Dron misteri serang sistem radar pangkalan tentera di Iraq

AFP
ZON Hijau di Baghdad. FOTO Reuters
ZON Hijau di Baghdad. FOTO Reuters
Baghdad: Dron tidak dikenali menyerang sistem radar di dua pangkalan tentera di Iraq pada awal Selasa, kata sumber keselamatan.

Serangan itu berlaku beberapa jam selepas Iran melancarkan peluru berpandu ke kemudahan tentera Amerika Syarikat di Qatar - kemudahan ketenteraan AS terbesar di Timur Tengah - sebagai tindak balas terhadap pengeboman Amerika ke atas kemudahan nuklear Tehran.

Serangan pertama melanda sistem radar di pangkalan Taji, utara Baghdad, sumber keselamatan memberitahu AFP, dengan meminta namanya dirahsiakan kerana dia tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Beberapa jam kemudian, sumber keselamatan memberitahu AFP "sebuah dron menyasarkan... sistem radar di pangkalan udara Imam Ali" di wilayah Dhi Qar di selatan Iraq.

Satu lagi dron jatuh di daerah Radwaniya, kira-kira 10 kilometer ke barat Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, tambah sumber itu, di mana tentera AS ditempatkan di pangkalan sebagai sebahagian daripada gabungan antipengganas.

"Sebuah dron yang tidak dikenal pasti mengenai radar" di Taji, kata jurucakap keselamatan kerajaan Saad Maan, sambil menambah bahawa satu lagi dron "jatuh berhampiran penjana", tanpa memberikan butiran lanjut.

Serangan itu menyebabkan kerosakan material tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan, Leftenan Jeneral Walid al-Tamimi memberitahu agensi berita rasmi Iraq.

Pangkalan Taji menempatkan tentera AS beberapa tahun lalu dan sering menjadi sasaran serangan roket.

Tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
-hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan