Al-Sultan Abdullah bertitah selama berpuluh tahun kerugian, sudah sampai masanya kerajaan negeri ‘celik’ dan fokus pada masalah ini bagi mengelakkan masalah besar.

Pencerobohan tanah kerajaan di Pahang sebenarnya seolah-olah menjadi perkara ‘halal’ untuk dilakukan. Banyak tanah kerajaan, malah hutan simpan diceroboh untuk tanaman sawit, durian dan sebagainya menyebabkan hasil negeri bocor.

Di Raub, kira-kira 2,000 hektar kawasan tanah kerajaan dikenal pasti ditanam musang king sejak sekian lama dan mengeluarkan hasil berbilion ringgit sekali gus merugikan kerajaan negeri.

Itu belum dikira lagi dengan kawasan lain yang belum dikenal pasti termasuk di daerah-daerah lain.

Malah selepas keputusan mahkamah yang memihak kepada kerajaan negeri sekali pun, masih tiada tindakan tuntas dilihat dilakukan oleh pihak berkuasa menyaksikan kawasan berkenaan seolah-olah dibiarkan begitu sahaja sehinggakan ada yang berani melakukan pencerobohan.

Hakikatnya, ‘penjajahan’ dan ‘pencerobohan’ tersebut telah berlaku sejak sekian lama dan terus berlaku. Puncanya sudah tentu daripada penguatkuasaan yang lemah seolah-olah penguat kuasa sudah tiada kuasa.

Semoga titah tuanku mampu mengejutkan mereka yang diberikan kuasa agar segera bangkit dan pihak berkaitan juga perlu melakukan siasatan terhadap masalah yang berlaku dan mencari punca kenapa dan mengapa perkara itu terus berlaku. -KOSMO! ONLINE

Menantu lelaki bercinta dengan ibu mentua

KOSMO!
KISAH cinta antara mentua dengan menantu lelakinya tular di Jambi. - Foto ist
JAKARTA – Satu rakaman video yang menjadi tular di media sosial memaparkan hubungan terlarang antara seorang menantu lelaki dan ibu mentuanya di Jambi, lapor Tribun Sarolangun. com semalam.

Kejadian itu didedahkan oleh pemilik akaun Facebook, Zizi Hadi Siha yang menceritakan tentang saudara lelakinya.

Ia berlaku selepas si suami yang menggunakan nama H menceraikan isterinya dikenali sebagai AY.

Tidak lama selepas itu, H meninggalkan rumah yang menjadi tempat tinggal dengan bekas isterinya itu sebelum diikuti oleh ibu kandung AY.

Hubungan antara kedua-dua mereka sudah lama berlaku, malah ketika ibu kandung AY masih memiliki suami.

Namun, pasangan yang menjalin hubungan terlarang itu sudah berkahwin di Sarolangun.

Siha berharap saudara lelakinya dapat menerima kejadian pahit itu. – AGENSI

Polis terima laporan kes liwat, dera pelajar tahfiz di Merbok

Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian pelajar sebuah maahad tahfiz di Merbok dekat sini, mendakwa didera dan diliwat ketika berada di pusat pengajian itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata pihaknya menahan lima suspek bagi membantu siasatan kes yang dipercayai berlaku pada Jun lalu.

"Seramai empat individu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat atau persetubuhan luar tabii.

"Seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001. Mereka semua dibebaskan dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Azharuddin berkata, siasatan kes berkenaan masih dilakukan pihaknya dan pengurusan pusat pengajian turut dipanggil bagi memberi keterangan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Datuk Mohd Azam Abd Samat berkata, pihaknya turut dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kes terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut.

"Pihak saya dimaklumkan Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) bahawa mereka sudah pergi melakukan siasatan di maahad tahfiz berkenaan mengikut bidang kuasa jabatan.

"JHEAIK dimaklumkan ibu bapa sudah membuat laporan polis, jadi pihak jabatan tak boleh campur tangan kerana ia dalam siasatan polis," katanya ketika dihubungi.

Semalam tular video di TikTok pemilik akaun Pembela Agama yang mendakwa berlaku kes penderaan fizikal dan seksual ke atas pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Video terbabit turut mendakwa terdapat pelajar yang kurus kering kerana tidak diberi makan dengan cukup selepas belajar di pusat tahfiz itu.

Pelajar juga didakwa dipaksa bekerja sehingga jam 3 pagi selain perlu mengangkat barang berat dan menguruskan kuda, apabila mereka terjaga lewat pada waktu pagi kerana penat mereka akan dirotan.

Pelajar turut dibuli dan didera fizikalnmental selain dilarang untuk mengadu kepada ibu bapa sehingga ada yang perlu menjalani rawatan psikiatri.

Dalam paparan video itu juga mereka mendakwa laporan terhadap JHEAIK sudah dilakukan namun tiada sebarang tindakan diambil.

Gambar pelajar yang mengalami kecederaan di kaki dan sedang dirawat di hospital turut dikongsi dalam video berkenaan selain terdapat gambar kesan kegatalan pada kulit tangan dan kaki serta pelajar yang semakin kurus.

Pemuda ditampar selepas potong kereta polis

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan pegawai yang membawa senapang itu menampar seorang lelaki di hadapan rumah. - Instagram @ndorobei.official
JAKARTA – Tindakan seorang pegawai polis di Mesuji, wilayah Lampung, yang menampar seorang lelaki kerana memotong keretanya, mengundang perhatian orang ramai, lapor laman berita Tribunnews semalam. 

Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @ndorobei.official, memaparkan pegawai itu menghampiri sebuah rumah sambil membawa senjata api.

Gara-gara berang dipintas, dia menampar mangsa dengan kuat. 

“Kejadian berlaku pada waktu pagi. Pegawai itu menampar seorang lelaki meskipun dia tidak melakukan sebarang kesalahan selain memandu. 

“Dia kemudian meninggalkan kawasan tersebut selepas perbuatannya dirakam CCTV,” demikian menurut keterangan video itu. 

Rakaman itu menjadi tular dan meraih lebih 115,000 tontonan dengan rata-rata netizen mengecam tindakan pegawai itu. – AGENSI