Malaysiakini
Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof melahirkan kebimbangan ekoran kenderaan milik pusat khidmat Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan dirosakkan pada hujung minggu lalu.
Mujahid berkata, walaupun dikatakan yang pihak yang berbuat demikian mengalami masalah mental, ia tetap satu bentuk ancaman kepada wakil rakyat.
"Saya khuatir ia akan mendorong kepada pihak lain yang menanam politik kebencian dalam media sosial akan lebih berani melahirkan tindakan fizikal ke arah keganasan.
"Khususnya bagi Amanah yang berhadapan dengan pelbagai tohmahan jahat para pembenci seperti melabelkan parti ini sebagai anti-Islam, 'khadam DAP' dan fitnah 'menyokong LGBT, tindakan fizikal atas dorongan kebencian ini berisiko untuk berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Mujahid menasihatkan ahli Parlimen dan Adun - khususnya dari Amanah - agar sentiasa berhati-hati dan memastikan keselamatan mereka terjamin.
Pada Sabtu lalu, Aminolhuda yang juga pengerusi Amanah Johorn memuat naik klip video pendek di Facebook, menunjukkan kerosakan teruk sebuah Toyota Estima akibat perbuatan seorang lelaki yang kini telah ditahan polis.
Menurutnya, lelaki itu memukul cermin hadapan kenderaan MPV itu dengan objek keras sekurang-kurangnya 17 kali, selain merosakkan pengelap cermin, cermin sisi dan cermin belakang.
Gambar wajah Aminolhuda yang terpampang di sisi kenderaan itu juga turut mengalami kerosakan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi di Batu Pahat, Johor.
Sementara itu, polis dalam kenyataan semalam memaklumkan pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 37 tahun berkaitan kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata siasatan membawa kepada penahanan suspek di sebuah rumah di Tongkang Pechah, Batu Pahat pada kira-kira jam tiga petang Sabtu.
"Polis turut merampas sebuah kenderaan, pakaian dan alat yang digunakan suspek semasa melakukan perbuatan itu," katanya.
Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan polis telah memperoleh perintah reman selama empat hari terhadap lelaki berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan