Lubnan mengesahkan Sayyed Hassan Nasrallah terbunuh

Bharianonline

DUBAI: Hizbullah Lubnan hari ini mengesahkan bahawa pemimpinnya Sayyed Hassan Nasrallah terbunuh.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata ia akan meneruskan pertempurannya terhadap Israel 'untuk menyokong Gaza dan Palestin, dan dalam mempertahankan Lubnan dan rakyatnya yang tabah dan terhormat'.

Israel hari ini berkata, ia telah membunuh Nasrallah dalam serangan udara di pinggir selatan Beirut sehari sebelumnya.

TV Al-Manar Hizbullah mula menyiarkan ayat-ayat Al-Quran selepas pengumuman kematian Nasrallah. - REUTERS

BN menang besar rampas undi PN tapi sokongan Cina merosot

Malaysiakini

Gabungan Madani memenangi pilihan raya kecil (PRK) Mahkota dengan kemenangan besar, dengan BN mengutip hampir 28,000 undi dan menang di semua daerah mengundi.

Keputusan itu juga menunjukkan bahawa gabungan Madani berjaya mempengaruhi sebilangan pengundi Melayu PN pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 untuk mengalihkan undi.

Bagaimanapun, kemenangan itu berlatarbelakangkan peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu hanya 54 peratus dan turut menyaksikan penurunan ketara dalam sokongan pengundi Cina.

Analisis ini membandingkan data daripada PRK kali ini dengan PRU ke-15 apabila pengundi Mahkota membuang undi untuk kerusi Parlimen Kluang, dan pilihan raya negeri Johor pada Mac 2022.

Data peringkat daerah mengundi yang dipaparkan BN semasa pengiraan undi menunjukkan gabungan gabungan Madani berjaya memenangi semula tiga daerah mengundi - Kampung Melayu I, Kampung Melayu II dan Sri Tengah - yang dimenangi PN sebelum ini semasa PRU15.

BN juga menghapus kelebihan PN di Kampung Baru, sebuah daerah yang banyak diberi perhatian oleh pembangkang semasa PRK.

Prestasi keseluruhan PN juga merosot berbanding dua kali pengundi Mahkota pergi ke peti undi.

Tanpa mengambil kira undi pos dalam semua senario, bahagian undi PN di Mahkota menurun kepada 20.8 peratus (7,222 undi) berbanding 30.5 peratus (10,575 undi) pada PRU15 dan 21.3 peratus (7,296 undi) pada pilihan raya negeri.

Bahagian undi awalnya - yang datang dari kem tentera Mahkota - juga merosot kepada 25.9 peratus (1,088 undi) berbanding 58 peratus (1,825 undi) pada PRU15 dan 42 peratus (1,022 undi) pada pilihan raya negeri.

Pencapaian itu menandakan kesinambungan peningkatan sokongan orang Melayu terhadap gabungan Madani, yang turut diperhatikan semasa PRK Nenggiri.

Sementara itu, meski undi BN dan PH digabungkan untuk calon BN meraih 79 peratus undi, ini nampaknya telah dicapai dengan sokongan kaum Cina yang lebih rendah.

Di Bandar Tengah, daerah yang mempunyai pengundi Cina paling ramai di Mahkota dengan hampir 80 peratus penduduknya adalah Cina, hanya 1,335 undi dibuang - dengan 1,212 undi diraih gabungan Madani.

Sebagai perbandingan, 1,925 undi telah dibuang di Bandar Tengah semasa PRU15, dengan PH memperoleh 1,442 undi dan BN, 349 undi ketika itu.

Keputusan hari ini mirip pilihan raya negeri, dengan 1,418 undi dibuang di Bandar Tengah, di mana 1,042 mengundi PH dan 299 mengundi BN.

Pilihan raya negeri, seperti hari ini, juga mengalami peratusan keluar mengundi yang rendah.

Tahap sokongan PN di Bandar Tengah secara relatifnya tidak berubah, daripada 95 pada pilihan raya negeri, 129 pada PRU15, dan 123 hari ini.

Daerah pengundian majoriti bukan Melayu lain yang peratusan keluar mengundi lebih rendah hari ini berbanding PRU15 termasuk Taman Lian Seng dan Indah Jaya.

Walaupun bukan boikot sepenuhnya, angka itu menunjukkan bahawa sejumlah besar pengundi Cina tidak mengambil bahagian dalam PRK Mahkota.

Terdapat rasa tidak puas hati yang meluas di kalangan pengundi Cina sebelum PRK, antara lain dikaitkan dengan serangan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung isu sijil halal. Kok dilihat sebagai mempertahankan hak bukan Melayu.

Rasa tidak senang itu bertambah buruk apabila Timbalan Pengerusi BN Johor Nur Jazlan Mohamed menyifatkan pengundi Cina sebagai oportunistik dan membayangkan bahawa peratusan keluar mengundi yang rendah bermakna mereka tidak mahu mengundi calon bukan Cina.

Ini adalah PRK kedua yang mencatatkan penurunan ketara dalam peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina selepas PRK Sungai Bakap.

Kantoi berlaku curang: Suami curang simbah asid isteri minta cerai

KOSMO

NEW DELHI – Seorang lelaki di Mumbai menyimbah asid  ke muka isterinya kerana wanita berkenaan meminta cerai selepas mengetahui suaminya berlaku curang, lapor stesen penyiaran NDTV semalam. 

Pegawai tempatan berkata, mangsa yang berusia 27 tahun, memfailkan penceraian selepas mengetahui suaminya menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain. 

“Kejadian berlaku ketika mangsa berada di kediaman ibunya di Malad pada Rabu lalu. 

“Dia mengalami kesan melecur pada wajah dan sedang menjalani rawatan di hospital,” katanya. 

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2019 tetapi si isteri tinggal bersama ibunya sejak tiga bulan yang lalu. 

“Dia juga mendapati suaminya menganggur dan merupakan seorang penagih dadah,” tambah pegawai sama. 

Usaha untuk memburu dan menahan suspek sedang giat dilakukan. – AGENSI

BN dapat majoriti besar lebih 20,000 undi

Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi DUN berkenaan dengan majoriti yang jauh lebih besar.

Kemenangan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Pusat Operasi BN bagi PRK DUN Mahkota.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi yang dipaparkan, calon BN Syed Hussien Syed Abdullah jauh meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar dengan majoriti 20,609 undi setelah kiraan di kesemua 121 peti undi pada 7.50 malam ini.

Syed Hussien memperoleh 27,941 undi manakala Mohamad Haizan meraih 7,332 undi.

PRK DUN Mahkota, yang terletak dalam Parlimen Kluang, diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

Pilihan Raya Negeri pada 2022 menyaksikan Sharifah Azizah, yang mewakili BN, menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

- Bernama

Prestasi PN dalam PRK Mahkota merosot berbanding pada PRU ke-15

Malaysiakini

Tanpa mengira undi awal dan pos, PN memperoleh 6,134 undi hari ini mengikut keputusan tidak rasmi.

Sebagai perbandingan, semasa PRU15 dalam perebutan kerusi Parlimen Kluang, PN memperoleh 8,750 undi. Ini menunjukkan penurunan 29.8 peratus undi.

Di sebalik kemenangan besar BN, terdapat petunjuk ketara bahawa ramai pengundi Cina tidak keluar mengundi di Mahkota.

Bandar Tengah ialah kawasan pilihan raya bukan Melayu terbesar di Mahkota, dengan kaum Cina membentuk hampir 80 peratus daripada pengundi.

Bagaimanapun, dengan kesemua enam peti undi dari daerah itu dikira, hanya 1,335 undi dibuang di situ mengikut keputusan tidak rasmi yang mana 1,212 daripadanya diraih BN.

Sebagai perbandingan, 1,925 undi telah dibuang di Bandar Tengah semasa pilihan raya umum ke-15, dengan Pakatan Harapan meraih 1,442 dan BN 349.

Tahap sokongan PN di Bandar Tengah secara relatifnya tidak berubah, daripada 129 pada PRU15 kepada 123 pada PRK hari ini.

Peratusan keluar mengundi juga lebih rendah di daerah bukan Melayu lain seperti Taman Lian Seng dan Indah Jaya.

Calon BN dilaporkan mendahului calon PN dengan lebih 15,000 undi.

BN dakwa pertahan DUN Mahkota
Nora Mahpar

Syed Hussien Syed Abdullah dilaporkan mendahului calon PN Mohamad Haizan Jaafar dengan lebih 15,000 undi.

KLUANG: Barisan Nasional (BN) mendakwa memenangi DUN Mahkota, sekali gus mempertahankan kubu kuat Umno di Johor itu.

Mengumumkan keputusan setakat 7 malam ini, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata Syed Hussien Syed Abdullah mendahului pesaingnya daripada Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti lebih 15,000.

Asyraf berkata, Syed Hussien setakat ini memperoleh 21,075 undi berbanding Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 5,224 undi.

Menurut Asyraf, mengikut kiraan ‘war room’, Syed Hussien memerlukan 17,907 undi untuk dinobatkan sebagai Adun Mahkota yang baharu.

Terdapat 66,318 pemilih berdaftar sempena PRK DUN Mahkota.

Kubu kuat Umno itu jatuh ke tangan Amanah, buat kali pertama pada PRU 2018 menerusi calonnya Said Jonit menewaskan Adun dua penggal, Jais Sarday dengan majoriti 1,668 undi.

Sharifah Azizah Syed Zain menawan semula kerusi itu pada PRN 2022, menewaskan calon PH, PN dan Warisan dengan majoriti 5,166 undi.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian Sharifah Azizah pada 2 Ogos.

BN secara tidak rasmi memenangi pilihan raya kecil Mahkota

Prestasi BN dijangka menafikan tanggapan pengkritik dan ramalan keputusan PRK Mahkota.

Keputusan tidak rasmi daripada kem BN menunjukkan bahawa dalam kemenangan besar mereka, BN juga berpotensi menyapu bersih semua 18 daerah mengundi di Mahkota, selain undi awal dan undi pos.

Pada pilihan raya umum sebelum ini, semasa pengundian bagi kerusi parlimen Kluang, PN memenangi tiga daerah mengundi, Kampung Melayu I, Kampung Melayu II dan Sri Tengah, selain undi awal.

BN menawan daerah tersebut dengan selesa. BN juga nampaknya telah membalikkan kelebihan PN di Kampung Baru, sebuah daerah yang menjadi sasaran pakatan pembangkang.

BN kuasai undi awal PRK Mahkota

Nora Mahpar

Syed Hussien Syed Abdullah daripada BN memperoleh 3,119 undi mengatasi pencabar Haizan Jaafar mewakili PN yang mendapat 1,088 undi.

KLUANG: Barisan Nasional (BN) mendahului pengundian undi awal PRK DUN Mahkota, menurut keputusan tidak rasmi.

Syed Hussien Syed Abdullah memperoleh 3,119 undi mengatasi pencabarnya Haizan Jaafar yang hanya meraih 1,088 undi.

Kira-kira 4,510 anggota tentera dan pasangan, serta 401 anggota polis, membuang undi semasa pengundian awal pada Selasa.

Terdapat 66,318 pemilih berdaftar sempena PRK DUN Mahkota.

Kubu kuat Umno itu jatuh ke tangan Amanah, buat kali pertama pada PRU 2018 menerusi calonnya Said Jonit menewaskan Adun dua penggal, Jais Sarday dengan majoriti 1,668 undi.

Sharifah Azizah Syed Zain menawan semula kerusi itu pada PRN 2022, menewaskan calon PH, PN dan Warisan dengan majoriti 5,166 undi.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian Sharifah Azizah pada 2 Ogos.

Hanya 47.16 peratus yang telah keluar mengundi setakat 4:00 petang

SPR memaklumkan peratusan keluar mengundi sehingga jam 4:00 petang ialah 47.16 peratus.

Siapa cabut papan tanda pasar Ikhwan di Putrajaya?

Ahmad Hasbi dan Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my
Papan tanda Ikhwan Cafe di bahagian bangunan GISBH sudah ditanggalkan sejak beberapa hari lalu. Foto Samadi Ahmad
Papan tanda Ikhwan Cafe di bahagian bangunan GISBH sudah ditanggalkan sejak beberapa hari lalu. Foto Samadi Ahmad
Seremban: Dua daripada enam premis milik GISB Holding (GISBH) membabitkan kedai runcit dan restoran di Garden Homes, Seremban 2, di sini, didapati menurunkan papan tanda perniagaan mereka.

Malah, tinjauan mendapati restoran berkenaan menampal satu salinan laporan polis yang mendakwa perniagaan mereka tidak mempunyai kaitan dengan GISBH.

Selain itu, kedua-dua papan tanda berkenaan dibiarkan di awning premis berkenaan selepas operasi sitaan dijalankan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Selasa lalu.

Beberapa peniaga di kawasan berkenaan mendakwa tidak ternampak sebarang kerja menurunkan papan tanda terbabit, namun ia disedari sudah tiada pada Rabu lalu.

Dalam pada itu, laporan polis yang ditampal pada pintu premis dipercayai dibuat pemiliknya menyatakan laporan itu dibuat selepas pemilik akaun Facebook Pukas Malaysia menyatakan setiap premis menggunakan perkataan Ikhwan menggunakan air berkat untuk menarik pelanggan.

Berdasarkan laporan itu, kedai Ikhwan mempunyai pemilik yang berbeza dan restoran mereka tidak mempunyai kaitan dengan syarikat yang didakwa.

"Disebabkan kedai kami menggunakan perkataan Ikhwan, sedikit sebanyak mendatangkan kesan terhadap perniagaan kami.

"Ini kerana masyarakat beranggapan semua kedai bernama Ikhwan adalah sama dan dengan ini saya ingin menafikan tuduhan yang telah dilemparkan terhadap kedai kami," katanya.

Antara aktiviti perniagaan lain dijalankan di kawasan berkenaan adalah kedai runcit, kedai cendol, bakeri dan warung menjual kuih yang sudah tidak beroperasi sejak 18 September.

Sementara itu, wakil MBS memaklumkan pihaknya tidak pernah menurunkan mana-mana papan perniagaan milik syarikat berkenaan termasuk ketika operasi pada Selasa lalu.

Media pada 24 September lalu melaporkan, MBS menyita peralatan berniaga di beberapa premis perniagaan milik GISB Holdings (GISBH) di Garden Homes.

Tindakan susulan premis perniagaan berkenaan antara lain didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan dan membina struktur tambahan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu di Putrajaya, sebuah premis perniagaan milik GISBH di Jalan Diplomatik, di sini, didapati sudah menanggalkan papan tanda di premis yang mempamerkan nama serta logo syarikat.

Tinjauan ke kawasan itu mendapati tiga premis lain yang ditutup operasi adalah Ikhwan Bakery, Ikhwan Mart dan Ikhwan Delights masih menggunakan logo syarikat berkenaan.

Sementara tinjauan di perkarangan luar Ikhwan Cafe mendapati perkakasan perniagaan seperti kerusi dan meja masih terdapat di situ.

Sementara itu pihak berkuasa tempatan (PBT) Perbadanan Putrajaya (PPj) yang dihubungi bagi mendapatkan keterangan lanjut berhubung status premis yang digunakan samada mempunyai lesen yang sah tidak dapat memberikan sebarang respon.

Suami bakar isteri suka berhutang

KOSMO!
SEORANG lelaki (tengah) disyaki membakar isterinya. - Foto Polis Kota Langsa
BANDA ACEH  – Seorang suami berusia 47 tahun disyaki membakar isterinya di rumah mereka  di Kota Langsa dalam wilayah  Aceh, lapor portal berita kontras Aceh hari ini.

Mangsa meninggal dunia semasa mendapat rawatan di sebuah hospital tempatan.

Ketua polis setempat,  Sumasdion berkata, suspek pada awalnya melakukan kekerasan terhadap mangsa dengan memukulnya sambil memegang sebilah parang pada pukul 8  pagi (waktu tempatan). 

Beberapa jam kemudian, si suami mengarahkan  anak perempuannya membeli petrol dengan alasan ingin digunakan di tempat kerja.

“Ketika minyak itu tiba, suspek langsung menarik isterinya ke belakang rumah, menyiram tubuh mangsa dengan petrol, lalu melemparkan batang mancis menyala dan membakar mangsa,” kata Sumasdiono dalam satu wawancara telefon.

Dia disyaki melakukan perbuatan itu selepas mengetahui  isterinya sering berhutang tanpa pengetahuannya. 

Sumasdiono berkata, suspek telah ditangkap dan kes itu masih dalam proses siasatan. – AGENSI 

Pemancing tergamam ikan raksasa mirip buaya

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan ikan itu menghampiri bot mereka secara perlahan di bawah air yang tenang. - X
OTTAWA – Sekumpulan pemancing di Kanada terkejut apabila menemui seekor ikan aneh kelihatan seperti seekor buaya gergasi baru-baru ini, lapor stesen penyiaran NDTV semalam. 

Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform X oleh akaun @amazingnature, ikan tersebut menghampiri bot mereka perlahan–lahan di bawah air yang tenang.

Ketiga-tiga pemancing itu berdiri dan terpegun menyaksikan saiz dan rupa makhluk gergasi yang menyerupai buaya itu. 

Mereka menyifatkan penemuan itu sebagai satu pengalaman yang ‘mengerikan’ namun pada masa yang sama, ‘mengagumkan’. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 5.9 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen. 

“Itu adalah ikan sturgeon gergasi!” kata seorang netizen. 

“Lautan yang luas bermakna lebih banyak makanan dan lebih banyak spesies yang besar,” komen netizen lain. – AGENSI

Wanita Australia antara 4 isteri, 3 anak pimpinan tertinggi GISBH direman

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita warga Australia antara empat isteri dan tiga anak pimpinan tertinggi Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Sinar Harian melaporkan Timbalan Pendaftar, Muhammad Firdaus Abdul Rashid mengeluarkan perintah reman hingga 4 Okt ini terhadap enam wanita dan seorang lelaki itu di bawah Seksyen 31 (a) Akta Kanak-kanak 2001 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Terdahulu, peguam Rosli Kamaruddin memaklumkan semua individu berusia 18 hingga 55 tahun itu ditahan kira-kira 9 malam Jumaat di sebuah kediaman dekat Rawang.

Mereka dibawa untuk tahanan di Lokap Berpusat IPD Shah Alam.

Rabu lalu, reman ketua pegawai eksekutif GISBH bersama 23 pengikut, termasuk isteri dan anaknya disambung selama empat hari.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dilaporkan berkata, lebih 300 individu ditahan dan 572 kanak-kanak diselamatkan dari rumah jagaan menerusi Ops Global sejak 11 Sept lalu.

Polis turut menerima 10 laporan daripada individu berusia 14 tahun hingga 20-an mendakwa menjadi buruh paksa GISBH di Selangor, Kedah dan Sarawak sejak 2013.

Dua beranak pulang beli nasi lemak dihanyut arus deras

NORLIDA AKMAR IDROS
Tangkap layar video menunjukkan dua beranak meredah banjir sebelum hilang dihanyutkan arus deras di Kampung Tanjung Kanan, Kuala Nerang hari ini.
KUALA NERANG – Dua beranak dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras di Kampung Tanjung Kanan, di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu berlaku ketika ibu tunggal dikenali sebagai Salma Md. Zain, 48, dan anaknya, Ahmad Rosman Rohadi, 19, meredah air untuk pulang ke rumah mereka.

Ahmad Rosman merupakan orang kelainan upaya (OKU) lembam.

Difahamkan, dua beranak itu sebelum itu menaiki motosikal mengikut jalan jauh sejauh lebih tiga kilometer (km) untuk membeli nasi lemak kerana jalan utama ke rumah terputus kerana dinaiki air.

Mereka kemudian meletakkan motosikal di rumah seorang penduduk dan meredah air di laluan mini tar yang ditenggelami air sehingga paras dada orang dewasa untuk pulang ke rumah.

Laluan mini tar tersebut lebih dekat iaitu kira-kira satu km ke rumah mereka.

Penduduk, Mohd. Amir Mohd Sougelail, 28, berkata, dia menyaksikan sendiri kejadian dua beranak itu dihanyutkan arus deras banjir.

“Orang kampung sudah panggil dua beranak itu supaya jangan redah banjir sebab arus deras tetapi mereka teruskan perjalanan.

“Saya nampak wanita itu berpaut pada pokok getah sebelum anaknya berpatah balik untuk ambil ibunya sebelum kedua-duanya hanyut,” katanya di sini hari ini.

Katanya, orang kampung bertindak memanggil mereka dan wanita itu ada menyahut beberapa kali sebelum senyap.

“Air sangat deras kerana terletak berdekatan Sungai Padang Terap yang melimpah akibat hujan lebat pada malam tadi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Pencuri kabel mahu rempuh polis, lima das tembakan dilepaskan

SYED AZLAN SAYID HIZAR
Ahmad Mohsin menunjukkan empat suspek yang ditahan polis pada sidang akhbar di IPD Arau, hari ini.
ARAU – Polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang cuba merempuh anggota dalam kejadian di Jejawi, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu, empat lelaki yang menaiki SUV jenis Proton X70 tersebut cuba melarikan diri selepas menyedari kegiatan curi kabel Telekom Malaysia (TM) dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, kegiatan suspek dikesan anggota Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis ketika melakukan rondaan Op Kabel/Kesan/Op Lejang di persimpangan masuk Taman Jejawi Permai.

“Anggota polis cuba menahan SUV tersebut, namun pemandunya bertindak agresif dengan memandu laju ke arah anggota polis dan cuba merempuh pasukan bertugas.

“Dalam cubaan tersebut, dua anggota polis yang rasa terancam terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan suspek sebagai amaran,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, tiada suspek yang cedera dalam kejadian itu dan empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 34 tahun berjaya ditahan.

“Hasil siasatan mendapati dua daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau. Seorang daripadanya mempunyai satu rekod berkaitan dadah, manakala seorang lagi mempunyai empat rekod dadah dan dua rekod jenayah,” jelasnya.

Katanya, polis merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel termasuk gergaji besi, pelbagai jenis pemotong, penukul dan kabel TM sepanjang 150 meter.

“Selain peralatan curi, kami juga merampas kenderaan Proton X70 yang digunakan suspek serta beberapa barangan lain termasuk dua telefon bimbit,” jelasnya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek menyewa kereta di Pulau Pinang dengan tujuan ingin ke Genting Highland, namun sebaliknya menuju ke utara.

Tambahnya, kesemua suspek beralamat di Sungai Petani, Kedah direman selama empat hari bermula hari ini dan polis memburu dua lagi suspek yang melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi. – KOSMO! ONLINE

Suami belikan pulau agar isteri bebas berbikini

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan Soudi bersama suaminya bercuti di pulau yang dibeli. - Intsgram
DUBAI  –  Seorang pesohor media sosial di Dubai mengundang perhatian orang ramai selepas mendedahkan bahawa suaminya yang berstatus jutawan, sanggup membelikan sebuah pulau supaya dia boleh berpakaian seksi tanpa tatapan lelaki lain, lapor stesen penyiaran NDTV semalam. 

Isterinya yang dikenali sebagai Soudi Al Nadak, 26, berkongsi perkara itu kepada lebih 332,000 pengikutnya di platform Instagram. 

Menerusi rakaman yang dimuat naik di akaun @soudiofarabia, pasangan itu dilihat menuju ke pulau berkenaan dengan menaiki jet peribadi. 

Rakaman sama menunjukkan pemandangan indah dengan air laut membiru dan pantai yang bersih. 

“POV: Anda mahu memakai bikini jadi suami jutawan anda membelikan anda sebuah pulau supaya bebas berbuat demikian,” kata keterangan klip video itu. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 2.6 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen. 

“Memiliki isteri seperti ini, dia (suami) tidak akan menjadi jutawan untuk jangka masa yang lama,” sindir seorang netizen. 

“Bagus tetapi seeloknya anda mendermakan wang kepada fakir miskin,” sindir netizen lain. – AGENSI

‘Jururawat’ Thailand dicekup di pintu rahsia

MOHD AZLI ADLAN
Sebahagian 17 pelayan wanita warga Thailand yang ditahan JIM dalam serbuan di sebuah pusat hiburan haram di Kuala Terengganu semalam.
KUALA TERENGGANU – Keasyikan 17 pelayan wanita warga Thailand melayan pelanggan dengan berpakaian seksi ala jururawat terbantut apabila pusat hiburan haram di bandar raya ini diserbu pihak imigresen semalam.

Dalam operasi pada pukul 8 malam itu, pemeriksaan mendapati 17 wanita warga Thailand dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan) Terengganu, Mat Amin Hassan berkata, pemeriksaan mendapati pusat hiburan berkenaan beroperasi di sebalik lesen premis makanan.

Beliau berkata, serbuan dilakuan selepas menerima aduan awam berhubung kehadiran ramai wanita warga asing mencurigakan bekerja di premis perniagaan terbabit.

“Risikan mendapati wanita warga Thailand berusia dalam lingkungan 19 dan 33 tahun sebagai pelaris untuk menarik pelanggan ke pusat hiburan.

“Sewaktu serbuan dilakukan, kesemua pelayan wanita warga Thailand tersebut bersama sebahagian pelanggan cuba melarikan diri ke pintu rahsia tetapi berjaya digagal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mat Amin berkata, operasi sama turut memeriksa 35 pelanggan lelaki yang berada di pusat hiburan tersebut sewaktu serbuan dilakukan.

Tambah beliau, dua lelaki warga tempatan yang merupakan pekerja pusat hiburan itu telah diberi notis tampil memberi keterangan di pejabat JIM Terengganu di sini untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Lelaki amuk kejar bekas isteri pada hari pernikahan

KOSMO!
SEORANG lelaki ditangkap kerana menganggu majlis perkahwinan bekas isterinya. - Foto Polis Sungai Loban
JAKARTA  – Seorang lelaki berumur 35 tahun bersenjatakan pisau mengamuk pada majlis perkahwinan bekas isterinya di Kalimantan, lapor portal berita Tribun Trends hari ini.

Lelaki yang dikenali sebagai A itu turut menghunuskan senjata ke arah tetamu yang hadir semasa kenduri tersebut  di Sungai Loban semalam.

Ketua polis tempatan, Kitty Tokan berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 5 petang (waktu tempatan).

Katanya, suspek melakukan perbuatan tersebut dengan tujuan untuk membatalkan majlis perkahwinan bekas isterinya dengan lelaki lain.

Pengantin wanita berlari masuk ke dalam rumah setelah dikejar oleh A yang  menghunuskan pisau. wanita itu kemudian mengunci pintu biliknya. 

Polis yang menerima aduan keluarga pengantin perempuan,  berjaya menangkap A pada hari yang sama di rumah suspek. – AGENSI 

Orang Kelantan serbu Thailand lagi

NUR HIDAYAH MOHD. BOZID
Tangkap layar orang ramai mmbanjiri pintu masuk sempadan Thailand.
PETALING JAYA – Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dibanjiri ratusan rakyat Kelantan yang mengambil peluang cuti panjang sempena hujung minggu dan hari keputeraan Sultan Kelantan.

Menerusi perkongsian oleh Ku Abil di platform TikTok, video berdurasi 40 saat itu menunjukkan orang ramai yang menunggang motosikal dan juga pejalan kaki sedang berkumpul di hadapan pintu masuk sempadan menunggu untuk pintu itu dibuka.

Sebaik sahaja pintu sempadan dibuka, orang ramai dengan penuh semangat dan tergesa-gesa mula berpusu-pusu bergerak menuju ke arah pintu masuk sempadan Thailand, masing-masing tidak mahu ketinggalan untuk melangkah masuk ke negara jiran itu.

Sementara itu, orang ramai meninggalkan pelbagai reaksi dan terhibur dengan gelagat mereka yang kelihatan tidak sabar untuk menghabiskan cuti mereka.

“Kalau Johor Bahru ke Singapura, sesak sebab nak pergi kerja. Kalau sempadan Kelantan ke Thailand, orang nak pergi perhabis duit,” komen Munie Ryan.

“Aku termasuk salah seorang yang beratur hari ini. Destinasi ke Phuket,” komen Laparbidahh.

“Boleh pula pegawai tu rakam video begitu sahaja, menikmati pemandangan. Mesti struggle (susah) gila orang bangun awal nak duduk depan gate (pintu) ini,” komen Namiaraaa. – KOSMO! ONLINE

Pantai Teluk Kemang atau Pantai Teluk Khemah?’

KOSMO!
Antara tangkap layar video tular memaparkan keadaan Pantai Teluk Kemang yang dipenuhi dengan deretan khemah biru sehingga menghalang pemandangan pelancong.
PETALING JAYA – Pengguna di media sosial sekali lagi meluahkan kritikan terhadap keindahan Pantai Teluk Kemang, Port Dickson yang dicemari dengan khemah-khemah berwarna biru dipercayai dipacak secara haram.

Menerusi beberapa video dan gambar tular di aplikasi X, khemah-khemah berwarna biru itu dipacak sederet sepanjang pantai tersebut oleh mereka yang melakukan perniagaan sewaan kepada orang awam.

Hasil tinjauan Kosmo! di akaun Facebook, harga sewaan khemah tersebut bermula daripada RM70 sehingga RM240 bergantung kepada pakej tambahan seperti kerusi dan ‘plug point’.

Hal itu dibangkitkan warga media sosial kerana menganggap pemandangan pantai yang popular di Port Dickson itu sepatutnya dinikmati dan bukannya dihalang oleh deretan manusia yang berkhemah di lokasi tersebut.

“Kenapa pergi pantai negeri lain tak ada pun pacak khemah biru segala ni buat sewa dan memburukkan keindahan pantai tapi di Port Dickson ada? Pasar malam pun lagi cantik,” ciap Khairul.

“Pengunjung datang nak tengok pemandangan pantai, bukan khemah bersepah sepanjang pesisir yang menutup keindahan pantai dari pemandangan umum. Peniaga khemah yang tak bertanggungjawab,” komen Rosmaini.

“Orang datang jauh-jauh nak ‘healing’ tengok pantai tapi yang nampak hanya khemah biru sahaja. Buruk, tak berbaloi datang. Tempat awam tapi dia buat macam tanah persendirian,” komen Nur Alia pula.

Sementara itu, ramai pengguna khususnya penduduk di Port Dickson menggesa pihak berkuasa untuk memansuhkan terus pemasangan khemah di sepanjang pantai itu agar dapat menarik kembali minat pelancong.

“Minta jasa baik pihak berkuasa tengokkan isu ini. Mansuhkan terus penggunaan khemah haram ini. Pantai tu bukan mereka punya. Pemandangan jadi tak cantik, tempat jadi sempit. Berebut tapak jadi gaduh,” komen Nur Karim.

“Berzaman dah kes ni, warga Port Dickson pun ramai dah buat laporan. Hari tu pihak berkuasa pernah rampas khemah, ni ada lagi. Mungkin kena lebih tegas lagi lepas ni,” komen Bang Mar pula.

Sebelum ini Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) diarahkan agar menguatkuasakan larangan aktiviti berkhemah di tiga kawasan pantai di Port Dickson selepas ia menimbulkan rungutan dalam kalangan pengunjung.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pengunjung hanya dibenarkan menggunakan tikar atau seumpamanya sekiranya beriadah serta berkelah di tiga kawasan pantai berkenaan iaitu di Pantai Bagan Pinang, Pantai Saujana dan Pantai Cahaya Negeri. – KOSMO! ONLINE

'Adakah Sanusi akan mohon maaf isu todi, tokong perut buncit?'

Malaysiakini

Seorang ahli akademik membangkitkan persoalan sama ada Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor akan memohon maaf susulan kenyataannya berkaitan perobohan kuil Hindu di negerinya serta tindakannya menghina menteri pelancongan  Tiong King Sing.

Merujuk kepada permohonan maaf Sanusi kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tajuddin Mohd Rasdi melihatnya sebagai tindakan terdesak untuk menyelamatkan karier politik selepas dituduh bawah akta hasutan.

“Sanusi minta maaf kerana takut dipenjara, sekali gus menamatkan kariernya. Ini kes jelas yang jelas.

“Jika tindakan Sanusi itu mulia, saya masih menunggu dia memohon maaf kepada masyarakat India berkaitan kenyataan berkaitan mabuk todi.

“Saya juga masih menunggu Sanusi minta maaf kepada Tiong dan masyarakat Cina kerana panggil dia tokong perut buncit,” kata profesor seni bina itu kepada Malaysiakini.

Kelmarin, Sanusi memohon maaf kerana berkata sultan yang "hebat" tidak akan melantik orang seperti Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor.

Kenyataan semasa kempen pilihan raya negeri tahun lepas itu menyebabkan dia diheret ke mahkamah bawah pertuduhan Akta Hasutan 1948.

Sultan bagaimanapun semalam mengampunkan Sanusi atas semangat ukhuwah Islam dan Melayu tetapi menasihatkannya menjaga tutur kata, tatasusila serta jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan tidak baik ketika bersyarah.

Pada 2010, Sanusi membidas pengkritik daripada MIC dan DAP.

Bawa la ramai lagi warga asing ke Malaysia

2 warga asing terlibat kes pecah kilang ditembak mati
Bernama

Suspek warga Vietnam yang bersenjatakan parang sebelum itu bertindak menyerang polis ketika diarahkan memberhentikan kenderaan di Jalan Bukit Panchor, Nibong Tebal.

Dua suspek terbabit masing-masing mempunyai dua dan enam rekod lampau berkaitan jenayah dan mayat mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat, kata Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad.
NIBONG TEBAL: Dua lelaki warga Vietnam yang terlibat dalam kegiatan pecah masuk kilang dan pejabat di Pulau Pinang serta Kedah, maut ditembak polis di Jalan Bukit Panchor di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Hamzah Ahmad, berkata dalam kejadian 3.20 pagi itu, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sedang menjalankan rondaan di kawasan kilang di situ sebelum terserempak dengan sebuah kereta Proton Waja dalam keadaan mencurigakan.

“Pihak polis cuba menghampiri kereta itu sebelum mendapati dua lelaki keluar dari sebuah kilang di situ. Polis mengarahkan mereka berhenti untuk diperiksa, kedua-duanya yang bersenjatakan parang telah bertindak menyerang polis sebelum pasukan kami melepaskan empat das tembakan bagi mempertahankan diri.

Kedua-dua lelaki itu disahkan mati akibat tembakan di tempat kejadian dan pemeriksaan polis telah menjumpai dua parang serta pelbagai peralatan disyaki digunakan dalam kegiatan pecah rumah, kilang dan pejabat, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), di sini hari ini.

Beliau memaklumkan pemeriksaan terhadap dua lelaki itu mendapati mereka merupakan warga Vietnam berusia 38 dan 39 tahun yang memasuki negara ini sebagai pelancong.

Hamzah berkata pihaknya percaya susulan kejadian itu, enam kes pecah premis di Pulau Pinang dan lima kes di Kedah melibatkan kerugian keseluruhan RM317,700 berjaya diselesaikan.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket itu dipercayai terdiri daripada warga Vietnam.

“Berdasarkan siasatan, polis mendapati geng itu masuk dan keluar dari negara ini sejak 2017 bagi menjalankan kegiatan jenayah dan modus operandi mereka ialah memecah masuk kilang atau pejabat yang dipercayai menyimpan peti besi mengandungi wang tunai yang banyak.

Polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut sama ada terdapat kerjasama atau bantuan orang dalam di kilang atau pejabat yang pernah geng itu pecah masuk kerana mereka mempunyai maklumat berkaitan jumlah wang di situ, kita percaya mereka pakar dalam hal tersebut, katanya.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu masing-masing mempunyai dua dan enam rekod lampau berkaitan jenayah dan mayat mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya bagi bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Ringgit mampu cecah RM4.00 sedolar akhir 2024, RM3.55 akhir 2025 - BMI

Bernama

KUALA LUMPUR: BMI Country Risk & Industry Research (BMI), unit Fitch Solutions, menyemak naik unjuran ringgit bagi akhir 2024 kepada RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada RM4.55 sebelum ini.

Perkembangan itu turut memaparkan prestasi cemerlang ringgit dalam suku ketiga 2024.

BMI berkata, dalam tempoh jangka pertengahan, ia kekal positif terhadap ringgit susulan perbezaan hasil yang mengecil dengan AS selain prospek pertumbuhan yang agak berdaya tahan, sekali gus menyuntik petanda baik untuk unit tempatan berkenaan.

"Risiko terhadap unjuran kami adalah kelemahan ringgit dengan sebahagian besarnya bergantung kepada trajektori kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS dan pertumbuhan China," katanya dalam nota komentarnya hari ini.

Menyentuh prospek jangka pendek selama enam bulan, BMI berkata ringgit terbukti dapat menyanggah trend penyusutan ketaranya sejak awal 2024 untuk naik 12.1 peratus pada suku ketiga 2024, sekali gus menjadikannya mata wang pasaran sedang pesat membangun dengan prestasi terbaik rantau ini.

Sejajar dengan prestasi yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam suku ketiga 2024, BMI bertindak menyemak naik unjurannya pada purata RM4.35 berbanding dolar AS daripada RM4.55, sebelum ini.

Ringgit juga secara teknikalnya mencecah paras rintangan aliran pelbagai tahun pada paras RM4.20 bagi setiap dolar AS pada 23 September 2024.

"Kami melihat skop ringgit untuk mencecah paras rintangan seterusnya pada RM4.00/dolar AS menjelang akhir 2024, walaupun indeks kekukuhan relatif yang dilihat terlebih jualan masih berlaku dan boleh menjurus kepada

penyusutan nilai dalam tempoh singkat.

"Unjuran kami juga lebih realistik daripada Bloomberg yang mengunjurkan RM4.30," kata BMI.

Dalam pada itu, ia juga menjangkakan perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia akan mengecil dengan lebih cenderung memihak ringgit.

BMI sebelum ini menjangkakan Fed untuk memulakan kitaran lebih mereda pada pengurangan sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat September.

Bagaimanapun, Fed memutuskan pengurangan sebanyak 50 mata asas yang menurunkan kadar faedah itu kepada 5.00 peratus.

"Kami berpendapat Fed akan meneruskan kitaran penurunan itu dalam bulan-bulan mendatang, termasuk mengurangkan 75 mata asas pada suku keempat 2024 berbanding 50 mata asas sebelum ini.

"Ini menunjukkan bahawa perbezaan hasil lebih kecil itu akan menyokong ringgit, terutamanya jika unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan OPR pada 3.00 peratus pada akhir 2024 terbukti benar," katanya.

Melangkaui tempoh enam bulan, BMI mengunjurkan ringgit untuk mengukuh sehingga 9.0 peratus pada 2025, mencecah RM3.55 berbanding dolar AS menjelang akhir 2025.

Susulan itu, ia menyemak naik unjuran bagi ringgit untuk tempoh itu pada purata RM3.80 berbanding dolar AS daripada RM4.48, sebelum ini.

Pemacu utama perkembangan itu adalah tindakan pelonggaran dasar sehingga 125 mata peratusan pada 2025 yang menyaksikan kadar faedah Fed turun kepada 3.00 peratus menjelang akhir tahun itu.

"Sebaliknya, BNM dijangka mengekalkan OPR pada 3.00 peratus sepanjang akhir 2025," katanya.

-BERNAMA

Senator nafi paksa ‘bodyguard’ makan babi

FMT Reporters

Senator itu membuat laporan polis semalam supaya tuduhan disemak pihak berkuasa.

PETALING JAYA: Seorang senator menafikan dakwaan memaksa pengawal peribadinya memakan daging babi.

Susulan itu, beliau membuat laporan polis semalam supaya tuduhan tersebut disemak pihak berkuasa.

Ketua Polis Pulau Pinang, Hamzah Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan daripada senator itu kira-kira 8.30 malam semalam, mendakwa menerima panggilan daripada seorang individu yang bertanyakan mengenai dakwaan tersebut.

“Polis menerima satu laporan dibuat oleh seorang senator berkenaan panggilan telefon diterima daripada seorang individu bertanyakan mengenai dakwaan pengawal peribadi (senator tersebut) membuat laporan polis (beliau) dipaksa memakan daging khinzir.

Dakwaan tersebut dinafikan oleh pengadu (senator) dan laporan polis menafikan tuduhan turut dibuat oleh pengawal peribadi terbabit, katanya dalam kenyataan.

Hamzah berkata, semakan pihaknya mendapati tiada sebarang laporan seperti yang didakwa pemanggil terbabit dibuat di seluruh negara.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan perintah menyiasat akan dimohon kepada timbalan pendakwa raya supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata polis Seberang Perai berjaya menahan dua suspek di Juru didapati terlibat kes curi samun yang mendatangkan kecederaan.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 2 Okt, katanya.

PU Azman dipenjara 24 tahun, 2 sebatan

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my
Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman hadir ke Mahkamah Sesyen, Klang hari ini bagi keputusan berkaitan amang seksual. FOTO FAIZ ANUAR
Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman hadir ke Mahkamah Sesyen, Klang hari ini bagi keputusan berkaitan amang seksual. FOTO FAIZ ANUAR
Klang: Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Noridah Adam membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah menjatuhkan masing-masing 12 tahun penjara dan satu sebatan bagi dua pertuduhan yang berjalan berasingan.

Mahkamah juga menetapkan Azman Syah, 43, menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.

Pada 26 Disember tahun lalu, Azman diperintah membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, Azman Syah didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berumur 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun 2022.

Dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Azman yang turut dikenali sebagai Cik Man turut berdepan sembilan pertuduhan iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.

Kelantan: Bomoh dicekup ‘ganggu’ wanita ketika sesi rawatan batin

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Anggota polis mengiringi suspek (tengah) selepas prosiding reman di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
KOTA BHARU – Seorang pengamal perubatan tradisional atau bomoh dicekup selepas dipercayai mencabul seorang wanita yang datang mendapatkan khidmat rawatannya di sebuah rumah di Melor dekat sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan pertengahan 50-an ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.30 pagi kelmarin.

“Siasatan mendapati, kejadian berlaku di sebuah rumah yang dijadikan pusat rawatan tradisional di Melor kira-kira pukul 8 malam pada Ahad lalu.

“Mangsa berusia dalam lingkungan pertengahan 20-an yang menghidap fibroid atau ketumbuhan bertemu dengan suspek untuk menerima rawatan secara batin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, suspek dipercayai beberapa kali mencabul wanita itu.

Menurutnya, polis yang menerima laporan berhubung kejadian itu bertindak menahan lelaki itu kira-kira pukul 4 petang semalam.

Tambahnya, suspek ditahan reman tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. – KOSMO! ONLINE

Lelaki tular lompat landasan Monorel Bukit Bintang diburu

AZMI NORDIN

Tangkap layar video tular seorang lelaki melompat keluar daripada landasan monorel Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang tular di media sosial melompat ke landasan Monorel Bukit Bintang, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, video berdurasi empat minit itu dikesan kira-kira pukul 11.35 malam kelmarin.

Katanya, laporan polis berkaitan kejadian ini sudah dibuat pihak polis bantuan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) sekitar 9.34 malam, semalam.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan (pencerobohan).

“Usaha mengesan suspek dibuat polis bantuan Prasarana untuk menangkap penceroboh setakat ini bagaimanapun gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pencerobohan ini dilakukan oleh lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Guru wanita suspek samun isteri VIP

KOSMO
Suspek tampil di balai polis, namun menafikan tuduhan melakukan samun. - Matichon
BANGKOK – Seorang guru di Thailand tampil menyerah diri di balai polis selepas dituduh menyamun isteri Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Koperasi negara itu, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Dalam kejadian kelmarin, mangsa, Nipha Darasaen, 56, disamun di garaj rumahnya di Phutthaisong, wilayah Buriram sekitar pukul 3.30 pagi (waktu tempatan).

Mangsa yang ketika itu mahu pergi ke pasar, hilang sebuah beg yang mengandungi wang tunai berjumlah 15,000 baht (RM1,900) serta kunci rumahnya.

Dia juga mengalami luka pada lengan akibat terkena pisau yang digunakan oleh suspek ketika menyamunnya.

Berdasarkan sistem rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), polis kemudian mengenal pasti suspek sebagai seorang guru wanita yang berusia 49 tahun.

Menurut polis, suspek pernah beberapa kali dituduh melakukan jenayah serupa, namun pihak berkuasa gagal menangkapnya berikutan kekurangan bukti.

Namun, belum sempat polis mengeluarkan waran tangkap, suspek yang ditemani peguamnya tampil di balai hari ini dan menyerah diri.

Bagaimanapun, dia menafikan tuduhan tersebut dan mahu dibicarakan di mahkamah. – AGENSI 

Sultan Selangor ampunkan MB Kedah atas dua sebab

K PRAGALATH

Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah telah menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Beta dengan ini berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Datuk Seri di atas nama ukhuwah sesame Islam serta bangsa Melayu.

“Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas di dalam permohonan maafnya.

Baginda turut menasihatkan Sanusi menjaga tutur kata, tidak terlalu beremosi ketika bercakap kepada masyarakat umum.

“Di kesempatan ini beta ingin menasihati Datuk Seri agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama ekali bila berada di dalam negeri Selangor.

Sanusi telah menyoal kewibawaan baginda dalam pelantikan Datuk Seri Amiruddin Shari sebagai Menteri Besar Selangor Ketika kempen pilihan raya negeri Selangor.

Susulan itu, beliau telah didakwa di bawah Akta Hasutan.

Kembar lima bakal 'terima' insentif RM529,000

Agensi

Seoul: Di negara yang bergelut dengan kadar kesuburan paling rendah di dunia iaitu 0.72 peratus, kelahiran kembar lima pada minggu lalu menjadi berita utama, lapor Korean Herald.

Selasa lalu, tumpuan beralih kepada jumlah semua geran kerajaan yang akan diterima oleh bayi iaitu berjumlah sekurang-kurangnya AS$128,000 (kira-kira RM529,000).

Kim Joon-young dan Sagong Hye-ran dari Dongducheon, Wilayah Gyeonggi, mendapat kembar lima iaitu tiga lelaki dan dua perempuan pada 20 September lalu. Ia kelahiran kembar lima pertama secara semula jadi di Korea Selatan.

Sagong bekerja sebagai pegawai pentadbiran di sebuah sekolah di Yangju, Wilayah Gyeonggi, manakala suaminya seorang guru sekolah menengah di Dongducheon.

Insentif bernilai kira-kira RM529,000 itu termasuk baucar tunai sebanyak AS$11,300 (kira-kira RM46,700) yang disediakan Dongducheon. Ia boleh digunakan di mana-mana kedai di dalam bandar dengan jualan tahunan kurang daripada AS$753,000 (kira-kira RM3.1 juta).

Pakej promosi bersalin di Dongducheon menawarkan ibu bapa dengan AS$753,000 (kira-kira RM3,100) untuk kelahiran anak pertama, AS$1,129 (kira-kira RM4,700) untuk anak kedua, AS$1,800 (kira-kira RM7,700) untuk anak ketiga dan AS$3,700 (kira-kira RM16,000) untuk anak keempat dan seterusnya.

Dongducheon juga akan menyediakan AS$2,600 (kira-kira RM11,000) dalam sokongan penjagaan selepas bersalin, juga dalam bentuk baucar tunai.

Secara berasingan, pasangan itu layak mendapat pelbagai insentif lain. Ia termasuk elaun ibu bapa, diperkenalkan pada Januari 2023, yang menawarkan AS$750 (kira-kira RM3,100) sebulan bagi setiap anak untuk 11 bulan pertama selepas kelahiran, diikuti dengan AS$376 (kira-kira RM1,600) sebulan untuk 11 bulan berikutnya.

Ibu bapa juga akan menerima elaun anak-anak sebanyak AS$75 (kira-kira RM311) sebulan bagi setiap anak sejak lahir sehingga umur anak mencapai 95 bulan.
-hmetro 

Lelaki Rohingya diburu dipercayai menikam teman wanitanya warga Indonesia

Hasrat pulang ke Indonesia ditentang, wanita ditikam teman lelaki Rohingya

Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my
SUSPEK etnik Rohingya yang diburu polis. FOTO Ihsan Polis
SUSPEK etnik Rohingya yang diburu polis. FOTO Ihsan Polis
Jempol: Seorang wanita warga Indonesia parah selepas ditikam teman lelakinya di sebuah rumah di Taman ACBE di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 40 tahun ditikam dengan sebilah pisau oleh teman lelakinya warga Myanmar berusia 38 tahun.

Katanya, suspek bertindak menikam mangsa selepas mangsa memberitahu hendak pulang ke Indonesia.

"Tidak bersetuju dengan hasrat mangsa, suspek bertindak memukul mangsa sebelum menikamnya.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal SM Sport 110R," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hoo berkata, mangsa cedera di muka, bahu dan perut dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk rawatan lanjut

Katanya, polis giat memburu mangsa yang juga etnik Rohingya dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Jempol di talian 064582222 atau pegawai penyiasat Inspektor Ardie Robert ditalian 018-4666374," katanya.

Monyet selamatkan budak perempuan daripada dinoda

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan suspek menarik tangan gadis itu di sebuah lorong yang sempit. - News Nation
NEW DELHI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun  terselamat selepas sekumpulan monyet liar menyerang seorang lelaki yang cuba memperkosanya, lapor portal berita Must Share News semalam. 

Kejadian berlaku di Baghpat, negeri Uttar Pradesh pada Khamis lalu. 

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek  mengekori budak  itu di lorong sempit sebelum menarik tangannya ke rumah yang terbiar. 

Mangsa kemudian dibawa ke kawasan lain selepas suspek menyedari terdapat  kamera CCTV di lokasi tersebut. 

Menurut bapa mangsa, sekumpulan monyet bergegas ke arah mereka selepas mendengar jeritan anak perempuannya. 

“Semasa cuba melarikan diri, suspek sempat mengugut mangsa  untuk tidak menceritakan kejadian itu kepada orang lain. 

“Dia berjaya pulang ke rumah dengan bantuan penduduk tempatan,” katanya. 

Bapa mangsa segera membuat laporan polis, manakala suspek masih diburu. – AGENSI

Bekas buruh dihukum mati, bunuh tiga beradik pada 1 Ramadan

NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas buruh kerana membunuh tiga beradik masing-masing berusia dua, tiga dan lima tahun dalam kejadian yang berlaku pada hari pertama umat Islam berpuasa pada 2018.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian secara sebulat suara terhadap Shahrul Pitri Jusoh, 41, selepas menolak rayuan akhirnya.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak yang mensabit dan menghukumnya pada 6 Ogos 2020 dan Mahkamah Rayuan yang mengesahkannya pada 14 September lalu.

Ketika menyampaikan keputusannnya, Hakim Abdul Rahman berkata, rayuan itu tiada merit dan tidak terdapat sebarang kekhilafan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Shahrul Pitri.

Berkaitan hukuman panel itu berpendapat, prinsip am menyatakan bahawa Mahkamah Persekutuan perlu berhati-hati ketika mencampuri hukuman yang diputuskan oleh mahkamah rendah melainkan ia menyalahi undang-undang, tidak mencukupi atau berlebih-lebihan.

Ujar beliau, keseimbangan harus dicapai di antara simpati kepada pesalah dan penderitaan yang dihadapi mangsa serta kerosakan yang dilakukan penjenayah kepada masyarakat.

Shahrul Pitri disabitkan atas tiga tuduhan berasingan membunuh Nur Zia Fasihah Mohd. Fadzil, 2, serta dua abangnya, Muhammad Firash Zafrill, 3, dan Muhammad Faqih Zahirulhaq, 5.

Perbuatan itu dilakukan di rumah projek bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datuk antara pukul 2.30 dan 2.40 petang 17 Mei 2018 iaitu pada hari pertama umat Islam berpuasa pada tahun tersebut.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol berhujah agar sabitan dan hukuman gantung terhadap perayu dikekalkan. – KOSMO! ONLINE

Kelantan: Buruh didakwa cederakan isteri dengan seterika

Hidayatidayu Razali
bhnews@bh.com.my
Seorang buruh, Mohd Nurhakiman Mohd Nasir mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan isteri dengan seterika. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Seorang buruh, Mohd Nurhakiman Mohd Nasir mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan isteri dengan seterika. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
KOTA BHARU: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mencederakan isteri dengan menggunakan seterika, 23 September lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Mohd Nurhakiman Mohd Nasir, 35, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja mencederakan isteri dengan menggunakan seterika di sebuah rumah di Kampung Rambutan Rendang, di sini, jam 7.30 pagi, pada 23 September 2024.

Menurut pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama.

Kesalahan mengikut Seksyen 326A memperuntukan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak mengemukakan sebarang jaminan kerana tertuduh dan isterinya masih tinggal bersama dalam satu rumah.

Mahkamah menetapkan 29 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi latikan peguam dan serahan dokumen.

2 along mengaku bakar 3 rumah peminjam

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Li Ao Chen (kanan) dan Goh Poh Liang dibawa keluar Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku salah khianat dengan api. FOTO Alias Abd Rani
Li Ao Chen (kanan) dan Goh Poh Liang dibawa keluar Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku salah khianat dengan api. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Dua lelaki yang juga along mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan melakukan khianat dengan api hingga merosakkan tiga rumah peminjam di Tangkak, dua minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh, Li Ao Chen, 30 dan Goh Poh Liang, 38, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca bersama di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, mereka didakwa melakukan khianat dengan api terhadap tiga rumah mangsa berusia 41, 55, dan 52 tahun di tiga lokasi berasingan iaitu Taman Tangkak Jaya 4, Taman Tangkak Jaya dan Taman Tiara 2 dengan ketiga-tiga kejadian berlaku pada jam 6.07 pagi, 14 September lalu.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama mengikut Seksyen 34 kanun sama, hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga denda.

Berdasarkan laporan dibuat, polis menerima maklumat kejadian itu pada 14 September lalu memaklumkan tiga rumah dibakar individu tidak dikenali.

Siasatan dijalankan membawa kepada penahanan sembilan lelaki termasuk dua tertuduh kerana disyaki terbabit dalam kejadian itu.

Kesemua yang ditahan termasuk dua tertuduh itu, didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak, Selasa selalu mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah dan didenda RM1,500 setiap seorang

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Arif Marzuki manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 3 Oktober ini untuk fakta dan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh.

Sanusi patut minta maaf, harap pendakwaan jalan terus

Harapandaily

AHMAD MURSI

Waktu Sanusi didakwa Julai 2023, penyokong PN-PAS tuduh kerajaan zalim kerana menahan Sanusi pada jam 3 pagi.

Walhal, pihak istana sendiri membuat laporan polis dan tidak ada kena-mengena dengan mana-mana parti politik pun.

Hari ini, kali kedua Sanusi meminta maaf kepada Sultan Selangor kerana keceluparannya menghina.

Ramai tak tahu, ada dua kes melibatkan Sanusi. Satu, dia menghina Sultan Selangor dan satu lagi menghina YDPA.

Puncanya, dia mempersoalkan titah YDPA berkenaan usaha mewujudkan ‘Kerajaan Perpaduan’ dan dia dakwa itu pembohongan PMX.

Pihak Istana, tidak seperti ahli politik, biasanya tidak terlibat dalam polemik awam. Hanya proses perundangan yang boleh bersihkan kenyataan jahat Sanusi ini.

Tahun ini sahaja, Muhyiddin, Haji Hadi dan Sanusi terlibat dengan hal seumpama ni dan ini membimbangkan.

Baru-baru ini, Hj Hadi memuji Thailand kerana melucutkan jawatan PM akibat melantik bekas banduan. Cuba kaji pula apa hukuman jika rakyatnya menghina Raja di Thailand.

Saya harap pendakwaan ke atasnya diteruskan untuk pastikan pemimpin PN tidak lagi menyentuh 3R untuk kempen pilihan raya.

Saya boleh sabar jika Sanusi kritik hal ehwal pentadbiran dan polisi kerana itulah sepatutnya dibuat.

Masalahnya, dia melakukan penghinaan peribadi secara melampau selain turut melakukan dosa besar Qazaf di pentas ceramah. Saya yakin keceluparan itu akhirnya nanti akan memakan dirinya.

Untuk faham bagaimana jahatnya mulut ahli PN-PAS ketika ini dalam media sosial dan group WhatsApp, anda gandakan 10 kali kejahatan mulut Sanusi dan itulah cara mereka meniru pemimpin mereka.

Pendakwah selebriti, Ahmad Husam didakwa guna gelaran tidak diiktiraf

Ustaz Ahmad Husam didakwa guna gelaran tidak diiktiraf
Aizat Sharif
am@hmetro.com.my
USTAZ Ahmad Husam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas kesalahan menggunakan gelaran dan penghormatan yang tidak diiktiraf. FOTO Luqman Hakim Zubir
USTAZ Ahmad Husam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas kesalahan menggunakan gelaran dan penghormatan yang tidak diiktiraf. FOTO Luqman Hakim Zubir
Kangar: Pendakwah selebriti, Ustaz Ahmad Husam Muhamad Baderudin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas kesalahan menggunakan gelaran dan kehormatan yang tidak diiktiraf.

Tertuduh yang berusia 34 tahun itu dan berasal dari Kodiang, Kedah bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ahmad Husam didakwa menerima gelaran dan kehormatan tidak diiktiraf daripada Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Melaka pada 4 Mei tahun lalu sekitar jam 11.30 pagi di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, Jalan Kangar-Alor Setar di Kangar.

Oleh hal demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4A (3) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaan) 2016 (Enakmen A21) yang dibaca bersama Seksyen 17 Akta Kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787).

Kesalahan berkenaan juga boleh dihukum mengikut Seksyen 4A(6) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaam) 2016 (Enakmen A21).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perlis, Muhamad Asyraf Md Kamal dan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Jodia Poh Yi Tying manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Iman Nor Azmi dan Nur Amin Nor Azmi.

Muhamad Asyraf dalam hujahannya memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM50,000 kepada tertuduh.

Manakala, Nur Iman mewakili anak guamnya membantah perkara itu dan memohon jaminan minimum berikutan tertuduh hanya pengetua Maahad Tahfiz di Kedah, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak serta menderita sakit gout dan asma.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dengan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes pula ditetapkan pada 28 Oktober hadapan dan tertuduh dikehendaki melapor diri pada balai polis yang terdekat.

Tertuduh kemudian membayar jaminan yang dikenakan.

Terdahulu, Ahmad Husam tiba di perkarangan mahkamah sekitar jam 8.45 pagi diiringi hampir 10 orang ahli keluarga dan penyokong.

Dalam masa yang sama, tertuduh juga dilihat cuba mengelakkan diri daripada media yang menanti di perkarangan mahkamah sejak awal pagi.

7 remaja cuba elak diberkas polis ditemukan mati di Sungai Bekasi

Bharianonline
Pihak berkuasa mengeluarkan mayat tujuh remaja yang lemas ketika melarikan diri daripada polis di Bekasi, Indonesia. - Foto ihsan Pejabat Agensi Mencari dan Menyelamat Jakarta
Pihak berkuasa mengeluarkan mayat tujuh remaja yang lemas ketika melarikan diri daripada polis di Bekasi, Indonesia. - Foto ihsan Pejabat Agensi Mencari dan Menyelamat Jakarta
BEKASI: Polis Indonesia menemui tujuh mayat terapung di belakang sebuah masjid, di kompleks perumahan berhampiran Sungai Bekasi, di luar Jakarta pada Ahad lalu.

Menurut polis, ketujuh-tujuh mayat itu dipercayai sekumpulan remaja yang lemas ketika cuba mengelakkan diri daripada diberkas pihak berkuasa kerana terbabit dalam pergaduhan sekumpulan 22 remaja di sebuah kedai runcit berdekatan.

Pemangku Ketua Agensi Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Bandar Bekasi, Priadi Santoso, mengesahkan mengenai laporan pertama berhubung penemuan mayat-mayat itu, yang dibuat penduduk kira-kira jam 7 pagi.

Mangsa ditemui terapung di perairan berlumpur dengan muka sudah mengembung, namun tiada kecederaan serius.

Menurut laporan media, TV One, seorang penduduk tempatan sedang mencari kucing peliharaannya berhampiran tebing sungai itu sekitar 5.30 pagi apabila membuat penemuan itu.

"Tiada luka signifikan ditemui pada mangsa, hanya tanda lebam di kepala akibat muka yang membengkak, katanya seorang individu yang dikenali sebagai Fajar kepada Kompas TV.

Operasi menyelamat bersama membabitkan polis, Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (BASARNAS) dan BPBD kemudian membawa keluar mayat-mayat terbabit.

Dua mayat lagi turut ditemui di sungai sama dengan satunya ditemukan terapung di hilir sungai, manakala seorang lagi tersangkut di tebing sungai dengan jarak sejauh kira-kira 20 meter.

Menurut pihak berkuasa, tujuh mangsa itu dilihat berpakaian sama dengan mengenakan jaket hitam. Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada jaket itu melambangkan sebarang lencana atau pertubuhan tertentu.

Ketua Perkhidmatan Perubatan hospital polis itu, Herry Wijatmoko, menyatakan mayat itu mungkin berada di dalam air selama sekurang-kurangnya 24 jam, namun disebabkan suhu air sejuk, ia melambatkan proses pereputan.

Menurut pihak berkuasa tempatan, kedalaman Sungai Bekasi berbeza-beza, dengan kedalaman mencecah dua meter. Bagaimanapun, lokasi mayat ditemukan sangat cetek iaitu sedalam buku lali atau kira-kira 10 sentimeter.

Pihak polis mengesahkan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti identiti mangsa.

Kesemua tujuh mayat itu dibawa ke Hospital Polis Keramat Jati di Jakarta Timur untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

Siasatan awal polis mendapati tujuh remaja itu lemas selepas terjun ke dalam sungai apabila disyaki cuba mengelak daripada diberkas polis. Pihak berkuasa percaya mereka tidak pandai berenang dan dihanyutkan arus. - AGENSI

Kelantan: Markas Pas dirobohkan penduduk di mukim Beta Hulu, DUN Salor sebagai protes

Penduduk DUN Salor protes robohkan markas Pas

SITI NUR ZAWANI

Penduduk di mukim Beta Hulu, DUN Salor, Kelantan bertindak merobohkan markas Pas dan pejabat penghulu sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri dan wakil rakyat yang dikatakan tidak mendengar keluhan mereka.

Beberapa video beredar di media sosial, memaparkan pejabat penghulu dirobohkan menggunakan jentera berat.

Penghulu mukim dikatakan telah meletakkan jawatan sebelum kemudiannya merobohkan pejabat berwarna hijau yang menjadi markas Pas ketika pilihan raya lalu.

Video tersebut di muat naik salah seorang penduduk menggunakan akaun Facebook Wan Azlan.

Kejadian dipercayai berlaku pada 24 September kira-kira jam 5.30 petang.

“Sekarang ini adalah kerja-kerja merobohkan pejabat penghulu mukim Beta Hulu serentak dengan perletakan jawatan penghulunya.

“Hasil daripada desakan, suara hati penduduk yang tidak berpuas hati dengan wakil rakyat yang dikatakan tidak menjadi pohon rendang untuk rakyat tumpang berteduh dan suara-suara rakyat dipinggirkan.

“Maka hari ini sebahagian daripada kami, penduduk Beta Hulu tidak mewakili mana-mana individu atau agensi berkepentingan. Ini adalah suara rakyat,” katanya dalam video dilihat Harapan Daily.

Menurut Wan Azlan, penduduk mengambil tindakan sedemikian sebagai memberi pengajaran kepada pimpinan supaya tidak mengendahkan luahan mereka.

“Jadi tindakan ini diambil untuk memberi pengajaran kepada pimpinan bahawasanya rakyat walaupun kami orang bodoh duduk kampung tapi apabila kami bersuara, inilah yang berlaku,” katanya lagi.

ADUN Salor ialah Saizol Ismail dari Pas. DUN tersebut berada di bawah Parlimen Kubang Kerian yang kini disandang Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kecederaan kanak-kanak: Ahli GISHB dihukum penjara 10 tahun

Malaysiakini

Seorang anggota Global Ikhwan Services Holdings Bhd dihukum penjara 10 tahun selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun.

Barulrahim Hisham, 23, dituduh bawah Seksyen  31(1)(a), Akta Kanak-kanak 2001 di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Klang  Noridah Adam. 

Wanita lemas di Tasik YDP Slim River

MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
MANGSA yang lemas di Tasik YDP Slim River, Tanjung Malim ditemui bomba pada pukul 7.05 malam tadi. Foto IHSAN JBPM
TANJUNG MALIM – Seorang wanita berumur 54 tahun ditemui lemas di Tasik YDP Slim River di sini kira-kira pukul 7.05 malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sebelum penemuan mangsa, orang awam telah menjumpai selipar mangsa di tepi tasik.

“Bomba yang tiba dilokasi kejadian telah memulakan pencarian di kawasan sekitar tasik sebelum menjumpai mangsa menggunakan teknik surface searching. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Israel bersiap siaga untuk operasi darat di Lubnan

AFP
ASAP tebal di Khiam, di selatan Lubnan susulan serangan rentas sempadan antara pejuang Hizbullah dan Israel. FOTO Reuters
ASAP tebal di Khiam, di selatan Lubnan susulan serangan rentas sempadan antara pejuang Hizbullah dan Israel. FOTO Reuters
Beirut: Ketua tentera Israel pada Rabu memberitahu tenteranya supaya bersedia untuk kemungkinan serangan darat terhadap Hizbullah di Lubnan, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden memberi amaran terhadap "perang habis-habisan" di Timur Tengah.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berikrar bahawa operasi ketenteraan Israel terhadap Hizbullah tidak akan berhenti sehingga penduduk utara negaranya yang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran rentas sempadan, selamat pulang ke rumah mereka.

"Kami menyerang sepanjang hari, kedua-duanya untuk menyediakan medan bagi kemungkinan kemasukan anda (tentera Israel), tetapi juga untuk terus menyerang Hizbullah," ketua tentera Israel, Leftenan Jeneral Herzi Halevi, memberitahu briged kereta kebal, menurut satu kenyataan.

AS berkata, ia tidak menjangka Israel akan melancarkan operasi darat di Lubnan dalam masa terdekat.

"Ia tidak kelihatan seperti apa-apa yang akan berlaku," kata Timbalan Setiausaha Akhbar Pentagon Sabrina Singh kepada wartawan, merujuk kepada kemungkinan pencerobohan Israel.

Amaran Israel datang selepas Hizbullah berkata, ia menyasarkan ibu pejabat agensi perisik Mossad di pinggir Tel Aviv - kali pertama ia melepaskan peluru berpandu balistik dalam hampir setahun pertempuran rentas sempadan yang dicetuskan oleh perang Gaza.

Lubnan berkata, serangan Israel membunuh 51 orang dan mencederakan 223 yang lain.

Tentera Israel berkata, ia menyerang lebih 2,000 sasaran Hizbullah sejak tiga hari lalu, termasuk 60 tapak perisikan Hizbullah.

Pertempuran rentas sempadan semakin sengit selepas serangan Israel pada Isnin lalu membunuh sekurang-kurangnya 558 orang dalam hari keganasan paling dahsyat di Lubnan, sejak perang saudara 1975-1990.

Nour Hamad, seorang pelajar berusia 22 tahun di bandar Baalbek di timur Lubnan, menggambarkan hidup "dalam keadaan ketakutan" sepanjang minggu.

"Kami menghabiskan empat atau lima hari tanpa tidur, tidak tahu sama ada kami akan bangun pada waktu pagi," katanya.

Di Tel Aviv, siren berbunyi berikutan pelancaran peluru berpandu Hizbullah yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada waktu subuh.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, ia akan mengadakan mesyuarat tergempar mengenai krisis di New York pada hari Rabu, ketika ketua PBB, Antonio Guterres memberi amaran keadaan itu kritikal.

"Kita semua harus cemas dengan peningkatan itu. Lubnan berada di ambang," katanya.