Agensi
Cianjur, Indonesia: Seramai 42 penjawat awam wanita memfailkan tuntutan cerai selepas menerima surat pelantikan rasmi sebagai kakitangan tetap bawah skim Pegawai Pemerintah dengan Perjanjian Kerja (PPPK) di daerah Cianjur, Jawa Barat, Indonesia.
Menurut laporan portal WartaKotalive.com, situasi itu menimbulkan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam sektor pendidikan, memandangkan kebanyakan wanita terbabit adalah guru sekolah rendah.
Daripada kira-kira 3,000 guru yang menerima Surat Keputusan (SK) pelantikan PPPK tahun ini, seramai 30 wanita memfailkan perceraian di mahkamah, manakala 12 lagi kes masih dalam proses akhir perundangan.
Ketua Pejabat Belia, Sukan dan Pendidikan (Disdikpora) Cianjur, Ruhli berkata, hampir semua tuntutan cerai dikemukakan oleh pihak wanita.
"Majoritinya memang datang daripada pihak perempuan," katanya seperti dipetik dalam laporan berkenaan.
Ruhli berkata, salah satu faktor utama yang mendorong tindakan itu adalah perubahan status kewangan dalam kalangan guru terbabit selepas dilantik sebagai penjawat awam tetap.
Sebelum ini, ramai antara mereka bekerja secara kontrak dan bergantung kepada pendapatan suami untuk menyara keluarga.
Namun, selepas dilantik bawah skim PPPK, mereka memiliki gaji tetap dan lebih stabil sekali gus memberi keyakinan untuk membuat keputusan besar dalam kehidupan, termasuk menamatkan perkahwinan.
Fenomena sama turut dikesan di daerah Blitar, Jawa Timur, apabila Pejabat Pendidikan Blitar melaporkan sekurang-kurangnya 20 guru wanita memfailkan perceraian sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Bahagian Pengurusan Sekolah Rendah Blitar, Deny Setyawan mengesahkan perkara itu dan mengaitkan peningkatan kes dengan perubahan status pekerjaan daripada kontrak kepada pegawai tetap PPPK.
Katanya, walaupun alasan rasmi yang diberi kebanyakannya berunsur 'tidak sefahaman', namun latar belakang kewangan yang lebih kukuh selepas dilantik menjadi penjawat awam tetap dilihat sebagai punca sebenar.
"Dengan kedudukan ekonomi yang lebih baik, mereka berasa lebih bebas dan yakin untuk membuat keputusan hidup," katanya.
Deny juga menjelaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk campur tangan dalam urusan peribadi kakitangan, termasuk membabitkan isu rumah tangga.
"Itu hak individu. Apa yang penting adalah mereka tetap mematuhi proses perundangan dan tatacara perkhidmatan awam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan