Bersatu jawab teguran Mursyidul Am PAS: PN gabungan tersusun, amal konsensus

Shakira Buang

Bersatu menafikan dakwaan bahawa parti itu tidak mengamalkan konsep musyawarah dengan parti dalam gabungan PN sebelum sesuatu dasar mahu diumumkan kepada orang ramai.

Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, sebaliknya  menegaskan semua keputusan melibatkan dasar dan tindakan PN telah dan akan terus dibincangkan secara konsensus dalam mesyuarat majlis tertinggi (MT) gabungan itu.

Bahkan, katanya, hal tersebut memang sejajar dengan Perlembagaan PN.

“PN adalah sebuah gabungan yang tersusun, teratur dan diuruskan berdasarkan perlembagaan parti serta dan konsensus ahli-ahli komponennya.

“Semua keputusan dasar dan penyelarasan tindakan di peringkat tertinggi parti-parti komponen PN dibincangkan di dalam mesyuarat MT PN.

“Melainkan perkara-perkara yang sudah dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan PN dan berdasarkan persetujuan bersama semua parti komponen PN semasa penubuhannya pada 2021, ia dilaksanakan berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan PN dan berdasarkan persetujuan serta persefahaman yang telah di buat sebelum ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad Faizal berkata demikian sebagai maklum balas terhadap teguran Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, yang menggesa Bersatu agar mengamalkan konsep musyawarah sebelum mengumumkan sebarang dasar dalam PN.

Tiap parti ada ruang masing-masing

Terdahulu Malaysiakini melaporkan PAS mahu PN - khususnya Bersatu - berbincang terlebih dulu dengan parti dalam gabungan itu sebelum sesuatu dasar mahu diumumkan.

Hashim berkata antara isu dasar yang penting dan tidak dirundingkan dulu dengan mereka ialah calon perdana menteri daripada PN.

Menurutnya, keputusan sebegitu ada yang diumumkan oleh Muhyiddin Yassin - selaku pengerusi - tanpa berunding terlebih dulu dengan PAS.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata semua keputusan dasar atau penyelarasan tindakan di peringkat tertinggi dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat MT PN, melainkan perkara yang telah diperuntukkan secara khusus dalam perlembagaan gabungan itu.

Bekas Menteri Besar Perak itu turut memaklumkan Bersatu dan PAS mempunyai platform perbincangan tidak rasmi antara pimpinan tertinggi kedua-dua parti bagi membincangkan isu-isu dasar sebelum ia dibawa ke mesyuarat MT PN.

Malah, katanya, terdapat juga pertemuan empat mata antara Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bagi menyelaras pandangan sebelum dimuktamadkan secara rasmi.

“Setiap parti dalam PN mempunyai ruang untuk membuat keputusan di peringkat dalaman masing-masing, selagi ia tidak bertentangan dengan dasar dan perlembagaan PN,” jelas Faizal.

Jelasnya lagi, sebarang cadangan atau keputusan hanya akan menjadi dasar rasmi PN selepas dibincangkan dan dipersetujui bersama dalam mesyuarat.

Sementara itu, dalam satu video pendek yang dikongsikan Ahmad Faizal turut mengesahkan bahawa Muhyiddin sebelum ini pernah menjelaskan bahawa bukan dia yang menentukan sebarang jawatan dalam PN.

Hal itu, katanya, termasuklah jawatan perdana menteri.

Malah, klip video bertarikh 5 Jun lalu di Pagoh, Johor turut menyaksikan Muhyiddin memberitahu dia pernah memberi cadangan agar jawatan memimpin PN dibuat secara bergilir-gilir.

“Saya pernah menawarkan mereka - selepas terpilih semula sebagai Presiden Bersatu baru-baru ini - saya kata eloklah PAS ambil alih, gilir-gilirlah dan kali ini PAS ambil alih jawatan pengerusi PN, kot-kot PAS nak jadi perdana menteri itu tak apalah.

“(Tapi) dia tak nak, dia kata tak boleh. (PAS kata) Tan Sri teruskan. Ini realiti dan yang lain itu ramalan (spekulasi) sahaja. Tapi saya pegang pada pokok,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan