Ramasamy berdepan 17 tuduhan pecah amanah

Predeep Nambiar

Pertuduhan dipercayai berkaitan pedati bersalut emas dan pembayaran amal kepada pihak luar.

Peguam sebelum ini kata TKM Pulau Pinang II P Ramasamy berdepan tuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM.
GEORGE TOWN: Bekas timbalan ketua menteri II, P Ramasamy, dijangka berdepan 17 pertuduhan pecah amanah membabitkan RM850,000 apabila beliau dibawa ke mahkamah esok, menurut dua sumber berbeza.

Sumber di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara mengesahkan pertuduhan akan dibuat menurut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih dari 20 tahun, dan dengan sebat, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tiga belas pertuduhan dipercayai berkaitan pemerolehan pedati bersalut emas oleh Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) pada 2019, semasa Ramasamy berkhidmat sebagai pengerusi.

Empat pertuduhan lain dikatakan melibatkan pembayaran amal yang dibuat kepada pihak luar — dua dikaitkan dengan tajaan pendidikan dan dua untuk perbelanjaan perubatan.

Terdahulu, peguam Ramasamy, Shamsher Singh Thind, berkata ahli politik berusia 76 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen di Butterworth, untuk menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM atas tuduhan salah guna kuasa.

Ramasamy menafikan semua dakwaan, menyifatkan kes itu sebagai bermotif politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan