V Anbalagan
PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati seorang bekas pegawai penyiasat dalam kes pembunuhan kekasihnya 14 tahun lalu bagi menghantar mesej jelas kepada semua pegawai polis atas keperluan menegakkan undang-undang.
Hakim Wong Kian Kheong berkata semua pegawai dikehendaki mengangkat sumpah mengikut Seksyen 13 Akta Polis 1967.
“Dengan membunuh si mati, perayu mengkhianati deklarasinya untuk ‘mematuhi, menegak dan mengekalkan’ undang-undang,” katanya sambil menambah mahkamah menggunakan budi bicara menjatuhkan hukuman untuk mengesahkan hukuman itu atas alasan kepentingan awam.
September lalu, panel tiga hakim diketuai Hakim Supang Lian yang bersidang di Kota Kinabalu, menolak rayuan Ahmad Rizal Umar terhadap sabitan dan hukuman kerana membunuh Kartini Borhan, 27.
Panel itu turut terdiri daripada Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Rizal yang berpangkat inspektor melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Taman Andika, Keningau, antara 4 dan 5 pagi 29 Sept 2011.
Wong menyampaikan penghakiman bertulisnya setebal 37 muka surat awal minggu ini, membuka laluan kepada Rizal, 43, untuk menggunakan hak rayuan terakhir automatiknya di Mahkamah Persekutuan.
Hakim berkata, Rizal menggunakan kekerasan untuk membunuh Kartini dengan sebilah pisau menyebabkan mangsa mengalami 10 kecederaan, termasuk luka tikaman kedua.
“Selepas pembunuhan itu, dia cuba menyembunyikan kesalahannya dengan mendakwa Kartini dibunuh penyerang yang memecah masuk premis itu untuk merompaknya.
“Lebih teruk lagi, dia berani membuat laporan polis palsu dan tidak menunjukkan sebarang penyesalan.”
Beliau berkata, Rizal menggunakan latihan polis dan pengalaman kerjanya sebagai pegawai penyiasat untuk menyembunyikan jenayah itu.
Mengikut fakta kes, Rizal berada di pangsapuri sewa Kartini pada hari kejadian, tetapi menjadikan keadaan seolah-olah perompak memecah masuk ke premis itu dan menyerang mereka berdua.
Wong berkata, pakar patologi forensik memberikan bukti Rizal mencederakan dirinya dan tidak konsisten dengan kesan pergelutan agresif dengan perompak.
Motif pembunuhan ialah cinta segi tiga kerana si mati didakwa menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain.
Peguam Ram Singh yang dibantu Chen Wen Jye dalam mitigasi terdahulu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan sebat ke atas Rizal kerana ini kesalahan pertamanya dan dia mempunyai dua anak.
Timbalan Pendakwa Raya Amril Johari sebaliknya menggesa hukuman mati dikekalkan kerana tertuduh ialah pegawai penguat kuasa yang menyerang mangsanya dengan kejam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan