Rafizi, Nik Nazmi tak hadir perjumpaan Ahli Parlimen PH bersama Anwar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua wakil rakyat PKR Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad tidak menghadiri mesyuarat antara Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Rafizi dipetik Malaysiakini sebagai berkata beliau sudah maklum mengenai perkara yang akan dijelaskan oleh Anwar dalam mesyuarat di Seri Perdana, Putrajaya.

Bagaimanapun, bekas timbalan presiden PKR itu tidak mendedahkan isu spesifik dimaksudkannya dan hanya mengatakan ia kini mula mendapat perhatian di peringkat nasional.

“Saya telah pun mendapat penjelasan berhubung perkara itu sejak beberapa bulan lalu, jadi saya jangka perdana menteri akan memberikan penjelasan yang sama.

“Sebelum ini, isu tersebut belum menjadi isu nasional dan penjelasan hanya diberikan kepada beberapa orang sahaja.

“Saya rasa itu sebabnya perdana menteri lebih memilih untuk mengadakan pertemuan tertutup bersama Ahli Parlimen berbanding menjelaskannya secara terbuka kerana beliau merasakan ada maklumat sensitif saya sendiri telah maklum sejak beberapa bulan lalu, iaitu sebelum saya meletak jawatan sebagai menteri ekonomi,” kata Rafizi.

Nik Nazmi pula memaklumkan beliau tidak dapat hadir kerana berada di Singapura bagi menyertai satu lawatan yang telah dirancang lebih awal.

Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan daripada Kabinet selepas tewas dalam pemilihan parti PKR pada Mei lalu bagi jawatan timbalan presiden dan naib presiden, masing-masing.

Ahli Parlimen PH mula tiba di kediaman rasmi perdana menteri sekitar jam 3.45 petang tadi, dengan Anwar dijangka memberikan penjelasan mengenai beberapa “isu penting” dan perkembangan semasa.

Perdana menteri sebelum ini turut mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional pada malam Jumaat, yang menurut beliau bertujuan menjernihkan keadaan berhubung beberapa isu semasa, termasuk percukaian, subsidi petrol RON95 dan hal berkaitan kehakiman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan