Itu petanda ada pihak tak buat kerja, makan gaji buta

Busuk melekat di baju!

Muhamad Lokman Khairi
lokman.khairi@hmetro.com.my
PENCEMARAN bau dari Sungai Kerayong dikatakan sudah lama berlarutan dan semakin parah dipercayai akibat longgokan sampah dan sisa buangan lain.
PENCEMARAN bau dari Sungai Kerayong dikatakan sudah lama berlarutan dan semakin parah dipercayai akibat longgokan sampah dan sisa buangan lain.
Ampang: Bau terlalu busuk sehingga melekat pada baju. Itu yang ditanggung penduduk kawasan ini setiap kali melalui laluan pejalan kaki merentasi Sungai Kerayong ke Stesen LRT Pandan Jaya di sini.

Pencemaran bau daripada sungai itu dikatakan sudah lama berlarutan dan semakin parah dipercayai akibat longgokan sampah dan sisa buangan lain.

Tinjauan Harian Metro ke kawasan itu, baru-baru ini juga mendapati terdapat sampah dibuang dalam Sungai Kerayong dan tompokan hitam dipercayai minyak yang mencemari permukaan sungai.

Keadaan itu bukan sahaja menyesakkan hidung, malah menimbulkan rasa kurang senang apabila perlu melalui kawasan berhampiran terutama penduduk yang menggunakan pengangkutan awam.

Seorang pengguna Transit Aliran Ringan (LRT), Muhammad Syaheed Ismail, 24, berkata, dia sudah lama menyedari pencemaran itu yang berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak.
LONGGOKAN sampah yang memenuhi kawasan sungai hingga menyebabkan bau busuk.
LONGGOKAN sampah yang memenuhi kawasan sungai hingga menyebabkan bau busuk.
"Kalau pagi-pagi, memang bau busuk macam bau sampah. Saya syak ada peniaga atau kilang industri yang buang sampah terus ke dalam sungai.

"Kawasan sini juga ada banyak tompokan minyak. Saya perhatikan ada selaput berwarna hitam di permukaan sungai. Itu boleh jadi minyak buangan," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, pekerja swasta, Muhammad Thaqif Danial Mohammed Azizan, 35, turut menyuarakan kebimbangan yang sama.

"Saya yang baru bekerja di sekitar kawasan ini pun rasa tak senang, apatah lagi orang lama. Saya risau nanti akan mula naik bangkai ikan pula.

"Saya nampak ada orang yang memancing di sungai itu. Kalau ikan itu beracun, nanti boleh jadi punca masalah kesihatan yang lebih teruk," katanya.

Bagi petugas pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Noraiman Hakim, 29, bau busuk daripada sungai itu memberi kesan langsung kepada rutin hariannya.

"Setiap pagi, saya jalan dari rumah ke LRT. Tapi yang sadisnya, bau busuk itu melekat di baju sampai saya masuk pejabat.

"Saya harap pihak berwajib buatlah siasatan dan ambil tindakan segera kerana ia memberi kesan kepada kami penduduk di sini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan