Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor sudah merakam percakapan seorang pelakon dan penyanyi lelaki yang didakwa melakukan amang seksual ke atas seorang remaja perempuan, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan berkata, siasatan mendapati, suspek baru pertama kali melakukan amang seksual terhadap mangsa yang dikenalinya beberapa bulan lalu.
"(Itu) kali pertama (suspek) bawa mangsa ke hotel, mereka sudah berkenalan dan berhubung dianggarkan dalam satu dua bulan, itu kali pertama mereka jumpa.
"Siasatan mendapati mangsa masih belajar, suspek sudah ditangkap dan percakapan (suspek) sudah dirakam, buat masa ini diberi jaminan polis. Kertas siasatan hampir lengkap dan kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang pelakon dan penyanyi lelaki terkenal ditahan polis selepas didakwa melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.
Mangsa berusia 17 tahun itu dikatakan berkenalan dengan artis terbabit di sebuah kafe tempatnya bekerja dan selepas beberapa kali pertemuan suspek kemudian membawa mangsa bertemu di sebuah hotel.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan turut mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan